Tag Archives: GR Starlet

Selepas GR Starlet, Toyota S-FR pula dapat lampu hijau, pacuan belakang, 1.3L turbo, 150 PS, 220 Nm

Selepas wujudnya laporan Toyota mahu membangunkan hot hatch Starlet FWD, pengeluar itu dikatakan berminat untuk memulakan semula projek pembangunan kereta sports pacuan roda belakang Toyota S-FR yang tertangguh sejak sekian lama.

Menurut laporan Best Car Web, projek S-FR tercetus kembali disebabkan oleh kehadiran enjin tiga silinder sebaris 1.3 liter turbo berkuasa 150 PS/220 Nm yang asalnya direka untuk model GR Starlet.

 

 

Ini kerana, pihak Toyota berpendapat adalah tidak masuk akal untuk membangunkan satu enjin baharu yang khas untuk kegunaan satu model sahaja.

Selain daripada itu, laman penerbitan Jepun itu turut mendakwa projek pembangunan kereta sports kompak ini sebenarnya melibatkan tiga pihak, iaitu Toyota, Daihatsu dan Suzuki.

 

 

Sumber yang rapat dengan perkara tersebut memberitahu projek pembangunan S-FR tersebut masih lagi berjalan, namun pendekatan yang digunakan mungkin berbeza disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah isu skandal keselamatan yang melanda Daihatsu tempoh hari.

Terdapat kemungkinan besar selain daripada Toyota S-FR, kereta sports itu akan muncul menerusi jenama yang berbeza, seperti contoh Daihatsu menggunakan Vision Copen Concept, manakala Suzuki pula mungkin tampil dengan model pengganti Cappucino.

 

 

Toyota S-FR (Small, Front-engined, Rear wheel drive) pada mulanya diperlihatkan secara rasmi pada acara Tokyo Motor Show 2015.

Berdasarkan spesifikasi dalam permainan simulasi Gran Turismo, ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter aspirasi semula jadi berkuasa 133 hp dan 150 Nm yang memacu roda belakang menerusi kotak gear manual enam nisbah kelajuan.

Best Car Web mendedahkan S-FR yang bakal muncul tahun 2026 kelak mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,000 mm, lebar 1,730 mm, tinggi 1,320 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,480 mm, dan berat badan sekitar 1,100 kg sahaja.

Selepas GR Yaris & GR Corolla, Toyota mahu bikin hot hatch GR Starlet, FWD, 1.3L Turbo!

Tidak cukup dengan penawaran sedia ada, Toyota dilapor sedang merancang untuk menambah satu lagi model pantas sebagai pelengkap kepada model GR Yaris dan GR Corolla.

Menurut laporan terkini daripada negara Matahari Terbit, Toyota dilapor sedang membangunkan sebuah hot hatch yang mungkin akan digelar sebagai GR Starlet.

 

Laman Best Car Web mendedahkan model Starlet yang sedang dirancang itu bakal menjadi sebuah jentera fokus rali bagi membolehkannya bertempur di dalam kelas Rally 4 menentang model Renault Clio, Peugeot 208 dan Ford Fiesta.

Antara ciri-ciri unik yang bakal dimuatkan pada GR Starlet:

 

1. Sistem pacuan roda hadapan

Tidak seperti GR Yaris dan GR Corolla yang dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, GR Starlet akan dihasilkan khusus dengan sistem pacuan roda depan (FWD) sahaja.

 

2. Enjin tiga silinder sebaris, kapasiti direndahkan

Toyota GR Starlet dilapor akan menggunakan nadi tiga silinder sebaris yang diperoleh daripada model GR Yaris.

Namun begitu, kapasiti enjin tersebut akan direndahkan kepada 1.3 liter, dengan kuasa sekitar 150 hp dan 220 Nm.

 

3. Transmisi manual atau automatik

Kuasa 150 hp itu tadi akan disalurkan kepada roda depan menerusi dua pilihan transmisi, iaitu kotak gear manual enam kelajuan atau automatik lapan nisbah kelajuan.

 

4. Hot hatch yang ringan

Sekiranya rancangan tersebut menjadi kenyataan, GR Starlet akan menjadi sebuah hot hatch dengan berat badan yang agak ringan, sekitar 980 kg sahaja.

Sebagai perbandingan, sebuah GR Yaris memiliki berat sekitar 1,280 kg.

 

5. Harga lebih murah

Dengan ciri-ciri yang disebutkan di atas, harga jualan model baharu itu dijangka bermula sekitar 2.5 juta yen, atau RM76 ribu sahaja.