Tag Archives: gla200

Mercedes GLA250 4Matic 2024 – Kemasan AMG Line, sistem mild-hybrid 48-volt, RM296k

SELEPAS beberapa bulan pengenalan GLA200 facelift, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini melancarkan pula GLA250 4Matic AMG Line. Ianya versi yang lebih berkuasa dengan penggayaan lebih sporti.

Seperti biasa, berbanding GLA200 yang mendapat enjin Renault 1.3-liter turbo, varian GLA250 ini dikuasakan enjin Mercedes sendiri – 2.0-liter 4-silinder turbo dengan output 224PS dan 350Nm tork.

Output ini disalurkan ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 8-kelajuan dan sistem pacuan 4Matic. Apa yang baharu ialah GLA250 juga mendapat sistem mild-hybrid yang terdiri dari belt starter generator (BSG) 48-volt, menyumbang kepada tambahan kuasa 14PS dan 150Nm.

Hasilnya, prestasi pecutan 0-100 ialah 6.8 saat, lebih satu saat lebih pantas dari GLA200. Kelajuan maksima pula ialah 240km/j.

Dari segi kelengkapan luaran, Mercedes GLA250 4Matic baharu ini didatangkan dengan bampar AMG sporti, lampu LED High Performance dengan grafik baharu, lampu belakang baharu, diffuser, dan rim AMG 19-inci 5-bilah. Terdapat juga brek sport dengan cakera berongga.

Ciri standard lain termasuklah rel bumbung, suspensi sport, keyless entry, sistem pendingin hawa satu-zon, lampu ambien 64-warna, pengecas tanpa wayar Qi, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera undur, dan pintu but berkuasa.

Bahagian kabin pula menampilkan stereng baharu dengan kawalan sesentuh, MBUX dikemaskini dengan skrin 10.25-inci, dan paparan instrumen 10.25-inci.

Jajan AMG pada GLA250 adalah tempat duduk sports, kemasan kulit Artico dengan Microcut, kemasan aluminium berusan, pedal aloi, siling hitam, dan pemijak sisi bernyala.

Ciri keselamatan terdiri dari Autonomous Emergency Braking, Blind Spot monitoring, Door Opening Warning, dan Park Assist.

Mercedes GLA250 4Matic AMG Line ditawarkan pada harga RM295,888 tanpa insurans. Ini termasuk dengan jaminan empat-tahun tanpa had perbatuan.

Baca juga: Mercedes-AMG GLA35: Pau kari yang panas dan pedas – Pandu uji

Mercedes GLA200 2024 dengan lampu LED High Performance, RM258,888

SUV permulaan untuk Mercedes, iaitu GLA200, telah diberikan facelift oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM). Ia menampilkan peningkatan dari segi penampilan serta kelengkapan dan teknologi dalam kabin.

Bahagian luaran Mercedes GLA200 kini menampilkan gril baharu dengan logo besar di tengah, kemasan hitam, dan rim 18-inci aloi lima bilah yang aerodinamik. SUV kompak ini juga mendapat lampu LED High Performance dengan Adaptive Highbeam.

Kabinnya diberikan kemasan Star Pattern untuk kontras menarik. GLA200 2024 juga dilengkapi dengan skrin berkembar 10.25-inci, tempat duduk kulit Artico, stereng sports dengan butang pelbagai fungsi, dan beberapa cara lipatan tempat duduk belakang untuk meningkatkan praktikaliti.

Sistem MBUX (Mercedes Benz User Experience) pada GLA ini merupakan generasi terkini. Ia mengandungi fungsi Navigation Assistance, lampu ambien 64 warna, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto. GLA200 juga mendapat lima soket pengecas USB-C dengan cahaya.

Ciri keselamatan juga dipertingkat. GLA200 kini didatangkan dengan Blind Spot Assist, Exit Warning Assist, Active Brake Assist, dan Parking Package bersama Mirror Package. Teknologi lain pada SUV ini termasuklah Keyless-Go, Handsfree Access, Tirefit, dan pintu but berkuasa Easy-Pack.

Mercedes GLA200 dikuasakan oleh enjin 1.3-liter dengan output 163hp dan 250Nm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan 7G-DCT, membolehkan SUV pacuan roda-depan ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa 8.9 saat.

Dynamic Select juga hadir sebagai standard, dengan pilihan Sport, Comfort, dan Eco. Tetapan-tetapan ini akan melaras respon enjin, kotak gear, suspensi, dan stereng.

Mercedes GLA200 2024 merupakan model CKD, ditawarkan pada harga RM258,888 (atas jalan tanpa insurans). Anda juga boleh memilih SUV ini dengan warna baharu Spectral Blue.