Tag Archives: fortuner

Toyota buka tempahan untuk Fortuner, Hilux, dan GR86 baharu

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan tempahan untuk  Hilux, Fortuner dan GR86 baharu telah dibuka hari ini, menampilkan beberapa pembaharuan dan naik taraf.

Toyota Hilux

Raja trak pikap di Malaysia, Toyota Hilux diperbaharui dengan Vehicle Stability Control (VSC) pada model 2.4 Single Cab.

Ia juga mendapat Remote Engine Start untuk varian terpilih, dan ciri ini merupakan yang pertama untuk model Toyota. Daiktifkan menggunakan aplikasi Toyota My, fungsi ini juga mampu menghidupkan pendingin hawa untuk anda menyejukkan kabin sebelum memasuki kenderaan.

Hilux 2.8 GR Sport, Rogue, dan 2.4V juga dilengkapi dengan Panoramic View Monitor, manakala GR Sport dan Rogue mendapat ciri pengecas tanpa-wayar.

Varian 2.8 GR Sport dipacu oleh enjin 2,755cc dengan output 224PS dan 550Nm tork, manakala 2.8 Rogue mempunyai output 204PS dan 500Nm. Sementara itu, Hilux 2.4 menghasilkan 150PS dan 400Nm tork.

Toyota Hilux ditawarkan dengan harga bermula RM104,880.

Toyota Fortuner

Toyota Fortuner kini hadir dengan kit badan GR sebagai aksesori tambahan untuk 2.7 SRZ dan 2.4. Kit ini merangkumi skirting bampar depan, kemasan lampu kabus, dan skirting bampar belakang.

Remote Engine Start kini didapati pada Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ.

SUV ini masih ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan diesel. Unit petrol 2.7 SRZ menghasilkan 166PS dan 245Nm tork, manakala diesel 2.8 VRZ menjana 150PS dan 400Nm tork.

Toyota Fortuner 2024 boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM195,800.

Toyota GR86

Bagi kereta coupe sports GR86, kedua-dua varian automatik dan manual dikemaskini untuk pengendalian dan respon lebih baik.

Respon pendikit minyak telah ditala semula untuk kawalan lebih tepat, manakala suspensi diperhalusi untuk respon pengendalian dan feel jalanan. Sistem stereng juga dikalibrasi semula untuk rasa lebih telus.

Bagi transmisi automatik, talaan baharu membolehkan downshift pada rpm lebih tinggi. Ini memberikan kawalan lebih baik untuk pemandu.

Harga bagi Toyota GR86 2024 bermula pada RM295,000.

Toyota Hyper-F Concept adalah Fortuner yang disuntik steroid

SEPERTI yang anda tahu, Toyota Fortuner merupakan SUV yang berkongsi casis dengan Hilux, jadi ia bukanlah kenderaan pertama yang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang sesuatu sporty.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang TCD Asia (Toyota Customizing & Development) daripada menggunakan model itu untuk menghasilkan sebuah model konsep yang dikenali sebagai Hyper-F Concept.

Diperkenalkan di Bangkok Auto Salon 2024, Hyper-F Concept tampil dengan kit badan yang merangkumi gril dan lubang intake besar, splitter depan, dapra lebar, diffuser serta spoiler bumbung yang tajam.

Seperti yang boleh dilihat, ia juga menggunakan sistem suspensi yang lebih rendah, berserta tayar Dunlop SP Sport Maxx yang membalut rim TWS dari Jepun. Tersembunyi di sebalik rim itu adalah angkup Powerbrake.

Tetapi rim itu bukan satu-satunya komponen yang datang dari negara Matahari Terbit itu.

Menurut laporan, bampar dan bonetnya diperbuat daripada Tafnex (campuran gentian karbon dan resin polipropilena) yang dibekalkan oleh dua syarikat dari Jepun iaitu Mitsui Chemicals dan APRK Corporation.

Selain itu, ada juga beberapa komponen yang dicetak secara 3D. Penggunaan bahan-bahan berkenaan membolehkan TCD Asia mengurangkan berat Hyper-F Concept.

Gambar ruang dalaman tidak disiarkan namun model konsep ini dikhabarkan menggunakan empat kerusi bucket bagi menggantikan konfigurasi tujuh tempat duduk yang asal.

Maklumat mengenai trenkuasa juga tidak diketahui tetapi tidak mustahil yang ia menggunakan enjin turbodiesel 2.8-liter dengan 224 PS dan 550 Nm seperti yang terdapat pada Fortuner GR Sport yang dijual di Thailand.

Toyota nombor satu untuk jenama bukan nasional bagi 2022, lebih 100,000 kenderaan terjual

UMW Toyota Motor menutup tirai 2022 dengan lebih 101,035 kenderaan terjual. Ini terdiri dari 100,042 kenderaan Toyota dan 993 unit Lexus, menjadikan mereka jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia.

Jika dibandingkan dengan 2021, UMW menjual 72,394 kenderaan Toyota dan Lexus, jadi 2022 mencatatkan peningkatan 40 peratus.

Penguasaan segmen

Jualan bagi SUV segmen-C cukup memberangsangkan dengan Corolla Cross, sebanyak 17,208 unit. Hilux pula mendominasi kategori trak pikap dengan 27,198 unit, menakala Hiace dan Fortuner masing-masing mencatatkan 390 dan 3,432 unit.

Hiace dan Fortuner dilaporkan menjadi model terlaris dalam kategori van satu tan dan wagon ringan.

Apa yang menanti untuk 2023?

Dalam satu siaran media, Toyota menggambarkan Corolla Cross Hybrid sebagai satu pengenalan signifikan kenderaan HEV (hybrid electric vehicle) di Malaysia yang juga dipasang secara CKD di negara ini.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata: “Kami akan terus menilai pilihan berbeza dan memperkenalkannya jika perlu. Buat masa ini, kami percaya HEV paling sesuai untuk rakyat Malaysia dan akan memperkenalkan model HEV untuk 2023.”

Dalam pada masa yang sama, UMW juga telah menilai dan melihat dari sudut jangka masa panjang bagi kenderaan BEV (battery-electric vehicle). Malaysia dikatakan mempunyai potensi untuk menjadi pasaran kenderaan-kenderaan BEV Toyota dan Lexus.

Gazoo Racing untuk pengalaman memandu mengujakan

Di samping beralih ke arah elektrifikasi, UMW Toyota Motor akan terus menawarkan keseronokan memandu dengan aktiviti-aktiviti oleh Gazoo Racing Malaysia.

Selain aktiviti dan acara, jenama Gazoo Racing juga telah dikenali dengan penawaran produk-produk seperti Vios GR Sport hingga ke Supra.

Untuk 2023, beberapa lagi model GR akan tiba ke negara ini dan GR Garage akan menawarkan alat ganti serta barangan rasmi.

Pemandu backhoe ‘naik angin’, sodok Fortuner JPJ hingga terbalik

TIDAK puas hati akibat disaman, seorang lelaki nekad melanggar Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jentera backhoe yang dipandunya.

Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota JPJ dikatakan melakukan operasi secara rondaan di Jalan Kepayan, dekat Kampung Magatang, Keningau, Sabah, menyebabkan kenderaan milik pasukan penguat kuasa itu remuk dan terbalik.

Berdasarkan maklumat, anggota terbabit dikatakan mengesyaki backhoe terbabit yang mencurigakan dan menahannya untuk tujuan pemeriksaan, sebelum pemandunya didapati tidak memiliki lesen memandu kelas F.

Selepas saman dikeluarkan, pemandu yang tidak berpuas hati itu tiba-tiba melanggar SUV milik JPJ sehingga terbalik.

Beberapa video mengenai insiden itu tular di media sosial memaparkan anggota JPJ cuba memujuk pemandu jengkaut terbabit, namun tidak diendahkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim mengesahkan kejadian itu dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Difahamkan, tiada anggota JPJ yang tercedera, namun Fortuner dilanggar lelaki terbabit rosak teruk.

Boleh tahan juga dia marah ya, mujurlah tiada sesiapa yang tercedera.

Toyota Fortuner, Hilux, Innova dikemaskini untuk 2021 dengan ciri dipertingkat

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan mula mengambil tempahan model kemaskini terbaru bagi Toyota Hilux, Fortuner dan Innova, bermula sejak 22 Oktober 2021.

Harga (tanpa insurans) bagi semua model baharu berkenaan adalah seperti berikut:

Toyota Hilux (5 varian) — dari RM92,880
Toyota Fortuner (3 varian) — dari RM169,167
Toyota Innova (3 varian) — dari RM115,553

Bagi Fortuner dan Innova, harga ditawarkan dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dan jualannya akan bermula pada Januari 2022.

Ketiga-tiga model berkenaan telah diberikan kemaskini dan penambahbaikan dari aspek keselesaan dan kelengkapan, dengan enjin petrolnya ditala untuk menepati standard kawalan emisi yang lebih ketat lebih awal sebelum pelaksanaan standard Euro4 pada 2022 nanti.

Toyota Hilux yang merupakan trak pikap paling laris di Malaysia ini didatangkan dalam lima varian dan dua pilihan enjin turbodiesel empat-silinder, 2.4-liter dan 2.8-liter.

Kini, untuk perjalanan yang lebih selesa dalam Hilux 2.8 Rogue dan 2.4 V, sistem pendingin hawa di depan telah dipertingkat menjadi jenis dua zon berbanding zon tunggal sebelum ini.

Dengan ciri terbabit, pemandu dan penumpang depan boleh menentukan suhu secara berasingan.

Fortuner pula yang merupakan SUV saiz sederhana dan lasak ini hadir dalam tiga varian — Fortuner 2.8 VRZ, Fortuner 2.7 SRZ dan Fortuner 2.4.

Bagi versi terkini, pendingin hawa depan Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ kini juga dijadikan dua zon untuk membolehkan larasan suhu berasingan antara pemandu dan penumpang depan.

Pad pengecas tanpa wayar untuk telefon yang serasi juga kini standard untuk semua varian. Slot USB belakang pada Fortuner 2.8 VRZ juga telah ditukar kepada jenis Type C, menjadikannya lebih mudah untuk mengecas telefon pintar generasi terbaru.

Akhir sekali untuk Innova yang kini dalam generasi kedua, ditawarkan dalam tiga varian — Innova 2.0X, 2.0G dan 2.0E.

Walaupun saiz kabin untuk semua varian ini sama, Innova 2.0X datang dengan kerusi kapten saiz besar di tengah. Dengan senarai kelengkapan standard yang banyak, penumpang Innova boleh duduk selesa di sepanjang perjalanan.

Bagi yang memiliki telefon pintar yang serasi, pad pengecasan tanpa wayar kini ada untuk semua varian.

Beberapa slot USB juga disediakan dalam kabin, memudahkan lagi keperluan pengecasan peranti elektronik penumpang.

Kesemua tiga model ini didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan bagi Fortuner dan Innova, dengan maksimum 150,000 km bagi Hilux (tertakluk terma dan syarat).

UMW Toyota Motor juga menawarkan pelbagai pelan pembiayaan, termasuk pelan langganan, untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh layari toyota.com.my atau berkunjung ke mana-mana bilik pameran sah Toyota di seluruh negara.