Tag Archives: gr-sport

Toyota Corolla GR Sport – Sekadar tepek emblem?

BAGUS sebenarnya sesebuah pengeluar mempunyai ‘halo car’ atau kereta yang terhebat dalam barisan model mereka. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi aspirasi pengguna yang belum cukup bajet dengan membeli model-model yang lebih mampu milik.

Sebagai contoh, Honda ada Civic Type R, maka peminat yang belum mampu boleh membeli Civic FE. Proton dulu ada Satria GTi, peminat boleh membeli Satria biasa. Dan Mazda dulu ada RX-7, peminat yang sedang menabung boleh membeli Mazda3 dahulu.

Toyota pula sekarang ada barisan kenderaan prestasi tinggi seperti GR Yaris, GR Corolla dan GR Supra. Jadi adakah ia mampu melariskan jualan Corolla dan Vios?

Eh ada juga model pertengahan, iaitu Corolla GR Sport. Ya, GR Sport sama seperti AMG Line untuk Mercedes atau M Sport untuk BMW; bukan all-out high performance, tetapi masih dapat ‘jajan’ sporti.

Kenapa perlu ada GR Sport?

Memandangkan Toyota Corolla sedan sudah berada dalam pasaran sejak 2019, maka bersesuaian untuk UMW Toyota memperkenalkan versi GR Sport sebagai pembaharuan atau facelift. Corolla GR Sport dilancarkan pada Ogos 2023, kira-kira empat tahun selepas pelancaran Corolla sedan.

Ini juga susulan pengenalan lima model GR secara serentak tahun lepas – GR86, GR Supra 6MT, GR Corolla, Hilux GR Sport, dan Corolla Cross GR Sport. Maka, Corolla sedan juga ibaratnya menunggu masa sahaja untuk di-GR-kan.

Dari sudut persaingan segmen-C pula, bagi penulis ini mungkin jawapan Toyota kepada Honda Civic FE di Malaysia. Jika dulu Honda Civic FC facelift pernah diberikan tayar Michelin Pilot Sport kerana Corolla mendapat Michelin Primacy, penulis anggap pengenalan GR Sport ini juga jawapan kepada Honda.

Sekadar tepek emblem?

Adakah ini sekadar tepek emblem GR? Tidak juga, lebih dari itu. Toyota Corolla GR Sport ini dilengkapi dengan bampar depan lebih agresif, bampar belakang dengan kemasan diffuser, tulisan-tulisan GR di merata badan luar dan dalam, dan grafik meter baharu yang lebih sporti.

Paling penting dan paling penulis suka, ialah rim lebih besar 18-inci, berbanding 17-inci pada model biasa. Kemudian tayar Dunlop SP Sport Maxx 225/40 yang nampak lebih sporti berbanding Michelin Primacy 225/45.

Akhir sekali ialah suspensi yang – menurut UMW Toyota – telah ditala semula penyerap hentak, spring, dan bar anti-olengnya.

Banyak juga ya? Cukup lazat? Oh ya, enjin tidak diusik, masih mengekalkan penggunaan 1.8-liter 2ZR-FE naturally-aspirated dengan 138hp dan 172Nm, dipadankan dengan CVT.

Kira ok juga lah, sebab harga pun bertambah RM5,000 sahaja berbanding Corolla biasa. Versi GR Sport ini dijual pada harga RM152,800. Bagi penulis, memberikan nilai wang yang cukup menarik jika dilihat perubahan dan talaan yang diberikan.

Cuma grafik meter ada satu perkara kurang memuaskan. Bila anda tukar mod, terdapat animasi Toyota Corolla bergerak tetapi dari rekaan rim yang dipaparkan, seperti Corolla biasa dan bukannya GR Sport. Sekadar komen untuk perkara yang tidak berapa penting.

Jadi, memang seronok dipandu?

Ya, seronok dipandu. Penulis masih ingat Toyota Corolla biasa dulu memang senyap, sangat refined, tetapi boleh dikerah laju jika anda mahu bergegas. Toyota Corolla GR Sport ini pula kebanyakan kawalannya lebih keras dan jitu.

Disebabkan suspensinya ditala semula pada agak banyak komponen, anda boleh terus merasainya. Sebagai contoh bila melalui bonggol, wah keras dan mantap juga serapan suspensinya.

Stereng juga sangat menerus atau direct. Sedikit input anda berikan ke kiri atau kanan, terus input ini dipindahkan ke badan kereta. Hampir tiada langsung free play di tengah stereng.

Talaan stereng yang tepat ini memberikan anda sensasi kepuasan semasa memandu di kelajuan tiga digit. Pada masa yang sama, ada rasa keyakinan memandu dan menjurus kepada meningkatnya tahap keselamatan.

Casis TNGA (Toyota New Global Architecture) pada Corolla biasa pun sudah boleh membuatkan kereta itu stabil dan senyap, dengan versi GR Sport ini ia menyerlahkan lagi kemampuan casis.

Cuma bila anda pandu Corolla GR Sport ini, jangan guna mod Sport kerana penulis dapati tetapan CVT-nya terlalu sensitif. Pedal minyak memang sedap dalam Sport. Tetapi untuk kepuasan dalam semua situasi, guna sahaja mod Normal.

Pedal minyak masih mengikut ‘input’ kaki, dan tindak balas CVT pula lebih semula jadi. Pemanduan secara keseluruhan lebih tenang tetapi kekal sporti.

Boleh pakai daily?

Dengan jiwa GR, sudah tentu Toyota Corolla ini masih boleh digunakan seharian! Ia bukanlah jentera prestasi tinggi yang terlalu fokus. Ia masih 80 peratus sedan keluarga, mungkin 20 peratus sahaja bersifat kereta sport.

Anda masih dapat praktikaliti harian sebuah sedan segmen-C. Seperti penulis katakan, kereta ini senyap, stabil, penulis berjaya pandu dengan lebih laju dari kebiasaan tetapi semua empat penumpang lena tidur. Magik casis TNGA dan input lancar penulis kot, ehem.

Corolla GR Sport masih sebuah sedan biasa, cuma pengalaman pemanduannya disuntik sedikit elemen sporti.

Dengan pemanduan seperti biasa, ada memecut, duduk dalam kesesakan trafik, bawa penumpang dan barangan, penulis masih dapat 9.0L per 100km, bersamaan 11.11km/liter.

Untuk siapa?

Bagi penulis, ada dua jenis pembeli sesuai untuk Toyota Corolla GR Sport ini. Pertama, mereka yang rasa segmen-C terlalu dibanjiri dengan Honda. Nak pilih Mazda, masih di luar bajet.

Jadi Corolla GR Sport di tengah-tengah. Sedikit kelainan, tetapi harga masih boleh tengok, orang kata.

Kedua, adalah jenis pembeli yang taksub dengan jenama Toyota atau Gazoo Racing. Pembeli ini berminat untuk menyambar GR Yaris bila harga terpakai kurang RM180,000 nanti, jadi sementara itu ambil Corolla GR Sport dahulu. Buat raso-raso

Spesifikasi Toyota Corolla GR Sport

Harga: RM152,800
Enjin: 2.0-liter naturally-aspirated 4-silinder
Kotak gear: CVT
Kuasa: 138hp @ 6,400rpm
Tork: 172Nm @ 4,000rpm

Toyota Corolla Active Sport, bentuk sedan atau wagon, tetap sporti tanpa lencana GR Sport

Di Malaysia, UMW Toyota telah pun melancarkan Corolla versi kemaskini pada tahun lepas, di mana pelanggan kini boleh mendapatkan sedan segmen C yang lebih sporti menerusi penawaran varian Corolla GR Sport.

Namun, pendekatan yang berbeza telah digunakan di Jepun, di mana pembeli di sana boleh mendapatkan pakej talaan yang hampir serupa tanpa sebarang tampalan emblem GR Sport.

 

 

Untuk pasaran Negara Matahari Terbit, Toyota Corolla Active Sport 2024 hanya boleh didapati dalam versi sedan dan wagon (touring) sahaja.

Antara perincian sporti yang diberikan termasuklah bampar depan yang telah direka semula mirip GR Yaris facelift, rim aloi baharu bersaiz 17 inci, skirt sisi dengan logo Active Sport, kemasan aksen hitam piano, serta tiga pilihan warna – putih, hitam atau kelabu – yang boleh digandingkan dengan bumbung hitam.

 

 

Meneruskan tema Active Sport, ruang kabin Corolla ini telah dihiasi dengan sepasang tempat duduk sports balutan kulit sintetik dan Blancnove, kemasan jahitan kelabu, pedal aluminium serta alas lantai.

Akhir sekali, kedua-dua Corolla Active Sport sedan dan wagon ini telah diberikan tetapan suspensi dan stereng yang ditala semula, menawarkan pengendalian yang lebih menyeronokkan.

 

 

Secara asasnya, naik taraf yang diberikan pada model Active Sport ini mirip kepada apa yang wujud pada model GR Sport, namun ia dikhaskan untuk model pacuan roda depan sahaja.

Spesifikasi enjin sayang sekali masih lagi standard kilang, di mana sedan dan wagon ini mengekalkan nadi hibrid 1.8 liter yang dipadankan dengan sistem pacuan roda depan atau pacuan semua roda (E-Four).

Di Jepun, Toyota Corolla Active Sport dijual pada harga bermula dari ¥3,140,300 (RM98,418) untuk versi sedan 2WD, sehinggalah ¥3,388,300 (RM106,190) untuk versi Touring E-Four.

 

Toyota Corolla bakal dapat varian GR Sport? RM153k harga anggaran

NAMPAKNYA Toyota Corolla akan menjadi model seterusnya yang diberikan ‘perisa’ GR Sport. Menurut laporan rakan media di Paultan, UMW Toyota nampaknya telah mengemas kini senarai harga Corolla di laman web mereka.

Bila dilihat pada senarai harga, terdapat “GR Sport package” dengan harga tambahan RM5,000 selain dari dua varian sedia ada iaitu 1.8E dan 1.8G. Varian 1.8G berharga RM147,800 jadi sekiranya Corolla GR Sport dilancarkan nanti, harganya mungkin RM152,800.

Untuk pakej GR Sport, anda akan dapat komponen GR Sport terdiri dari bampar depan, rim aloi, kemasan khas kabin, dan talaan suspensi.

Tiada gambar disiarkan oleh pihak UMW Toyota, maka sebab itu harganya cuma anggaran dan bukan tetap. Mungkin aka nada teaser sebelum pelancaran nanti.

Untuk gambar di artikel ini, kami ambil contoh dari laman web Toyota Taiwan. Dapat dilihat pada talaan suspensi, ia mendapat penyerap hentak berbeza dan bar anti-oleng lebih tebal.

Buat masa ini, barisan model di bawah GR Sport adalah Hilux dan Corolla Cross. UMW Toyota juga pernah memperkenalkan Vios GR Sport dari model generasi sebelum ini.

Apa pun, kita tunggu dan lihat pelancaran rasmi nanti. Menarik? Anda rasa ia boleh beri saingan terhadap Honda Civic e:HEV RS?

5 Toyota GR baru mendarat di Malaysia – Supra 6MT, GR Corolla, GR86, Hilux dan Corolla Cross GR Sport

HARI ini pastinya menjadi highlight buat UMW Toyota Motor (UMWT) untuk tahun 2023, kerana mereka bukan melancarkan satu atau dua, tetapi lima model sekaligus. Dan kesemua model ini adalah GR dan GR Sport.

Mari kita lihatkan satu per satu.

GR Supra 6MT

Hero kepada pelancaran kali ini sudah tentu Toyota GR Supra 6MT, iaitu dengan kotak gear manual 6-kelajuan. Jika anda masih ingat, Supra A90 pada 2019 mula dilancarkan dengan kotak gear automatik sahaja, tetapi April 2022 Toyota telah memperkenalkan varian manual kepada model ini.

Tetapi bagi anda yang malas untuk menggunakan kaki kiri terlalu kerap, masih boleh memilih kotak gear automatik 8-kelajuan seperti sebelum ini.

Enjin: 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris
Output: 382hp, 500Nm
Kotak gear: Manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan
Ciri utama: iMT rev-matching, Adaptive Variable Suspension, mod pemanduan Sports dan Normal, rim 19-inci, Head Up Display, sistem audio JBL
Harga: RM645,000 (manual), RM655,000 (automatik)

GR Corolla

Seterusnya ialah GR Corolla. Hm mungkin model ini juga boleh menjadi hero pelancaran, penulis pun sudah keliru kerana kebanyakan model kali ini cukup mengujakan.

GR Corolla ialah hot hatch dengan mekanikal yang diambil dari GR Yaris, bermakna ia mendapat enjin 1.6-liter turbo, pacuan semua-roda GR-Four dan hanya hadir dengan kotak gear mandatori: manual 6-kelajuan.

Enjin: 1.6-liter turbo 3-silinder
Output: 300hp, 370Nm
Kotak gear: Manual 6-kelajuan
Ciri utama: Sistem pacuan GR-Four, iMT rev-matching, LSD Torsen, rim 18-inci, tayar Yokohama Advan, Toyota Safety Sense
Harga: RM355,000

GR86

Model ketiga ialah generasi serba baharu untuk coupe sports kecil dua-pintu Toyota, iaitu GR86. Dibangunkan bersama Subaru, model ini menawarkan pemanduan lebih pure, iaitu enjin naturally-aspirated tanpa turbo seperti Supra dan GR Corolla, selain pacuan roda-belakang dan casis seimbang.

Antara pembaharuan berbanding generasi sebelum ini ialah enjin boxer 4-silinder yang kini bersesaran lebih besar, kini 2.4-liter berbanding 2.0-liter sebelum ini. Ia menjurus kepada peningkatan kuasa dan tork, serta mungkin juga lebih seronok dipandu.

Enjin: 2.4-liter naturally-aspirated boxer
Output: 232hp, 250Nm
Kotak gear: Manual atau automatik, 6-kelajuan
0-100: 6.3 saat
Ciri utama: Paparan infotainmen 8-inci dengan Apple Carplay dan Android Auto, tempat duduk suede-kulit, tujuh beg udara, pakej sistem keselamatan aktif
Harga: RM296,354 (manual), RM306,354 (automatik)

Hilux GR Sport

Ya, anda tidak salah baca. Hilux juga kini mendapat sentuhan GR, apa salahnya, bukan? Malah terdapat banyak versi Hilux GR Sport di seluruh dunia, tetapi kita mendapat versi yang agak serupa dengan Thailand.

Hilux ini bukan hanya membawa imej GR, ia tetap mendapat beberapa komponen seperti penyerap hentak monotube sport dan paddle-shifter.

Enjin: 2.8-liter turbodiesel
Output: 204PS, 500Nm
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Ciri utama: Penyerap hentak sport, kit GR Sport pada gril, fender, sports bar dan antena, kaliper brek merah, rim aloi 18-inci
Harga: RM159,880

Corolla Cross GR Sport

Akhir sekali, talaan GR Sport diberikan kepada SUV popular Toyota, iaitu Corolla Cross. Ia hadir dengan warna badan dwi-tona; kemasan hitam pada cermin sisi, bumbung, spoiler, dan gril depan untuk rupa lebih sporti.

Enjin: 1.8-liter naturally-aspirated 4-silinder
Output: 139hp, 172Nm
Kotak gear: CVT
Ciri utama: Badan dwi-warna, kemasan GR Sport, rim 18-inci, ECU sport, suspensi sport, Toyota Safety Sense
Harga: RM142,000

Galeri

Toyota Hilux Revo GR Sport dengan penampilan lebih garang dan sporti, untuk Thailand sahaja

TOYOTA dilihat semakin aktif memperkembangkan barisan model GR Sport mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di Malaysia, syarikat itu membuka langkah dengan melancarkan Vios GR Sport pada Disember 2020.

Dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia, sedan kompak itu tampil dengan beberapa penambahbaikan seperti kit badan sporty dan sistem suspensi yang ditala semula.

Sementara itu, Thailand pula mendapat model GR Sport pertama mereka iaitu Corolla Altis GR Sport setahun lebih awal. Kini, tiba giliran Hilux Revo GR Sport pula menerjah pasaran trak pikap negara itu.

Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 4WD Hi-Floor yang berasaskan Hilux Revo Rocco (dikenali sebagai Rogue di Malaysia) dan 2WD Lo-Floor yang berasaskan Hilux Revo Z-Edition. Masing-masing mempunyai penampilan dan karakter yang tersendiri.

Untuk bahagian luaran, varian Hi-Floor mendapat satu elemen visual yang ‘dipinjam’ daripada Land Cruiser iaitu tulisan ‘TOYOTA’ di tengah-tengah gril. Kemasan hitam di sekeliling gril dan badan kini didatangkan dalam warna yang sama dengan warna badan, manakala bahagian sisi dan tailgate dihiasi dengan grafik GR Sport.

Di belakang pula, terdapat sport bar berwarna hitam metalik yang didatangkan lengkap dengan lampu LED. Imej agresif trak ini dilengkapkan lagi menerusi kehadiran logo-logo GR pada gril, dapra hadapan dan tailgate, serta rim aloi GR Sport berukuran 18 inci.

Sementara itu, penampilan varian Lo-Floor pula diinspirasikan oleh kereta lumba Super GT. Ini boleh dilihat dengan jelas menerusi penggunaan kit badan yang lebih sporty dengan penambahan lip dan lubang ambilan udara pada bampar hadapan, serta diffuser pada bampar belakang.

Seperti varian Hi-Floor, ia juga mempunyai grafik GR Sport pada bahagian bawah pintu (walaupun dalam rekaan berlainan), antena sirip jerung, cermin sisi berwarna hitam dan angkup brek hadapan berwarna merah dengan logo GR. Bagaimanapun, ukuran rimnya lebih kecil iaitu 17 inci.

Suasana ruang dalaman bagi kedua-dua varian juga telah diberi nafas baharu menerusi upholsteri kulit/suede yang dihiasi dengan jahitan kontras berwarna merah, trim perak dan hitam metalik pada konsol tengah serta logo GR pada perehat kepala dan stereng. Turut disertakan adalah set pedal sport, paddle shifter, serta butang penghidup enjin GR pada varian Hi-Floor.

Tanpa mengira varian, Hilux Revo GR Sport dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.8-liter empat silinder dengan kuasa berjumlah 204 PS dan 500 Nm. Tiada versi manual untuk trak sporty ini – satu-satunya pilihan kotak gear yang ditawarkan adalah automatik enam kelajuan.

Walaupun enjin tidak disentuh, casis Hilux Revo GR Sport telah dinaik taraf untuk mendapatkan prestasi pengendalian yang optimum. Bagi varian Hi-Floor, sistem suspensi SuperFlex-nya kini dipadankan dengan penyerap hentak monotube, manakala varian Lo-Floor pula dilengkapi dengan sistem suspensi yang 23 mm lebih rendah.

Menurut Toyota, ia bukan sahaja berkesan dalam mengurangkan olengan badan dan meningkatan kestabilannya di selekoh, malah memberikan trak itu imej low rider yang sangat popular di Thailand.

Harga Hilux Revo GR Sport bermula dari 1,299,000 baht (RM167,875) bagi varian Hi-Floor dan 889,000 baht (RM116,181) bagi varian Lo-Floor.

Toyota Yaris GR-Sport diperkenal untuk Indonesia, ada transmisi manual 5-kelajuan!

TOYOTA Astra Motor (TAM) di Indonesia nampaknya semakin rancak menambah rangkaian GR Sport mereka, antaranya Ayga. Terbaharu, TAM memeperkenalkan Yaris dengan ‘perisa’ GR-Sport.

Tapi jangan disamakan Yaris ini dengan GR Yaris ya! Ini Yaris biasa iaitu kembar kepada Vios, cuma diberikan gaya badan sporti.

Terdapat empat varian Yaris GR-Sport, dan julat harga dari 268.8 juta Rupiah (RM79k) untuk 1.5 S MT hingga 284 juta Rupiah (RM83k) untuk 1.5 S CVT. Anda nampak apa yang kami nampak? Ya, Yaris GR-Sport ditawarkan dengan kotak gear manual!

Semua Yaris GR-Sport dipacu oleh enjin 1.5-liter Dual VVT-i, berkuasa 10PS pada 6,000rpm dan 140Nm tork pada 4,200rpm. Kotak gear manual menawarkan 5-kelajuan, manakala automatik CVT dengan 7-kelajuan maya.

Dari segi rupa, Yaris GR-Sport tampil sporti dengan kit badan yang merangkumi lip depan dan belakang, diffuser, spoiler bumbung, dan skirt tepi. Rim 16-inci dibekalkan standard, dan tujuh warna ditawarkan iaitu Citrus Mica, Orange, Red Mica, Grey, Silver, Super White, dan Attitude Black Mica.

Di bahagian dalam pula, Yaris ini dilengkapi roda stereng balutan kulit, tempat duduk fabrik, perehat tangan tengah, dan panel pintu dengan kemasan kontra. Unit infotainment ialah sama dengan yaris biasa, iaitu paparan sesentuh 7-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri keselamatan terdiri dari VSC, Hill-Start Assist, ABS dengan EBD dan Brake Assist, ISOFIX, dan tujuh beg udara. Yaris GR-Sport juga mendapat ciri keselamatan maju seperti Pre-Collision System, Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Alert, 3D Panoramic View Monitor, Blind Spot Monitor, Rear Cross-Traffic Alert, Digital Video Recorder dan Vehicle Telematics System (VTS).

Semua gambar oleh: Toyota Astra Motor