Tag Archives: gtr

Artisan boleh bina sebuah Nissan GT-R R35 untuk anda dengan rupa R34, 1,000hp

SEMUA tahu yang Nissan GT-R R35 kini sudah berusia walaupun ia masih kereta paling berprestasi yang dijual oleh Nissan hari ini.

Walaubagaimanapun, Artisan Vehicle Design nampaknya mempunyai cara untuk menjadikannya lebih menarik. Syarikat penala ini sedang membangunkan R35 dengan badan gaya R34, kabin baharu sepenuhnya, dan sehingga 1,000hp. Keluaran terhad, sudah tentu.

Kedengaran seperti GT-R sempurna, bukan? Kerana anda dapat prestasi moden dari R35 tetapi dengan rupa klasik R34 yang cool. Penulis lebih gemar rupa  R34 Skyline, ada yang sependapat?

Untuk mendapatkan hasil ini, Artisan menukar semua panel badan R35 dengan komponen gentian karbon bagi mengurangkan berat tetapi meningkatkan ketegarannya. Sistem lampu juga adalah baharu sepenuhnya.

Untuk warna, Artisan menawarkan warna-warna ikonik GT-R seperti Millenium Jade, Midnight Purple, dan Bayside Blue. Tetapi anda juga boleh memilih warna lain yang anda mahu.

Kabin dalam diberikan sistem infotainmen baharu, dan papan pemuka serta kemasan pintu berlainan dari GT-R standard. Terdapat juga kemasan gentian karbon dan balutan kulit Alcantara di beberapa bahagian.

Kini kita ke bahagian mekanikal pula. Jika anda membeli Artisan GT-R ini, anda boleh pilih dua pakej kuasa iaitu Track atau Ultimate. Track memberikan anda 800hp manakala Ultimate sehingga 1,000hp.

Kedua-dua versi dilengkapi dengan brek, tayar, dan suspensi yang dipertingkat semuanya, bagi memastikan kereta sentiasa dalam kawalan.

Imej-imej ini masih dalam lakaran, tetapi prototaip sebenar akan dipertontonkan pada acara SEMA hujung 2024 nanti, dan pengeluaran bermula selepas itu.

Hanya 36 unit akan dihasilkan seluruh dunia, dengan harga permulaan USD450,000 (RM2.085 juta). Jika anda mempunyai bajet, adakah anda akan sambar satu?

Nissan Hyper Force ibarat GT-R R35 elektrik dengan 1,341hp

BOLEH anda bayangkan sebuah Nissan GT-R R35 ditransformasi menjadi elektrik (EV) dengan 1,341hp? Mungkin bayangan paling tepat ialah konsep terbaharu Nissan ini, iaitu Hyper Force.

Ia didedahkan buat pertama kali kepada umum di Japan Mobility Show yang sedang berlangsung. Nissan Hyper Force menampilkan rekaan ultra-agresif dengan spoiler belakang besar gedabak dan pintu rama-rama.

Nissan tidak berkata bahawa ini sebagai pratonton R35, tetapi bentuk keseluruhan dan empat lampu belakang bulat menunjukkan DNA GT-R padanya.

Malah, bahagian menyala berwarna putih merah di gril depan memberikan klu kereta sports flagship Nissan masa depan. Dari jauh, ia kelihatan seperti logo “GT-R” yang dikaburkan. Kami tidak pasti pula kenapa ia pelru dikaburkan.

Bahagian badannya yang dramatik diberikan canards dan rongga kemasukan udara yang dikawal secara elektronik di fender depan. Sementara itu, spoiler belakangnya memang tak mahu kalah, boleh nampak dari sebatu jauhnya.

Pintu besar dibuka ke atas, dan diffuser yang agresif pastinya membuatkan Hyper Force ini melekat ke jalan semasa di kelajuan tinggi. Rim pula adalah jenis karbon yang diperkukuh.

Ruang dalam pula kelihatan seperti anda duduk dalam bilik komputer permainan video dengan lambakan lampu LED. Memandangkan Nissan berkata kereta ini akan menjadi jentera fokus litar, ia mendapat penggilap cermin yang diletakkan di tengah-tengah.

Hyper Force dilaporkan mempunyai bateri solid-state 1,000kW yang mampu menghamburkan 1,341hp. Menurut Nissan, ia bakal mendapat sistem pacuan semua-roda e-4ORCE dengan konfigurasi dwi-motor. Kelajuan maksima pula sekitar 320km/j jika dilihat pada paparan HUD.

Adakah ini akan menjadi GT-R R36? Sama-sama kita nantikan.

Mustang dan AMG bukan kategori supercar – Aliff Awang

MUSTANG dan AMG bukan dalam kategori supercar, begitulah yang diperkatakan oleh Aliff Awang, yang kami pun tidak pasti siapa. Cuma kenyataannya dalam satu video telah membuatkan video itu dikongsi di platform-platform media sosial.

Menurut hasil kaji selidik ringkas kami, Aliff merupakan suami kepada pelakon Fatin Afeefa, dan juga merupakan seorang usahawan.

Berbalik kepada kenyataannya, beliau berkata: “Hari ini kita gather dalam 100 buah supercar. Mustang dikecualikan.

“Bila kita sebut supercar ni, Mustang bukan dalam kategori supercar. Mustang, kereta-kereta AMG, Honda pekak, itu semua bukan supercar.

“Supercar ni paling bang*ng pun GT-R. Itu entry level.”

Katanya, ada beberapa buah Mustang cuba masuk, tetapi telah dihalang oleh mereka. Kami tidak pasti atau video ini hanya gurauan/parodi, atau beliau memang serius.

Kami setuju Ford Mustang bukanlah supercar walaupun kereta sports itu sering berada dalam komuniti pemilik-pemilik supercar di Malaysia.

Tetapi kami tertarik berkenaan AMG. Untuk mengatakan semua AMG bukan supercar adalah satu kenyataan pukul rata. Ya, AMG A45 atau A35 mungkin bukan supercar, tetapi bagaimana dengan Mercedes-AMG GT atau AMG GT63 S sedan?

Kedua-dua ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 twin turbo (AMG GT) dan biturbo (AMG GT63 S) dengan output melebihi 510hp dan 650Nm tork. Harga juga bermula pada RM1,125,888, bukan supercar ya?

Anda boleh tonton video itu di bawah untuk membantu beliau menaikkan jumlah tontonan. Video itu difahamkan dalam satu acara dimana beliau telah ‘membeli’ empat panggung wayang di Pavilion Kuala Lumpur untuk tayangan filem Fast X.

Belum tamat rupanya, Nissan GT-R keluar lagi untuk 2024! T-Spec dan Nismo Special Edition

NISSAN GT-R memang sebuah supercar yang berusia sejak mula diperkenalkan pada 2007. Tetapi untuk 2024, masih terdapat model baharu yang didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023.

Khas untuk pasaran domestik Jepun, GT-R R35 2024 mendapat gril rekaan baharu, suspensi dinaik taraf, dan beberapa kemasan edisi khas bagi memastikan jentera itu kekal laju dan mantap.

Pembaharuan di bahagian luar agak minima, kebanyakannya di depan. Gril dan muka depannya kini mendapat garisan lebih lurus dan simetri. Nissan berkata prestasi aerodinamik GT-R telah ditambah baik, manakala bunyi dan gegeran dikurangkan untuk lebih keselesaan.

Walaupun berusia, enjin VR38DETT 3.8-liter twin-turbo V6 pada varian T-Spec tetap berkuasa, membekalkan 562hp dan 637Nm tork. Ia masih dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 6-kelajuan manakala kuasa dihantar ke semua roda melalui sistem pacuan ATTESA ET-S.

GT-R T-Spec juga mendapat penyerap hentak Bilstein dengan tiga mod (Normal, Comfort, dan R). Rim merupkan RAYS 20-inci, dibaluti tayar Dunlop SP Sport Maxx GT600, manakal brek adalah karbon-seramik.

Jika anda mahu lebih kuasa, varian GT-R Nismo menjana 591hp dan 652Nm tork, hasil pengecaj turbo dari jentera lumba GT3.

Nismo juga mendapat LSD mekanikal di depan, hud karbon, dan tempat duduk karbon Recaro, serta beberapa komponen ringan lain.

Nissan GT-R 2024 akan tiba di wakil pengedar Jepun pada musim bunga tahun ini, sementara varian Nismo menyusul pada musim panas.

Tahun lepas, Nissan GT-R dihentikan jualannya di Eropah disebabkan piawaian pelepasan di sana yang semakin ketat.

Kereta sports NISMO hibrid bakal muncul? Tetapi bukan pengganti Nissan GT-R R35

REKABENTUK Nissan GT-R generasi terkini boleh dikatakan sudah berusia 21 tahun jika mengambil kira bahawa konsepnya mula dipertontonkan pada Tokyo Motor Show 2001. Model produksi pula menyusul di acara sama enam tahun kemudian, jadi R35 memang sebuah model yang sudah berusia.

Mujurlah, bahagian prestasi dan sukan permotoran Nissan, NISMO menjanjikan produk menarik yang akan muncul nanti. CEO, Takao Katagiri mengesahkan “sebuah model sangat mengujakan” dengan lencana NISMO sedang dirancang.

Dalam satu temu bual dengan Autocar, beliau berkata kereta itu akan dijual di Jepun dan juga Eropah, Amerika Syarikat, dan UK. Majalah British juga menegaskan bahawa model itu bukanlah pengganti terus kepada GT-R.

Awal tahun ini, “Godzilla” telah dihentikan pengeluarannya di Eropah disebabkan piawaian pelepasan yang semakin ketat yang juga menyebabkan pengeluar itu tidak dapat menjual Z baharu di sana.

Jentera NISMO nanti dikatakan bakal mendapat janaan kuasa hibrid, dan bukanlah EV sepenuhnya. Syarikat itu berkata jentera EV prestasi tinggi akan memerlukan bateri solid state, dan ia belum sedia dihasilkan dalam masa terdekat.

Walaubagaimanapun, pesaing Nissan, Toyota telah menjanjikan untuk melancarkan kenderaan produksi hibrid dengan bateri solid state menjelang 2025.

Katagiri berkata kepada Autocar: “Terdapat visi yang sangat penting untuk Nissan di Eropah. Ianya dibawa bersama dengan kereta baharu ini.

“Rantau ini (Eropah) sangat penting buat kami, terutamanya untuk kereta prestasi. Jadi, satu perkara yang saya boleh katakan ialah sila tunggu.

“Kami akan memperkenalkan model yang sangat mengujakan untuk pasaran UK di bawah jenama NISMO,” tambahnya.

Dalam pada itu, ura-ura berkata Nissan dan NISMO sedang bekerjasama untuk satu versi terakhir GT-R R35 sebagai selamat jalan kepada legenda itu.

Nissan Navara R – Jelmaan GT-R R35 dalam sebuah trak pikap, kuasa sehingga 1,000hp!

PADA 2008, dunia modifikasi diserikan dengan kehadiran Nissan GT-R (R35). Manakan tidaknya, sejak model itu dilancarkan ke pasaran, enjinnya yang dikenali dengan kod nama VR38DETT sering digunakan sebagai ‘jalan pintas’ bagi sesiapa sahaja yang ingin menjadikan jentera mereka lebih pantas.

Malah, Nissan sendiri pernah menyumbat enjin tersebut ke dalam model crossover Juke untuk menghasilkan Juke-R. Ini secara tidak langsung mendorong tuner-tuner lain untuk melakukan perkara yang sama.

Terbaru, drifter dari United Kingdom iaitu Steve “Baggsy” Biagioni telah mendedahkan Nissan Navara R, sebuah trak pikap Navara yang bernadikan enjin twin-turbo V6 buatan tangan itu.

Menurut Baggsy, ia dibangunkan dan dibina oleh pasukannya di SB Motorsport dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan. Memang agak lama, tetapi ada sebabnya.

Ini kerana SB Motorsport telah memperbesarkan sesaran enjin tersebut dari 3.8-liter kepada 4.1-liter.

Dipadankan dengan unit kawalan Syvecs, enjin yang diberi jolokan VR41 itu dikatakan mampu menjana 1,000hp. Jumlah tork tidak didedahkan namun tidak mustahil jika ia juga mencecah empat angka.

Sudah tentu, dengan output yang begitu tinggi, transmisi dan klac asal tidak lagi memadai. Tugas untuk membina semula komponen itu diserahkan kepada pakar transmisi klac berkembar dari Auckland, New Zealand iaitu Dodson Motorsport. Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda.

Angka berkaitan prestasi seperti masa pecutan 0-100km/j dan kelajuan maksimum dirahsiakan namun cukuplah sekadar mengetahui yang Navara R akan menggerunkan sesiapa sahaja yang menaikinya.

Modifikasi pada Navara R tidak terhad kepada trenkuasa sahaja. Sistem suspensi trak pikap ini turut diubah suai bagi memuatkan subframe GT-R, sistem coilover perlumbaan KW V4 dan sistem hidraulik HLS 4.

Roda asal pula telah ditukar dengan roda BBS berukuran 20 inci, dengan sistem brek Alcon RC6 dan RC4 tersembunyi disebaliknya. Seperti yang boleh dilihat, gabungan sistem suspensi dan roda aftermarket tersebut memberikan Navara R stance yang begitu agresif.

Tidak cukup dengan itu, Baggsy turut memilih untuk menggunakan kit badan kustom dan balutan yang direka oleh Fleet Livery Solutions untuk menaikkan lagi seri jenteranya.

Sentuhan pada ruang dalaman tidak begitu meluas namun kehadiran tempat duduk bucket Sparco dan stereng GT-R sudah cukup untuk menjadikan suasana lebih sporti.