Tag Archives: gta

F1 Ferrari dilihat atas jalan raya, dah macam GTA!

ANDA pasti pernah bermain permainan video Grand Theft Auto (GTA) dan memandu kenderaan-kenderaan pelik di jalan raya seperti kereta kebal, monster truck atau jentera Formula 1 (F1).

Inilah situasi yang ingin kami laporkan kali ini, sebuah F1 Ferrari dilihat di lebuh raya, ibarat GTA dalam dunia realiti! Ia dirakam oleh seorang pembaca iDNES dan video itu dimuat naik ke laman web berkenaan.

Pemandunya dilihat memakai sut perlumbaan penuh dengan topi keledar, dan jentera F1 itu dipercayai merupakan Ferrari F2004 yang pernah dipandu oleh legenda Michael Schumacher semasa musim perlumbaan 2004.

Ia juga mempunyai nombor 7, yang kami rasakan sebagai penghormatan kepada bilangan Schumacher memperoleh gelaran juara dunia – kali terakhir dicapai pada 2004 dengan jentera F2004 ini.

Sudah pasti di mana-mana negara di dunia ini, memandu jentera F1 di jalan raya awam merupakan kesalahan. Kenderaan khas perlumbaan ini tidak menepati piawaian jalan raya kerana dibina khas untuk kegunaan perlumbaan di litar.

Kereta yang boleh anda pandu di jalan raya tetapi mempunyai karakter paling dekat dengan F1 mungkin adalah Mercedes-AMG One.

Siapa pun yang memandunya, dia pastinya berdepan dengan saman dan risiko larangan memandu atau ditarik lesennya jika berjaya diberkas pihak berkuasa.

Menariknya, beberapa tahun lepas, sebuah F1 Ferrari juga pernah dilihat di Republik Czech, dipandu oleh seorang lelaki berusia 45 tahun.

Dia ditahan tidak lama kemudian dan berdepan dengan saman berpuluh ribu dollar serta larangan memandu selama setahun. Tetapi dia terlepas dari hukuman-hukuman tersebut kerana dia memakai topi keledar!

Grand Theft Auto 6 kini sah dalam pembangunan

MEMANDANGKAN sudah berada dalam pasaran sejak 2013, boleh dikatakan Grand Theft Auto 5 (GTA V) sudah agak lama. Ia masih antara permainan video automotif paling fleksibel dan akan menerima kemaskini hujung tahun ini.

Tetapi yang paling penting, Rockstar Games telah mengumumkan generasi baharu GTA yang dikatakan kini dalam pembangunan.

Malangnya, belum ada tarikh pelancaran diumumkan dan pembangun itu cuma berkata “kami akan kongsikan maklumat lanjut bila bersedia.”

Walaubagaimanapun, mereka ada berkata, “kami berbesar hati ingin mengesahkan bahawa pembangunan kini sedang giat dijalankan.”

Hingga saat itu, Rockstar Games akan terus mengemaskini GTA V dan Grand Theft Auto Online. Pada 15 Mac nanti, mereka akan melancarkan versi kedua-dua permainan video itu untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X|S.

Dalam satu kenyataan rasmi, Rockstar Games menjanjikan mod grafik terbaharu sehingga resolusi 4K, 60 frames per second, naik taraf grafik dan tekstur, serta pilihan-pilihan HDR dan ray-tracing.

Tambahan lagi, pemain-pemain akan dapat menikmati masa menunggu yang lebih singkat, audio 3D lebih baik, maklumbalas haptic lebih baik, dan bermacam lagi. Ini pastinya disebabkan komponen yang jauh lebih berkemampuan pada PS5 dan Xbox terkini.

Paling penting, jika anda bermain GTA V dan GTA Online di PS4 atau Xbox One, anda akan boleh memindahkan karakter dan perkembangan anda ke platform baharu nanti.

Akhir sekali, Grand Theft Auto Online akan mendapat versi baharu untuk PS5 dan Xbox Series X|S. Ia akan boleh didapati untuk tiga bulan pertama selepas pelancarannya di PS5.

Antara ciri baharu adalah penceritaan lebih baik, tutorial online baharu, dan kedai Hao’s Special Works dimana anda boleh memodifikasi sesetengah kenderaan.