Tag Archives: Fisker

Fisker panggil semula SUV Ocean, kemudian failkan muflis

FISKER mungkin tidak begitu dikenali oleh generasi muda hari ini, tetapi syarikat itu antara pengeluar kenderaan elektrik (EV) terawal bersama Tesla.

Baru-baru ini walaubagaimanapun, Fisker telah memfailkan muflis melalui perlindungan bankrap Chapter 11. Ini menjadikan mereka syarikat EV kedua berbuat demikian selepas Lordstown Motors.

Berita ini juga berlaku kurang dua minggu selepas Fisker membuat panggilan semula (recall) hampir semua SUV Ocean, iaitu 6,864 unit. Ia adalah berkenaan isu Motor Control Unit (MCU).

“Sama seperti syarikat-syarikat lain dalam industri kenderaan elektrik, kami telah menghadapi pelbagai cabaran pasaran yang memberi kesan kepada kebolehan kami untuk beroperasi dengan cekap,” tulis Fisker dalam satu kenyataan.

“Selepas menilai semua pilihan untuk perniagaan kami, kami nekad dengan jualan aset kami di bawah Chapter 11 ialah jalan paling sesuai untuk syarikat.”

Menurut kenyataan Fisker juga, pemberhentian operasi pengeluaran yang diumumkan sebelum itu akan diteruskan sehingga masa yang akan diberitahu kelak.

Syarikat itu berharap dapat meneruskan operasi lebih kecil, termasuk membayar gaji dan manfaat pekerja, dan mengekalkan beberapa program pelanggan sementara menjual aset-aset dan menyusun semula hutang.

Fisker dilancarkan di Manhattan Beach, California pada 2016 oleh pereka automotif, Henrik Fisker yang telah menjadi pengerusi dan CEO syarikat itu.

Trak pikap EV Fisker Alaska akan muncul pada 2025, tawar jarak gerak sehingga 547 km

SEGMEN trak pikap elektrik nampaknya semakin lama semakin rancak. Setakat ini, kita dah lihat kehadiran model-model menarik seperti Tesla Cybertruck, Rivian R1T, Ford F-150 Lightning dan Hummer EV.

Pada 2025, akan muncul satu lagi pesaing dalam segmen tersebut iaitu Fisker Alaska. Menurut Fisker, trak pikap EV itu akan dijual pada harga bermula dari USD45,400 (RM210,837) sebelum insentif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Fisker, Henrik Fisker berkata Alaska bakal menjadi trak pikap EV yang paling ringan dan paling lestari dalam pasaran. Ia dikatakan mempunyai ruang dalaman vegan dengan material yang diperoleh dari sumber beretika untuk upholsteri, karpet dan panel.

Salah satu ciri Alaska yang paling menonjol adalah bed belakang Houdini yang boleh dipanjangkan dari 4.5 kaki (1,372 mm) kepada 9.2 kaki (2,286 mm) menggunakan penghadang elektrik yang terletak di belakang kerusi belakang. Bed tersebut boleh dipanjangkan lagi sehingga 9.2 kaki (2,804 mm) jika tailgate diturunkan.

Ciri-ciri lain yang ditawarkan oleh Alaska termasuk rel bumbung, ruang storan berpenebat pada bahagian hadapan, pemegang cawan besar “big gulp”,  pemegang tablet untuk penumpang dan tali pengikat pada bahagian bumbung yang bertindak sebagai pemegang topi koboi.

Dari segi saiz, trak pikap yang dibina menggunakan platform FM31 ini mempunyai ukuran panjang 17.4 kaki (5,304 mm), menjadikan ia lebih pendek berbanding Cybertruck dan F-150 Lightning. Rim boleh didapati dalam saiz 20 dan 22 inci.

 

Fisker akan menawarkan Alaska dengan dua pilihan saiz bateri, 75 kWj dengan jarak pandu 370 km dan 113 kWj dengan jarak 547 km. Dari segi prestasi pula, trak pikap ini dikatakan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dari 3.9 saat hingga 7.2 saat, bergantung kepada varian.

Fisker berkata Alaska akan dipasang di Amerika Syarikat namun lokasi sebenar kilang pemasangannya tidak didedahkan. Fasa produksi dijangka bermula pada suku pertama 2025 namun pelanggan yang berminat sudah boleh mula membuat tempahan dengan bayaran USD250 (RM1,160).