Tag Archives: fcev

Sistem sel bahan api gen-3 Toyota janjikan jarak pandu lebih jauh

Penggunaan kenderaan elektrik dengan sistem sel bahan api hidrogen (FCEV) masih belum cukup meluas jika dibandingkan dengan kenderaan elektrik (EV).

Mengambil contoh Toyota Mirai, sedan berkuasa hidrogen ini telah dilancarkan sejak tahun 2014 lagi dengan lebih 28,000 unit telah terjual di lebih 30 buah negara.

Satu angka yang cukup kecil.

 

Namun, selain daripada pasaran kereta penumpang, Toyota juga sebenarnya telah membekalkan sistem sel bahan api ini untuk kegunaan lain seperti bas, kereta api dan sistem penjana kuasa pegun sejak tahun 2019.

Bergerak ke hadapan, Toyota masih lagi percaya sistem hidrogen ini mampu menjadi alternatif yang lebih baik kepada kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV.

Generasi ketiga sistem sel bahan api diperkenalkan secara rasmi baru-baru ini dengan menjanjikan unit yang lebih kompak serta menjanjikan jarak pemanduan 20 peratus lebih jauh (boleh cecah 772 km).

Selain itu, Toyota mendakwa sistem generasi ketiga ini mampu mencapai ketahanan yang setanding dengan enjin diesel selain manfaat reka bentuk bebas penyelenggaraan.

Menerusi inovasi terhadap rekaan sel dan proses pembuatan, sistem ini juga lebih murah untuk dihasilkan, menyumbang kepada harga jualan yang lebih mampu milik.

Sistem sel bahan api generasi ketiga ini bukan sahaja akan digunakan untuk segmen kenderaan penumpang, bahkan ia bakal diperluaskan kepada segmen kenderaan komersial tugas berat untuk pasaran Jepun, Eropah, Amerika Utara dan China menjelang tahun 2026.

 

Toyota Mirai generasi kedua

Honda perlihat konsep trak Kelas 8 berkuasa hidrogen, mampu cecah 644 km

Tidak seperti rakan-rakan pesaing dari Negara Matahari Terbit, Honda bukanlah satu jenama yang boleh dikaitkan dengan barisan model trak tugas berat.

Model Honda yang paling hampir dengan sifat sebuah trak ialah model Honda Ridgeline, sebuah trak pikap unibodi yang direka khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, serta Honda Acty – trak kecil dalam segmen kei car untuk pasaran Jepun.

 

 

Jadi, apa kaitan trak Peterbilt yang dipamerkan ini dengan Honda?

Untuk makluman, trak semi yang digelar sebagai Class 8 Hydrogen Fuel Cell Truck Concept ini dilengkapi dengan unit sel bahan api hidrogen yang dibangunkan sendiri oleh Honda menerusi kerjasama dengan General Motors.

Ia menampilkan gandingan tiga sistem sel bahan api, setiap satu mampu menjana kuasa setinggi 80 kW (107 hp), dengan kuasa keseluruhan mampu mencecah sehingga 322 hp.

 

 

Honda tidak mendedahkan bilangan motor elektrik yang dimuatkan pada trak Peterbilt ini, melainkan ia mampu mencecah kelajuan tertinggi 113 km/j dan boleh bergerak sejauh 644 km sebelum perlu membuat pengisian bahan api.

Angka tersebut boleh dicapai sekiranya trak semi Kelas 8 itu datang dengan muatan barangan seberat 37,195 kg.

Menurut Honda, sistem sel bahan api menawarkan penyelesaian sifar emisi terbaik untuk aplikasi diesel sedia ada, dan ia merupakan kunci kepada strategi hidrogen Honda yang meluas, terutama untuk pasaran Amerika Syarikat.

 

Beyond Zero bawakan solusi Toyota untuk neutraliti karbon – bZ4x, Hilux, Granace, Prius 24hr Le Mans, Alphard, Vellfire BEV, HEV, FCEV

JIKA anda mengikuti perkembangan industri automotif, anda akan perasan bahawa Toyota tidak berpendapat bahawa kenderaan elektrik bateri (BEV) atau EV merupakan satu-satunya penyelesaian untuk karbon sifar.

Sebaliknya, mereka yakin terdapat beberapa cara lain untuk itu. Jadi, Toyota membawakan Beyond Zero, satu inisiatif jenama itu ke arah Neutraliti Karbon menjelang 2050.

Acara itu, yang bermula pada 20 hingga 28 Februari dan diadakan di Taman Teknologi Malaysia, mempersembahkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam.

Acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pendekatan yang pelbagai dengan berbagai-bagai teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV), Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (FCEV).

Antara model BEV yang dibawakan termasuklah bZ4X, Hilux BEV REVO-e, dan C+pod. Bagi FCEV pula, model-model yang terdapat di sini termasuklah Mirai, GranAce FCEV, dan Hilux FCEV.

Acara Beyond Zero dibuka kepada pelbagai tetamu untuk mempelajari tentang inisiatif kemampanan dan teknologi baharu, dan memandu uji kenderaan tertentu dari 20 hingga 28 Februari 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang merasmikan acara itu memuji UMW Toyota (UMWT) atas komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat itu terhadap amalan mampan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Menyedari kepentingan untuk peralihan Malaysia kepada tenaga mampan, kita didorong oleh komitmen global dan potensi untuk kepelbagaian ekonomi dan keterjaminan tenaga,” katanya.

“Malaysia, yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, berada di atas landasan yang betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga.

“Usaha inovatif Toyota dalam tenaga bersih, menerusi pendekatannya yang pelbagai, sememangnya selari dengan matlamat negara kita.”

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. Berkata: “Kami mengakui wujudnya pelbagai cabaran dan peluang di seluruh negara dalam usaha kami memperjuangkan pendekatan berbilang laluan (multi-pathway) dan melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.

“Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia, serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan yang sewajarnya dalam perjalanan ini.”

Honda CR-V Hydrogen ini boleh bancuhkan kopi anda

HONDA telah bekerjasama dengan General Motors untuk sistem sel bahan api generasi baharu yang akan menjadi pakej FCEV untuk CR-V.

Dipaparkan dalam satu video baharu, ia menunjukkan CR-V itu akan menjadi pengganti tidak langsung kepada Honda Clarity yang telah ditamatkan pengeluarannya pada 2021.

Tetapi Honda akan melakukan sedikit perbezaan kali ini kerana CR-V baharu ini akan menggabungkan sel bahan api dengan pek bateri.

Video promo itu menunjukkan kebaikan pengecasan dua hala dimana pemiliknya mengecas mesin kopinya di kawasan terpencil menggunakan bateri kereta. Kemudian, video menunjukkan beliau pergi ke stesen hidrogen untuk mengisi bahan api itu di tangki H2 belakang.

Sebenarnya sistem pengecasan dua hala ini bukanlah baharu. Banyak kenderaan elektrik (EV) dengan fungsi ini seperti Hyundai Ioniq 5, Kia EV6, Nissan Leaf, Ford F-150 Lightning, dan Chery Omoda E5.

Kemudian, menambah pek bateri pastinya membantu praktikaliti Honda CR-V Hydrogen ini memandangkan stesen pengisian hidrogen masih terlalu sedikit.

Honda tidak berkongsi banyak maklumat lanjut tetapi yang jelas, CR-V Hydrogen ini akan dikeluarkan di kilang Performance Manufacturing Centre (PMC) di Ohio. Ianya kilang yang sama pernah mengeluarkan Honda NSX hibrid.

Prototaip dalam video ini dikenakan balutan biru pada badannya, dan jelas versi Amerika Syarikat (AS) memandangkan ia mempunyai lampu side marker di sisi bampar.

Berbanding dengan CR-V biasa, model ini mempunyai lampu belakang jernih dan port pengecasan di bahagian fender depan.

Lima unit Toyota Mirai diserah kepada SEDC Sarawak, sedan RWD berkuasa hidrogen

UMW Toyota Motor telah menyerahkan empat unit Toyota Mirai kepada SEDC Energy. Serentak dengan itu juga, satu unit kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) itu diserahkan kepada Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Ini menandakan satu langkah dalam insiatif Mobility For All dan Happiness For All oleh Toyota, ke arah sifar karbon menjelang 2050 berserta Green Mobility dan Green Energy Initiatives oleh kerajaan Sarawak.

Gambar oleh: Facebook SEDC Sarawak

Toyota Mirai itu merupakan model generasi kedua yang mula diperkenalkan di Jepun pada Disember 2020. Sedan pacuan roda-belakang (RWD) itu dibina pada pelantar TNGA (Toyota New Global Architecture) dengan konfigurasi longitudinal (GA-L).

Hidrogen disimpan di dalam tiga tangki kereta, pertambahan berbanding dua tangki pada model sebelumnya. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 850km.

“Untuk menyambung kemaraan kenderaan elektrik, Toyota telah melabur dalam R&D bagi mengkomersialkan kenderaan sel bahan api hidrogen. Dengan penyerahan Mirai kepada SDEC Energy, kedua-dua pihak dijangka mendapat peluang mengkaji potensi teknologi ke arah membangunkan ekonomi karbon rendah,” kata Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Tahun lepas, Petroleum Sarawak (Petros) melancarkan stesen pelbagai bahan api yang pertamanya pada April.

Ia menawarkan stesen pengisian hidrogen selain dari bahan api biasa seperti petrol dan diesel selain pengecaj EV dengan kapasiti 22kW dan 60kW.