Great Wall Motor (GWM) mengemaskini penawaran bagi model SUV off-road Tank 300 2025 di mana pelanggan kini boleh mendapatkan varian berenjin diesel serba baharu.
Tank 300 diesel dijana dengan enjin 2.4 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 181 hp dan daya kilas 480 Nm.
Dengan padanan transmisi automatik sembilan-kelajuan (9AT), Tank 300 dikatakan mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, dengan kadar kecekapan mencecah 97 peratus!
Selain daripada versi petrol turbo 2.0 liter (217 hp/380 Nm), Tank 300 juga tersedia dalam versi plug-in hybrid Hi4-T.
Kuasa keseluruhan Tank 300 Hi4-T mampu mencecah 402 hp dan daya kilas 750 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.7 saat dan menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 105 km.
10 mod pemanduan turut tersedia.
Perubahan besar dibawakan pada ruang kabin, di mana Tank 300 kini menampilkan skrin infohibur sebesar 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155, skrin kluster digital 12.3 inci, tuil transmisi pada kolum stereng serta roda stereng baharu.
Selain itu, terdapat juga sistem audio dengan 12 pembesar suara, sistem operasi Coffee OS 3, sistem pembatalan bunyi hingar aktif dan tempat duduk balutan kulit Nappa.
Disebabkan tuil transmisi telah dialihkan diikuti dengan susun atur butang fungsi pada konsol tengah telah diperbaharui, ruang kokpit kini nampak lebih lapang dan kemas.
Dari segi luaran, Tank 300 2025 masih lagi mengekalkan reka bentuk yang sama seperti model sedia ada, cuma ditambah dengan pilihan warna baharu desert yellow.
Di China, harga jualan Tank 300 2025 bermula dari 199,800 yuan (RM122,070), diikuti dengan versi diesel dari 234,800 yuan (RM143,454), sementara varian Hi4-T pula dari 249,800 yuan (RM152,618).
GWM Malaysia mengumumkan ia telah menyerahkan Tank 300 yang ke-500 kepada pelanggannya.
Menurut syarikat itu, pencapaian ini membuktikan populariti Tank 300 yang semakin meningkat di negara ini, menjadikannya antara pilihan utama dalam kalangan peminat off-road.
“Kami amat berbangga melihat sambutan dan impak besar GWM Tank 300 di Malaysia sama seperti di China,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.
“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan dan keterujaan rakyat Malaysia terhadap jenama kami. Respons ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan momentum dengan barisan model Tank yang akan datang,” tambah beliau.
Bagi meraikan pencapaian ini, GWM Malaysia menawarkan waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi kepada semua pemilik pertama Tank 300.
Syarikat itu turut menawarkan empat promosi eksklusif kepada pemilik baharu dan sedia ada Tank 300:
Pandu Uji dan Menang: Pandu uji Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilaiRM 888.
Beli dan Menang: Miliki Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilai RM8,888.
Pakej Penyelenggaraan Percuma: Miliki Tank 300 dan nikmati pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
Menangi Kit Modifikasi Iron Cavalry GWM: Pelanggan yang membuat tempahan Tank 300 dari 1 Mac hingga 31 Mei 2025 akan berpeluang memenangi hadiah eksklusif kit modifikasi Iron Cavalry GWM. Untuk promosi ini, hanya satu pemenang bertuah akan dipilih.
Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mengumumkan pemenang bagi kempen ‘GWM HAVAL H6 HEV Fuel Efficiency Challenge:Drive Further, Win Bigger’ yang berlangsung dari 20 Januari hingga 9 Februari 2025.
Dalam kempen ini, peserta menguji kemampuan kenderaan masing-masing untuk mencapai jarak pemanduan tertinggi dengan satu tangki penuh.
Gelaran juara telah dirangkul oleh Koh Hui Min dari Kelantan dengan catatan jarak tertinggi iaitu 1,204 km, sekali gus membuktikan kemampuan Haval H6 HEV dalam mencapai kecekapan bahan api maksimum untuk perjalanan jarak jauh.
Berikut adalah enam pemenang teratas dengan catatan jarak tertinggi:
Koh Hui Min (1,204 km)
Lee Keat Teng (1,127 km)
Hasif Radzi (1,120 km)
Teh Harn Jian (1,102 km)
Tan Cheng Yang (1,101 km)
Mohd Syarizal bin Mohd Noor (1,077 km)
“Pencapaian luar biasa ini membuktikan kemampuan SUV hibrid ini untuk mencapai kecekapan bahan api yang lebih efisien tanpa mengabaikan prestasi kenderaan,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.
Dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Haval H6 HEV menampilkan gabungan enjin 1.5-liter empat silinder turbo dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 243 PS dan 530 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.
GWM berkata Haval H6 HEV mempunyai tahap penggunaan bahan api 5.8 liter/100 km, bermakna ia boleh menempuh lebih daripada 1,000 km dengan satu tangki penuh.
Pusingan kedua cabaran ini kini sedang berlangsung dari 17 Februari hingga 9 Mac 2025. Enam pemenang teratas akan berpeluang untuk memenangi kad petrol bernilai RM1 untuk setiap 1 km jarak yang berjaya dicapai.
Jika kita berbicara soal pemanduan off-road, sudah pasti terlintas dalam fikiran beberapa jenama serta model kenderaan yang lebih sesuai digunakan untuk tujuan itu.
Namun, anda harus tahu pengeluar automotif China kini tidak lagi ketinggalan jauh di belakang seperti suatu ketika dahulu.
Malah dengan kehadiran pelbagai teknologi baharu yang lebih moden dan lasak, mereka juga mampu berdiri sama baris dengan jenama-jenama terkemuka di luar sana.
Bertempat di kawasan pergunungan Changbai, wilayah Jilin pada 9-15 Januari yang lepas, GWM menganjurkan acara yang dinamakan sebagai Ice & Snow Festival.
Di sana, kami diberikan peluang untuk menguji sendiri keupayaan barisan kenderaan off-road Haval, Tank dan Poer meredah laluan ekstrem yang dipenuhi ais dan salji pada suhu mencecah negatif 30 darjah Celcius.
Biarpun hadir dengan spesifikasi standard kilang tanpa sebarang ubahsuai, kesemua kenderaan off-road tersebut membuktikan keupayaan sebenar dengan menghabiskan perjalanan meredah pelbagai bentuk muka bumi di sekitar Huamei Resort.
Antara sorotan utama acara Ice & Snow Festival itu ialah sistem plug-in hybrid (PHEV) baharu menerusi model Tank 500 Hi4-Z.
Berbanding sistem hibrid Hi4-T yang lebih ‘hardcore’, sistem Hi4-Z tidak lagi menampilkan aci pemacu yang menghubungkan enjin dengan gandar belakang.
Sebaliknya, roda belakang kini digerakkan oleh motor elektrik.
Disebabkan itu juga, GWM boleh memuatkan pek bateri yang lebih besar kapasitinya (59.05 kWh) untuk jarak gerak sifar emisi sejauh 200 km!
Dengan padanan enjin 2.0 liter turbo (248 hp/380 Nm) dan dua motor elektrik, sistem Hi4-Z ini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 852 hp dan daya kilas 1,195 Nm.
Ini membolehkan Tank 500 Hi4-Z memecut sepantas 4.6 saat dari 0-100 km/j sahaja.
Selain daripada itu, GWM juga melancarkan inisiatif GWM Off-Road Alliance.
Inisiatif terbaharu ini bertujuan untuk mengukuhkan komuniti off-road di peringkat global dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti latihan teknik pemanduan off-road, serta mengoptimasikan prestasi kenderaan untuk pelbagai jenis bentuk muka bumi.
GWM turut memperkenalkan sistem penggredan laluan off-road (skala 1 hingga 10) yang boleh memberikan satu kerangka kerja yang lebih jelas untuk menangani keadaan bentuk muka bumi yang berbeza.
Untuk pemandu di Malaysia, sistem gred ini boleh digunakan sebagai rujukan dan persiapan menghadapi pelbagai cabaran seperti kawasan berpasir di persisiran pantai, laluan ladang berlumpur serta jalan pergunungan yang curam.
Semua ini untuk memastikan komuniti off-road dapat menikmati perjalanan mencabar dengan lebih selamat dan dalam masa yang sama menikmati pengalaman yang menyeronokkan.
Syarikat EP Manufacturing Berhad (EPMB) baru-baru ini meraikan pencapaian penting menerusi pengeluaran kenderaan yang ke-1000 di kilang pemasangan Pegoh, Melaka.
Menurut Encik Hamidon Abdullah selaku Pengerusi Eksekutif EPMB berkata, “Hari ini menandakan permulaan era baharu bagi EPMB, mengimbas kembali cabaran semasa pandemik COVID-19, kami tetap tabah dan kembali membina asas rancangan yang kukuh untuk masa depan.
“Fasa 1 kilang pemasangan kenderaan di Pegoh, Melaka adalah bukti visi kami. Kerjasama dengan GWM telah mencapai kejayaan besar, dan momentum ini akan diteruskan dengan persiapan untuk memasang model-model GWM yang lain.
“Kami menjangkakan kapasiti Fasa 1 akan digunakan sepenuhnya menjelang akhir 2025. Untuk Fasa 2, kapasiti pengeluaran akan dipertingkatkan dengan tambahan 30,000 unit setahun, sementara Fasa 3 pula akan memberikan tumpuan kepada pembuatan badan kenderaan dan proses pengecatan.”
Difahamkan, EPMB merancang untuk memasang beberapa model GWM termasuklah Jolion HEV (Q2 2025) dan Wey 80 (Q4 2025), serta dua model BAIC iaitu Beijing X55 dan BJ40 (Q1 2025).
Kilang yang terletak di Alor Gajah itu mempunyai kapasiti pengeluaran 15,000 unit setahun, dan mempunyai kekuatan tenaga pekerja seramai 160 orang.
EPMB turut memberikan keutamaan kepada lokalisasi komponen kenderaan untuk memperkukuh industri automotif tempatan.
Menerusi fasiliti di Kulim, Tanjung Malim, Batang Kali, Shah Alam dan Melaka, EPMB memulakan lokalisasi komponen penting untuk kenderaan GWM termasuklah tempat duduk, rangka depan stereng, gandar belakang, sistem suspensi, brek, panel instrumen, konsol tengah serta trim panel pintu.
Bagi yang belum mengetahui, Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 akan membuka tirainya dari 5 hingga 11 Disember 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menurut penganjur iaitu Persatuan Automotif Malaysia (MAA), acara yang hadir dengan tema ‘Beyond Mobility’ itu bakal menampilkan hampir 70 pempamer, dengan kawasan pameran meliputi hampir 30,000 kaki persegi di dua aras bangunan MITEC.
Bagi mereka yang merancang untuk mengunjungi, berikut adalah antara beberapa kenderaan menarik yang akan membuat kemunculan mereka di acara berkenaan:
Perodua EMO-II
Tidak syak lagi, Perodua bakal mencuri tumpuan pengunjung dengan model konsep berkuasa elektrik mereka iaitu EMO-II (Electric Mobility Online). Ia memberi bayangan kepada versi produksi kenderaan elektrik pertama Perodua yang akan dilancarkan ke pasaran pada penghujung tahun ini.
Proton e.MAS 7
Walaupun tidak diumumkan secara rasmi, EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 berkemungkinan besar akan membuat kemunculan sulungnya di KLIMS 2024. Ia boleh didapati dengan dua pilihan pek bateri, dengan harga anggaran RM120,000.
Honda Prelude Concept
Satu lagi jenama yang pastinya akan menjadi tarikan di KLIMS 2024 adalah Honda. Di samping barisan model terkininya, Honda Malaysia mengumumkan bahawa ia juga akan mempamerkan Prelude Concept. Ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat Asia selain Jepun yang mempamerkan model coupe hibrid tersebut.
Mazda CX-60
Bagi peminat setia Mazda, Bermaz Motor akan mempamerkan dua model SUV yang menarik iaitu CX-60 dan CX-80. Dibina di atas platform SkyActiv Multi Solution Scalable Architecture, model ini boleh didapati dengan pilihan trenkuasa petrol, diesel dan hibrid plug-in (PHEV), dengan pacuan roda belakang dan semua roda.
Mazda CX-80
Seperti CX-60, CX-80 juga merupakan sebahagian daripada kumpulan Large Product pengeluar dari Jepun itu namun ia menawarkan tiga barisan tempat duduk. Pilihan trenkuasa juga hampir sama dengan CX-60, terdiri daripada enjin petrol dan diesel enam silinder sebaris, PHEV, transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem AWD atau RWD.
Toyota Camry
Susulan pelancarannya di Thailand pada Oktober lalu, Toyota Camry generasi kesembilan (XV80) akan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia minggu ini. Sedan segmen D itu dikuasakan oleh gabungan enjin hibrid 2.5-liter dan transmisi jenis e-CVT yang menghasilkan 227 PS.
Toyota Corolla Cross
Selain Camry, UMW Toyota Motor juga akan membawakan Corolla Cross versi facelift yang sebenarnya sudah pun dibuka untuk tempahan pada November lalu. Selain reka bentuk luaran yang lebih segar, SUV ini juga mendapat beberapa kelengkapan baharu termasuk brek parkir elektronik, Auto Hold dan sistem bantuan pemandu yang dipertingkatkan.
Nissan Kicks e-Power
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Nissan Kicks e-Power akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, dengan dua pilihan varian iaitu VL dan VLT. Ia menampilkan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder yang bertindak sebagai penjana untuk mengecas pek bateri bagi menggerakkan motor elektrik pada gandar depan.
MG Cyberster
Antara kereta yang bakal menonjol di KLIMS 2024 adalah MG Cyberster, roadster elektrik yang dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 503 PS dan 725 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.
GWM Wey 80
Wey merupakan sub-jenama mewah yang bernaung di bawah Great Wall Motor (GWM). Sama ada ia akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan atau tidak masih belum dapat dipastikan, namun jika MPV mewah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung, tidak mustahil ia akan terjadi.
Di peringkat global, trend pemilikan kenderaan elektrik dilihat menjadi semakin perlahan.
Rata-rata pengeluar utama automotif dunia mula menarik brek tangan dan membuat pusingan U untuk kembali menghasilkan kenderaan bahan bakar fosil untuk para pelanggannya.
Apa yang pasti, teknologi zaman purba itu masih lagi belum menemukan titik penghujungnya, dan ia kini ditambah baik dengan bantuan sistem hibrid untuk jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding kereta elektrik bateri (BEV) dan semestinya kereta ICE tulen.
Salah satu kereta hibrid buatan China yang sudah pun wujud di pasaran Malaysia ialah Haval H6 HEV.
Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lepas, Haval H6 HEV merupakan pendatang baharu SUV segmen C untuk melawan pesaing seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan juga Proton X70.
Selain daripada pakej saiz, Haval H6 HEV juga datang dengan pakej harga yang cukup menarik perhatian – RM139,800, meletakkannya lebih murah berbanding dengan Toyota Corolla Cross Hybrid.
Adakah dengan taktik harga murah itu mampu menarik golongan pembeli daripada mendapatkan Corolla Cross, atau CR-V yang lebih sofistikated?
Kami berjaya mendapatkan unit pandu uji Haval H6 HEV untuk tempoh beberapa hari dan ini merupakan hasil penilaian kami:
1. Rekaan luaran
Dalam banyak-banyak SUV segmen C yang ada, boleh dikatakan Haval H6 HEV ini mempunyai rekaan yang agak selamat.
Tiada sebarang garis-garis tajam yang agresif, reka bentuknya membulat, tapi tidaklah terlalu pau rupanya macam Proton X70.
Muka depan tampak garang dengan kehadiran lampu utama LED serta struktur jeriji lebar ‘Star Matrix’, cuma rim 19 inci itu dilihat agak kecil bila duduk di bawah gerbang roda SUV ini.
Untuk bahagian belakang pula, ia mendapat bar lampu LED melintang penuh, serta gugusan empat unit lampu brek yang bertenggek pada spoiler.
Senang cerita, rekaannya memang biasa-biasa saja. Tiada apa yang ‘wow’. Melainkan kewujudan lencana HEV yang menandakan ia bukanlah SUV yang malas bergerak macam anak gajah.
Faktor rupa yang agak selamat itu juga berjaya menyembunyikan fakta bahawa ia sebenarnya sebuah SUV yang agak besar!
Dengan ukuran 4,683 mm x 1,886 mm x 1,730 mm, Haval H6 jauh lebih lebar dan lebih tinggi berbanding Honda CR-V, dengan kelebihan jarak antara roda yang lebih panjang.
2. Rekaan dalaman
Mengikuti trend semasa, Haval H6 HEV membawakan susun atur ruang kabin yang lebih minimalis.
Kelengkapannya juga serba lengkap, ada skrin digital 10.25 inci di hadapan pemandu, skrin infohibur 12.3 inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (ciri penting untuk sebuah kereta moden!), kawalan iklim dua zon, slot pengecasan peranti tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.
Pada bahagian konsol tengah, terdapat beberapa butang fungsi penting, cuma sayang sekali ia tidak menyertakan fungsi yang jauh lebih penting – kawalan suhu dan kelajuan hembusan angin sejuk.
Semuanya anda perlu selongkar sendiri menerusi skrin tengah. Hmmm… Sudah pasti ia mendatangkan kesulitan terutama ketika memandu seorang diri.
Penulis juga tidak begitu gemar dengan kemasan tiga tona yang menampilkan warna rose gold itu, rasa agak mengganggu tumpuan pemanduan.
Beralih kepada skrin hadapan, apa yang kami hargai ialah kesudian pihak GWM untuk tidak membanjirkan skrin tersebut dengan segala macam logo dan simbol-simbol yang menyemakkan mata memandang.
Reka letak dan grafik amat tajam dan mudah untuk dibaca, cuma sayang sekali kurang pilihan penyesuaian paparan disertakan untuk penulis yang lebih menggemari paparan meter kelajuan stail analog.
3. Pakej kuasa yang mengujakan
Ini merupakan antara SUV hibrid yang paling berkuasa di dalam kelasnya.
Haval H6 HEV dibekalkan dengan sistem enjin hibrid berkuasa 243 PS dan 530 Nm, terdiri daripada nadi empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm), motor elektrik tunggal (177 PS/300 Nm), kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan dan sistem pacuan roda depan.
Dengan mod Sport yang tersedia, Haval H6 HEV mampu memecut sepantas 7.75 saat dari pegun sebelum mencapai kelajuan 100 km/j.
Sebagai perbandingan, Corolla Cross Hybrid didatangkan dengan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson aspirasi semula jadi (NA) berkuasa 98 PS/142 Nm dan motor elektrik tunggal 72 PS/163 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS.
Manakala CR-V e:HEV pula mendapat nadi hibrid 2.0 liter NA yang digandingkan dengan dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 181 PS dan 335 Nm.
4. Pemanduan
Atas kertas memang nampak bertenaga, cuma hamburan kuasa yang diberikan oleh Haval H6 HEV tidaklah seagresif kereta sports atau kereta elektrik (EV) dengan tork yang menggila.
Saat pedal pendikit ditekan rapat ke lantai, anda boleh merasai pecutan yang responsif dan lancar tanpa menyebabkan leher anda kesakitan akibat daya G yang tinggi.
Kuasa ini sebenarnya sangat diperlukan ketika anda sedang memandu dengan ruang kabin yang sarat dengan penumpang dan barang, dan ketika itu perlu memotong lori treler lapan belas tayar di hadapan yang agak perlahan di jalan lama sebab terlebih muatan.
Satu perkara yang kami boleh puji SUV ini ialah tahap gegaran enjin yang langsung tidak dirasakan dari dalam ruang kabin.
Walaupun ada ketika SUV ini memerlukan kerahan tenaga ekstra, operasi enjin 1.5 liter turbo itu sangat cekap tanpa kehadiran bunyi bising dan gegaran yang disebutkan tadi.
Dengan dimensi yang agak besar, SUV ini masih lagi senang untuk dikawal, cuma roda stereng itu dirasakan terlalu besar – terasa macam pandu lori pun ada.
Aspek pengendalian juga memuaskan di mana ia lebih ditala untuk aspek keselesaan semua penumpang.
Sistem gantungan Haval H6 HEV bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran dan lubang yang muncul dari permukaan jalan raya, dan dalam masa yang sama tidak membuai dengan teruk di laluan yang berselekoh.
Sistem brek juga berfungsi dengan cemerlang untuk menghentikan pergerakan SUV yang berat ini daripada kelajuan tinggi, cuma pada kelajuan rendah anda memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan respons pedal supaya SUV ini tidak berhenti secara mengejut.
Menurut GWM, untuk satu tangki penuh Haval H6 HEV dikatakan mampu bergerak sejauh 1,000 km.
Angka tersebut sebenarnya telah pun dicapai oleh beberapa rakan media kami yang sudah menguji pandu SUV ini.
Berdasarkan pengalaman peribadi, penulis berjaya mencapai angka jarak pemanduan melebihi julat 700 km – angka impresif tersebut boleh dicapai walaupun penulis tidak memandu secara santai demi mendapatkan manfaat penjimatan bahan api.
Sudah pasti, ia amat berguna untuk pemanduan jarak jauh di mana anda tidak perlu untuk berhenti dengan lebih kerap untuk melakukan pengisian bahan api.
5. Keselesaan
Tatkala penulis amat berpuas hati dengan hamburan kuasa yang diberikan oleh SUV hibrid ini, ada perkara utama yang perlu diberikan tumpuan oleh GWM – keselesaan.
Untuk pemanduan jarak dekat, apa yang ditawarkan oleh Haval H6 HEV tidak akan mendatangkan masalah keselesaan yang ketara.
Namun bagi pihak berkeluarga yang kerap membuat pemanduan jarak jauh (balik kampung contohnya) mungkin sukar untuk mempertimbangkan SUV ini.
Apa yang penulis perasan ialah tempat duduk Haval H6 HEV tidak menawarkan sokongan bawah peha yang mencukupi.
Jadi, sepanjang masa kaki pemandu dan penumpang akan rasa tergantung dan ini akan membuatkan kita rasa lebih cepat penat.
Faktor dimensi yang besar membolehkan Haval H6 menyediakan ruang kaki dan kepala yang besar dan selesa, cuma ia tidak diseimbangkan dengan balutan upholsteri yang menyenangkan.
Terdapat fungsi ‘boss switch’ membolehkan pemandu melaraskan kedudukan kerusi penumpang hadapan sekiranya penumpang di sebelah terlena akibat kepenatan – ciri yang sangat diperlukan oleh suami mithali.
Dari segi praktikaliti pula, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan seperti beg bagasi dan plastik bungkusan dari pusat membeli belah terkemuka.
Jika anda mahukan ruang yang lebih besar, lipat sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan diberikan ruang kargo sebesar 1,485 liter.
Akhir sekali, kami dapati aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) Haval H6 HEV berada di tahap yang agak memuaskan.
Dengan penggunaan tayar yang lebih senyap, ia sedikit sebanyak membantu menjadikan ruang kabin Haval H6 yang lebih selesa, bunyi bising angin yang menderu juga turut ditapis dengan berkesan.
Cuma satu perkara yang penulis harus ingatkan, walaupun senyap, tayar standard yang digunakan pada Haval H6 HEV ini tidak sesuai untuk mereka yang menggemari corak pemanduan yang agresif.
Sedikit pelaburan besar amatlah diperlukan supaya anda boleh menikmati pemanduan berprestasi Haval H6 HEV yang lebih seimbang.
6. Hibrid, tapi boleh pandu macam EV!
Anda mungkin tertanya-tanya kenapa Haval H6 HEV hanya didatangkan dengan kotak gear 2 nisbah kelajuan sahaja.
Jawapannya mudah, Haval H6 HEV bergantung hampir sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak dan tidak memerlukan nisbah gear yang terlalu banyak.
Enjin 1.5 liter turbo itu hanya akan dihidupkan sekiranya pemandu memerlukan kuasa ekstra untuk pemanduan agresif.
Kapasiti pek bateri yang dibekalkan agak kecil, sekitar 1.7 kWh sahaja namun sudah cukup untuk membenarkan Haval H6 HEV ini berperangai macam sebuah EV tulen!
Jarak gerak yang ditawarkan tidaklah terlalu jauh sehingga berbelas-belas kilometer, namun penulis perasan Haval H6 HEV ini langsung tidak menggunakan kuasa enjin semasa memandu di tengah-tengah ibu kota pada julat kelajuan yang rendah.
Sehinggakan ada yang bertanya, “SUV ni elektrik ke?” disebabkan operasinya yang agak senyap.
7. Harga yang agak berbaloi
Pada ketika ini, harga jualan Haval H6 HEV untuk pasaran Malaysia bermula dari RM139,800, menjadikannya sedikit murah berbanding Toyota Corolla Cross Hybrid (RM142,000).
Sebuah lagi SUV segmen C popular, Honda CR-V e:HEV RS dijual pada harga RM195,900 di mana ia hadir dengan rupa paras yang lebih agresif, namun kurang berkuasa berbanding Haval H6 HEV.
Ini secara tidak langsung meletakkan Haval H6 HEV sebagai sebuah model pesaing yang cukup ampuh untuk menentang dua model buatan Jepun, dengan kelebihan dari segi harga, kuasa, dan praktikaliti yang ditawarkan.
Persoalannya, dengan kelebihan yang disebutkan di atas, adakah kehadiran Haval H6 HEV mampu menggoncangkan asas yang sudah dibina kukuh oleh dua pengeluar Jepun itu tadi?
Bagi penulis, jawapan sebenar kepada persoalan itu mungkin sukar untuk menggembirakan hati semua pihak.
Ini kerana setelah menilai antara ketiga-tiga SUV tersebut, penulis lebih menggemari aspek pemanduan yang ditawarkan oleh model buatan Jepun yang rasa lebih hidup dan terhubung dengan pemandu, keselesaan penumpang yang jauh lebih baik selain fungsi-fungsi penting yang lebih mudah untuk dioperasikan tanpa perlu bergantung harap sepenuhnya skrin tengah.
Penulis tidak menolak sepenuhnya kelebihan yang wujud pada Haval H6 HEV, namun faktor kepuasan pemanduan adalah lebih penting, jauh mengatasi apa yang cuba digula-gulakan oleh GWM pada model ini.
Spesifikasi Haval H6 HEV:
Enjin: Empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j
Sedan elektrik Ora 07, atau nama lainnya Ora Lightning Cat mungkin sekali satu pakej EV yang agak unik di dalam pasaran Malaysia pada ketika ini.
Ia membawakan pakej rupa paras yang diinspirasikan daripada model jutaan ringgit, dalam masa yang sama harga yang cukup mampu beli.
Ulasan pandu uji telah pun kami kongsikan sebelum ini, namun dalam artikel ini kami akan bercerita tiga perkara yang kurang digemari wujud pada model ini.
1. Perumah lampu belakang yang ‘terpaling merah’
Rekaan luaran Ora 07 ini memang feminin dan nampak ringkas, siap ada spoiler adaptif lagi.
Namun, perkara yang kurang digemari ialah struktur perumah lampu belakang berwarna merah secara keseluruhannya.
Ketika pemanduan waktu siang, pengguna jalan raya lain mungkin sukar untuk meneka sama ada penulis sudah pun memberikan isyarat membelok atau mungkin masuk simpang menggunakan niat.
2. Tiada pilihan tema meter analog
Penulis cukup suka dengan ‘gugusan’ meter stail Porsche 911 yang wujud pada ruang kabin Ora 07 ini.
Nampak klasik dan moden dalam masa yang sama.
Cuma kekurangannya, ia tidak menawarkan pilihan tema meter analog untuk disesuaikan dengan jiwa pemanduan maskulin Ora 07 ini.
Namun sejujurnya penulis akui paparan grafik meter ini jauh lebih kemas berbanding sedan buatan China lain yang wujud di pasaran.
3. Kemudahan yang mudah namun rumit untuk digunakan
Sebagai seorang yang tidak mahu tumpuan pemanduan terganggu di atas jalan, penulis amat menghargai kewujudan tombol larasan manual pada bahagian konsol tengah untuk sistem pendingin hawa.
Bermakna, amat mudah untuk melaraskan suhu serta kelajuan tiupan angin sejuk dalam ruang kabin.
Cuma, itu sahaja.
Fungsi lain seperti arah tiupan angin perlu dilaraskan menerusi menu yang tersorok dalam skrin infohibur, dan tiada sebarang tombol manual yang tersedia pada corong angin pun!
Laporan penuh pandu uji Ora 07 anda boleh baca pada pautan di bawah:
FAKTOR-faktor seperti pengecualian duti, cukai jualan dan cukai jalan, serta kemasukan pelbagai model menarik ke pasaran tempatan menjadikan kenderaan elektrik (EV) semakin popular di Malaysia.
Menurut laporan Berita Harian, pendaftaran EV baharu di negara ini mencapai 10,700 unit pada separuh pertama tahun ini, menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 4,400 unit yang dicapai pada tempoh sama tahun lalu.
EV secara umumnya adalah teknologi yang masih baru namun dengan pengecualian duti dan cukai yang disebutkan tadi, harga yang ditawarkan boleh dikatakan agak berpatutan iaitu bermula dari RM100,000.
Bagi mereka yang ingin beralih ke EV tanpa mengeluarkan belanja yang terlalu besar, di sini kami senaraikan lima EV menarik yang berharga antara RM100,000 hingga RM150,000:
BYD Dolphin
Dolphin dilancarkan di Malaysia pada Julai tahun lalu dengan dua pilihan varian iaitu Dynamic Standard Range (SR) dan Premium Extended Range (ER). Harga OTR tidak termasuk insurans bermula dari RM100,530 untuk SR dan RM125,530 untuk ER, menjadikannya pilihan yang menarik untuk mereka yang ingin mencuba keseronokan EV.
Perbezaan antara kedua varian berkenaan terletak pada jarak gerak dan pengecasan. SR menawarkan jarak gerak sehingga 410 km (kitaran WLTP), manakala ER pula mempunyai boleh dipandu sehingga 490 km dengan satu cas penuh.
GWM Ora Good Cat
Mereka yang inginkan EV dengan rekaan cukup bergaya boleh mempertimbangkan Ora Good Cat yang dibawa masuk secara rasmi oleh GWM Malaysia. Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 400 Pro (RM113,800) dan 500 Ultra (RM143,800).
Ragu-ragu dengan kualiti kereta buatan China? Usah risau kerana Ora Good Cat didatangkan dengan jaminan 5 tahun/150,000 km untuk kenderaan dan jaminan 8 tahun/180,000 km untuk bateri, motor elektrik, dan unit kawalannya.
MG4
MG4 merupakan salah satu daripada dua EV yang dilancarkan oleh SAIC Motor Malaysia Sdn. Bhd pada Mac tahun ini. Ia merupakan sebuah hatchback dengan rekaan yang cukup garang, sesuai untuk golongan muda yang ingin menonjol di jalan raya.
Apa yang menarik, MG4 boleh didapati dalam varian Standard, Lux dan Lux Extended Range, dengan harga bermula dari RM103,900 hingga RM148,900. Ada satu lagi varian berprestasi tinggi bergelar XPower cuma harganya melebihi sedikit tanda RM150,000.
GAC Aion Y Plus
Dilancarkan oleh WTC Automotif di Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lalu, Aion Y Plus adalah sebuah SUV namun rekaan ruang dalamannya yang begitu luas, ditambah pula dengan kerusi depan yang boleh dibaringkan sepenuhnya, membuatkan ia seolah-olah sebuah MPV.
Terdapat dua varian untuk dipilih iaitu Elite dan Premium, dengan harga jualan bermula dari RM119,800 hingga RM135,800. Kedua-dua varian menggunakan bateri jenis LFP (digelar Magazine Battery 2.0) berkapasiti 63.2 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 490 km.
Chery Omoda E5
Satu lagi SUV elektrik yang boleh didapati pada harga bawah RM150,000 adalah Chery Omoda E5, yang dijual pada harga RM146,800. Ia secara asasnya adalah Omoda 5 versi elektrik, jadi anda sebenarnya mendapat kenderaan dengan penggayaan dan ukuran yang hampir sama cuma dengan motor elektrik yang memacu roda depan.
Omoda E5 didatangkan dengan bateri 61 kWj yang memberikan jarak pemanduan sehingga 430 km. Bateri itu boleh dicas dari 30 hingga 80% dalam masa 28 minit sahaja. Lebih menarik lagi, Chery Malaysia menawarkan penggantian bateri percuma bila Battery Health menurun kepada 70%.
Great Wall Motor (GWM) Malaysia akan menganjurkan acara pandu uji off-road untuk orang awam pada 20 dan 21 Julai 2024, bertempat di M4TREC, 4WD Training & Experience Centre di Semenyih, Selangor.
Acara ini bakal memberi peluang kepada orang awam untuk merasakan sendiri kebolehan dan kemampuan Tank 300 melalui cabaran dan halangan yang direka khas di M4TREC.
Selain itu, peserta juga akan menerima latihan daripada tenaga pengajar profesional mengenai kaedah dan teknik untuk mengatasi pelbagai cabaran yang lasak semasa pemanduan.
Sesi pandu uji ini mempunyai pelbagai halangan mencabar untuk ditakluki dengan Tank 300 300 seperti Log Bridge, Axle Twister, Ridge Crossing, Log Track, Hill Descent, Hill Climb dan sebagainya.
Mike Cui An Qi, Pengarah Urusan GWM Malaysia berkata pihaknya ingin orang ramai merasakan sendiri prestasi dan keupayaan sebenar GWM Tank 300 dalam pelbagai situasi dan keadaan jalan
“Untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar, kami telah menyediakan tenaga pengajar berpengalaman untuk membimbing para peserta, menghadapi setiap cabaran off-road ini dengan penuh yakin,” kata Mike.
“Ini akan membolehkan mereka untuk mencuba dan menggunakan kesemua ciri-ciri pintar off-road bagi menakluki segala jenis permukaan,” tambah beliau.
Tank 300 dilancarkan secara rasmi pada 12 Julai dengan harga jualan bermula dari RM250,000. Diimport sepenuhnya dari China, ia dikuasakan oleh enjin petrol turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 220 PS dan 380 Nm.
Untuk menempah slot sesi pandu uji off-road di M4TREC, mereka yang berminat boleh RSVP di pautan ini. Tawaran hadiah eksklusif daripada GWM turut menanti peserta.
Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mengumumkan pelancaran Tank 300 ke pasaran tempatan, hanya beberapa hari selepas kelompok pertama SUV off-road mewah itu tiba di Pelabuhan Klang.
Tank 300 diimport sepenuhnya dari China dan dijual pada harga RM250,000. Ia didatangkan dengan waranti selama enam tahun tanpa had perbatuan.
Tank 300 didatangkan dengan enjin petrol turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 220 PS dan 380 Nm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda (4WD) dengan mod 2H, 4H dan 4L dan differential depan dan belakang.
Walaupun digambarkan sebagai mewah, Tank 300 sememangnya dicipta untuk hutan rimba. Ia mempunyai jarak lega tanah 224 mm, kemampuan mendaki cerun dengan gradien sehingga 70%, sudut pendekatan 33 darjah, sudut keberangkatan 34 darjah dan boleh mengharungi air dengan kedalaman maksimum 700 mm.
Bukan itu sahaja, Tank 300 juga mempunyai fungsi Tank Turn yang akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkannya membelok rapat di kawasan sempit.
Ciri kemudahan lain yang turut disertakan adalah Crawl Control (CCO), Transparent Casis yang membolehkan pemandu melihat keadaan sekeliling kenderaan termasuk bahagian bawah, serta sembilan mod pemanduan iaitu Standard (2H), Standard (4H), Snow Mode (4H), 4L Mode (Normal, Mud/Sand, Pothole, Mountain, Rock) dan Expert.
Dari segi kelengkapan pula, terdapat lampu LED, rim aloi 18 inci, tayar gantian pada tailgate, upholsteri kulit Nappa berwarna hitam, panel instrumen dan skrin sentuh infotainmen berukuran 12.3 inci masing-masing, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan sistem audio Infinity dengan sembilan pembesar suara.
Tank 300 juga dilengkapi dengan ADAS Tahap 2 yang merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Intelligent Cruise Assistance (ICA), Lane Central Keeping (LCK), Traffic Jam Assist (TJA), Lane Keeping Assist (LKA) dan lain-lain.
Terdapat juga kamera 360 darjah, serta ciri pembukaan kunci dan pemotongan bahan api secara automatik sekiranya berlaku pelanggaran. Kesemua ciri ini membolehkan Tank 300 diberi penarafan keselamatan 5 bintang ANCAP.
Sebagai tanda penghargaan daripada GWM Malaysia, 300 pemilik pertama Tank 300 akan mendapat penyelenggaraan percuma selama lima tahun/100,000 km (termasuk kos buruh dan alat ganti untuk setiap 10,000 km atau setiap enam bulan), dan waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi tanpa had perbatuan (untuk pemilik pertama sahaja).
300 pelanggan pertama juga akan menerima kit pengembaraan GWM x Thule yang mengandungi baucar Thule bernilai RM8,000 dan beg sandang Paramount Thule bernilai RM999.
Tidak cukup dengan itu, pelanggan yang berjaya mendaftarkan kereta mereka selewat-lewatnya pada 12 Ogos 2024 berpeluang memenangi percutian pengembaraan ke ChongQing dan ChengDu, China. Sepuluh pemenang akan dipilih melalui cabutan bertuah.
UNIT jualan Great Wall Motor (GWM) Tank 300 kini sudah tiba di Port Klang, mungkin ada antara anda yang sudah menempah akan mendapat kereta awal?
Gambar-gambar ini disiarkan oleh GWM Malaysia. Menurut mereka, SUV Tank 300 ini bakal dilancarkan pada pertengahan bulan ini dan penyerahan akan dibuat tidak lama lagi.
Kami juga sudah melihat dengan lebih dekat GWM Tank 300 dalam beberapa sesi pratonton termasuklah semasa Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini.
GWM Tank 300 ialah sebuah SUV dengan rupa rugged, kabin dalam premium, dan harga anggaran sekitar RM250,000.
Seperti dinyatakan sebelum ini, GWM Tank 300 untuk pasaran Malaysia berkemungkinan dikuasakan enjin 2.0-liter turbo petrol 4-silinder dengan output 217hp dan 380Nm tork.
Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda separuh masa dengan fungsi 2H, 4H, dan 4L. Sistem ini juga lengkap dengan pengunci pembeda (differential) depan dan belakang.
Menariknya, GWM Tank 300 ini mempunyai fungsi ‘tank turn’. Bila diaktifkan, ia akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkan SUV ini membelok rapat di kawasan sempit. Pergerakan ini adalah mirip jentera berantai seperti kereta kebal dan jengkaut (excavator).
Seperti dapat dilihat, SUV ini membawakan rupa 4×4 klasik dengan rekaan berkotak dan cladding sisi tebal. Muka depannya mendapat lampu LED bulat manakala lampu kabus pula diintegrasikan dalam bampar.
Di belakang pula, terdapat tayar ganti di luar pintu but yang dibuka ke tepi, betul-betul seperti Jeep klasik. Tank 300 dilengkapi dengan rim 18-inci dan tayar Michelin Primacy SUV.
Bahagian dalam, anda akan perasan yang kelengkapannya agak premium, mungkin diinspirasikan dari Mercedes G-Class. Dengan papan pemuka menegak, corong udara turbin, pemegang di depan penumpang, dan sepasang skrin bersaiz 12.3-inci setiap satu.
Menurut GWM, 300 pembeli pertama SUVini akan mendapat pakej penyelenggaraan percuma lima tahun ATAU 100,000km.
Pemilik pertama juga akan menerima jaminan enjin dan kotak gear sepanjang hayat, tanpa had perbatuan.
Great Wall Motor Malaysia mengumumkan bahawa GWM bakal membawakan SUV baharu mereka, Tank 300 ke Malaysia Autoshow 2024 minggu depan. GWM Tank 300 ini telah dipertonton beberapa bulan lepas, tetapi di acara motor show itu ia akan buat kemunculan umum kali pertama.
GWM Tank 300 pada awalnya dikatakan bakal dilancar pada suku ketiga tahun ini, tetapi perkembangan terbaharu menyatakan ia akan diawalkan, pada suku kedua. Jadi, tidak lama lagi.
Untuk pasaran Malaysia, Tank 300 dijangka ditawarkan dalam varian bukan hibrid, dengan enjin 2.0-liter turbo petrol 4-silinder yang menjana 217hp dan 380Nm tork.
Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda separuh masa dengan fungsi 2H, 4H, dan 4L. Sistem ini juga lengkap dengan pengunci pembeda (differential) depan dan belakang.
Menariknya, GWM Tank 300 ini mempunyai fungsi ‘tank turn’. Bila diaktifkan, ia akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkan SUV ini membelok rapat di kawasan sempit. Pergerakan ini adalah mirip jentera berantai seperti kereta kebal dan jengkaut (excavator).
Seperti dapat dilihat, SUV ini membawakan rupa 4×4 klasik dengan rekaan berkotak dan cladding sisi tebal. Muka depannya mendapat lampu LED bulat manakala lampu kabus pula diintegrasikan dalam bampar.
Di belakang pula, terdapat tayar ganti di luar pintu but yang dibuka ke tepi, betul-betul seperti Jeep klasik. Tank 300 dilengkapi dengan rim 18-inci dan tayar Michelin Primacy SUV.
Bahagian dalam, anda akan perasan yang kelengkapannya agak premium, mungkin diinspirasikan dari Mercedes G-Class. Dengan papan pemuka menegak, corong udara turbin, pemegang di depan penumpang, dan sepasang skrin bersaiz 12.3-inci setiap satu.
Konsol tengah Tank 300 menempatkan tombol gear berbentuk sedikit bersegi dengan butang-butang kawalan sistem pacuan, brek parkir elektronik, dan sistem bantuan pemandu.
Ciri lain termasuklah pendingin hawa automatik, tempat duduk berkuasa, balutan kulit, sistem audio Harman Infinity, bumbung suria berkuasa, pad pengecasan tanpa-wayar, dan paddle-shifters.
GWM Tank 300 juga didatangkan dengan sistem keselamatan aktif seperti Adaptive Cruise Control dan Autonomous Emergency Braking.
Selain itu, Great Wall Motor Malaysia juga akan menampilkan satu lagi SUV yang bakal tiba ke pasaran ini, iaitu Haval H6 HEV. Anda boleh lihat model-model ini di Hall A, MAEPS, Serdang semasa acara Malaysia Autoshow 2024 bermula 22 hingga 26 Mei ini.
SEMASA pratonton Ora 07 bulan lepas, GWM Malaysia juga membuat kejutan dengan mendedahkan Tank 300 yang dijadualkan dilancar sekitar suku ketiga tahun ini.
GWM Tank 300 ialah sebuah SUV dengan rupa rugged, kabin dalam premium, tetapi dengan kebolehan unik ‘tank turn’.
Belum pasti varian apa yang akan dilancarkan untuk Malaysia nanti, tapi unit pratonton ini kami dipercayai dikuasakan enjin 2.0-liter turbo petrol 4-silinder dengan output 217hp dan 380Nm tork.
Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda separuh masa dengan fungsi 2H, 4H, dan 4L. Sistem ini juga lengkap dengan pengunci pembeda (differential) depan dan belakang.
Menariknya, GWM Tank 300 ini mempunyai fungsi ‘tank turn’. Bila diaktifkan, ia akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkan SUV ini membelok rapat di kawasan sempit. Pergerakan ini adalah mirip jentera berantai seperti kereta kebal dan jengkaut (excavator).
Seperti dapat dilihat, SUV ini membawakan rupa 4×4 klasik dengan rekaan berkotak dan cladding sisi tebal. Muka depannya mendapat lampu LED bulat manakala lampu kabus pula diintegrasikan dalam bampar.
Di belakang pula, terdapat tayar ganti di luar pintu but yang dibuka ke tepi, betul-betul seperti Jeep klasik. Tank 300 dilengkapi dengan rim 18-inci dan tayar Michelin Primacy SUV.
Bahagian dalam, anda akan perasan yang kelengkapannya agak premium, mungkin diinspirasikan dari Mercedes G-Class. Dengan papan pemuka menegak, corong udara turbin, pemegang di depan penumpang, dan sepasang skrin bersaiz 12.3-inci setiap satu.
Konsol tengah Tank 300 menempatkan tombol gear berbentuk sedikit bersegi dengan butang-butang kawalan sistem pacuan, brek parkir elektronik, dan sistem bantuan pemandu.
Ciri lain termasuklah pendingin hawa automatik, tempat duduk berkuasa, balutan kulit, sistem audio Harman Infinity, bumbung suria berkuasa, pad pengecasan tanpa-wayar, dan paddle-shifters.
GWM Tank 300 juga didatangkan dengan sistem keselamatan aktif seperti Adaptive Cruise Control dan Autonomous Emergency Braking.
Apa pendapat anda mengenai SUV rugged dengan kemampuan unik ini? Berapa harga anggarannya bila dilancarkan nanti?
SELEPAS sesi pratonton bulan lepas dan membuka tempahannya, Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) hari ini melancarkan Ora 07 secara rasmi untuk pasaran negara ini.
Sedan coupe elektrik (EV) empat-pintu ini ditawarkan dalam dua varian untuk Malaysia – Long Range Ultra dan Performance.
Harga adalah seperti berikut:
Ora 07 Long Range Ultra – RM169,800
Ora 07 Performance – RM189,800
Sedan EV ini juga didatangkan dengan jaminan 6-tahun/150,000km, jaminan bateri 8-tahun/180,000km, penukaran bateri percuma jika SOC menurun bawah 70 peratus, dan jaminan badan 12-tahun.
Kedua-dua model dilengkapi dengan pek bateri 83.499kWh. Long Range Ultra didatangkan dengan motor elektrik tunggal di depan berkuasa 204PS/340Nm, dan jarak pemanduan sehingga 640km.
Sementara itu Ora 07 Performance pula dibekalkan dengan dua motor elektrik, memberikan output keseluruhan sebanyak 408PS dan 680Nm tork. Jarak pemanduan sedikit rendah, pada 550km. Tetapi pecutan 0-100km/j boleh dilakukan dalam 4.3 saat dengan varian ini.
GWM Ora 07 mempunyai kapasiti pengecasan 11kW untuk AC manakala pengecasan pantas DC adalah pada 88kW. Dengan pengecasan DC, bateri Ora 07 ini mengambil masa 32 minit untuk dicas dari 30 mencapai 80 peratus.
Baik selain angka-angka, apa yang ada pada rupa penampilan GWM Ora 07 ini? Kelengkapan standard termasuklah lampu LED pintar, tingkap tanpa-bingkai, bumbung kaca panoramik, dan spoiler belakang adaptif. Ora 07 juga mempunyai pekali seretan yang rendah, iaitu 0.22 Cd sahaja.
Kabinnya direka dengan konsol tengah berbentuk-T, tempat duduk depan dengan fungsi urutan, dan dua skrin besar untuk instrumen dan infotainmen, masing-masing bersaiz 10.25-inci dan 12.3-inci.
Ora 07 Long Range Ultra hadir standard dengan kabin berwarna hitam, tetapi anda boleh naik taraf kepada warna coklat mewah dengan harga RM2,500. Varian Performance pula datang dengan satu pilihan warna kabin sahaja iaitu hitam.
Varian Long Range Ultra mempunyai lima mod pemanduan – Normal, Sport, Well-being, Individual, dan Eco), tetapi Ora 07 Performance mendapat satu lagi mod pemanduan tambahan iaitu Sport+.
Ciri keselamatan yang boleh didapati pada Ora 07 antaranya adalah Lane Departure System, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, dan ciri seperti kamera 360-darjah, Intelligent Evasion, Traffic Sign Recognition, Cruise Speed Limit, dan banyak lagi.
GWM Ora 07 hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Crystal Purple, Amethyst Gray, dan Jade White. Apa pendapat anda mengenai sedan-coupe EV terbaharu dalam pasaran Malaysia ini? Boleh lawan Tesla Model 3 dan BYD Seal?
SELEPAS membuka tempahannya beberapa hari lepas, Great Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) hari ini mempertontonkan Ora 07 untuk para pengamal media.
Sedan coupe elektrik (EV) empat-pintu ini ditawarkan dalam dua varian untuk Malaysia – Long Range dan Performance.
Kedua-dua model dilengkapi dengan pek bateri 83.499kWh. Long Range didatangkan dengan motor elektrik tunggal di depan berkuasa 204PS/340Nm, dan jarak pemanduan sehingga 640km.
Sementara itu Ora 07 Performance pula dibekalkan dengan dua motor elektrik, memberikan output keseluruhan sebanyak 408PS dan 680Nm tork. Jarak pemanduan sedikit rendah, pada 550km. Tetapi pecutan 0-100km/j boleh dilakukan dalam 4.3 saat dengan varian ini.
GWM Ora 07 mempunyai kapasiti pengecasan 11kW untuk AC manakala pengecasan pantas DC adalah pada 88kW.
GWM Malaysia tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai tempoh pengecasan, tetapi wakilnya memberitahu kami bahawa pengecasan 10 hingga 80 peratus boleh dilakukan dalam tempoh kurang sejam.
Baik selain angka-angka, apa yang ada pada rupa penampilan GWM Ora 07 ini? Kelengkapan standard termasuklah lampu LED pintar, tingkap tanpa-bingkai, bumbung kaca panoramik, dan spoiler belakang adaptif.
Kabinnya direka dengan konsol tengah berbentuk-T, tempat duduk depan dengan fungsi urutan, dan dua skrin besar untuk instrumen dan infotainmen, masing-masing bersaiz 10.25-inci dan 12.3-inci.
Ciri keselamatan yang boleh didapati pada Ora 07 antaranya adalah Lane Departure System, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, dan ciri seperti kamera 360-darjah, Intelligent Evasion, Traffic Sign Recognition, Cruise Speed Limit, dan banyak lagi.
GWM Ora 07 hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Crystal Purple, Amethyst Gray, dan Jade White. Mereka yang menempah awal bakal mendapat jaminan 5-tahun.
Apa pendapat anda mengenai sedan-coupe EV terbaharu dalam pasaran Malaysia ini? Boleh lawan Tesla Model 3 dan BYD Seal?
GOCAR Malaysia, peneraju platform mobiliti sebagai perkhidmatan berdasarkan kepada permintaan dan Yinson GreenTech telah bekerjasama untuk menawarkan kenderaan elektrik (EV) Ora Good Cat melalui program GoCar Share.
Usaha sama itu hadir menerusi satu kerjasama di antara GoCar dan bahagian perniagaan pajakan YGT EV, drivEV.
Sebagai permulaan, EV Ora Good Cat boleh didapati untuk tempahan GoCar Share Round Trip (pergi-balik) di lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang seperti Berjaya Times Square, The Linc, Lalaport KL, Eco Ardence, Eco Grandeur dan GoCar Malaysia PJ.
Penguna GoCar boleh merasai pengalaman memandu Ora Good Cat pada harga mampu milik iaitu RM23.90 sejam dengan akses percuma ke atas semua pengecas AC dalam rangkaian YGT. Bukan itu sahaja, lebih lama tempoh tempahan pengguna, lebih banyak penjimatan boleh mereka nikmati.
Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, “Kami sangat teruja untuk mengukuhkan kerjasama dengan Yinson GreenTech. GoCar sentiasa mengutamakan aspek mobiliti lebih pintar dan mapan.
“Kami juga berbesar hati kerana mampu menawarkan model-model kenderaan elektrik yang menarik kerana kami yakin ramai orang awam ingin mencubanya.”
Pengarah Urusan drivEV, Kelvin Soon berkata, “Matlamat drivEV adalah untuk menggalakkan syarikat-syarikat untuk mempromosikan penggunaan EV dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kerjasama dengan GoCar dalam memperkenalkan Ora Good Cat merupakan satu permulaan ke arah matlamat yang betul. Kami merancang untuk menambah lebih banyak rangkaian model EV dan mengembangkan perkhidmatan ini ke lokasi-lokasi lain supaya orang ramai lebih mudah mengaksesnya.”
Pengenalan Ora Good Cat melalui GoCar hanyalah permulaan Kerjasama di antara GoCar dan drivEV yang merancang untuk memperkenalkan model-model lebih menarik serta meluaskan perkhidmatannya melangkaui kawasan Lembah Klang.
Untuk merasai sendiri pengalaman memandu Ora Good Cat menerusi GoCar Share atau model-model lain yang ditawarkan oleh GoCar Share, sila muat turun aplikasi mudah alih GoCar.
KAMI tahu kenderaan bateri elektrik (BEV) atau lebih dikenali sebagai EV kian mendapat perhatian dalam kalangan anda rakyat Malaysia dan peminat automotif khususnya.
Tetapi menurut komen dari tulisan-tulisan kami di Facebook, ada beberapa faktor yang menjadi penghalang rakyat Malaysia membeli EV buat masa ini; rangkaian pengecas dan harga. Izinkan penulis tolak ke tepi dahulu bab pengecas.
Soal harga, kebanyakan EV ‘sedap’ seperti Porsche Taycan dan Mercedes EQE berharga lebih dari setengah juta Ringgit, lebih mahal dari rumah-rumah kita. Harus difahamkan, semua teknologi pun begitu.
Mula-mula mahal, makin lama makin murah. Dan kita perlu berterima kasih kepada pembeli-pembeli awal kerana merekalah yang membantu menurunkan harga teknologi baharu ini. Anda masih ingat awal tahun 2000 dulu telefon bimbit dengan kamera berharga lebih RM1,000? Hari ini telefon RM500 pun sudah mempunyai kamera dan skrin dengan warna yang jelas.
Untuk EV, walaupun kebanyakannya masih berharga premium, tetap ada penawaran yang lebih mesra poket, bawah RM200,000. Amacam?
Kita lihatkan GWM Ora Good Cat. Varian yang kami uji ini merupakan Ora Good Cat 500 Ultra yang berharga RM169,800. Satu lagi varian ialah Good Cat 400 Pro, dengan harga RM139,800. Nama pada varian menunjukkan jarak maksima, iaitu 500km bagi Ultra.
Tak rasa macam RM170k!
Menarik mengenai Ora Good Cat ini ialah, walaupun boleh dikatakan sebagai EV permulaan atau mampu-milik, ia langsung tidak nampak murah.
Malahan jika anda telitikan perincian pada bampar depan, lampu utama, jahitan tempat duduk, kemasan papan pemukan, dan sentuhan tombol serta butang-butang di dalamnya, terasa seperti kereta yang berharga lebih RM200k. Jika Good Cat ini dari Mercedes atau BMW, senang-senang saja harganya RM250,000.
Paparan pada skrin melintang panjang bagi instrumen dan infotainmen juga cukup jelas dan beresolusi tinggi. Kereta-kereta jenama China hari ini sangat mementingkan aspek ini, mereka juga sukakan kamera. Jadi Ora Good Cat mendapat kamera 360-darjah yang sungguh jelas dan besar, walaupun kereta ini tidak begitu memerlukannya.
Pilihan warna luar dan dalam kereta ini juga menjadikannya antara model paling comel yang memasuki pasaran kita hari ini. Tidak cukup dengan rupa funky tetapi retro, warnanya jika tersilap pilih, nampak begitu feminin. Mujurlah penulis dapat warna Verdant Green ini, masih nampak maskulin.
Oh ya, memandu Ora Good Cat ini juga membuatkan anda mudah menjadi perhatian. Pandu di kawasan-kawasan kedai yang padat dengan orang, pasti ada yang menoleh lama pada kereta ini, kebanyakannya memandang pada logo di depan untuk mengenal pasti makhluk apa yang mereka sedang lihat.
Kanak-kanak pun suka dengan Good Cat ini. Semasa penulis memandu, kanak-kanak yang berjalan dengan ibunya di kaki lima menuding jarinya ke arah kereta ini sambil tersenyum, seperti mahu menunjukkan pada ibunya.
Go-kart elektrik
Jika ditanya bagaimana rasa pemanduan Ora Good Cat ini, dalam kata mudah ialah ibarat go-kart elektrik. Ini mungkin kedengaran cliché, MINI Cooper atau hot hatch biasanya dikatakan seperti go-kart.
Tetapi Ora Good Cat ini dengan motor yang responsif, terasa ringan, senyap, dan berat bateri di bawah casis menjadikannya seimbang, memang benar-benar seperti go-kart. Bezanya cuma Good Cat ini pacuan roda-depan.
Unit ini mempunyai bateri 63kWh dengan output 143hp dan 210Nm tork, lebih kurang seperti kereta 1.6-liter NA atau 1.5-liter turbo. Tetapi dengan sifat elektrik, anda tidak perlu tunggu rpm tertentu atau kotak gear pergi ke gear tertentu, tekan sahaja, sekelip mata anda ‘dilastik’ ke depan.
Ini menjadikan pemanduan Ora Good Cat cukup menyeronokkan walaupun ia tidak mempunyai bunyi dramatik seperti sebuah Golf GTi atau Civic Type-R. Ora Good Cat cukup bersahaja untuk memecut keluar simpang, malah sebaik lampu isyarat bertukar hijau, dia akan ‘makan’ kebanyakan kereta yang anda jumpa secara kebiasaan.
Kereta-kereta petrol semua makan asap sahaja. Eh sekejap, Ora Good Cat ni mana ada keluarkan asap…
Motor dan sistem eletriknya juga agak cekap menggunakan tenaga pada kelajuan dalam bandar walaupun anda memecut dan menekan minyak membabi buta. Bila memandu Good Cat ini, anda akan mengekalkan kelancaran trafik kerana kereta di jalan utama tidak perlu brek bila anda susur masuk.
Di selekoh, ia kekal menyeronokkan kerana seperti dikatakan tadi, baterinya di bawah lantai, tengah-tengah antara tayar depan dan belakang. Ini bermakna ia mampu mengambil selekoh seperti hot hatch, malah pertukaran arah di selekoh S juga cukup meyakinkan pemandu.
Cuma penumpang di belakang mungkin kurang selesa dari aspek suspensi. Mungkin kerana belakang Good Cat ini ringan, jadi mudah terasa melantun di jalan tidak rata. Tetapi ini mungkin bukan salah kereta, kerana jalan raya kita yang ‘terlalu cantik’. Jika di negara lain yang permukaan jalannya sempurna, tiada masalah. Tetapi harus diberitahu, Ora Good Cat ini begitu luas kabinnya.
Bagaimana dengan lebuh raya? Seperti anda mungkin ketahui, lebuh raya ialah salah satu musuh utama EV. Disebabkan kebanyakan EV tidak mempunyai kotak gear, kelajuan motor adalah berkadar terus dengan kelajuan kereta.
Semakin laju kereta, semakin laju juga motor bekerja, bermakna tidak begitu cekap di kelajuan tinggi. Range atau jarak pemanduan pada Ora Good Cat ini menurun dengan normal dalam pemanduan bandar, tetapi apabila anda meluncur di lebuh raya lebih 100km/j, angkanya menurun drastik.
Bagaimana dengan pengecasan?
Dari segi pengecasan, varian 500 Ultra dengan bateri 63kWh memerlukan kira-kira 10 jam untuk dicas penuh menggunakan pengecas AC. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, hanya 40 minit diperlukan untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus.
Menurut pengalaman penulis, sempat penulis cas Good Cat ini menggunakan DC 60kW, dan masa diambil adalah kira-kira sejam untuk ‘mengisi’ jus bateri dari kurang 10 peratus hingga 85 peratus. Baki mulanya 88km dan penulis isi sehingga 410km dengan 85 peratus.
Masa yang diambil lebih lama sedikit, bergantung kepada pelbagai faktor seperti suhu persekitaran dan suhu jentera pengecas.
Bayaran yang dikenakan pula adalah kira-kira RM79 untuk pertambahan kira-kira 330km. Jika dibandingkan dengan petrol, tidak berbaloi. Tetapi pemilikan kereta EV adalah lebih dari sekadar penjimatan petrol. Jauh lebih besar dari itu.
Anda harus ingat, pemilik EV tidak akan mengecas menggunakan DC di tempat awam setiap hari, sebaliknya menggunakan pengecas AC di rumah. Ia lebih perlahan, boleh dicas sepanjang malam, dan cara ini lebih ‘menyihatkan’ untuk bateri.
Kadar bayaran juga bergantung kepada pengeluar, kerana ia masih pasaran terbuka, tidak dikawal seperti petrol. Mentaliti memandu EV adalah berbeza. Dan kebanyakan pemilik juga memiliki EV untuk kereta kedua atau ketiga.
Untuk itu, Ora Good Cat sebuah model yang sangat-sangat sesuai dan ideal. Kereta kedua untuk pemanduan dalam bandar setiap hari. Dan anda tidak semestinya perlu cas setiap hari. Jarak dibekalkan adalah lebih 400km, dan jika berulang-alik ke tempat kerja, jarang antara kita yang memandu lebih 100km setiap hari, bukan?
Jadi, anda mungkin cas seminggu sekali sahaja, atau dua kali maksimum. Sama seperti isi petrol, bezanya bahan yang diisi.
Secara kesimpulan, Ora Good Cat menawarkan pakej menarik dengan gaya unik, sistem dan spesifikasi lengkap, selain pengalaman pemanduan EV yang bagus, setaraf dengan jenama-jenama lain pada julat harga ini.
GREAT Wall Motor Malaysia merasmikan pusat 4S pertamanya di USJ. Menariknya, pusat pengedar seluas tiga ekar itu juga merupakan Pusat Pengalaman Komprehensif.
Kemudahan baharu ini menandakan bahawa Great Wall Motor kini satu langkah maju ke hadapan dalam mengembangkan rangkaian pengedar di Malaysia, dengan kerjasama Superhub Auto.
Mike Cui, Pengarah Urusan GWM Malaysia telah merasmikan majlis perasmian besar-besaran Superhub 4S baharu yang merangkumi jualan, servis, alat ganti serta kemudahan badan dan cat.
Dengan tawaran ini, Great Wall Motor berhasrat untuk menyediakan pengalaman yang lancar dan disesuaikan untuk pelanggan mereka yang dihargai.
Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan rangkaian berterusan mereka, Great Wall Motor sedang aktif memilih pengedar yang berkualiti tinggi untuk mengukuhkan liputan rangkaian.
Dengan mengembangkan rangkaian pengedar mereka, Great Wall Motor berhasrat untuk menyediakan akses secara meluas kepada pelbagai produk GWM dan servis selepas jualan yang tiada tandingan.
Pada majlis perasmian itu juga, peminat dan pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat HAVAL H6 dan GWM CANNON.
Great Wall Motor mengesahkan keyakinan dan komitmen jenamanya terhadap pelanggan Malaysia melalui pendekatan proaktif mereka dalam pembangunan produk dan rangkaian pengembangan.
“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan pusat 4S kami dengan Pusat Pengalaman Komprehensif di USJ sebagai bukti komitmen kami dalam memberikan kecemerlangan dan kepuasan kepada para pelanggan,” kata Mike.
“Dengan rangkaian kami yang berkembang dan aspirasi untuk melancarkan HAVAL H6 dan GWM CANNON tahun ini, kami sangat teruja untuk menawarkan peluang yang lebih banyak untuk produk berkualiti di Malaysia.”
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web GWM Malaysia, www.gwm.com.my atau pelanggan boleh melawat bilik pameran 4S baharu di USJ, Malaysia.
GREAT Wall Motor (GWM) Malaysia telah menyerahkan sebuah Ora Good Cat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz.
Kenderaan elektrik (EV) itu akan digunakan untuk pandu uji lanjutan dan sepanjang tempoh itu, jabatan berkaitan di bawah MITI akan mengkaji corak penggunaan harian EV. Inisiatif ini bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan EV selaras dengan keutamaan semasa.
Dalam rancangannya untuk mendorong pasaran EV, Menteri Tengku Zafrul berkata kerajaan menyasarkan untuk menarik pelaburan EV sebanyak RM20 bilion menjelang 2025.
Sebagai hab pembuatan elektrik dan elektronik terkemuka di ASEAN, Malaysia mempunyai tenaga kerja berbakat, dasar NAP dan ekosistem EV sedia ada. Ini menjadikan Malaysia pasaran yang ideal untuk pembangunan industri EV yang mampan.
GWM Malaysia, menerusi EV flagship-nya iaitu Ora Good Cat, komited untuk menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk menjadi negara bebas pelepasan gas rumah hijau.
Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata industri EV mesti dilihat secara holistik, termasuk faktor-faktor seperti perisian, teknikal, kelengkapan, kejuruteraan dan lain-lain. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050.
Sementara itu, presiden rantau ASEAN Great Wall Motor, Elliot Zhang berkata bahawa beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Tengku Zafrul mengenai potensi membina asas EV yang kukuh di negara ASEAN dan khususnya di Malaysia.
“Kerjasama strategik dengan kerajaan Malaysia akan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan penggunaan pengangkutan mampan di rantau ini,” katanya.
GWM telah mengumumkan komitmennya untuk mempromosikan solusi mobiliti mampan di negara ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkenalkan kenderaan yang lebih mesra alam ke pasaran.