Tag Archives: Gran Turismo 7

Gran Turismo 7 Update 1.54 ada sediakan jentera klasik F1 Mercedes!

Polyphony Digital selaku pembangun permainan simulasi Gran Turismo 7 mengumumkan Update 1.54 (bersaiz 32GB!) yang boleh dimuat turun awal oleh pengguna PlayStation 5, dan untuk semua pemain bermula 21 November 2024.

Kemaskini terbaharu ini membawakan lima kereta baharu untuk dimainkan, termasuklah sebuah jentera Formula Satu klasik tahun 1955, iaitu Mercedes-Benz W196 R.

Mengikut spesifikasi, W196 R dikuasakan oleh enjin lapan silinder sebaris bersesaran 2,496 cc dengan kuasa 257 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 247 Nm @ 6,300 rpm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 290 km/j.

Empat lagi kereta baharu yang bakal ditawarkan termasuklah Ford Escort RS Cosworth 1992 yang sangat sinonim dengan spoiler ekor ikan paus, Porsche Mission X 2023, Suzuki Jimny Sierra JC 2018 (lebih lebar berbanding keicar Jimny XC), dan Porsche 911 Turbo S 2020.

Selain itu, terdapat Extra Menu koleksi Ferrari yang ditambah pada menu Cafe, jenama rim baharu Rofiform, serta acara baharu seperti Jimny Cup (Grand Valley – South), Porsche Cup (Laguna Seca) dan Race of Turbo Sportscars (Panorama Circuit).

 

 

Ford Escort RS Cosworth 1992

Mercedes-Benz W196 R 1955

Porsche 911 Turbo S 2020

Porsche Mission X Concept 2023

Suzuki Jimny Sierra JC 2018

GR GT Cup Asia 2024: Taj Aiman muncul juara, wakili Asia ke peringkat global Disember ini

Pusingan akhir Toyota Gazoo Racing (GR) GT Cup Asia 2024 melabuhkan tirainya pada hujung minggu yang lepas, menyaksikan Taj Izrin Aiman muncul juara mengalahkan 14 peserta yang lain dari lima negara Asean.

Dengan jumlah pungutan mata 65 poin, Taj Aiman dinobatkan sebagai juara individu GR GT Cup Asia 2024 membawa pulang hadiah tunai US$8,000, diikuti Andika Rama dari Indonesia selaku juara kategori individu tahun 2023 dengan jumlah 57 poin dan hadiah US$4,500.

Rakan seperjuangannya Moreno Pratama menduduki tempat ketiga podium dengan 48 poin dan hadiah wang tunai US$3,000.

Ini bermakna, Taj Aiman dan Andika Rama akan mewakili Asia ke GR GT Global Finals pada 6 Disember ini di Amsterdam.

Sebanyak tiga perlumbaan disediakan, bermula dengan aksi jentera GR Yaris di litar rali Sardegna Windmills, diikuti GR Corolla Morizo Edition dalam litar Nurburgring GP yang basah, dan akhir sekali jentera GR010 Hybrid di Fuji International Speedway.

“Saya benar-benar kehilangan kata-kata. Walaupun berdepan dengan kesukaran teknikal dan tidak mampu menghabiskan perlumbaan tahun lepas, saya amat berbangga dengan dedikasi dan latihan yang membuahkan hasil,” ujar Taj Aiman.

“Saya amat teruja untuk meneruskan latihan dengan Andika Rama sebagai persiapan untuk ke Global Cup di Amsterdam.”

Andika Rama yang mewakili Asia untuk kali kedua tahun ini menambah, “saya amat berbesar hati untuk mewakili Asia sekali lagi tahun ini. Bertanding dengan Taj Aiman merupakan satu cabaran yang luar biasa.

“Saya memaksa diri, namun konsistensi dan strategi Aiman dalam ketiga-tiga perlumbaan sukar untuk diatasi. Saya teruja mempunyai Aiman sebagai rakan sepasukan ketika kami membuat persiapan untuk ke pusingan akhir, dan tidak sabar untuk membanggakan nama Asia.

Tiga anugerah khas turut diberikan sebagai pengiktirafan kepada prestasi luar biasa peserta seperti berikut:
• Driver of the Day – Taj Izrin Aiman (MY)
• Best Racecraft Driver – Russel Reyes (PH)
• Fastest Race Pace – Andika Rama (ID)

GR GT Cup Asia 2024 turut mengalu-alukan Razer Inc. sebagai rakan rasmi yang menaja set kepala Razer BlackShark V2 X yang mampu memastikan komunikasi yang lancar, jelas dan selesa antara pelumba.

Pusingan akhir GR GT Cup musim 7 berlangsung di Sunway University 27-28 Julai ini

UMW Toyota Motor menjemput rakyat Malaysia yang berminat dengan perlumbaan simulasi Gran Turismo 7 untuk menyaksikan sendiri pusingan akhir Toyota Gazoo Racing GT Cup 2024 musim ketujuh yang akan berlangsung di Sunway University Campus 27 hingga 28 Julai ini.

Acara selama dua hari itu terbuka kepada umum, di mana pusingan separuh akhir akan berlangsung pada 27 Julai untuk memilih pelumba simulasi terpantas akan akan bertempur pada 28 Julai untuk merebut hadiah terkumpul bernilai RM120,500.

Peringkat separuh akhir bakal menyaksikan 20 pelumba memandu Toyota GR Corolla MORIZO Edition di litar Alsace, Perancis, serta Toyota GR Supra RZ di litar Deep Forest Raceway, Switzerland.

10 peserta terpantas akan mara ke peringkat akhir untuk mengendalikan jentera prototaip GR010 di Litar Monza, Itali dan jentera lumba GR Supra Racing Concept di litar Circuit De La Sarthe Le Mans, Perancis.

Antara yang bakal mencuri tumpuan umum pada tahun ini ialah Taj Izrin Aiman Taj Madira yang sedang memburu gelaran juara untuk kali keempat menentang naib juara tahun lalu Danesh Wigneswaran dan Chong Kai Chang, serta Muhammad Iqbal selaku juara tahun 2022.

Pusingan akhir GR GT Cup ini juga bakal menampilkan perlumbaan khas melibatkan TGR Rookies, para pengamal media, serta 10 pelumba terpantas dari GR Tour yang terdiri daripada pelajar Sunway University, USM Nibong Tebal, MMU, UKM dan UiTM Pasir Gudang.

Orang ramai juga dijemput untuk mencabar kemahiran diri berlumba dan berpeluang membawa pulang hadiah istimewa.

Terdapat juga pameran model kenderaan diecast Tomica serta barangan eksklusif Gazoo Racing untuk dibeli, serta pameran kenderaan-kenderaan terkini Toyota.

Menurut Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K berkata, “perlumbaan simulasi terus berkembang di peringkat global, dan kini diiktiraf sebagai langkah penting untuk mana-mana individu yang berhasrat untuk beralih kepada perlumbaan sebenar.

“Ia juga turut menjadi pra-syarat penting dalam pemilihan dan latihan calon yang mahu menyertai Program Pembangunan Pelumba Muda Gazoo Racing untuk peluang bertempur sebagai seorang Rookie dalam GR Vios Challenge,” ujarnya lagi.

Dua kereta Volvo tersedia dalam Gran Turismo 7 – V40 T5 R-Design dan wagon klasik 240!

Polyphony Digital selaku pihak pembangun permainan simulasi video pemanduan Gran Turismo 7 mengumumkan Update 1.48 yang boleh dimuat turun bermula hari ini (30 Mei 2024).

Tidak seperti kemas kini yang terdahulu, GT7 Update 1.48 menawarkan sehingga lima kereta ‘baharu’ yang boleh dipandu, di mana dua daripadanya menandakan kemunculan semula jenama Sweden ke dalam permainan tersebut.

 

 

Dua kereta yang dimaksudkan ialah Volvo V40 T5 R-Design tahun 2013 yang dikuasakan oleh enjin inline-5 250 hp, diikuti sebuah wagon klasik Volvo 240 SE Estate 1993.

Para peminat kereta klasik Jepun boleh menikmati tiga model yang ditawarkan, iaitu Honda Civic SiR-II 1993, Honda NSX GT500 2000, serta Nissan Skyline GTS-R (R31) 1987.

 

 

Selain daripada lima kereta baharu, Polyphony Digital turut mengemas kini menu baharu dengan menambah perkara berikut:
-Extra Menu No. 39: Racers of Japanese GTs (khusus untuk pemain Level 48 ke atas)
-Empat acara perlumbaan baharu dalam World Circuits
-Larasan sudut kamera baharu dalam menu Scapes

 

 

Honda Civic SiR-II 1993

 

Honda NSX GT500 2000

 

Nissan Skyline GTS-R (R31) 1987

 

Volvo 240 SE Estate 1993

 

Volvo V40 T5 R-Design 2013

Gran Turismo 7 Update 1.44 – ada Audi R8 V10, Lamborghini Urus dan Toyota GT-One!

Berita baik buat para peminat dan pengikut setia permainan simulasi perlumbaan, Gran Turismo 7 kini menyediakan Update 1.44 untuk dimuat turun bermula hari ini (28 Mac 2024).

 

 

Antara yang mencuri tumpuan ialah kehadiran jentera lumba lagenda #3 Toyota GT-One (TS020) dari perlumbaan Le Mans 24 Jam tahun 1999, di mana ia boleh dibeli menerusi kedai Legend Cars.

Dua lagi penambahan kenderaan baharu daripada Kumpulan Volkswagen dalam Brand Central ialah Audi R8 Coupé V10 plus 2016, serta SUV pantas kegemaran ramai, Lamborghini Urus 2018.

 

 

Selain daripada itu, menu Cafe menyediakan buku koleksi terbaharu bernombor 37 di mana para pemain dikehendaki mengumpul tiga jentera jenama Jaguar, dan menu ini dikhaskan untuk pemain yang telah mencapai Tahap 41 dan ke atas sahaja.

Update 1.44 ini turut menyediakan sehingga tiga perlumbaan terbaharu di dalam World Circuits di dalam kategori European Clubman Cup 600, Schwarzwald League, dan World Touring Car 900.

 

 

Untuk masa terhad, Gran Turismo mengadakan kerjasama dengan siri animasi perlumbaan Jepun “HIGHSPEED Étoile” di mana 26 decal istimewa termasuk lapan logo tajuk dan 18 karakter boleh didapati menerusi Livery Editor.

Akhir sekali, Gran Turismo menyediakan lokasi penggambaran baharu Fukushima yang boleh diakses di dalam menu Scapes.

 

 

Audi R8 Coupé V10 plus 2016

Lamborghini Urus 2018

Toyota GT-One 1999

Gran Turismo 7 dapat sokongan PS VR2, kereta dan litar baharu

PERMAINAN video Gran Turismo 7 telah menerima kemas kini terbaharu yang menawarkan pelbagai kandungan menarik untuk para pemain.

Pertama sekali, permainan video yang popular di kalangan kaki kereta itu mendapat sokongan untuk set kepala realiti maya (VR) baharu iaitu PS VR2.

Bakal dilancarkan hari ini (22 February 2023), set kepala PS VR2 boleh digunakan untuk semua perlumbaan dan mod permainan kecuali mod dua pemain iaitu 2P Split Screen.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai ciri VR Showroom di dalam Garage yang membolehkan pemain melihat kereta dengan lebih dekat dalam realiti maya.

Kemas kini ini turut membawakan lima kereta baharu iaitu Honda RA272 (1965), Citroen DS 21 Pallas (1970), Porsche 911 Carrera RS (1973), serta Italdesign Exeneo Vision Gran Turismo dalam mod Street dan Off-Road.

Untuk mereka yang dahagakan cabaran baharu, Gran Turismo 7 kini mempunyai litar Grand Valley dengan dua pilihan layout iaitu Highway 1 dan South.

Turut disertakan bersama kemas kini ini adalah ejen perlumbaan kecerdasan buatan (AI) bernama Sophy yang hanya tersedia hingga penghujung bulan Mac.

Hanya tersedia untuk PS5, pemain boleh “memaksimumkan keseronokan berlumba” dengan memilih untuk bersaing dengan Sophy dalam mod Race Together atau 1vs1. Pihak pembangun akan menggunakan maklum balas dari pemain untuk menambahbaik mod ini pada masa hadapan.

Akhir sekali, Gran Turismo 7 menambah latar belakang Drift Stage untuk membolehkan pemain mengambil gambar kereta mereka sambil melakukan aksi drift.