Tag Archives: g90

BMW M5 G90 tampil lebih agresif dengan kit M Performance Parts

BENAR, reka bentuk itu subjektif tetapi jika anda tanya penulis, BMW M5 generasi G90 nampak kurang berbisa walaupun pada hakikatnya, ia mempunyai ‘jantung’ hibrid baharu yang mampu menghasilkan 717 hp dan 1,000 Nm.

Nasib baiklah BMW telah memperkenalkan M Performance Parts untuk menyerlahkan sisi atletik serta meningkatkan aerodinamik sedan berprestasi tinggi itu.

Menurut syarikat itu, komponen-komponen luaran M Performance Parts diperbuat daripada gentian karbon. Ini termasuk splitter depan dan diffuser belakang – kedua-duanya dibahagikan kepada dua bahagian.

Turut disertakan adalah sill extensions iaitu tambahan kepada skirt sisi, spoiler belakang serta trim muncung ekzos yang diperbuat daripada campuran titanium/gentian karbon dan dihiasi dengan logo M5.

Tidak cukup dengan itu, BMW turut menawarkan penutup tangki minyak gentian karbon dan set pelekat berwarna Frozen Black yang dikatakan tahan cucian kereta komersial. Rim aloi ringan M Performance pula boleh dipesan mulai musim panas tahun depan.

Apa yang menarik, pelanggan juga boleh mendapatkan beg khas untuk menyimpan tayar. Baru lah motorsport, kan?

Untuk ruang dalaman, tidak banyak yang ditawarkan kecuali karpet lantai yang dihiasi dengan warna kontras dan selongsong kunci yang dibalut kulit nappa berwarna hitam.

Dengan enjin 4.4-liter biturbo V8 yang dibantu oleh sistem hibrid, transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan xDrive, M5 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saat.

Ia mungkin kedengaran hebat, tetapi model baharu ini sebenarnya 0.2 saat lebih perlahan berbanding M5 F90 dek kerana berat keseluruhannya yang hampir mencecah 2.5 tan.

Bagaimanapun, tidak seperti model generasi terdahulu, M5 kini boleh bergerak sejauh 69 km tanpa menggunakan setitik bahan api dengan adanya pek bateri berkapasiti 18.6 kWj.

Sultan Johor hadir dengan Genesis G90 Limousine, ada ‘taste’!

RATA-rata mengetahui bahawa DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar merupakan peminat dan pengumpul kereta sejati.

Baginda Sultan Ibrahim semalam menjadi tumpuan apabila hadir dengan Genesis G90 Limousine baharu. Bagi peminat kereta, pemilihan G90 Limousine ini menggambarkan citarasa tinggi sebagai kenderaan rasmi.

Genesis ialah jenama mewah dari Hyundai, sama seperti Lexus dari Toyota. Model G90 Limousine mula dilancarkan di peringkat global pada 2019 dan mempunyai panjang 5,945mm dan jarak roda 3,450mm.

Sebagai perbandingan, Mercedes Maybach S600 mempunyai panjang 5,453mm dan jarak roda 3,365mm, manakala BMW 7-Series mempunyai ukuran 5,260mm dan 3,210mm untuk panjang dan jarak rodanya.

Sesuai dengan saiznya, limo G90 ini dikuasakan oleh enjin 5.0-liter V8 yang menjana 420hp. Kuasa dihantar ke semua roda melalui kota gear automatik 8-kelajuan.

Kemewahan G90 Limousine lebih terserlah di bahagian dalam, dimana ia mendapat kemasan kulit semi-aniline, skrin TV, dan tempat duduk VIP dengan pelarasan 18-arah dan perehat kaki.

Harga untuk Genesis G90 Limousine bermula pada USD138,000 (RM585k) sebelum sebarang aksesori kustom dan tambahan. Sudah tentu unit milik Sultan Johor ini berharga jauh lebih mahal.

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

G90 Limousine ini dilihat semasa baginda hadir ke majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.