Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion) baru-baru ini telah mengadakan sebuah acara off-road Ford Raptor Rev yang bertempat di Bay 13, Litar Sepang.
Acara penuh aksi yang berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 Februari ini direka untuk memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pemilik Ford Ranger Raptor serta peminat off-road.
Menurut Auto ConneXion, acara ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penyertaan seramai 80 pemilik Ranger Raptor. Orang awam turut hadir bagi menyaksikan sendiri kemampuan Raptor secara langsung.
Antara aktiviti yang disediakan khusus buat pemilik Ranger Raptor yang mendaftar untuk menyertai acara eksklusif ini termasuk sesi bengkel serta latihan yang meliputi lompatan dan off-road drifting, laluan berhalangan 4×4 dan pusingan Baja.
Seorang pakar dari Ford, Chris Dean juga dibawakan khas dari Australia bagi memberikan penerangan mendalam mengenai kemampuan sebenar sistem suspensi FOX Ranger Raptor terutamanya ketika beraksi di atas permukaan mencabar.
Sementara itu, orang ramai yang berkunjung secara percuma ke acara berkenaan turut berpeluang menyertai beberapa aktiviti seperti hot lap Baja bersama pemandu profesional, sesi pandu uji Ranger Raptor dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang melihat empat personaliti popular iaitu pelakon dan peminat automotif Ezzrin Loy, pemain bola sepak dan peminat 4×4 Intan Serah, bekas pemain boling kebangsaan Syaidatul Afifah dan pelumba drift profesional Hee Wei Seng menyertai hot lap bersama peminat bertuah.
Turut hadir adalah jenama tayar terkenal yang juga rakan utama acara Raptor Rev iaitu BFGoodrich. Selain menyediakan sokongan teknikal dan mengadakan bengkel informatif, jenama itu turut mempamerkan tayar KO3 yang baru dilancarkan.
“Kami sangat berbangga kerana dapat menghimpunkan komuniti Ranger Raptor dalam acara off-road yang unik ini. Raptor Rev bertujuan untuk mempamerkan kemampuan luar biasa Ranger Raptor.
“Ia merupakan sebuah platform yang baik untuk pemilik dan peminatnya untuk menyaksikan sendiri kemampuan sebenar Raptor dalam persekitaran yang mencabar dan dalam masa yang sama mengeratkan lagi hubungan sesama pemiliknya dan peminat off-road,” ujar Pengarah Urusan Auto ConneXion, Turse Zuhair.