Tag Archives: gts

Porsche 911 hybrid telah tiba untuk Carrera GTS – enjin 3.6-liter baharu, 532hp, 0-100 2.9 saat

INI satu berita penting. Walaupun ‘hanya’ facelift, Porsche 911 kini memasuki era baharu. Ini kerana kereta sports ini telah menerima hybrid buat kali pertama dalam sejarah.

Seperti kami laporkan sebelum ini, Porsche 911 akan menjadi hybrid, dan ia tiba untuk kemas kini generasi 992 (dipanggil 992.2) pada varian Carrera GTS.

Untuk 2025, Porsche 911 Carrera GTS mengekalkan identiti enjin flat-six di belakang, tetapi dengan sebuah motor elektrik dengan turbo elektrik. Ini melonjakkan kuasa kepada 532hp dan 608Nm tork.

Enjin yang digunakan ialah unit 3.6-liter baharu menggantikan 3.0-liter sebelum ini. Enjin ini sahaja menghasilkan 478hp dan 569Nm tork. Sistem hybrid menggantikan pakej twin turbo sebelum ini kepada pengecas turbo elektrik tunggal.

Ianya seperti pengecas turbo ekzos-gas tradisional tetapi dengan motor 11kW (14.7hp) pada syaf antara turbin dan compressor. Motor ini mampu memutarkan turbo dengan sangat pantas untuk respon cepat, mengurangkan turbo lag dengan drastik. Ia juga mampu menghantar semula kuasa ke bateri 400 volt.

Terdapat juga motor penjana 32.6hp diapit antara enjin flat-six dengan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan. Kedua-dua ini dipacu oleh bateri 1.9kWh yang sangat kecil, terletak di bawah hud depan.

Powertrain dengan nama T-Hybrid ini direka untuk meningkatkan prestasi di semua julat rpm sambil bekerja pada nisbah udara-petrol yang ideal iaitu 14.7:1 pada hampir setiap masa. Hybrid ini juga bermakna tiada lagi transmisi manual untuk 911 Carrera GTS.

Porsche 911 Carrera GTS baharu ini lebih berat dari model sebelumnya, antaranya disebabkan ciri standard seperti stereng roda-belakang, tetapi kuasa tambahan mengatasi pertambahan berat ini. Ia juga 911 Carrera pertama yang mampu memecut ke 100km/j kurang 3 saat, lebih tepat lagi 2.9 saat.

Selain T-Hybrid, Carrera GTS 2025 mendapat flap aerodinamik aktif baharu di depan untuk penyejukan lebih baik tanpa kompromi pada seretan (drag). Terdapat juga perubahan kosmetik pada muka depan dan belakang selain pilihan rim baharu.

Tayar belakang juga lebih lebar, kini 315/30/21, tetapi depan dikekalkan pada 245/35/20. Di bahagian dalam, perubahan terbesar ialah kluster instrumen digital sepenuhnya. Ya, tiada lagi jarum tachometer analog.

Varian asas 911 (992) Carrera 2025 diberikan turbo dan intercooler dari model GTS dan Turbo sebelum ini. Ini memberikan tambahan 9hp, manakala tork kekal 448Nm.

Untuk 2025, hanya Carrera dan Carrera GTS yang menerima facelift, varian-varian lain seperti Turbo, GT3, GT3 RS dan GT2 akan menyusul kemudian. Porsche 911 992.2 2025 dijangka tiba menjelang hujung tahun ini.

McLaren GTS pengganti GT yang lebih ringan dan berkuasa

SETELAH hampir lima tahun berada di pasaran, McLaren GT akhirnya digantikan dengan model baharu yang dikenali sebagai GTS.

Sudah tentu, sebagai model pengganti, GTS tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk, kelengkapan dan yang paling mengujakan, prestasi.

Seperti yang boleh dilihat, bentuk keseluruhan jentera grand tourer ini dikekalkan namun ia kini mendapat liang udara baharu yang lebih lebar untuk menyalurkan lebih banyak udara ke radiator.

Di belakang pula, skup udara yang lebih tinggi memastikan enjin twin-turbo 4.0 liter V8-nya mendapat bekalan udara yang mencukupi untuk menghasilkan kuasa yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

GTS boleh didapati dalam pelbagai warna baharu termasuk Mantis Green, Tanzanite Blue, Ice White dan warna eksklusif untuk model ini iaitu Lava Grey.

Untuk rim, terdapat dua rekaan rim aloi dan kedua-dunya boleh dipadankan dengan bolt titanium yang dikatakan 35 peratus lebih ringan berbanding bolt standard. Tayar yang digunakan adalah Pirelli P Zero yang dibangunkan khusus untuk GTS.

Untuk bahagian kabin pula, pelanggan kini boleh memesan upholsteri kulit Softgrain Aniline bersama corak double piping dan jahitan kontras.

Selain menjadikan ia lebih menawan pada pandangan mata, McLaren turut berjaya mengurangkan berat GTS menerusi penggunaan bumbung komposit dan struktur atas pada bahagian belakang, kedua-duanya diperbuat daripada gentian karbon. Solusi ini menjadikan ia 10 kg lebih ringan, dengan berat keseluruhan sekitar 1,520 kg.

Dengan kuasa sebanyak 635 PS, iaitu 15 PS lebih tinggi berbanding model yang digantikannya, GTS hanya memerlukan 3.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan 8.9 saat untuk mencapai kelajuan 200 km/j. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksimum 326 km/j.

Kuasa yang lebih tinggi tidak bermakna aspek praktikaliti harus dikorbankan. Malah, GTS lebih praktikal berbanding GT kerana bahagian depannya kini boleh dinaikkan sebanyak 20 mm dalam hanya empat saat, dua kali ganda lebih pantas berbanding sebelum ini.

Selain itu, GTS mempunyai ruang but sebesar 420 liter yang boleh diakses dengan membuka tailgate kaca di belakang. Ia juga mempunyai ruang storan sebesar 150 liter pada bahagian depan, menjadikan jumlah ruang kargo sebesar 570 liter.

Satu lagi penambahbaikan adalah sistem stereng elektro-hidraulik yang telah ditala semula untuk tindak balas yang lebih tepat. Menurut McLaren, tahap bantuan sistem ini lebih tinggi pada kelajuan rendah untuk memudahkan pemandu memasuki petak parkir.

Ferrari 296 GTS supercar V6 terbaharu untuk memandu sambil menghirup udara segar, 830hp dan 740Nm

Ferrari pada Jun 2021 memperkenalkan supercar V6 terbaharu mereka iaitu 296 GTB yang tiba ke negara ini pada Mac 2022.

Kini pengeluar Prancing Horse itu membawakan pula versi convertible, persilakan 296 GTS (Gran Turismo Spider) untuk mereka yang sukakan pemanduan sambil menghirup udara segar.

Seperti model-model convertible Ferrari yang lain, 296 GTS hadir dengan bumbung hardtop boleh dilipat, jadi ini dapat mengekalkan rupa coupe semasa bumbungnya dinaikkan.

Bumbung ini naik dan turun dalam masa 14 saat dan boleh dioperasikan pada kelajuan sehingga 45 km/j.

Dengan cermin di bahagian belakang, anda masih boleh mengamati enjin 3.0-liter V6 yang menjana 663hp itu. Tetapi dengan ‘kerjasama’ motor elektrik, Ferrari 296 GTS menghasilkan output keseluruhan 830hp dan 740Nm tork.

Ini cukup untuk melonjakkannya ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat, manakala 200km/j boleh dicapai dalam 7.6 saat.

Jika diberikan jalan dan ruang yang cukup, 296 GTS mampu memecut sehingga kelajuan maksima 330km/j. Oh ya, supercar ini mampu dipandu dalam mod elektrik juga, dengan kelajuan dihadkan kepada 135km/j.

Transmisi ialah unit dwi-klac 8-kelajuan sama seperti 296 GTB, SF90 Stradale/Spider, Roma dan Portofino.

Sebagai sebuah convertible, berat biasanya menjadi isu utama. Ini kerana mekanisma bumbung hardtop yang boleh dilipat serta penambahan komponen untuk mengekalkan ketegaran casis sememangnya menyumbang kepada pertambahan berat.

296 GTS mempunyai berat sekitar 1,540kg (dengan pakej Assetto Fiorano), bermakna ia 70kg lebih berat dari versi GTB.

Sama seperti GTB, 296 GTS juga mempunyai jarak pemanduan EV sekitar 25km dari bekalan bateri 7.45kWh padanya.

Ferrari 296 GTS bukan satu-satunya model yang akan dilancarkan tahun ini, sebaliknya pengeluar Itali itu dijangka menutup tirai 2022 dengan pengenalan Purosangue, SUV pertama mereka.

Porsche Taycan kini dalam versi GTS, jarak pemanduan lebih 500km, dari RM708k

PORSCHE Malaysia memperkenalkan Taycan GTS iaitu versi yang lebih sporti untuk EV itu. Ia diposisikan di atas Taycan 4S tetapi di bawah Taycan Turbo dari segi harga dan prestasi.

GTS yang bermaksud Gran Turismo Sport telah diperkenalkan sejak 1963 pada Porsche 904 Carrera GTS. Nama ini juga cukup ikonik dan hanya model-model yang layak sahaja akan memakai lencana ini.

Khas untuk Taycan GTS, selain menjadi varian yang lebih sporti, EV ini juga merupakan versi pertama yang mampu dipandu melebihi 500km iaitu lebih tepat lagi 504km.

Porsche Taycan GTS baharu ini mempunyai 440kW (598PS) dengan Overboost semasa Launch Control dan mampu melakukan pecutan 0 ke 100km/j dalam 3.7 saat sahaja. Kelajuan maksima pula ialah 250km/j.

Ia turut dilengkapi Porsche Active Suspension Management (PASM) yang ditala khas untuk Taycan GTS untuk menjadikan pemanduan lebih dinamik. Selain itu, kereta ini mendapat stereng roda-belakang yang lebih sporti serta Porsche Electric Sport Sound baharu.

Sudah tentu, rupa luaran dan dalaman Taycan GTS ini dinaiktaraf untuk membezakannya dari model lain. Ini terdiri dari kemasan hitam dan gelap pada apron depan, cermin sisi, dan pada lampu.

Bahagian dalam pula diberikan kemasan Black Race-Tex serta ‘brushed aluminium’ untuk rasa dinamik dan elegan.

Khas untuk Taycan GTS ini juga ialah bumbung panoramik dengan Sunshine Control yang membolehkannya ditukar menjadi gelap atau jernih dengan satu sentuhan butang.

Menariknya, panel ini terdiri dari sembilan bahagian kecil dan boleh diubah secara satu-persatu, pertama seumpamanya di dunia menurut Porsche.

Porsche Taycan GTS dijual standard dengan Premium Package pada harga bermula RM708,000 (termasuk pengecualian SST) dan akan tiba ke negara ini pada suku kedua 2022 nanti.

Porsche Malaysia juga mengumumkan harga baharu untuk varian-varian lain Taycan seperti berikut:

Taycan: dari RM508,000
Taycan 4S: dari RM595,000
Taycan Turbo: dari RM793,000
Taycan Turbo S: RM934,000

Taycan Cross Turismo: dari RM555,000
Taycan 4S Cross Turismo: RM617,000
Taycan Turbo Cross Turismo: dari RM798,000