Tag Archives: g wagen

HOF “Sir Class” berkuasa 1,063 hp, tribut kepada Lewis Hamilton

Juara dunia tujuh kali, Sir Lewis Hamilton bakal meninggalkan pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas selepas musim 2024 berakhir.

Terinspirasi dengan kehebatan yang ditunjukkan oleh Sir Lewis Hamilton, sebuah syarikat penala dari Jerman, HOF menghasilkan sebuah G-Wagen kustom dinamakan sebagai “Sir Class”.

Menggunakan G63 AMG sebagai asas, enjin standard kilang bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar itu telah diubah suai dengan komponen berprestasi tinggi seperti rod penyambung, omboh aluminium tempa, unit pengecas turbo, dan kotak udara aluminium.

Dengan talaan semula terhadap ECU, nadi V8 itu kini berupaya menjana kuasa setinggi 1,063 hp dan 1,300 Nm.

Kuasa itu membolehkan kotak ini mencapai kelajuan maksimum 299 km/j.

Selain itu, HOF turut memadankan sistem suspensi gegelung baharu yang merendahkan jarak lega bumi sebanyak 1.2 inci, sekaligus meningkatkan aspek aerodinamik dan pengendalian.

Sistem brek seramik karbon pula digunakan untuk memastikan kotak ini berhenti dengan baik.

Keseluruhan badan SUV petak ini dilayangkan dengan warna yang diinspirasikan daripada jentera Silver Arrrow, diikuti aksen hijau Petronas pada beberapa tempat, dan kit badan gentian karbon yang agak unik.

Untuk ruang kabin, ia turut mendapat kemasan warna aksen hijau Petronas, tempat duduk digantikan dengan unit bucket, penggunaan bahan kulit dan Alcantara, serta ciri “Starry Sky Ceiling”.

Sementara roda stereng pula digantikan dengan unit segi empat seakan stereng jentera F1.

Hanya 11 unit sahaja “Sir Class” akan diproduksikan, setiap satu berharga £540,000 (RM3.05 juta).

Mercedes-Benz G500 Grand Edition versi pikap ini mungkin ada satu saja di dunia, untuk dilelong

LAMAN lelongan Bring A Trailer terkenal sebagai ‘lubuk’ bagi mereka yang ingin membeli kereta yang berstatus rare atau lagenda. Bukan itu sahaja, jika bernasib baik, anda akan menemui sesuatu yang benar-benar unik dan lain daripada yang lain seperti trak pikap Mercedes-Benz G-Class ini.

Ia unik kerana selain G63 6X6 yang dibangunkan oleh AMG, G-Class atau G-Wagen tidak ditawarkan dalam bentuk trak pikap. Oleh itu, seorang individu dari California mengambil keputusan untuk menghasilkannya sendiri. Beliau membeli sebuah G500 Grand Edition tahun 2005 terpakai pada 2014 dan kemudiannya menghantar SUV tersebut ke syarikat kustom ikWILeenG di Belanda.

Projek tersebut mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan dan akhirnya pada 2015, trak tersebut dihantar semula kepada pemiliknya di Amerika Syarikat. Antara modifikasi utama yang dilakukan adalah memanjangkan rangka bagi membolehkan gandar belakang dialihkan lebih jauh ke belakang.

Untuk bed, ikWILeeng menggunakan unit yang diambil daripada G-Wagen yang dihasilkan khusus oleh Mercedes-Benz untuk syarikat penerbangan Scandinavian Airlines antara 70an hingga 80an. Difahamkan, trak pikap berkenaan didatangkan dalam konfigurasi single cab dan digunakan bagi tujuan mengangkut kargo.

Perubahan bentuk badan ini secara tidak langsung menyebabkan pintu belakang terpaksa direka semula. Bukan itu sahaja, trak pikap G500 Grand Edition ini juga menggunakan aci pemacu (driveshaft) kustom yang lebih panjang daripada biasa. Turut disertakan bersama modifikasi ini adalah penambat, pengikat kargo dan bedliner TuffCoat.

Selain itu, trak ini dilengkapi dengan rim Hutchinson berukuran 16-inci yang dibalut tayar Cooper Discoverer STT Pro berukuran 265/75, dengan sebiji tayar ganti jenis Trailcutter disediakan di dalam bed. Sistem suspensi pula merangkumi penyerap hentak Bilstein dan mounting Teflon berukuran 8cm.

Ruang dalaman kekal standard, dengan upholsteri kulit membaluti tempat duduk dan trim walnut pada stereng, papan pemuka, pintu serta konsol tengah. Ciri dan kelengkapan yang ada termasuklah fungsi pemanas dan pelarasan tempat duduk pemandu, sistem pendingin hawa automatik, Cruise Control, dan skrin sentuh Pioneer dengan kamera undur 360 darjah dan Apple CarPlay.

Enjin NA 5.0-liter V8-nya juga tidak disentuh. Di atas kertas, enjin petrol dengan kod M113 itu menghasilkan 292hp dan 455Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan yang digandingkan dengan dua transfer case dan tiga locking differential. Setakat ini, perbatuannya sudah mencecah 109,000 batu (kira-kira 175,400 km).

Trak pikap G500 Grand Edition ini kini dibuka untuk bidaan di Bring A Trailer. Setakat ini, bidaan tertinggi adalah $75,750 (RM314,780).