WTC Automotif (M) Sdn Bhd selaku subsidiari Warisan TC Holdings secara rasmi membuka pusat pameran bertaraf 3S yang menempatkan jenama GAC dan AION di Glenmarie.
Bilik pameran GAC memiliki keluasan 456 meter persegi yang mampu memuatkan tiga kenderaan untuk dipamerkan, sementara bilik pameran AION pula berkeluasan 644 meter persegi yang menempatkan ruang rehat pelanggan serta ruang pameran yang mampu memuatkan sehingga enam buah kereta.
Kedua-dua bilik pameran beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang untuk hari biasa, tutup pada pukul 6.00 petang pada hari Sabtu dan 5.00 petang untuk hari Ahad dan cuti umum.
Sementara pusat servis GAC dan AION Glenmarie pula berkeluasan 10,878 meter persegi dilengkapi dengan 10 ruang kerja, disokong oleh juruteknik yang bertauliah, konsultan servis dan pasukan sokongan selepas jualan.
Waktu operasi pusat servis dihadkan dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap Isnin hingga Sabtu sahaja.
Terdapat juga ruang permainan khas untuk kanak-kanak, ruang kopi serta ruang khas menjual barangan eksklusif GAC dan AION.
Bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali, pusat pameran GAC & AION Glenmarie akan mengadakan acara khas pada 26-27 Oktober bermula 10 pagi hingga 5 petang di mana para pelanggan boleh memandu uji barisan kenderaan terkini serta demonstrasi pelbagai ciri moden yang wujud pada model GAC dan AION.
Pelanggan juga boleh melihat varian standard GAC GS3 EMZOOM yang dipamerkan, serta kemunculan khas SUV elektrik AION Hyptec HT yang menampilkan pintu belakang ‘falcon‘.