Lynk & Co 900 merupakan sebuah SUV mewah dengan konfigurasi enam tempat duduk yang bakal memasuki pasaran China pada bulan Mac ini.
Dibina menggunakan platform SPA Evo, 900 membawakan ukuran sepanjang 5,240 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,810 mm dengan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,160 mm).
Secara luarannya, SUV ini berkongsi elemen rekaan yang wujud pada mana-mana model Lynk & Co (serta Zeekr).
Seperti contoh, unit lampu nyalaan siang LED yang tajam, diikuti dengan unit lampu utama yang diposisikan rendah pada bahagian bampar.
Daripada sudut pandang sisi, Lynk & Co 900 menerapkan elemen yang diinspirasikan daripada Range Rover, sementara bahagian belakang pula tampil dengan unit pencahayaan yang lebih ringkas.
Terdapat tiga pilihan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) yang ditawarkan kepada pembeli.
Varian asas Lynk & Co 900 ini hadir dengan enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan dua motor elektrik (215 hp depan/308 hp belakang), menghasilkan kuasa keseluruhan 710 hp.
Terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter turbo, di mana versi pertama dipadankan dengan motor elektrik 165 hp di depan, diikuti dengan motor elektrik 308 hp pada gandar belakang, dengan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 724 hp.
Versi paling bertenaga pula dibekalkan dengan tiga motor elektrik, terdiri daripada motor hadapan 165 hp dan sepasang motor elektrik berkuasa 215 hp untuk gandar belakang, menghasilkan kuasa 845 hp!
Varian paling bertenaga itu dikatakan mampu memecut sepantas empat saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.
Ruang kabin Lynk & Co 900 ini membawakan susun atur papan pemuka yang agak unik.
Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital 12.66 inci yang agak kecil, namun untuk penumpang hadapan disediakan skrin terapung sebesar 30 inci dengan resolusi paparan 6K.
Selain itu, terdapat dua slot pengecasan tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien, serta perehat tangan terapung pada panel
pintu.
Untuk penumpang baris kedua disediakan skrin kecil pada konsol tengah, dan skrin paparan 6K sebesar 30 inci yang boleh disembunyikan pada bahagian alas bumbung.
Buat masa ini, harga jualan bagi model SUV Lynk & Co 900 ini masih belum diumumkan.
Radar Auto, satu lagi jenama yang bernaung di bawah Geely, telah melancarkan trak pikap elektrik yang dikenali sebagai King Kong di China.
Menggantikan model terdahulu iaitu RD6, Radar King Kong ditawarkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan motor elektrik berkembar untuk pacuan empat roda (4WD).
Versi motor tunggal mempunyai 245 PS dan 309 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.1 saat. Ia boleh didapati dengan bateri LFP berkapasiti 42 kWj, 55 kWj, 73 kWj dan 86 kWj, dengan jarak pandu CLTC dari 310 km hingga 605 km.
Sementara itu, versi motor elektrik berkembar pula menghasilkan kuasa sebanyak 381 PS dan 485 Nm, dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.7 saat. Terdapat tiga pilihan pek bateri iaitu 55 kWj, 73 kWj dan 86 kWj, dengan jarak dari 330 km hingga 520 km.
Selain konfigurasi motor elektrik dan pilihan pek bateri yang pelbagai, King Kong menunjukkan versatilitinya dengan menawarkan jarak roda standard dan panjang.
Versi jarak roda standard mempunyai ukuran panjang 5,260 mm, lebar 1,900 mm dan tinggi 1,865 mm dengan jarak roda 3,120 mm. Versi jarak roda panjang pula berukuran 5,500 mm panjang dan jarak roda 3,310 mm.
Dari segi reka bentuk, King Kong kelihatan tidak terlalu jauh berbeza dengan RD6 dan masih mengekalkan penggayaan luaran dan dalaman yang diinspirasikan daripada Geely Haoyue iaitu kembar kepada Proton X90.
Di China, King Kong boleh didapati dalam tujuh tahap trim iaitu empat untuk versi motor tunggal dan tiga untuk 4WD.
Versi motor tunggal dijual pada harga antara 99,800 hingga 149,800 yuan (RM60,982-RM91,525), manakala versi 4WD pula berharga dari 119,800 hingga 159,800 yuan (RM73,196-RM97,635).
Sebagai perbandingan, harga RD6 sebelum ini bermula dari 136,800 hingga 209,800 yuan (RM83,590-RM128,196).
DRB-HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group telah menandatangani dua perjanjian untuk membangunkan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak menjadi hab global untuk Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) dan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Perjanjian pertama yang ditandatangani dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberikan tumpuan kepada kerjasama untuk menarik pelaburan khususnya dalam pembangunan AHTV, dengan sasaran untuk memupuk pertumbuhan, keupayaan dan daya saing industri automotif negara.
Tumpuan utama kerjasama ini adalah untuk menggalakkan transformasi industri automotif tempatan dan Industri 4.0 bagi membantu Malaysia menjadi negara peneraju EEV di ASEAN.
Ia juga bertujuan mengubah AHTV menjadi hab automotif global yang akan memberikan tumpuan kepada pengeluaran NxGV, pembuatan pintar bagi komponen automotif berteknologi tinggi, serta pangkalan eksport untuk rantaian bekalan kenderaan dan alat ganti global yang lengkap.
Perjanjian kedua yang dibuat dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan memberikan tumpuan kepada kerjasama di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat untuk AHTV.
Skop kerjasama merangkumi pembinaan pusat pengujian dan R&D bagi kenderaan NxGV, serta penubuhan Pusat Pengujian dan Homologasi Negara yang khusus untuk ujian dan homologasi EEV serta pemanduan autonomi.
Selain daripada itu, pihak yang terlibat juga bersetuju untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam komponen kritikal seperti motor elektrik, sistem pengurusan bateri dan unit pengagihan kuasa dengan bantuan daripada Geely Holding.
Dalam bidang pembangunan bakat, kerjasama yang terjalin itu akan turut merangkumi pembangunan program latihan yang memfokuskan kepada NxGV dan pembuatan pintar, R&D, kelengkapan pintar, serta perkhidmatan pengeluaran dan pemasaran yang dibantu oleh kerjasama institusi China dan Malaysia.
Ini termasuklah menetapkan piawaian kebangsaan untuk pensijilan automotif SKM dan TVET, menggunakan program perintis automotif, mencipta modul untuk peringkat sekolah menengah hingga ke universiti, dan menjalankan program pensijilan untuk aspek pendigitalan dan kemahiran Industri 4.0 di dalam pengeluaran dan rantaian bekalan.
Gergasi automotif China, Geely dilapor akan menyatukan operasi jenama Lynk & Co dan Zeekr, menurut laporan daripada Economic Daily.
Langkah penyatuan tersebut dibuat supaya Geely dapat menumpukan sumbernya pada pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) yang sedang berkembang pantas, selain mengurangkan persaingan dalaman sesama sendiri.
Jenama Lynk & Co ditubuhkan oleh Geely dan Volvo sebagai satu jenama premium yang disasarkan kepada golongan pengguna muda.
Ia pernah menjadi salah satu jenama kereta China yang paling berjaya dengan mencecah jualan satu juta unit dalam masa enam tahun.
Sayang sekali, jenama Lynk & Co pada ketika ini hanya mempunyai satu sahaja model BEV, iaitu Z10 yang baharu sahaja dilancarkan tahun ini, berbanding Zeekr yang sudah melancarkan enam model EV sejak tahun 2021.
Bermula November 2024, Zeekr menguasai 51 peratus pegangan di dalam Lynk & Co, manakala selebihnya dipegang oleh Geely Auto.
Kerjasama antara Mercedes-Benz dan Geely tidak terhad kepada jenama EV smart semata-mata.
Menurut laporan terbaharu daripada CarNewsChina, Mercedes akan menggunakan enjin yang dibangunkan oleh Horse Powertrain Limited pada model sedan generasi ketiga Mercedes-Benz CLA-Class, setelah generasi terdahulu bergantung kepada enjin buatan Renault.
Harus anda tahu bahawa Horse Powertrain Limited merupakan syarikat kerjasama yang dimiliki 50:50 antara Geely dan Renault, bertanggungjawab menghasilkan enjin untuk dibekalkan kepada syarikat automotif seperti Renault, Geely, Mitsubishi, Nissan, Volvo dan juga Proton.
Enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang bakal digunakan oleh CLA-Class 2026 mempunyai jangkaan output kuasa 250 hp dan daya kilas 360 Nm.
Enjin tersebut akan dibangun dan diproduksikan di China, sementara komponen penukar bermangkin (catalytic converter) pula akan dipasang di Jerman untuk memastikan ia memenuhi piawaian pengeluaran emisi yang ditetapkan.
Selain itu, CLA-Class juga akan menampilkan beberapa teknologi lain seperti sistem hibrid ringan 48V, serta sistem bantuan pemandu pintar yang dibangunkan oleh syarikat pemula China, Momenta di mana Mercedes merupakan antara pihak terawal yang melabur di dalam syarikat tersebut.
CLA baharu juga bakal hadir dengan versi elektrik sepenuh masa, dengan motor elektrik pacuan belakang berkuasa 235 hp yang dipadankan dengan pek bateri 89.6 kWh untuk jarak gerak sejauh 750 km (data WLTP).
Platform MMA yang digunakan oleh CLA turut menyokong senibina elektrik 800V di mana pengecasan selama 15 minit boleh menambah jarak gerak sebanyak 400 km.
Mercedes dijangka akan melancarkan model CLA generasi baharu pada tahun 2025.
Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, Geely bakal melancarkan model SUV terbaharu dalam siri Galaxy, iaitu Galaxy Starship 7.
SUV ini dibina berdasarkan platform baharu Global Energy Architecture (GEA) yang menyokong teknologi hibrid elektrik super “Thor”, merujuk kepada tetapan rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV).
Sistem Thor yang dimaksudkan itu terdiri daripada enjin 1.5 liter dan motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan, dipadankan dengan pek bateri yang disumberkan daripada SVOLT.
Menurut Geely, terdapat dua pilihan kapasiti pek bateri, iaitu 19.09 kWh yang mampu menawarkan jarak gerak elektrik sejauh 101 km, atau 28.94 kWh dengan jarak gerak sifar emisi 150 km.
Dari segi dimensi, Geely Galaxy Starship 7 berukuran sepanjang 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.
Ini menjadikan Galaxy Starship 7 memiliki saiz yang hampir sama besar dengan model SUV seperti BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC-Class.
Biarpun memakai nama yang agak futuristik, reka bentuk Geely Galaxy Starship 7 dilihat agak konvensional dan mengingatkan kita kepada rekaan model Porsche Macan/Cayenne, terutama pada bahagian belakang.
Untuk ruang kabin pula, Galaxy Starship 7 menyediakan skrin infohibur tengah bersaiz besar, diikuti dengan skrin kluster digital yang lebih kecil di sebalik roda stereng dua jejari.
Konsol tengah pula menempatkan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, butang kawalan utama, tempat meletakkan cawan, serta terdapat ruang storan di bahagian bawah yang lengkap dengan slot USB tambahan.
Lebih banyak informasi bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi pada tahun ini. Soalan paling penting, adakah ini bakal diubah lencananya menjadi sebuah kereta Proton?
Minggu lalu, Proton Centre of Excellence (COE) menjadi destinasi penamat bagi siri jelajah dunia Geely Galaxy E5 yang bermula dari China.
Walaupun digelar sebagai ‘siri jelajah dunia’, konvoi yang terdiri daripada beberapa unit Galaxy E5 pemanduan sebelah kiri itu sebenarnya hanya merentasi tiga negara Asia Tenggara iaitu Laos, Thailand dan Malaysia.
Biar pun begitu, perjalanan sejauh 3,700 km itu dilihat sudah cukup untuk membuktikan kemampuan dan ketahanan Galaxy E5 dalam dunia sebenar.
Menurut wakil dari Geely, konvoi tersebut berjaya melengkapkan perjalanan yang panjang itu tanpa sebarang masalah dan setiap unit berjaya tiba di COE dalam keadaan elok walaupun berhadapan dengan banjir di Laos yang diakibatkan oleh Taufan Yagi.
Mengambil kesempatan yang ada, Proton telah menjemput pihak media untuk memandu uji kembar kepada Proton e.MAS 7 itu di litar ujiannya di COE. Bukan itu sahaja, beberapa media terpilih juga berpeluang untuk memandu EV itu di jalan raya untuk pengalaman pemanduan yang lebih realistik.
Apa yang penulis boleh katakan, sesi pandu uji ini memberikan bayangan yang agak jelas mengenai reka bentuk, teknologi dan prestasi e.MAS 7 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.
Reka bentuk luaran sama sahaja?
Proton sebelum ini menekankan bahawa e.MAS 7 bukanlah model rebadge Galaxy E5. Dari sudut teknikal, dakwaan ini benar kerana e.MAS 7 sememangnya dibangunkan serentak dengan Galaxy E5. Menurut Proton, lebih 100 jurutera mereka terlibat dalam projek ini.
Walau bagaimanapun, dari segi reka bentuk luaran, kami tidak rasa Proton boleh membuat terlalu banyak perubahan pada e.MAS 7 kecuali menukar logo dan lencana asal. Elemen Infinite Weave seperti yang digunakan pada model-model lain juga tidak boleh diterapkan kerana e.MAS 7 tidak mempunyai gril.
Cuma, apa yang penulis nampak, e.MAS 7 menggunakan rim satu inci lebih kecil iaitu 18 inci berbanding Galaxy E5 yang didatangkan dengan rim 19 inci.
Ruang dalaman minimalis tetapi mewah
Seperti bahagian luaran, rekaan ruang kabin e.MAS 7 juga dijangka tidak jauh berbeza dengan Galaxy E5. Tetapi ini adalah benda bagus kerana rekaan ruang dalaman EV dari China ini agak mengagumkan, sama ada dari segi susun atur atau bahan yang digunakan.
Upholsteri kulit yang digunakan kelihatan begitu mewah dan terasa cukup lembut pada sentuhan. Paling penting, ia diaplikasikan secara meluas bukan sahaja pada tempat duduk, tetapi bahan itu juga membaluti sebahagian besar papan pemuka dan panel pintu.
Selain daripada warna putih, Geely turut menawarkan pilihan warna merah perang dan biru gelap. Adakah Proton akan menawarkan pilihan warna yang sama? Sama-sama kita nantikan.
Luas dan praktikal, sesuai untuk rakyat Malaysia
Dengan tapak roda berukuran 2,750 mm, Galaxy E5 menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa. Penulis amat kagum dengan ruang kaki penumpang belakang yang setanding dengan kereta segmen D walaupun ini merupakan SUV segmen C.
Tempat duduk belakang menawarkan sokongan peha yang mencukupi tetapi apa yang lebih menarik adalah kerusi penumpang hadapan yang didatangkan dengan fungsi Ottoman – satu ciri yang biasanya terdapat pada MPV mewah sahaja.
Bagi mereka yang sering membawa barangan yang banyak, jangan gusar kerana Galaxy E5 mempunyai 33 ruang storan termasuk laci di bawah kerusi belakang. Untuk sebuah SUV, ruang butnya tidaklah begitu besar (461 liter) namun terdapat ruang simpanan tambahan sebesar 51 liter di bawah lantai but.
Sarat dengan teknologi
Galaxy E5 dan e.MAS 7 menggunakan sistem operasi yang sama iaitu Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip Longying One Chip 7 nm yang didakwa sebagai cip kokpit pintar pertama dari China. Selain integrasi telefon pintar, sistem operasi ini juga menawarkan ciri arahan suara untuk melakukan pelbagai perkara. Anggap sahaja ia seperti pembantu peribadi anda.
EV ini juga menggunakan sistem audio Flyme Sound berkapasiti 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, termasuk pada perehat kepala. Bukan itu sahaja, terdapat juga pembesar suara pada bahagian luar yang berguna jika anda mahu memainkan muzik ketika berparti.
Anda juga boleh menggunakan pembesar suara luaran tersebut untuk membunyikan amaran kepada pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang lain. Yang menariknya, pilihan bunyi yang disediakan boleh dikatakan sangat tidak konvensional. Ia termasuk bunyi “Hi”, ngauman harimau, kucing mengiau, deruman enjin supercar dan pelbagai lagi.
Galaxy E5 jelas ditala untuk keselesaan, bagaimana pula dengan e.MAS 7?
Biarpun agak singkat, sesi pemanduan di litar ujian Proton dan di jalan raya berjaya mendedahkan karakter Galaxy E5. Penulis dapat merasakan yang EV ini memang ditala untuk pemanduan yang lebih santai, berbeza dengan EV China lain yang penulis pernah cuba seperti smart #1.
Galaxy E5 didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS dan 320 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 184 km/j.
Pada zaman kini, di mana EV sudah mampu menandingi supercar dengan mudah, angka ini tidaklah begitu mengagumkan namun penulis merasakan yang Galaxy E5 sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Cuma, tindak balas pendikitnya tenang dan tidak terburu-buru, walaupun ditekan dengan agresif.
Selain itu, sistem suspensi Galaxy E5 juga boleh dikatakan sangat lembut. Dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam, kereta ini membuktikan yang ia mampu menyerap hentakan dari permukaan berlubang dengan cukup baik sehinggakan ia hampir tidak terasa di dalam kabin. Walau bagaimanapun, penulis dapat merasakan ada sedikit lantunan ketika bergerak pada kelajuan tinggi atau melalui jalan yang beralun.
Konklusi
Seperti yang dikatakan, sesi pandu uji ini sangat berharga kerana ia dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai Proton e.MAS 7.
Dari segi reka bentuk luaran dan dalaman, serta sistem infotainment dan teknologi, penulis tidak mengharapkan perubahan yang terlalu ketara kerana pakej yang dibawakan oleh Galaxy E5 sudah cukup menarik.
Bagaimanapun, dari segi pemanduan terutamanya tindak balas pendikit dan talaan suspensi, Proton pastinya akan menggunakan kepakaran mereka bagi memastikan e.MAS 7 sesuai dengan keadaan permukaan jalan raya di Malaysia, selain dapat memenuhi permintaan pembeli EV tempatan.
Syarikat automotif China Geely sedang meninjau lokasi yang sesuai untuk mendirikan fasiliti produksi yang besar di benua Eropah.
Namun menurut sumber Reuters, naib presiden Geely Auto Group Li Chuanhai mengesahkan perancangan tersebut “tidak 100 peratus” ketika berucap di Frankfurt, Jerman minggu lalu.
Geely sebelum ini mengadakan perbincangan dengan kerajaan Poland, namun pihak berkuasa negara itu tidak melihat Geely sebagai rakan pelaburan yang ideal.
Bertempat di Frankfurt, Geely telah membuka sebuah fasiliti baharu di mana ia akan menjadi lokasi pengujian dan pembangunan 13 buah model tenaga baharu untuk memenuhi piawaian Eropah yang lebih ketat.
Selain Geely, beberapa pengeluar automotif China termasuk Chery dan GWM turut merancang untuk mendirikan kilang pemasangan di Eropah untuk mengelakkan tarif yang lebih tinggi dikenakan terhadap EV yang diimport dari Tanah Besar.
Proton telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan dua agensi kerajaan untuk membawa pembekal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Proton untuk menghadiri “Program Akses Pasaran, Pemindahan Teknologi & Peningkatan Vendor” di China.
Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk inovasi, meningkatkan aktiviti, dan menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti yang mampan.
Dianjurkan oleh KUSKOP dan diketuai oleh Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), program tersebut telah diadakan pada awal Julai untuk mempercepatkan pembangunan kenderaan generasi akan datang dan kenderaan elektrik berkuasa bateri melalui perkongsian strategik dan pertukaran teknologi.
Wakil dari MBSB Bank, Tenaga Nasional Bhd, PLUS Expressways Bhd, UEM Edgenta Bhd, Telekom Malaysia serta 22 vendor Malaysia telah dibawa untuk melawat kilang komponen EV, seperti kilang dan stesen pengecas, pengeluar bateri dan pengecas di tujuh lokasi di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Hangzhou.
Antara lokasi yang dilawati termasuk anak syarikat Geely iaitu Zeekr dan pengeluar bateri serta pengecas EV VREMT di Teluk Hangzhou.
Sebagai peneraju global dalam bidang EV, ekosistem menyeluruh China untuk pembangunan EV, menjadikan program ini sangat penting dengan memberikan pandangan mendalam mengenai pembuatan, kemudahan dan perkhidmatan dalam industri EV.
Untuk memudahkan interaksi antara pembekal Proton dan pembekal EV Geely, sesi padanan perniagaan diadakan di Pusat Penyelidikan Geely (GRI) di Teluk Hangzhou semasa program tersebut. 95% peserta berpuas hati dengan sesi yang membantu mengenal pasti potensi perkongsian dan kerjasama untuk rantaian bekalan komponen EV.
87% pembekal tempatan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pembekal China. Lima kategori perkongsian utama dipilih adalah pengedaran, kerjasama dalam pemindahan teknologi, rakan usaha sama, kerjasama dalam pembangunan kemahiran, dan pelaburan untuk perniagaan bersama.
Menurut KUSKOP, kerajaan komited untuk memajukan EV dan teknologi hijau. Peningkatan kerjasama dan perkongsian bertujuan untuk membina infrastruktur penting dan menyokong ekosistem EV yang mampan melalui pemindahan teknologi.
Dengan membangunkan rantaian bekalan tempatan, Malaysia berharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada import, mencipta pekerjaan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Pro-Net mendedahkan bahawa kenderaan elektrik nasional pertama iaitu e.MAS 7 kini sedang menjalani ujian jalan raya tempatan.
Menurut Pro-Net, fasa ujian intensif itu melibatkan enam unit e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelusuk di Semenanjung Malaysia.
Ia merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS), dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT), serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU), dan Penyedia Sistem Telematik (TSP).
Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia.
Sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat dan mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan, serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet.
Sistem elektrik ini disasarkan untuk melengkapkan ujian jalan sejauh 10,000 km semasa Ujian ERT dijalankan untuk memastikan integrasi kesemua fungsi elektronik berjalan dengan lebih lancar.
Sistem ADAS telah diuji dengan teliti dalam pelbagai situasi seperti tempat letak kereta di pusat membeli-belah, di simpang jalan dan di jalan bertingkat.
Jurutera Proton juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris Malaysia dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.
Usaha kolaborasi antara Proton dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.
Ujian ketahanan kenderaan, termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan.
Jurutera Pro-Net telah melaksanakan 49 proses tambahan ciri unik daripada Geely untuk memastikan e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan global.
Ujian ini merangkumi segala aspek dari prestasi beban kenderaan sehingga ke kawalan kestabilan elektronik dan kebolehan meredah air yang telah dipertingkatkan — di mana hasil ujian e.MAS 7 melepasi Geely Galaxy E5 dengan kedalaman paras air 400 mm.
Ujian ini dijalankan pada bulan Julai dengan kedalaman air yang telah ditetapkan termasuk dengan ujian bonggol jalan untuk menggambarkan keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Satu isu ditemui dan diperbaiki selepas ujian tersebut dijalankan.
Seterusnya, e.MAS 7 akan menjalani akreditasi ASEAN NCAP. Ia juga akan menjalankan QRT untuk mencapai 100,000 km dalam ujian pecutan, prestasi brek dan penggunaan kuasa. Di samping itu, ujian perisian juga menjadi fokus utama jurutera Proton.
Zeekr melancarkan model sedan elektrik 007 2025 dengan membawakan beberapa penambahbaikan seperti bateri generasi baharu dengan tempoh pengecasan yang lebih pantas, sistem pemanduan pintar serta serta sistem operasi kokpit pintar.
Tiada sebarang perubahan dari segi kuasa, di mana versi standard pacuan roda belakang masih mampu menghasilkan kuasa setinggi 415 hp, sementara versi pacuan semua roda berupaya menjana 636 hp.
Namun begitu, Zeekr telah membuat talaan semula terhadap algoritma di mana pecutan 0-100 km/j kini sepantas 5.0 saat untuk versi RWD.
Sementara versi AWD pula kekal dengan pecutan sepantas 2.84 saat.
Zeekr 007 boleh dilengkapi dengan pek bateri ternary lithium CATL Qilin 100 kWh dengan pengecasan pantas 5C.
Terdapat juga bateri lithium iron phosphate generasi kedua Golden Brick Battery berkapasiti 75 kWh dengan kelajuan pengecasan ditambah baik dari 4.5C kepada 5.5 C, di mana secara teorinya pengecasan 10-80 peratus SoC boleh dicapai dalam masa 10.5 minit.
Zeekr mendakwa bateri Golden Brick itu merupakan bateri produksi massa dengan pengecasan terpantas di dunia, selain menawarkan jarak gerak sejauh 688 km.
Untuk ruang kabin, Zeekr telah menaik taraf sistem operasi kepada Zeekr OS AI yang mampu memberikan cadangan secara aktif berdasarkan senario semasa.
Zeekr 007 juga dilengkapi dengan sistem pemanduan pintar Haohan 2.0 yang dibantu dengan penderia LiDAR, cip pemprosesan Nvidia Orin X dan lebih 30 unit penderia bagi membolehkannya mengendalikan pelbagai situasi trafik jalan raya.
DALAM satu kenyataan baru-baru ini, Proton mengesahkan bahawa ia sedang bekerja rapat dengan Geely untuk meneroka aktiviti peningkatan model Saga dari platform yang sedia ada.
Menurut pengeluar kenderaan nasional itu, usaha kerjasama dengan Geely yang telah berjalan selama bertahun-tahun ini dapat dipercepatkan selepas penubuhan pusat R&D Proton di China pada April tahun ini.
Maklumat terperinci serta garis masa mengenai pelancaran Saga baharu itu tidak dinyatakan namun Proton berkata, peningkatan model tempatan itu melibatkan penggunaan sumber bersama dengan Geely dan diketuai oleh jurutera R&D Proton di Malaysia.
“Keupayaan untuk mencipta, mereka bentuk, membangunkan, dan mengeluarkan kenderaan baru dari awal adalah unik bagi Proton sebagai jenama nasional. Keupayaan ini kini telah diperkukuhkan dengan meningkatkan sinergi kecekapan dalaman sedia ada Proton dengan sumber dan pengetahuan Geely,” kata syarikat itu.
Dalam kenyataan sama, Proton memberitahu bahawa Saga, yang kini dalam tahun ke-39 pengeluaran, mencatatkan jualan yang luar biasa sebanyak 7,855 unit pada bulan lalu. Ini merupakan jualan bulanan terbaik model tersebut sejak Oktober 2013.
Secara keseluruhan, jualan sehingga kini (YTD) untuk Saga telah meningkat sebanyak 8.8% berbanding tahun lalu kepada 42,693 unit, menetapkan asas untuk tahun jualan yang cemerlang di hadapan.
Sejak Proton Saga pertama mula dikeluarkan pada 9 Julai 1985, jualannya telah melepasi tanda dua juta unit tahun ini, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai model paling popular dari jenama automotif Malaysia.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia dan sebagai tanda penghargaan kepada rakyat, Proton telah melancarkan kempen “Saga-Merdeka Mudah Dimiliki” yang menawarkan pelbagai insentif dan tawaran eksklusif sepanjang bulan Ogos.
Sepanjang tempoh sebulan itu, Proton menawarkan rebat tunai RM500 untuk pembelian mana-mana model Proton Saga. Selain itu, pelanggan Maybank layak untuk rebat tambahan RM200 apabila pelanggan menunjukkan mesej promosi daripada Maybank kepada mana-mana pengedar Proton yang mengambil bahagian.
PROTON kini giat mengembangkan pasaran eksportnya dan dikatakan bakal kembali ke United Kingdom (UK), kata CEO, Li Chunrong.
Proton Satria Neo 2006 di UK. Gambar oleh: Autocar
Menurut laporan media UK, Autocar, perkembangan ini juga merangkumi pasaran-pasaran baharu pemanduan sebelah kanan (RHD) seluruh Asia dan Afrika Selatan, selain kembali ke Australia serta New Zealand.
Ia bertujuan meningkatkan jualan global Proton susulan pembukaan ibu pejabat dan pusat pengeluaran baharu yang kini dalam pembinaan di Tanjung Malim, Perak.
Dikenali sebagai Automotive Hi-Tech Valley (AHTV), fasiliti dengan pelaburan bilion Ringgit ini adalah hasil dari Geely dan DRB-Hicom Berhad.
Pertambahan kapasiti pengeluaran ini akan menjadi titik penentu dalam pelan jangka masa panjang Proton untuk mengembangkan jualan global mereka.
“Dengan pelaburan yang ada, Proton akan mempunyai kapasiti untuk kembali ke pasaran-pasaran yang telah ditinggalkan, sambil menembusi pasaran baharu,” sumber Autocar melaporkan.
Tiada garis masa didedahkan untuk Proton kembali ke UK, tetapi dilaporkan ia dijangka pada “akhir dekad ini”. Proton pernah menjual kenderaan di UK dari 1989 hingga 2014.
Pada 2023, Geely mengumumkan perancangan untuk melabur dalam pembangunan AHTV.
Buat masa ini, Proton menjual model-model berasaskan Geely iaitu X50, X70, dan S70 selain model-model yang dibangunkan sendiri seperti Saga, Persona, dan Iriz.
Proton juga baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka iaitu eMAS 7.
Agak-agaknya model mana yang akan menjadi pilihan untuk dieksport ke pasaran-pasaran baharu nanti?
SUDAH setahun rupanya Chery Tiggo 8 Pro berada dalam pasaran Malaysia secara rasmi. Walaupun kami baru sahaja ambil unit pandu uji untuk penilaian, SUV segmen-D ini sebenarnya tidak asing buat Engear, kerana kami pernah memandu uji secara ringkas semasa awal kedatangan Chery ke Malaysia pada penghujung 2022.
Antara waktu itu hingga sekarang, entah kenapa kami memfokus kepada Omoda 5 dan Omoda E5. Tetapi sudah tentu belum terlambat untuk menguji Tiggo 8 Pro secara mendalam. Malah hingga kini, kami masih menerima pertanyaan mengenainya sama ada di DM media sosial atau semasa bersembang di kedai kopi.
Pakej cukup menarik, paling berbaloi?
Antara daya tarikan utama yang membuatkan anda memasukkan Tiggo 8 Pro dalam senarai ialah harganya yang cukup menarik. ’Hanya’ RM159,800 untuk sebuah SUV segmen-D tujuh tempat duduk.
Dan ia langsung tak terasa murah. Anda dapat semua kelengkapan bertaraf tinggi seperti enjin 2.0-liter turbo, tiga mod pemanduan, lampu LED penuh depan dan belakang, rim 19-inci, sepasang panel paparan lebar 24.6-inci yang mempunyai dua skrin, kemasan kayu dan krom, tempat duduk kulit, tombol gear elektronik, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dan pakej ADAS penuh.
Bukan itu sahaja, apa yang anda dapat lihat dan sentuh semuanya terasa premium dan lebih pada harganya, sebagai contoh kemasan kayu dan krom pada papan pemuka serta panel pintu, suis dan tombol dengan pergerakan cukup sedap, dan permainan lampu kabin.
Jika anda bawa kenalan membelek secara terperinci Chery Tiggo 8 Pro ini, kemudian beritahu ia berharga RM240,000 pun, rasanya orang masih boleh percaya.
Tidak cukup dengan itu, Tiggo 8 Pro ini boleh dilengkapi dengan pemijak sisi automatik dengan tambahan RM2,999. Ia terbuka secara automatik setiap kali anda membuka pintu, sama seperti Range Rover yang berharga tiga atau empat kali ganda darinya.
Ini ialah sebuah SUV segmen-D bukan-nasional paling murah, malah lebih murah dari sesetengah SUV segmen-C. Ini membuatkan penulis tertanya-tanya bagaimana mereka mampu menjual pada harga ini. Tiada untung langsungkah?
Persepsi jenama
Tetapi, tidak dinafikan ada satu isu besar yang memberi imbangan kepada nilai cukup baik pada pakej yang ditawarkan di atas, iaitu persepsi jenama.
Kita semua tahu Chery dari mana dan bagi anda yang sama umur dengan penulis membesar mendengar lagu Limp Bizkit dan memakai Adidas Superstar di hujung minggu, anda pasti tahu ini bukan kali pertama Chery hadir ke Malaysia.
Walaubagaimanapun, anda harus tahu industrialisasi di China berkembang begitu pesat. Mereka bermula lebih lewat dari kita Malaysia, tetapi lihat sahaja kemajuan teknologi mereka hari ini. Dan perkara ini juga menunjukkan kesan kepada industri permotoran.
Rasanya anda akan bersetuju jika penulis katakan kenderaan-kenderaan dari China bukan lagi boleh kita gelakkan dari dulu. Mereka kini serius dalam industri, berlumba-lumba ingin menjadi terbaik, dan berkembang cukup pesat.
Contoh lain, lihat pada industri telefon bimbit. Selain jenama mereka, terdapat jenama global terkemuka yang membuka kilang pengeluaran di China dan adakah kualitinya berbeza dengan pengeluaran dari negara-negara lain?
Jika anda benar-benar berminat dengan kenderaan seperti Chery Tiggo 8 Pro, bab persepsi jenama memang suatu perkara yang tidak dapat anda elakkan.
Ehem, Proton X90 macam mana?
Oh ya, bila bercakap mengenai Tiggo 8 Pro, anda tak boleh elakkan dari berbincang juga mengenai Proton X90. Harga cukup dekat, dari RM123,800 untuk Standard hingga RM152,800 untuk Flagship.
Enjin berbeza, dimana X90 mempunyai powertrain 1.5-liter turbo direct-injection (TGDI) bersama sistem hibrid, manakala Tiggo 8 Pro dengan 2.0-liter turbo. Output sudah tentu berbeza, X90 dengan 177hp dan 255Nm, sementara Tiggo 8 Pro sebanyak 257hp dan 390Nm tork.
Kedua-dua SUV ini dalam segmen yang sama, saiz hampir sama, dan kedua-duanya mampu memuatkan tujuh penumpang.
Yang mana perlu pilih? Sukar untuk beri keputusan kerana penulis sendiri belum pernah memandu X90, tetapi rakan penulis pernah mengujinya beberapa kali, anda boleh baca laporan di sini.
Dari segi reka bentuk, bagi penulis Tiggo 8 Pro lebih segak keseluruhan dan mempunyai perincian lebih cantik. Cuma anda sudah tentu dapat lebih nilai untuk X90, harganya lebih rendah kerana mempunyai kelebihan status kereta nasional (walaupun kedua-dua SUV ini direka dan dibangunkan di China).
Okay, X90 mungkin tidak 100 peratus dibangunkan di China kerana jurutera Proton ada memberikan input mereka untuk talaan suspensi. Sebab itu juga Proton X90 mendapat suspensi belakang multi-link berbanding Geely Haoyue.
X90 juga mempunyai kelebihan harga cukai jalan yang lebih rendah, tetapi jika anda perlukan kuasa dan sering membawa ramai penumpang, mungkin anda sanggup berbelanja lebih dan memilih Tiggo 8 Pro.
Rasa solid dan berkualiti
Lebih menarik lagi, Chery Tiggo 8 Pro terasa sangat solid, kukuh, dan berkualiti. Sama ada semasa membelek perincian di luar badan, duduk sahaja di dalam kabin, atau memandunya, semua aspek ini memberikan anda rasa premium.
Di bahagian luar contohnya, ada logo depan yang menyala, pemijak sisi automatik seperti dinyatakan awal tadi, dan kemasan krom yang cukup-cukup sahaja, tidak melebih. Kabinnya juga lapang, dan tempat duduk depan sangat empuk.
Saat pertama penulis duduk di tempat duduk pemandu semasa mengambil Tiggo 8 Pro ini, terasa seperti berada dalam kereta yang dua kali ganda harganya. Kemudian papan pemuka dan konsol tengahnya tinggi, mengukuhkan rasa premium SUV ini. Dalam pada masa yang sama, segala butang dan suis mudah dicapai.
Untuk pemanduan pula, penulis rasakan ia mempunyai lebih dari cukup kuasa untuk pemanduan harian. Penulis memperoleh keyakinan yang baik untuk mengendalikan Chery Tiggo 8 Pro ini walaupun di selekoh tajam.
Cuma sterengnya sedikit ringan, tetapi pedal minyak dan transmisi semua cukup responsif dan mempunyai talaan yang baik. Dari segi penggunaan bahan api, penulis merekodkan sekitar 9.9km per liter, dikira sangat okey dengan saiz dan gaya pemanduan Tiggo 8 Pro ini.
Sudah tentu penggunaan bahan api sebegini tidak begitu sesuai untuk pemanduan harian dalam bandar, melainkan anda mampu. Tetapi ia sempurna untuk membawa keluarga bersiar-siar hujung minggu keluar dari bandar.
Secara keseluruhan, pakej yang ditawarkan oleh Chery Tiggo 8 Pro cukup menarik dengan padanan saiz, kelengkapan, dan harga. Ini membuatkan penulis tidak sabar melihat model-model Chery yang akan datang. Mungkin kita akan pandu uji pula Tiggo 7 Pro yang dilancarkan baru-baru ini.
Jenama mobiliti elektrik premium di bawah naungan Geely, Zeekr baru saja memperlihatkan model baharu yang diposisikan sebagai pencabar kepada Tesla Model Y, iaitu Zeekr 7X.
7X ini merupakan sebuah SUV elektrik sepenuh masa yang dibina berdasarkan platform SEA (Sustainable Experiance Architecture), asas sama yang digunakan oleh sedan Zeekr 007.
Tidak banyak perincian spesifikasi didedahkan buat masa ini.
Namun, menurut laporan Zeekr 7X bakal ditawarkan dengan dua pilihan pek bateri, iaitu pek LFP berkapasiti 75 kWh atau pek bateri ternary NMC 100 kWh.
Dua konfigurasi pacuan elektrik turut ditawarkan, di mana versi asas datang dengan pacuan roda belakang berkuasa 416 hp, sementara varian dua motor elektrik mampu menjana kuasa setinggi 637 hp.
Dari segi dimensi, Zeekr 7X berukuran 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm dengan jarak antara roda sekitar 2,925 mm.
Berbanding dengan Tesla Model Y, Zeekr 7X membawakan ukuran 75 mm lebih panjang, dengan jarak antara roda yang lebih panjang berbanding Tesla (2,891 mm).
Zeekr 7X banyak berkongsi elemen rekaan luaran dengan model sedan 007, termasuklah panel LED hadapan ‘Stargate’ yang boleh digunakan untuk memaparkan teks, diikuti dengan bar lampu LED nipis pada bahagian belakang.
Berdasarkan spesifikasi sedan 007 di pasaran China, versi aras mula didatangkan dengan motor elektrik pacuan roda belakang dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, sementara versi pacuan semua roda mampu memecut sepantas 2.84 saat.
Sedan Zeekr 007 juga mampu menawarkan jarak gerak sejauh 688 km atau sehingga 870 km berdasarkan data CLTC, selain menyokong pengecasan pantas 800 voltan di mana pemilik boleh menambah jarak 610 km dalam masa 15 minit sahaja.
Akhir sekali, terdapat sokongan penderia LiDAR, 12 kamera dan cip pemprosesan Nvidia Orin-X untuk pemanduan berautonomi berkelajuan tinggi yang kini merangkumi keseluruhan Tanah Besar China.
Geely Auto Group telah memperlihatkan bateri lithium iron phosphate (LFP) yang menjanjikan ketahanan sehingga satu juta kilometer, kadar pengecasan yang lebih pantas, dan paling penting, lebih selamat untuk digunakan.
Menurut Geely, bateri Short Blade ini telah diuji sehingga 3,500 kitaran pengecasan, menyamai pengecasan dan pemanduan untuk satu juta kilometer dengan impak yang minimum terhadap jarak gerak.
Berdasarkan purata jarak pemanduan sekitar 20,000 km setahun, bateri Short Blade ini mampu bertahan sehingga 50 tahun, sekaligus memanjangkan hayat penggunaan bateri, menambah baik nilai jual semula EV dan mengurangkan emisi karbon lebih 80 ribu tan setahun.
Selain itu, bateri baharu Geely ini juga dikatakan mampu dicas lebih pantas dan beroperasi dengan lebih stabil pada suhu persekitaran yang rendah – masalah yang selalu membelenggu kereta-kereta elektrik masa kini.
Data ujian menunjukkan purata tempoh pengecasan 10-80 peratus SoC yang diambil oleh bateri Short Blade ini adalah sekitar 17 minit 4 saat, berbanding tempoh masa 26 minit oleh bateri blade berkapasiti serupa.
Dalam suhu sejuk ekstrem, bateri Short Blade ini mempunyai kadar nyahcas yang tinggi dan menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh berbanding bateri long blade.
Malah dalam suhu persekitaran di bawah negatif 30℃, bateri Short Blade mampu mengekalkan kadar pengekalan kapasiti 90.54 peratus, berbanding nilai purata 78.96 peratus oleh bateri long blade.
Apa yang lebih penting, pek bateri baharu Geely ini menawarkan ciri-ciri yang lebih tahan lasak, terima kasih kepada penggunaan bahan berkekuatan tinggi dan mempunyai tahap ketahanan haba yang lebih baik.
Bateri Short Blade ini menggunakan struktur diafragma dan elektrod yang telah dipertingkatkan, serta teknologi Self-Fusing yang mampu menghalang pembentukan litar pintas yang biasa terjadi dalam situasi kemalangan.
Untuk membuktikan tahap keselamatan bateri terbaharu ini, Geely telah menjalankan lapan ujian tusukan jarum 5 mm secara serentak, dan kemudian dibiarkan selama sejam tanpa mendatangkan sebarang efek negatif.
Selain itu, ia juga turut menjalani ujian tembakan peluru raifal 5.8×42 mm di mana tiada sebarang insiden pencucuhan haba yang berlaku pada struktur tersebut.
Paling penting, Geely turut menjalankan enam set ujian yang lebih ekstrem berbanding standard industri termasuklah rendaman dalam air laut, persekitaran sejuk melampau, kikisan bawah pek berfrekuensi tinggi, gulingan muatan 26 tan, pelanggaran sisi dan ujian kebakaran.
Menurut laporan CarNewsChina, bateri Short Blade ini akan membuat kemunculan dalam model SUV elektrik Geely Galaxy E5 yang akan berlangsung pada awal Ogos ini.
Dua kapasiti pek bateri ditawarkan, iaitu 49.52 kWh dengan jarak gerak sejauh 440 km, serta pek bateri 60.22 kWh dengan jarak pemanduan mampu mencecah sehingga 530 km (mengikut data CLTC).
Bila sebut pasal mana-mana kereta jenama Proton, ia akan menimbulkan sesi perdebatan yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi bila melibatkan barisan model yang ditukarkan lencananya daripada pasaran Tanah Besar China.
Cakaplah apa sahaja yang anda mahu, kerana hakikatnya inilah pendekatan yang sesuai untuk Proton masa kini.
Lihat sahaja betapa banyak kelibat model-model SUV Proton di atas jalan raya pada masa kini.
Kalau dulu boleh tahan bersepah model X70, kini tempat SUV popular tempatan telah digantikan dengan model Proton X50 yang lebih lincah dan sporti. Bagaimana dengan Proton X90? Mungkin tak ramai yang pakai, tapi masih ada.
Tapi cerita kali ini penulis tidak akan menyentuh soal SUV, akan tetapi lebih berminat untuk berbicara tentang model kereta terbaharu Proton.
Lebih tepat lagi, sedan Proton S70 yang baru sahaja dilancarkan pada penghujung tahun yang lepas.
Hendak bercerita tentang spesifikasi, rasanya semua sudah arif dan tahu yang Proton S70 ini dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS @ 5,500 rpm dan 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm.
Ia juga datang dengan kotak gear yang jauh lebih moden berbanding pesaing dalam segmen harga bawah RM100k, iaitu DCT tujuh nisbah kelajuan.
Selain itu, Proton S70 juga datang dengan rekaan sedan tiga kotak yang lebih tradisional, jauh lebih senonoh berbanding bentuk sedan yang digantikannya, iaitu Proton Preve dan adiknya Proton Persona.
Rekaan sisi sedan ini juga mengingatkan kita pada sebuah lagi sedan, iaitu Proton Waja (bak kata Amirul Hazmi).
Jika dibandingkan dengan model-model pesaing (tak kira segmen B atau C), Proton S70 boleh disifatkan sebagai sebuah sedan mampu milik yang menawarkan kelengkapan yang lebih menyeluruh dan premium.
Jadi, bagaimana pula dengan pengalaman pemanduan? Adakah ia mampu menjadi model Proton yang terbaik?
Adakah S70 ini satu model yang berbaloi jika mahu naiktaraf daripada sedan Proton sedia ada? Kami ada pendapat sebaliknya:
1. Sedan bertenaga, dengan kuasa yang sukar dikawal
Dalam banyak-banyak pesaing, Proton S70 datang dengan tetapan rangkaian kuasa yang agak unik – enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tatkala model lain hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT.
Canggih bermakna lebih baik?
Tidak juga. Walaupun S70 ini mampu menghasilkan kuasa pecutan yang agak baik di atas lebuh raya, lain pula ceritanya ketika ia mahu mula bergerak dari keadaan pegun.
Ini kerana ia mewarisi satu sifat malas bergerak yang hampir sama dengan abang besarnya Proton X70, walaupun kadar kemalasan itu kurang sedikit sahaja jika dibandingkan.
Lebih memburukkan keadaan, tayar hadapan Proton S70 ini ada kalanya gemar untuk berputar (buat aksi wheelspin) melebihi kadar cengkaman yang diperlukan sewaktu pedal pendikit ditekan agresif.
Ya, kedengaran cool bila dapat buat wheelspin depan orang ramai, tapi silap haribulan anda mungkin terpaksa mengira duit simpanan untuk melantak mee segera. Mungkin berpuasa lebih afdal.
2. Posisi pemanduan yang tidak selesa
Ini antara perkara yang membuatkan penulis bingung, kerana Proton sebelum ini sangat terkenal dengan penawaran tempat duduk yang selesa, jauh mengatasi keselesaan tempat duduk Perodua.
Tempat duduk hadapan balutan kulit palsu yang wujud pada S70 ini sukar menawarkan tahap keselesaan yang diperlukan, di mana kaki rasa agak tergantung bila ia diposisikan rendah. Keadaan ini lebih terasa sekiranya penulis terpaksa membuat perjalanan jarak jauh merentas negeri.
Acap kali juga penulis terpaksa mengubah kedudukan beberapa kali untuk mencapai posisi yang selesa dan ergonomik. Takkan la nak pandu sedan tapi posisi tempat duduk tinggi macam pandu SUV, kan?
Lebih aneh, penulis sebelum ini pernah duduk dalam varian Proton S70 yang dilengkapi dengan kerusi balutan fabrik, dan ia dirasakan jauh lebih selesa berbanding S70 Flagship X ini.
Untuk penumpang belakang, usah risau kerana tempat duduk baris kedua memang direka khas untuk anda menikmati keselesaan, dibantu dengan sistem pendingin hawa yang boleh tahan sejuk sepanjang masa.
3. Ciri shift-by-wire yang paling menyusahkan
Dalam dunia ini, terdapat pelbagai jenis sistem penukaran gear yang telah dicipta oleh pengeluar semata-mata untuk faktor cool di mata pengguna. Ada yang wujud dalam bentuk garis lurus, ada yang bengkang-bengkok, bersegi-segi dan ada yang mula menggunakan butang khas PRND.
Salah satu sistem yang menyusahkan pengguna sebenarnya wujud pada Proton S70.
Ciri penukaran gear shift-by-wire yang nampak ringkas ini memerlukan anda menarik dan menolak tuil gear berkali-kali untuk masuk ke dalam posisi gear yang diperlukan, dan ada kalanya ia langsung tidak masuk ke dalam posisi yang diinginkan.
Sistem yang rumit ini memang menyusahkan pemandu, terutama ketika sedang masuk parkir di kawasan yang sibuk waktu tengah hari, seperti contoh di kawasan sekitar Sunway Pyramid.
Bayangkan nak masuk petak parkir tapi tempoh masa yang diambil mengalahkan budak yang baru nak belajar memandu.
Lagi satu, sedan S70 ini langsung tiada paddle shifter! Jadi jika anda mahu menikmati penukaran gear secara manual pun kena tarik tolak tuil gear ke kiri atau ke kanan.
Ibarat abam Dominic Toretto acah tukar gear automatik Dodge Charger empat pintu dalam filem Fast Furious…
4. Kabin senyap, tapi luar bising macam trak pikap
Seperkara yang membuatkan Proton S70 ini terasa mahal dipandu ialah tahap kesenyapan kabin yang baik, walaupun ada kalanya diganggu dengan bunyi bising yang datang daripada golekan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 atas turapan jalan yang tidak berkualiti.
Bunyi bising angin yang datang dari arah luar tidak jelas kedengaran dari dalam kabin, malah bunyi bising enjin juga berjaya ditapis dengan baik bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan sepanjang pemanduan.
Setelah penat memandu, anda semestinya memerlukan masa untuk berehat.
Masa inilah anda boleh keluar dari kereta untuk menikmati bunyi enjin S70 melahu seakan bunyi trak pikap berenjin diesel. Orang sebelah pun mungkin terkejut bila mendengar S70 anda berperangai macam trak pikap.
5. Aspek pemanduan, bukan untuk mereka yang mahukan kepuasan
Usah salah sangka, penulis bukanlah bermaksud pemanduan Proton S70 ini langsung tidak sedap.
Berdasarkan pengalaman beberapa hari menguji, penulis juga amat suka dengan apa yang ditawarkan oleh S70.
Pertama, talaan respons stereng yang ringan dan mudah untuk dikawal, dan patuh pada setiap arahan pemandu, di mana maklum balas yang diterima agak baik.
Terdapat juga beberapa mod talaan termasuklah Comfort, Normal dan Sport untuk pemanduan yang lebih..err.. sporti!
Kedua, sistem suspensi yang telah diubah mengikut citarasa tempatan.
S70 secara standard datang dengan tetapan topang MacPherson di depan, dan torsion beam di belakang. Agak ringkas di situ. Menurut Proton, ia telah disesuaikan dengan keadaan jalan raya di Malaysia.
Berdasarkan pengalaman, sistem gantungan S70 ini dirasakan mampu menyerap segala hentakan dan ketidakrataan jalan dengan baik, tanpa menghasilkan gegaran dan bunyi bising ketara yang mampu mengganggu kesejahteraan penumpang.
Ketiga, casis Proton S70 yang memang mantap dan terasa mahalnya di situ.
Semasa menikmati jalan-jalan lama, boleh dirasakan casis S70 ini menghasilkan olengan badan yang terkawal, tidak terlalu agresif sehingga menyebabkan pemandu terpaksa bersilat dengan stereng.
Ketiga-tiga aspek ini bekerja dengan harmoni bagi memastikan pemanduan yang lebih mengujakan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia, terutama di kawasan yang berselekoh.
Cuma, bagi jiwa-jiwa yang sensitif, aspek pemanduan dan pengendalian Proton S70 ini masih lagi belum cukup sifat seperti yang pernah ditawarkan pada model-model sedan Proton terdahulu (Waja, Preve, Persona).
Respons stereng bantuan elektrik tersebut dirasakan tidak cukup sensitif dan sporti (walaupun dalam mod Sport), dan had yang ditunjukkan oleh suspensi torsion beam belakang sewaktu kereta ini dibelasah di selekoh juga menyebabkan S70 ini rasa sedikit tidak sempurna.
Tapi untuk golongan kebanyakan, tetapan standard yang dibawakan pada Proton S70 ini rasa sudah pun memadai.
Cuma kalau ada bajet lebih, tukar sahaja tayar asal kepada tayar yang lebih berprestasi.
Tahukah anda, penulis tidak pernah menyukai pemanduan X70, tapi Proton sebenarnya berjaya menjadikan pemanduan SUV tersebut lebih dinamik dengan penggunaan tayar Continental UltraContact UC6.
6. Kokpit ringkas, dah macam Tesla Model 3
Antara perkara yang membuatkan pengalaman pemanduan penulis rasa tidak teruja ialah susun atur ruang kabin yang mengingatkan penulis pada EV Tesla Model 3.
Ya, jujur kami cakap, rekaan papan pemuka Proton S70 merupakan antara yang terkemas Proton pernah tawarkan kepada pengguna, dengan kehadiran butang fungsi yang agak minimum untuk penampilan yang minimalis.
Namun, terlalu ringkas mungkin akan menyusahkan pengguna di kemudian hari, terutama bagi mereka yang masih lagi rindukan butang kawalan fizikal.
Seperti contoh, untuk membuka bumbung kaca, anda perlu mencari fungsi tersebut di dalam skrin infohibur, memandangkan tiada langsung butang fungsi khas disediakan pada tempat yang sepatutnya.
Sistem arahan berbentuk suara ‘Hi Proton’ ada kalanya lambat untuk bertindak, mungkin sekali disebabkan oleh sistem terpaksa memahamkan loghat Nismilan yang tak sengaja dikeluarkan semasa bersuara.
Samalah juga halnya apabila pemandu mahu mengubah mod pemanduan, jari jemari terpaksa menari di skrin infohibur terlebih dahulu sebelum dapat mengubah mod yang diinginkan.
Jadi, kebanyakan masa penulis lebih gemar membiarkan mod pemanduan dikekalkan pada mod Comfort.
7. Skrin kluster digital, tapi masih lagi ada perangai X70
Ciri skrin kluster digital merupakan satu perkara yang normal untuk kereta-kereta baharu, di mana untuk S70 anda boleh mendapatkan ciri ini menerusi dua varian tertinggi, iaitu Flagship dan Flagship X.
Skrin ini membawakan antaramuka (UI) yang lebih ringkas, mudah untuk dibaca dengan dua mod paparan iaitu cerah atau gelap.
Biarpun jauh lebih ringkas berbanding skrin yang wujud pada X70, ia tetap mewarisi satu ciri yang biasa didapati pada kereta buatan China, iaitu masalah paparan info yang berterabur dan cenderung untuk membuatkan pemandu rasa serabut.
Selain itu, penulis mendapati tidak banyak penyesuaian yang boleh dibuat seperti memilih paparan meter kelajuan berbentuk analog, atau tema grafik yang mampu membuatkan pemandu rasa teruja.
Mujur juga skrin tersebut boleh ditetapkan mod paparannya mengikut masa, jadi untuk tidak menyakitkan mata pada waktu siang, ubah saja paparan kepada mod gelap yang lebih menyenangkan pemandangan.
Cukup sudah tujuh perkara yang kami kurang gemar, ini pula senarai lima perkara yang membuatkan S70 ini satu model yang berbaloi untuk anda miliki:
1. Kelengkapan keselamatan lebih menyeluruh untuk sebuah sedan Proton
Sejak bertahun-tahun lamanya penulis mengimpikan Proton untuk menaik taraf sedan Persona dan Saga dengan ciri keselamatan yang lebih maju.
Sayang sekali, impian tersebut sukar untuk direalisasikan walaupun sudah beberapa model facelift bertaraf lima bintang ASEAN NCAP itu dilancarkan.
Kekecewaan tersebut akhirnya terubat dengan kehadiran Proton S70 Flagship X, di mana secara standard ia didatangkan dengan bermacam-macam akronim yang boleh membuatkan lidah terbelit.
Paling penting, sedan S70 kini datang dengan ciri pengesanan titik buta yang diintegrasikan ke dalam fungsi Bantuan Penukaran Lorong (LCA) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Ciri lain termasuklah enam beg udara, Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Informasi Papan Tanda Trafik (TSI), Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IIHBC) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) membuatkan S70 ini satu model yang agak berbaloi untuk dipertimbangkan.
2. Sistem kamera keliling yang jelas, terang dan nyata
Terlupa pula, skrin infohibur sebesar 12.3 inci itu sebenarnya masih lagi tidak menawarkan sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Nak bising lebih-lebih pun, memang Proton takkan buat untuk barisan model sedia ada. Tunggu sahaja kehadiran model baharu yang akan muncul kelak.
Cuma, penulis agak suka dengan tahap ketajaman grafik paparan yang wujud, ditambah pula dengan menu yang ringkas dan intuitif.
Walaupun ada kalanya rasa jengkel untuk tangan menari seketika pada skrin, sistem menu yang wujud pada skrin infohibur Proton S70 ini sebenarnya amat mudah untuk digunakan.
Selain itu, S70 juga datang dengan sistem kamera 360 darjah dengan paparan yang cukup jelas dan tajam, mengalahkan model pesaing yang lebih mahal harganya.
3. Sedan Proton yang paling jimat minyak?
Berdasarkan pengalaman memandu mana-mana sedan Proton (termasuklah sedan milik sendiri) sebelum ini, agak sukar untuk penulis mendapatkan satu bacaan yang positif.
Ini kerana Proton amat sinonim dengan barisan kereta yang sedap dipandu, akan tetapi pelahap bahan api. Sebut sahaja apa jua versi enjin empat silinder yang pernah Proton lancarkan sebelum ini.
Rata-rata model kereta Proton yang pernah penulis pandu uji sebelum ini sukar untuk melepasi angka 400 km untuk setangki minyak penuh, walaupun penulis sehabis baik memaksa kaki kanan untuk menjadi ringan semasa pemanduan.
Tapi dengan S70, penulis agak teruja kerana setangki penuh bahan api berkapasiti 50 liter itu membolehkan pemanduan melebihi 600 km berjaya dibuat tanpa perlu singgah stesen minyak dengan kerap.
Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 8.5 liter untuk setiap 100 km. Jadi, jimat ke tak jimat?
4. Tidak kedekut ruang
Secara asasnya, Proton S70 merupakan sebuah sedan yang dibina atas pelantar segmen B, namun dengan dimensi yang mampu menyaingi sedan dalam segmen C yang lebih besar.
Ukuran panjang kali lebar kali tinggi memang jauh mengatasi mana-mana model sedan dalam segmen B (Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera), malah dengan ruang kabin memang jauh lebih besar, luas dan selesa berbanding Proton Persona segmen B dan Persona segmen C.
Selain itu, Proton S70 mampu menawarkan ruang kargo yang jauh lebih praktikal di mana sehingga 500 liter muatan boleh diisi pada ruang but belakang.
Tidak cukup dengan itu, anda boleh mendapatkan ruang barangan ekstra untuk meletakkan peranti pintar atau barangan lain pada ruang bawah konsol tengah, terima kasih kepada penggunaan sistem shift-by-wire yang menyusahkan.
5. Harga jualan yang memang berbaloi-baloi
Proton S70 varian Flagship X yang kami pandu uji ini dijual pada harga bermula dari RM94,800 sahaja, di mana anda akan mendapat kelengkapan tambahan seperti bumbung suria dan alat perakam video digital (DVR) tunggal.
Jelas sekali di penghujung hari, Proton S70 Flagship X ini merupakan satu pembelian yang sangat berbaloi jika anda merasakan kereta-kereta segmen B pada julat harga tersebut tidak cukup premium, atau harga sedan segmen C Jepun yang masih lagi di luar kemampuan.
Namun jika anda langsung tidak mementingkan elemen moden, kemewahan dan keselamatan canggih yang wujud pada varian Flagship X, masih wujud varian asas Executive dengan harga bermula dari RM73,800.
Bagi penulis, varian standard ini sudah lebih daripada mencukupi di mana ia masih lagi didatangkan dengan lampu halogen, lampu DRL LED, rim 16 inci, kelengkapan keselamatan ADAS asas (RCW, LCA, DOW, & RCTA).
Paling penting, varian asas ini juga dirasakan lebih selesa untuk pemandu dengan kehadiran tempat duduk balutan fabrik yang lebih menyokong postur pemandu dan paling penting, paparan meter analog tradisional!
Kejap, ini ulasan S70 Flagship X atau S70 Executive?
Spesifikasi ringkas Proton S70 2024
Enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa 150 PS @ 5,500 rpm
Daya kilas 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm
Kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan
Sistem pacuan roda depan
Suspensi topang MacPherson hadapan/torsion beam belakang
Ruang kargo 500 liter
Tangki bahan api 50 liter
Harga RM94,800
ZEEKR, jenama kenderaan elektrik (EV) mewah di bawah Kumpulan Geely, dilaporkan telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Sentinel Automotive Sdn. Bhd. untuk pengedaran EV jenama itu di Malaysia.
Menurut CarNewsChina (CNC), perjanjian tersebut dimeterai pada 8 Jun lalu. Zeekr turut menandatangani perjanjian yang sama dengan sebuah syarikat dari Indonesia iaitu PT Premium Auto Prima.
Portal automotif dari China itu turut melaporkan yang jenama itu akan membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur, diikuti dengan cawangan-cawangan lain di Selangor dan Pulau Pinang yang dijangka mula dibina tahun ini.
Model pertama yang akan dibawa masuk ke Malaysia dan Indonesia adalah X dan 009. Sebelum ini, CNC melaporkan unit X pemanduan sebelah kanan telah mula dikeluarkan dari kilang di China dan akan dieksport ke pasaran luar bermula suku ketiga tahun ini.
X merupakan SUV kompak elektrik yang dibina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA), seperti mana-mana model keluaran Zeekr yang lain.
Berdasarkan data teknikal yang diperoleh dari laman web Zeekr, ia mempunyai ukuran panjang 4,432 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,566 mm dan jarak roda 2,750 mm.
Ia boleh didapati dalam versi RWD dan AWD. Versi RWD mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 272 hp dan 343 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 10o km/j dalam 5.6 saat.
Sementara itu, versi AWD dengan konfigurasi motor elektrik berkembar pula mempunyai 428 hp dan 543 Nm. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j, sama dengan RWD.
Kedua-dua versi dilengkapi dengan bateri berkapasiti 69 kWj, yang memberikan jarak gerak kitaran WLTP sejauh 440 km pada RWD dan 400 km pada AWD.
Sementara itu, 009 merupakan MPV mewah dengan ukuran panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,848 mm dan jarak roda 3,205 mm.
Ia dipacu oleh dua motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 544 PS, membantu 009 melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.5 saat.
Untuk bateri pula, 009 dikatakan kenderaan pertama di dunia yang dilengkapi dengan bateri CATL berkapasiti 140 kWj. Bateri itu menawarkan jarak pandu sehingga 822 km berdasarkan kitaran CLTC.
Geely dan Renault telah memuktamadkan penubuhan syarikat kerjasama baharu yang dinamakan sebagai Horse Powertrain Limited yang akan menumpukan perhatian kepada penghasilan enjin pembakaran dalaman (ICE) generasi baharu.
Syarikat usahasama dengan pemilikan 50:50 itu beribu pejabat di London, di mana mereka merancang untuk menghasilkan sehingga lima juta unit enjin dalam tempoh setahun.
Ini kerana, Renault dan Geely masih lagi percaya teknologi ICE masih lagi diperlukan untuk mengurangkan pelepasan karbon di atas muka bumi.
Mereka juga menjangkakan lebih separuh kenderaan yang diproduksikan akan bergantung kepada teknologi tersebut menjelang 2040.
Selain daripada membangunkan komponen penting seperti enjin, transmisi, sistem hibrid dan pek bateri, Horse Powertrain juga akan melihat keperluan penggunaan bahan api alternatif termasuklah ethanol, methanol dan hidrogen.
Menariknya, enjin-enjin yang dibangunkan oleh Horse Powertrain akan dibekalkan kepada syarikat-syarikat automotif utama dunia termasuklah Renault, Geely, Mitsubishi, Nissan, Volvo dan juga syarikat automotif tempatan Proton!
Difahamkan, Horse Powertrain mempunyai 17 fasiliti kilang di seluruh dunia, lima pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan kekuatan tenaga pekerja seramai 15,000 orang.
Ketua eksekutif Renault, Luca de Meo berkata, “hari ini menandakan satu langkah penting dalam menghadapi cabaran terbesar yang dihadapi oleh industri automotif: penyahkarbonan pengangkutan jalan raya.
“Menjalinkan kerjasama dengan syarikat terkemuka seperti Geely untuk mencipta pemain baharu dengan keupayaan dan kepakaran membangunkan enjin pembakaran dalaman emisi ultra-rendah dan teknologi hibrid ekonomi tinggi merupakan kunci untuk masa hadapan.
Pengerusi Geely, Eric Li menambah, “Untuk industri mencapai emisi sifar bersih untuk dekad berikutnya, sinergi global, pelbagai teknologi dan perkongsian kepakaran merupakan perkara penting. Inilah sebabnya kami gembira kerjasama dengan Kumpulan Renault kini mencapai realiti komersial pada hari ini.
Syarikat pengeluar kereta nasional Proton secara rasmi membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terletak di Institut Penyelidikan Automobil Geely (GRI), Teluk Hangzhou, China.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Tan Sri Syed Faisal Albar selaku Pengerusi PROTON; Syed Farizal Aminy Syed Mohamad, Konsul Jeneral, Konsulat Jeneral Malaysia, Shanghai; Jerry Gan, Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group; Li Chuanhai, Presiden Institut Penyelidikan Automobil Geely; Cai Shijie, Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pentadbiran Daerah Baru Teluk Hangzhou; Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON; bersama Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.
Pembukaan fasiliti itu juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun yang ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.
Fasiliti R&D itu merupakan pusat R&D global kumpulan Geely keenam yang dibuka sebagai pelengkap kepada kemudahan pusat R&D sedia ada di Shah Alam dan Tanjong Malim, Malaysia.
Dengan kekuatan tenaga pekerja sekitar 50 orang, pusat R&D ini akan membantu meningkatkan kerjasama rentas sempadan, selain memudahkan pemindahan pengetahuan antara Proton dan Geely, serta memacu inovasi untuk produk yang sesuai bagi memenuhi keperluan pelanggan Proton.
Selain daripada itu, ia juga turut berfungsi sebagai platform penghubung yang kritikal untuk Proton melibatkan diri dengan vendor berkebolehan untuk pembangunan berterusan di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak di samping memberi tumpuan kepada bidang kitaran hayat perniagaan penuh seperti kualiti, pemerolehan dan pembuatan.
Pusat R&D Proton di China mempunyai tiga jabatan bagi memastikan operasi yang lancar, iaitu: Institut Penyelidikan Pusat – bertanggungjawab menyelaras sistem R&D bagi kenderaan dan mengukuhkan keupayaan teknologi Proton Pusat Pembangunan Perisikan Data – pembangunan, penyelidikan, dan penyampaian data besar serta kecerdasan buatan sebelum merangka pelan penggunaan produk Pusat Pendigitalan R&D – meneroka dan mengurus keperluan pendigitalan sistem R&D, dan merumuskan strategi untuk transformasi digital