Tag Archives: ford f-150

Tentera Amerika Syarikat mula uji kenderaan autonomi

KODIAK Robotics, sebuah syarikat yang mengkhususkan dalam pembangunan dan pemasangan robot autonomi, telah membangunkan sebuah Ford F-150 autonomi untuk Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Trak pikap ini dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomi Kodiak Driver yang merangkumi semua perisian dan perkakasan bagi membolehkan ia beroperasi dalam persekitaran ketenteraan yang kompleks.

Apa yang menarik, Kodiak Driver bukan sahaja boleh menggalas tugas pemanduan di jalan raya, malah berupaya mengharungi laluan mencabar seperti lumpur, air dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, sistem itu juga boleh beroperasi ketika isyarat GPS lemah, selain membolehkan F-150 ini dikawal dari jauh jika perlu.

Menurut Kodiak, teknologi pemanduan autonomi ini dibangunkan dalam masa kurang enam bulan kerana ia telah pun digunakan pada trak semi mereka.

Salah satu naik taraf perkakasan yang terdapat pada trak ini adalah DefensePods. Terletak pada kiri dan kanan kenderaan, ia menggabungkan radar, LiDAR dan kamera untuk membolehkan kenderaan dioperasikan secara autonomi.

Komponen ini boleh diselenggara dengan mudah dengan latihan minimum, walaupun ketika berada di lapangan. Ini memastikan kenderaan sentiasa sedia ketika diperlukan.

Prestasi Kodiak Driver telah diuji pada November lalu dan telah pun diluluskan untuk kegunaan ketenteraan.

Sistem ini boleh diintegrasikan ke dalam pelbagai jenis kenderaan, termasuk trak kelas 8, trak pikap dan kenderaan tempur generasi baharu.

Langkah seterusnya adalah untuk mengintegrasikan sistem berkenaan dalam semua jenis kenderaan tentera.

Ford F-150 2024 dengan rupa lebih rugged, ciri Pro Acces, pilihan 5.2 V8 supercaj

FORD  F-150 2024 serba baharu telah diperkenalkan, dan trak pikap paling popular di Amerika ini mendapat rupa yang dikemaskini, pintu kargo belakang Pro Access, dan lebih banyak ciri standard.

F-150 2024 hadir dengan pelbagai varian dan kebanyakannya dengan harga lebih tinggi dari sebelumnya. Varian asas ialah XL dengan single-cab dan konfigurasi pacuan dua-roda, kini dengan harga bermula USD36,570 (RM171,257).

Kesemua varian Ford F-150 2024 akan dilengkapi dengan skrin 12-inci untuk pemandu dan infotainment di tengah sebagai standard. Tiada lagi enjin 3.3-liter V6, tetapi varian XL dipacu oleh enjin 2.7-liter V6 EcoBoost dengan 325hp.

Terdapat trim STX baharu, dan varian Limited kini dihentikan dan digantikan dengan Platinum Plus. Sementara itu F-150 Raptor dilengkapi dengan pakej Raptor R, menjadikannya varian F-150 paling mahal.

F-150 Raptor R kini tidak ditawarkan dengan enjin 3.5-liter V6 dengan 450hp, sebaliknya diberikan nadi lebih berkuasa, iaitu 5.2-liter V8 supercaj, dengan output melebihi 700hp. Berbaloilah dengan tambahan USD31,575 (RM147,865) pada harga asal, bukan? Jika dicampur semua, harga F-150 Raptor R boleh mencecah USD118,590 (RM555,356).

Dari segi rupa, perubahan adalah minima. Tetapi ini termasuklah lampu depan yang dilingkari dengan DRL LED baharu, dan gril petak besar. Varian Tremor mendapat kemasan oren di muka depan. Lampu belakang dan bampar juga direka semula dan beberapa versi datang dengan kemasan hitam.

F-150 2024 juga diberikan logo Blue Oval klasik yang diperbaharui, dengan tulisan putih lebih besar dan jelas.

Susun atur kabin dalaman masih tidak banyak berubah, tetapi buat kali pertama dilengkapi dengan Head Up Display dan menu untuk fungsi BlueCruise, tunda, dan pemanduan off-road.

Di belakang, F-150 baharu didatangkan dengan pintu kargo ProAccess. Ia boleh dibuka di bahagian tengah pada tiga sudut; 37-darjah, 70-darjah, dan 100-darjah. Ini membolehkan akses mudah ke ruangan kargo tanpa perlu membongkokkan badan untuk mencapai barang.

Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi lebih 10 sistem bantuan pemandu, antaranya Pre-Collision Assist dengan Emergency Braking, Lane-Keeping, dan Blind-Spot Warning.

Satu ciri tambahan ialah Exit Warning yang memberi amaran apabila hendak keluar dari kenderaan jika terdapat kenderaan lain, pejalan kaki atau penunggang basikal mendekati.

Untuk mereka yang akan menunda – yang mana Ford berkata 75 peratus dari pelanggan mereka – Ford terus menawarkan Pro Trailer Backup Assist, Pro Trailer Hitch Assist, dan penimbang yang mengira berat agar anda tidak melebihi had trak pikap itu.