Tag Archives: GS3 Emzoom

GAC GS3 Emzoom Standard dilancarkan, kini ketiga-tiga varian dipasang secara CKD

WTCA Automotif, anak syarikat Warisan TC Holdings, telah memperkenalkan rangkaian model GAC GS3 Emzoom 2024 yang kini disertai oleh dua varian baharu yang dipasang secara tempatan (CKD).

Varian tertinggi GS3 Emzoom iaitu Premium R yang dipasang di kilang pemasangan syarikat itu di Segambut, kini ditawarkan bersama varian Standard dan Exclusive yang dipasang di fasiliti yang sama.

Ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm dari 1,400 hingga 4,500 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam lapan saat.

Prestasi ini dipadankan dengan tahap penggunaan bahan api 5.9 liter bagi setiap 100 km, membolehkan GS3 Emzoom diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Tidak kira varian apa yang dipilih, GS3 Emzoom didatangkan dengan lampu LED, pemegang pintu elektrik yang tersembunyi serta rim aloi 18 inci. Varian Premium R tampil lebih sporty dengan kit badan R-Style dan ekzos R-Style.

Varian Standard boleh didapati dalam warna Frost White dan Asphalt Black, manakala Exclusive boleh didapati dalam warna Salt Lake Blue dan Superstar Silver. Warna-warna ini tersedia untuk varian Premium R, di samping warna eksklusif Graphite Grey.

Apa yang menarik, Asphalt Black dan Graphite Grey adalah eksklusif untuk GS3 Emzoom CKD dan tidak ditawarkan dalam mana-mana pasaran selain Malaysia.

Di dalam, skema warna biru-hitam boleh didapati pada ketiga-tiga varian. Turut disertakan secara standard adalah tuil gear kristal elektronik, stereng multifungsi boleh laras, skrin sentuh 10.25 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, brek parkir elektronik dan Blind Spot Vision (BSV).

Ciri-ciri yang disertakan secara eksklusif untuk varian Premium R adalah lampu depan automatik, High Beam Assist, Fusion Automatic Parking, pelarasan enam hala untuk kerusi pemandu, sistem pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar, tailgate bebas tangan dan bumbung panoramik.

Harga (OTR tidak termasuk insurans) untuk GAC GS3 Emzoom CKD bermula dari RM103,800 untuk varian Standard, RM116,800 untuk Exclusive dan RM126,800 untuk Premium R.

Ia didatangkan dengan jaminan selama lima tahun/150,000 km. Bagaimanapun, 2,000 pelanggan pertama dapat menikmati perlindungan tambahan dengan waranti enjin dan transmisi selama tujuh tahun/180,000 km.

GAC GS3 Emzoom dilancarkan di Malaysia – 2 varian CBU, harga dari RM119k

WTC Automotif (WTCA), anak syarikat Warisan TC Holdings, telah melancarkan GAC GS3 Emzoom 2024 untuk pasaran Malaysia. Jika anda masih ingat, SUV kompak itu telah dipertontonkan buat pertama kali Januari lalu.

Ia didatangkan versi import sepenuhnya (CBU) dan boleh didapati dalam dua varian iaitu Exclusive (RM118,900) dan Premium R (RM128,900).

Bagaimanapun menurut WTCA, mereka telah pun memulakan produksi versi pemasangan tempatan (CKD) di Segambut.

Bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Proton X50, GS3 Emzoom Exclusive mempunyai ukuran panjang 4,410 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,600 mm. Ukuran jarak roda 2,650 mm adalah yang terpanjang dalam segmennya.

Dengan adanya kit badan R Style Sport Package yang agresif, panjang varian Premium R bertambah sedikit menjadi 4,446 mm. Varian ini juga boleh dibezakan menerusi ekzos sport berkembar yang keluar pada bahagian tengah bampar.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri kulit biru dan hitam, balutan kulit pada stereng, dan tombol gear kristal, serta kelengkapan seperti skrin sentuh berukuran 10.25 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, kamera keliling kenderaan dan parkir brek elektronik dengan Auto Hold.

Premium R mendapat beberapa kelengkapan tambahan termasuk pendingin hawa automatik, pelarasan enam hala untuk kerusi pemandu, pencahayaan ambien, pengecas wayarles, tailgate kuasa bebas tangan, Fusion Automatic Parking Assist dan bumbung suria panoramik.

Di belakang, terdapat ruang but dengan kapasiti 341 liter yang boleh dibesarkan menjadi 1,271 liter dengan melipat tempat duduk belakang.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo empat silinder dengan 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm dari 1,400 hingga 4,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan.

Dari segi prestasi, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.0 saat, 0.1 saat lebih perlahan jika dibandingkan dengan X50 TGDi yang mempunyai 177 PS dan 255 Nm. Tahap kecekapan bahan api adalah 5.9 liter per 100 km.

Sistem bantuan pemandu ADAS dengan pemanduan autonomi Tahap 2 didatangkan secara standard. Ia merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic Emergency Braking (AEB), Front  Collision Warning (FCW), Traffic Sign Recognition System (TSR), Lane Departure Warning (LDW) dan Intelligent Speed Limit Control (ISLC).

Apa yang menarik, Premium R mendapat dua ciri tambahan iaitu High Beam Assist (HMA) and Fusion Automatic Parking Assist.

GS3 Emzoom boleh didapati dalam empat warna iaitu Salt Lake Blue, Ivory White, Graphene Grey dan Super Star Silver.

Untuk 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kereta mereka, WTCA menawarkan pakej istimewa yang merangkumi waranti enjin dan trenkuasa selama tujuh tahun/180,000 km (tambahan kepada waranti standard lima tahun/150,000 km), serta servis berjadual percuma sebanyak tiga kali termasuk kos buruh, alat ganti dan minyak pelincir.

Bukan itu sahaja, pembeli-pembeli terawal juga akan menerima kunci jam pintar GAC secara percuma. Ia berfungsi seperti kunci kereta biasa dengan ciri tambahan jam pintar.

WTCA, GAC Motor meterai MoU pemasangan model CKD di Malaysia

WTC Automotif (WTCA), sebuah anak syarikat Warisan TC Holdings Bhd, dan GAC Motor International baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan untuk dua projek pemasangan tempatan (CKD) baharu di Malaysia.

MoU berkenaan akan memudahkan kajian ke atas produksi CKD model Emkoo pemanduan sebelah kanan untuk pasaran Malaysia dan GS3 Emzoom pemanduan sebelah kiri untuk dieksport ke Vietnam.

Jika direalisasikan, usaha bersama ini akan mengukuhkan peranan penting Malaysia dan WTCA sebagai rakan kongsi strategik untuk strategi pertumbuhan serantau GAC melalui peluang pengeluaran dan pembuatan CKD setempat.

Sebagai rakan kongsi strategik GAC, WTCA bersedia memanfaatkan pengalaman automotif, keupayaan, dan ekosistem perindustrian Malaysia dengan GAC Motor International untuk menyampaikan penyelesaian mobiliti GAC untuk pasaran ASEAN.

Kajian kebolehlaksanaan itu dijangka akan disiapkan menjelang akhir Julai. Apabila siap, ia akan membuka jalan kepada pemformalan perjanjian muktamad, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif untuk pasaran Asia Tenggara.

Tambahan pula, eksport GAC GS3 Emzoom ke pasaran Vietnam akan memainkan peranan penting dalam rancangan pengembangan serantau WTCA.

Melengkapkan strategi pertumbuhan serantau, GAC dan WTCA turut merasmikan kerjasama teknikal mereka melalui Perjanjian Kerjasama Teknikal CKD.

Perjanjian ini memberikan WTCA hak untuk memasang kenderaan GAC secara tempatan menggunakan kit dan komponen CKD yang dihasilkan mengikut spesifikasi teknikal global dan standard kualiti GAC yang ketat.

Selain itu, WTCA, melalui Perjanjian Pengedarannya, diamanahkan untuk memasarkan, mengedar dan menyelenggara kenderaan GAC.

Kerjasama dengan WTCA ini menandakan projek CKD pertama GAC di pasaran luar negara, melambangkan langkah penting ke arah memperkukuhkan kehadirannya di peringkat global.

Kerjasama teknikal antara GAC dan WTCA membuahkan hasil dengan bermulanya CKD Start of Production (SOP) untuk GS3 Emzoom di kilang WTCA di Segambut. Pencapaian ini dicapai dalam masa 13 bulan berikutan pengumuman projek.

Kini, pengeluaran CKD GS3 Emzoom telah beralih ke peringkat Pengeluaran Penuh (Full Production).

GAC GS3 Emzoom dibuka untuk tempahan – harga bawah RM130k

WTC Automotif Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Warisan TC Holdings Bhd, mengumumkan bahawa GAC GS3 Emzoom kini sudah dibuka untuk tempahan.

Menurut syarikat itu, tempahan boleh dibuat dengan bayaran RM1,000 dan 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan dijemput untuk menghadiri acara eksklusif.

 

GS3 Emzoom merupakan SUV segmen-B yang bakal bersaing dengan model-model seperti Proton X50 dan Honda HR-V. Untuk pasaran Malaysia, ia akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Exclusive dan Premium-R, dengan harga anggaran di bawah RM130,000.

Model ini menampilkan beberapa elemen rekaan menonjol seperti gril Mecha Wing, lampu LED Laser Eye Split, lampu belakang Light Dart, pemegang pintu tersembunyi, spoiler belakang dan tuil gear kristal.

Unit yang dipertontonkan ini didatangkan dengan rim aloi berukuran 18 inci. Terdapat empat warna yang akan ditawarkan iaitu Ivory White, Starlight Silver, Lake Blue dan Graphene Grey.

Kuasa dibekalkan oleh enjin turbo 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm pada 1,400 rpm. Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, model ini mencatat kecekapan bahan api 5.9 liter/100 km.

Menurut WTC Automotif, GS3 Emzoom akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur. Ia dijangka akan dikeluarkan dari kilang itu bermula suku kedua tahun ini.

Syarikat itu turut berkongsi bahawa bilik pameran pertama GAC akan dibuka di Petaling Jaya pada Februari 2024, diikuti dengan lima lagi bilik pameran di Glenmarie, Cyberjaya, Seremban, Johor Bahru dan Pulau Pinang pada separuh pertama tahun ini.