Tag Archives: Gracshaw

Gracshaw lancar koleksi topi keledar edisi terhad tema Demon Slayer, RM490

Pengeluar helmet jenama tempatan, Gracshaw baru-baru ini melancarkan koleksi topi keledar edisi terhad menerusi kerjasama dengan francais anime popular Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba.

Terdapat empat rekaan yang boleh dipilih berdasarkan empat watak utama di dalam anime tersebut, iaitu Tanjiro Kamado (warna hijau/hitam), Nezuko Kamado (merah jambu), Kyojuro Rengoku (motif api) dan Tengen Uzui (motif pedang).

Dibina berdasarkan model open-face Gennex, topi keledar edisi terhad ini menampilkan ciri-ciri yang mementingkan keselesaan dan keselamatan, seperti sistem pengudaraan berkembar, mekanisme kunci D-ring berkembar, serta menepati piawaian yang ditetapkan oleh SIRIM.

Gracshaw menawarkan topi keledar edisi Demon Slayer ini sebanyak 3,000 unit sahaja, setiap satu dijual pada harga RM490 dan boleh didapati dalam saiz bermula dari M hingga XXXL.

Setiap pembelian akan disertakan dengan beg topi keledar eksklusif, set pelekat dan buku manual bertemakan anime Demon Slayer.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes dilancarkan – RM460

JENAMA topi keledar tempatan, Gracshaw telah melancarkan barisan topi keledar edisi terhad DC Super Heroes yang menampilkan enam rekaan istimewa.

Rekaan-rekaan tersebut adalah berdasarkan watak popular dari DC iaitu Batman, Superman, Wonder Woman, The Flash, Aquaman dan The Joker.

Menurut Gracshaw, topi keledar ini merupakan produk tulen dan asli yang direka dengan kerjasama DC.

Tambah syarikat itu lagi, hanya 1,500 unit akan dihasilkan untuk rekaan Batman, Superman, The Flash dan The Joker, manakala Aquaman dan Wonder Woman masing-masing terhad kepada 500 unit.

Ini bagi memastikan status topi keledar ini sebagai barangan pengumpul yang jarang ditemui dan berharga.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes menggunakan model Gennex sebagai asas. Selain mempunyai pensijilan SIRIM, ia juga menawarkan ciri-ciri seperti pengunci cincin D berganda, sistem pengudaraan berganda dan pelapik dalaman yang boleh ditanggalkan.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan visor yang boleh didapati dalam lapan warna menarik.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes boleh didapati dalam saiz M hingga XXXL, dengan harga RM460 seunit. Setiap pembelian didatangkan kotak khas yang mengandungi beg, sijil ketulenan dan pelekat unik.

Topi keledar ini boleh didapati di 30 pengedar terpilih Gracshaw bermula 10 Januari 2024.

Gracshaw Gennex Japan Edition tawar 6 rekaan unik dari anak tempatan – RM420 seunit

GRACSHAW telah melancarkan barisan topi keledar edisi khas yang dikenali sebagai Japan Edition. Terdapat enam rekaan unik yang boleh dipilih, setiap satu dengan tema dan cerita yang tersendiri.

Model Japan Edition adalah berasaskan model Gennex yang mempunyai rekaan open-face dan double visor. Ia dijual pada harga RM420 seunit dan setiap topi keledar didatangkan dengan beg galas eksklusif.

Menurut Gracshaw, setiap topi keledar Japan Edition menampilkan elemen Jepun yang dikategorikan kepada tiga tema iaitu cerita rakyat, budaya pop dan catatan sejarah.

‘Kurita’ mendapat ilham reka bentuk daripada sotong gergasi dari kisah dongeng Jepun yang popular, manakala ‘Tsuru’ menampilkan burung jenjang bermahkota merah, spesis burung yang paling jarang ditemui dan dipercayai membawa tuah.

Sementara itu, ‘Japop’ diinspirasikan oleh budaya anime dan manga, menampilkan karakter-karakter menarik termasuk Astro Boy. ‘Tengu’ pula merupakan makhluk sakti nakal bermuka merah dan berhidung panjang yang dikatakan memiliki kuasa mengawal angin.

Rekaan ‘Oda’ memberi pengiktirafan kepada Nobunaga Oda, hulubalang Jepun yang berani semasa zaman Sengoku, manakala ‘Karasu’ pula menampilkan senjata yang digunakan oleh para ninja seperti shuriken, kunai dan kusarigama.

Farizan bin Md Akir dari Bahagian Pemasaran, Double Site Marketing, berkata model Japan Edition idireka bentuk di Pulau Pinang dan dibuat di Jitra, Kedah.

“Ini merupakan rangkaian topi keledar paling unik dan menarik daripada Gracshaw dan kami mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkannya daripada peringkat konsep hinggalah kepada pengeluaran.” katanya lagi.

Topi keledar Gracshaw Japan Edition boleh dibeli secara dalam talian melalui https://shop.gracshaw.com, Kedai Rasmi Gracshaw di Shopee https://shopee.com.my/gracshaw.os dan melalui laman Facebook https://www.facebook.com/gracshaw.