Tag Archives: gran turismo

Selepas GR Starlet, Toyota S-FR pula dapat lampu hijau, pacuan belakang, 1.3L turbo, 150 PS, 220 Nm

Selepas wujudnya laporan Toyota mahu membangunkan hot hatch Starlet FWD, pengeluar itu dikatakan berminat untuk memulakan semula projek pembangunan kereta sports pacuan roda belakang Toyota S-FR yang tertangguh sejak sekian lama.

Menurut laporan Best Car Web, projek S-FR tercetus kembali disebabkan oleh kehadiran enjin tiga silinder sebaris 1.3 liter turbo berkuasa 150 PS/220 Nm yang asalnya direka untuk model GR Starlet.

 

 

Ini kerana, pihak Toyota berpendapat adalah tidak masuk akal untuk membangunkan satu enjin baharu yang khas untuk kegunaan satu model sahaja.

Selain daripada itu, laman penerbitan Jepun itu turut mendakwa projek pembangunan kereta sports kompak ini sebenarnya melibatkan tiga pihak, iaitu Toyota, Daihatsu dan Suzuki.

 

 

Sumber yang rapat dengan perkara tersebut memberitahu projek pembangunan S-FR tersebut masih lagi berjalan, namun pendekatan yang digunakan mungkin berbeza disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah isu skandal keselamatan yang melanda Daihatsu tempoh hari.

Terdapat kemungkinan besar selain daripada Toyota S-FR, kereta sports itu akan muncul menerusi jenama yang berbeza, seperti contoh Daihatsu menggunakan Vision Copen Concept, manakala Suzuki pula mungkin tampil dengan model pengganti Cappucino.

 

 

Toyota S-FR (Small, Front-engined, Rear wheel drive) pada mulanya diperlihatkan secara rasmi pada acara Tokyo Motor Show 2015.

Berdasarkan spesifikasi dalam permainan simulasi Gran Turismo, ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter aspirasi semula jadi berkuasa 133 hp dan 150 Nm yang memacu roda belakang menerusi kotak gear manual enam nisbah kelajuan.

Best Car Web mendedahkan S-FR yang bakal muncul tahun 2026 kelak mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,000 mm, lebar 1,730 mm, tinggi 1,320 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,480 mm, dan berat badan sekitar 1,100 kg sahaja.

Dua kereta Volvo tersedia dalam Gran Turismo 7 – V40 T5 R-Design dan wagon klasik 240!

Polyphony Digital selaku pihak pembangun permainan simulasi video pemanduan Gran Turismo 7 mengumumkan Update 1.48 yang boleh dimuat turun bermula hari ini (30 Mei 2024).

Tidak seperti kemas kini yang terdahulu, GT7 Update 1.48 menawarkan sehingga lima kereta ‘baharu’ yang boleh dipandu, di mana dua daripadanya menandakan kemunculan semula jenama Sweden ke dalam permainan tersebut.

 

 

Dua kereta yang dimaksudkan ialah Volvo V40 T5 R-Design tahun 2013 yang dikuasakan oleh enjin inline-5 250 hp, diikuti sebuah wagon klasik Volvo 240 SE Estate 1993.

Para peminat kereta klasik Jepun boleh menikmati tiga model yang ditawarkan, iaitu Honda Civic SiR-II 1993, Honda NSX GT500 2000, serta Nissan Skyline GTS-R (R31) 1987.

 

 

Selain daripada lima kereta baharu, Polyphony Digital turut mengemas kini menu baharu dengan menambah perkara berikut:
-Extra Menu No. 39: Racers of Japanese GTs (khusus untuk pemain Level 48 ke atas)
-Empat acara perlumbaan baharu dalam World Circuits
-Larasan sudut kamera baharu dalam menu Scapes

 

 

Honda Civic SiR-II 1993

 

Honda NSX GT500 2000

 

Nissan Skyline GTS-R (R31) 1987

 

Volvo 240 SE Estate 1993

 

Volvo V40 T5 R-Design 2013

Michelin jemput peserta Malaysia bersaing dalam e-race, hadiah bernilai lebih RM18,000

MICHELIN, pengeluar tayar terkemuka di dunia menjemput para peminat permainan video lumba kereta bagi merebut peluang untuk mewakili Malaysia di Michelin Asia Cup Powered by Gran Turismo.

Acara e-lumba tahunan ini akan menyaksikan para ‘gamer’ dari Malaysia bertanding dengan peserta-peserta lain dari Thailand, Indonesia, dan Australia untuk menjulang piala ini.

Michelin Passion Exeprience (MPE) yang pernah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

Hadiah utama berupa pakej perjalanan ke Michelin Passion Experience (MPE) yang bakal diadakan pada tahun ini di Litar Yas Marina yang terletak di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, ditanggung sepenuhnya.

Naib johan pula akan membawa pulang satu set tayar Michelin manakala pemenang tempat ketiga akan dihadiahkan kad bahan api bernilai lebih daripada RM1,500.

Pendaftaran bagi pusingan kelayakan akan dibuka mulai hari ini sehingga 8 Julai 2022. Setiap seorang daripada 500 peserta berdaftar yang pertama di Malaysia juga akan dihadiahkan barangan Michelin yang eksklusif.

Michelin Asia Cup Powered by Gran Turismo merupakan sebuah pertandingan e-lumba yang akan menggunakan platform Gran Turismo di PlayStation 4 dalam mod Sport.

Peserta berdaftar dikehendaki untuk menghantar catatan masa terbaik mereka bagi pusingan kelayakan dari 11 hingga 15 Julai 2022.

Enam peserta dengan catatan masa terbaik akan diumumkan pada tarikh 20 Julai 2022 untuk mewakili Malaysia dalam pusingan Separuh Akhir lalu berlumba dengan enam wakil peserta terbaik dari tiga lagi negara lain yang mengambil bahagian.

Sejumlah 24 peserta dalam pusingan separuh akhir (enam pemain dari setiap negara: Thailand, Malaysia, Indonesia, dan Australia) akan dibahagikan kepada dua kumpulan, setiap satu akan terdiri daripada 12 pemain.

Enam pemain terpantas dalam setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir, yang akan disiarkan secara langsung pada 26 Ogos 2022 bermula jam 8 malam (Malaysia), melalui akaun Facebook rasmi Michelin Malaysia berserta saluran-saluran media sosialnya yang lain.

Tiga peserta di tangga teratas akan diumumkan secara rasmi pada tanggal 30 Ogos 2022.

Adalah dimaklumkan bahawa pemenang hadiah utama haruslah memiliki lesen memandu atau lesen perlumbaan yang masih sah sehingga selewat-lewatnya 9 September 2022 untuk memiliki kelayakan dalam tuntutan hadiah berkenaan.

Untuk mengambil bahagian dalam Michelin Asia Cup Powered by Gran Turismo, sila daftarkan diri anda di https://gperacing.com/michelin/ mulai hari ini sehingga 8 Julai 2022.