Tag Archives: google maps

Habis terlondeh, Google Maps tarik semula sekatan terhadap imej-imej strategik tentera Rusia

PIHAK Google Maps didakwa telah ‘menarik balik’ (uncensored) sekatan terhadap imej-imej satelit yang memaparkan lokasi-lokasi sensitif di Rusia termasuk kawasan-kawasan strategik tentera negara itu.

Imej-imej di Google Maps itu memaparkan pangkalan-pangkalan tentera Rusia, tapak pelancaran peluru berpandu balistik, pusat pemerintahan tentera dan pelbagai aset strategik negara itu termasuk kapal-kapal perangnya.

Resolusi imej-imej satelit Google Maps itu adalah tinggi pada kadar 0.5 meter satu pixel.

Antara imej satelit terbabit termasuklah imej kapal pengangkut pesawat Rusia Admiral Kuznetsov di pelabuhan, kapal perang berkuasa nuklear Peter The Great di Murmansk dan kruiser kelas-Slava Marshal Ustinov.

Imej satelit Google Maps juga menunjukkan keadaan di sebuah pangkalan udara di Kursk dengan kehadiran pesawat-pesawat pejuang.

Pihak tentera Ukraine mendakwa bahawa tindakan oleh menarik balik sekatan imej sensitif Rusia oleh pihak Google Maps itu berkait-rapat dengan konflik antara negara kedua-dua negara, tetapi ianya dinafikan oleh pihak Google.

Pihak Google menerusi jurucakapnya berkata, imej-imej satelit menunjukkan lokasi tentera Rusia boleh diakses sejak sebelum terjadinya konflik Rusia-Ukraine kerana syarikat gergasi itu tidak pernah melakukan sebarang sekatan.

Pihak Google sebelum ini didakwa melakukan sekatan terhadap imej-imej satelit lokasi tentera dengan cara mengaburkannya.

Google Maps akan mula papar harga tol dalam aplikasi

GOOGLE Maps akan mula memaparkan harga tol dalam aplikasi mereka. Sebelum ini, aplikasi navigasi itu hanya menunjukkan laluan ke lokasi sama ada mempunyai tol atau tidak tanpa memaparkan sebarang kos.

Menurut Soya Cincau, berdasarkan mesej yang dihantar kepada ahli program pratonton Google Maps, ciri utama yang akan ditambah selepas ini adalah paparan harga secara automatik, untuk tol di jalan raya dan kos tambahan lain di laluan navigasi pengguna.

Mereka telah diminta untuk menyelesaikan tinjauan bagi membantu pasukan pembangun Google Maps menambah ciri itu.

Kos tol ini akan dipaparkan pada laluan tertentu sebelum pengguna pilih untuk melaluinya. Jadi anda boleh pilih laluan perjalanan berdasarkan faktor masa atau kos selepas ini.

Kemungkinan ciri ini akan mula dilancarkan kepada pengguna dalam beberapa minggu akan datang. Namun, tidak diketahui lagi sama ada ia akan dilancarkan untuk semua pengguna atau di negara tertentu sahaja.

Ciri ini sudah tersedia di Waze sejak 2019, ia menganggarkan harga tol berdasarkan maklumat yang ditambah oleh komuniti Waze.

Perkara ini pastinya memudahkan pengguna, lebih-lebih lagi jika baki di dalam Touch n Go tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya pengguna boleh ambil laluan tanpa tol atau tambah nilai Touch n Go sebelum memulakan perjalanan.