Tag Archives: Fiat

7 kereta rekaan Chris Bangle yang paling ikonik

Chris Bangle merupakan seorang pereka automotif yang sangat berbakat dalam memecah-belahkan peminat kereta. Dalam erti kata lain, anda sama ada suka atau pun benci hasil tangan pereka kelahiran Amerika Syarikat ini.

Bangle memulakan kariernya bersama Opel sekitar awal 80an namun nama beliau mula menjadi bualan ramai semasa beliau menggalas tugas sebagai ketua pereka Fiat Coupe.

Apa yang menarik, Bangle mengambil keputusan untuk meninggalkan Fiat untuk menyertai BMW kira-kira setahun sebelum Coupe dilancarkan ke pasaran.

Di Munich, banyak rekaan Bangle mendapat reaksi positif daripada pasaran namun tidak kurang juga yang mengundang kontroversi sehinggakan ada pihak yang mewujudkan petisyen bagi memastikan pereka itu dipecat.

Apa-apa pun, apa sahaja kereta yang diilhamkan sendiri oleh Bangle atau direka di bawah kepimpinannya pasti akan mencetuskan reaksi.

Jom kita lihat 7 kereta rekaan Bangle yang paling ikonik:

Fiat Coupe

Semasa Coupe masih dalam fasa pembangunan, Fiat memilih rekaan Bangle dan pasukannya dan mengenepikan cadangan yang dihantar oleh Pinifarina. Kereta ini menampilkan elemen reka bentuk retro seperti lampu berbentuk bulat dengan ciri kontemporari seperti garisan pepenjuru pada gerbang roda.

BMW 5 Series (E60)

Ketika Bangle mula-mula menyertai BMW, model-model popular iaitu 3 Series, 5 Series dan 7 Series menampilkan rekaan konvensional dan ketiga-tiganya mempunyai ‘wajah’ yang sama cuma saiz berbeza. Tidak mahu mengikut acuan lama, Bangle memberikan 5 Series generasi kelima lampu berbentuk mata helang yang cukup dikenali sehingga ke hari ini.

BMW Z3

Z3 sebenarnya direka oleh Joji Nagashima namun roadster ini dikatakan kereta BMW pertama yang direka di bawah kepimpinan Bangle. Rekaannya tidak seliar model terdahulu iaitu Z1 namun Z3 masih mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya dengan bonet panjang, dek belakang yang pendek serta liang udara ‘insang jerung’.

BMW Z4

Secara asasnya, bentuk roadster itu dikekalkan namun Z4 tampil lebih elegan berbanding Z3 terima kasih kepada teknik reka bentuk yang dikenali sebagai flame surfacing yang mencampurkan garisan tajam dengan permukaan cekung dan cembung yang lebih licin. Dengan pencahayaan yang betul, anda boleh melihat huruf ‘Z’ yang terbentuk daripada garisan antara tayar hadapan dan pintu.

BMW 7 Series (E65)

Seperti dengan 5 Series, Bangle membawa 7 Series generasi keempat ke arah baru dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada kereta konsep Z9 Gran Turismo yang diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 1999. Rekaan bahagian belakangnya yang berbentuk bulat mengundang pelbagai reaksi, termasuk kelahiran terma “Bangle Butt”.

MINI Hatch (R50)

Menghasilkan reka bentuk baharu bukanlah sesuatu yang sukar untuk seorang pereka seperti Bangle namun memberikan sentuhan segar kepada rekaan ikonik tanpa menjejaskan intipatinya adalah cabaran yang berbeza. Itulah yang dihadapi oleh Bangle dan pasukannya dengan Mini Hatch namun hasil tangan mereka terbukti berjaya memikat hati pembeli.

Rolls-Royce Phantom

Ketika di BMW, Bangle juga bertanggungjawab dalam operasi reka bentuk jenama lain yang bernaung di bawah kumpulan BMW iaitu Rolls-Royce. Di bawah pengawasan Bangle, pereka dari Serbia iaitu Marek Djordjevic berjaya menghasilkan Phantom ‘berjiwa’ moden tanpa menjejaskan penampilan ikonik kereta itu yang tidak lapuk dek zaman.

Siapa masih ingat Fiat Ulysse? Pernah popular di Malaysia, rupanya ada kembar Peugeot dan Citroen!

JIKA anda membesar pada lewat 90-an dan awal 2000, anda pasti pernah ternampak Fiat Ulysse. Ia salah satu MPV saiz sederhana yang popular di negara kita pada masa itu selain Toyota Estima, Nissan Serena, dan Honda Odyssey.

Ini adalah zaman sebelum hadirnya peti ais bergerak VIP seperti Toyota Alphard dan Vellfire.

Penulis sendiri masih ingat di taman perumahan tempat penulis membesar dahulu ada satu keluarga ini memiliki Fiat Ulysse berwarna biru.

Penulis cukup tertarik dengan rekaan unik padanya, sebagai contoh rak bumbungnya sedikit berbeza dari model-model pesaingnya. Ia mempunyai dua bar melintang berwarna perak, tidak seperti kelaziman yang mempunyai dua rel hitam memanjang dari depan ke belakang. Mungkin ini reka bentuk Eropah.

MPV citarasa Eropah

Fiat Ulysse sebenarnya mempunyai beberapa generasi, tetapi yang kita hendak sembang hari ini ialah generasi pertama yang dikeluarkan dari 1994 hingga 2002.

Ulysse direka untuk menggabungkan praktikaliti sebuah wagon dan keselesaan sebuah sedan. Ia mempunyai bentuk bersegi, cermin depan yang besar, dan dua pintu belakang gelungsur. Menariknya, rel gelungsur ini disorok, memberikan permukaan kemas di bahagian sisi.

Pintu but belakang juga cukup besar dengan ‘bibir’ yang rendah untuk memudahkan barangan dimasukkan atau dikeluarkan.

Ia mempunyai stereng berkuasa, sistem ABS pada beberapa varian, dan tempat duduk pemandu yang sedikit tinggi untuk kemudahan pengendalian.

Ruang dalaman direka untuk ruang dan praktikal. Konsol tengah dengan bentuk seperti pulau yang menempatkan kawalan pendingin hawa dan tombol gear. Posisi tombol gear ini juga ditempatkan di sini agar pemandu dapat meminimakan pergerakan tangan semasa memandu.

Pilihan enjin petrol dan diesel

Fiat Ulysse didatangkan dengan enjin petrol (1.8, 2.0, dan 2.0 turbo) dan diesel (1.9 turbo, 2.0, dan 2.1 turbo). Tetapi mengikut kajian ringkas penulis, Ulysse yang memasuki pasaran Malaysia pernah ditawarkan dengan 2.0-liter petrol dan 1.9-liter diesel turbo.

Faceflit pada 1999

Pada 1999, pasaran minivan/MPV di Eropah semakin perlahan, tetapi trend ini masih rancak di Asia dan Malaysia. Jadi, model facelift diteruskan pada 1999.

Muka depan Ulysse diperbaharui dengan permukaan yang lebih melengkung dan lembut, tiada lagi muka rata dan lampu depan petak seperti Iswara.

Lampu depannya yang sedikit gelap atau smoked, ciri ini juga ada pada model-model Fiat yang lain pada masa itu. Gril juga diubah dengan logo Fiat lebih kecil di tengah.

Kemudian cladding di sekeliling badan diubah dengan warna badan, nampak lebih premium berbanding cladding kelabu sebelumnya.

Bahagian dalam tidak banyak berubah berbanding keluaran sebelumnya, walaupun terdapat penggunaan bahan-bahan lebih baik dan rekaan tulisan lebih menarik dalam kluster instrumen.

Sama seperti sebelumnya, Ulysse masih mampu menempatkan tujuh penumpang dengan dua pintu depan dan dua pintu gelungsur belakang.

Enjin 2.0-liter diesel turbo mula ditawarkan pada model facelift pada Januari 2001 hasil pembangunan bersama rakan-rakan niaga Fiat.

Ada kembar Citroen dan Peugeot

Tetapi tahukah anda, Fiat Ulysse mempunyai kembar dari Citroen dan Peugeot? Kembar-kembar Ulysse adalah Citroen Evasion dan Peugeot 806, kesemua Eurovan ini mempunyai perbezaan yang sangat minima.

Harus diketahui ini bukanlah disebabkan rebadge seperti Proton Wira yang diambil dari Mitsubishi Lancer, tetapi lebih kepada model yang dibangunkan bersama. Sebagai contoh Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize atau Toyota GR86/Subaru BRZ.

Citroen Evasion dan Peugeot 806 juga pernah ditawarkan untuk pasaran Malaysia, penulis masih ingat pernah ternampak model-model ini dan hairan apabila melihat ianya bukan Fiat. Pada masa itu belum faham konsep rebadge dan pembangunan bersama.

Di pasaran Eropah, ada kembar tambahan, iaitu Citroen Synergie dan Lancia Zeta. Tak habis lagi rupanya!

Pernah popular di pasaran terpakai Malaysia

Selepas tamat pengeluarannya, Fiat Ulysse ini mula membanjiri pasaran kenderaan terpakai. Apabila penggunaan internet mula meluas, Fiat Ulysse juga menjadi antara MPV yang dicari di laman web seperti Mudah.my.

Sudah tentu, memandangkan ia model jenama Eropah, harganya susut agak drastik. Ada yang dijual pada harga sekitar RM7,000, malah ada yang dijual bawah RM5,000. Bayangkan jika ini MPV jenama Jepun, mesti harganya kekal pada julat RM15,000 hingga RM20,000.

Tetapi pemilik sebelumnya pasti golongan berkemampuan yang tidak begitu terkesan dengan susut nilai kenderaan ini.

Pemilik baharu pula jenis yang berani meminang janda-janda Eropah yang masih cantik dan sedap dipandu, cuma dibayangi kos penyelenggaraan yang boleh membuatkan anda demam.

Jika pemilik itu kenal bengkel pakar jenama Continental, sepatutnya tiada masalah besar.

Abarth 500e adalah hot hatch elektrik dengan 155 hp, 235 Nm

DIVISYEN prestasi Fiat iaitu Abarth telah memperkenalkan model elektrik pertama mereka iaitu 500e. Ia menggunakan asas yang sama dengan Fiat 500 Electric namun tampil dengan sentuhan lebih sporty yang sesuai dengan prinsip jenama Abarth.

Jika Fiat 500 Electric mempunyai 117 hp dan 220 Nm, jentera EV talaan Abarth ini tampil lebih bertenaga dengan kuasa berjumlah 155 hp dan 235 Nm.

Atas kertas, lebihan kuasa sebanyak 38 hp dan 15 Nm mungkin tidak seberapa namun ini tertanya sudah cukup untuk membolehkan 500e memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam tujuh saat, iaitu dua saat lebih pantas berbanding model asas.

Malah bagi membuktikan kehebatan 500e, Abarth turut membandingkannya dengan model 695 yang dikuasakan oleh enjin turbo 1.4-liter. Syarikat itu mendapati 500e satu saat lebih pantas dalam pecutan 20-40 km/j dan di litar ‘Misto Alfa’ Balocco.

Sebahagian daripada prestasi ini disumbangkan oleh pek bateri berkembar 42 kWh dengan kapasiti pengecasasn sehingga 85 kW. Menurut Abarth, hanya lima minit pengecasan diperlukan untuk mendapatkan jarak gerak sejauh 40 km. Jika ia dicas selama 35 minit, kuasa bateri akan meningkat sehingga 80 peratus.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Turismo, Scorpion Street dan Scorpion Track. Turismo adalah untuk pemanduan lebih efisien dengan output lebih rendah, Scorpion Street menawarkan kuasa dan brek janaan semula maksimum manakala Scorpion Track adalah untuk tahap prestasi tertinggi.

Bukan itu sahaja, mod Turismo dan Scorpion Street juga mempunyai ciri pemanduan satu pedal di mana kereta akan nyahpecut apabila kaki diangkat dari pendikit. Pada masa yang sama, tenaga kinetik yang terhasil akan ditukarkan kepada elektrik untuk mengecas bateri.

Sempena dengan pelancaran ini, Abarth akan menawarkan model edisi khas yang dikenali sebagai Scorpionissima. Terhad kepada 1,949 unit (sempena tahun Abarth diasaskan), model ini didatangkan dalam warna Acid Green atau Poison Blue, grafik sisi, rim 18 inci, bumbung kaca, tempat duduk sport dengan upholsteri Alcantara, pedal keluli dan laman prestasi (Performance Page) pada skrin 10.25 inci.