Tidak cukup dengan barisan model kereta sports sedia ada (GR Supra, GR Yaris, GR Corolla & GR86), Toyota Gazoo Racing merancang untuk menghidupkan semula beberapa nama ikonik yang pernah mewarnai dunia satu ketika dahulu.
Antaranya ialah Toyota MR2/MRS dan Toyota Starlet.
Laporan terbaharu dari Jepun mendedahkan Toyota mahu nama Celica dikembalikan semula sebagai salah sebuah model berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing.
Tidak seperti ura-ura yang tersebar pada tahun lepas, Toyota mahu menggunakan pendekatan yang lebih tradisional, di mana Celica akan muncul semula sebagai salah satu model GR yang dipadankan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0L berkuasa 400 hp.
Penerbitan Jepun itu turut mendedahkan pembangunan enjin berprestasi tinggi itu sebenarnya telah pun dimulakan sejak beberapa tahun lalu dan siap sepenuhnya sebelum ia diumumkan oleh Akio Toyoda pada acara Tokyo Auto Salon 2024.
Dengan padanan sistem pacuan semua roda AWD GR-Four, ia merupakan satu langkah yang tepat untuk menghidupkan semula semangat Celica GT-Four dan dalam masa yang sama memberikan satu penghormatan kepada kejayaan model-model Celica terdahulu di dalam sukan rali.
Best Car Web mendakwa model Celica baharu ini akan diperlihatkan seawal Januari tahun depan, bertempat di Tokyo Auto Salon 2025.
Selain Celica, Toyota juga dilapor sedang membangunkan sebuah hot hatch aras mula Starlet yang direka sebagai jentera fokus rali dalam kelas Rally4 WRC.
Tidak seperti model GR Yaris yang lebih lengkap dan ampuh spesifikasinya, ‘GR Starlet’ ini akan mengguna pakai enjin turbo tiga silinder sebaris namun dengan sesaran yang lebih kecil (1.3 liter) dan sistem pacuan roda hadapan yang lebih ringkas.
Nadi yang sama juga akan digunakan oleh Toyota untuk sebuah lagi model kereta sports pacuan roda belakang aras mula S-FR, di mana coupe cilik RWD itu dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 150 PS dan 220 Nm.