Tag Archives: Hafizh Syahrin

JDT Racing Team – TMJ mulakan perbincangan dengan Hafizh Syahrin

HANYA sebulan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan hasrat menubuhkan pasukan JDT Racing Team, nampaknya langkah pertama telah dilakukan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah membuat perbincangan awal dengan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Kedua-dua watak penting dalam penubuhan satu lagi cabang sukan dalam JDT itu bertemu dalam satu majlis di Johor Bahru yang menandakan permulaan projek baharu ini dan turut dihadiri Valeriano Rodriguez, pengurus teknikal JDT Racing Team.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi JDT yang turut memperlihatkan Tunku Ismail membawa Hafizh Syahrin dan tetamunya melawat garaj kereta miliknya.

“Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor telah bertemu Hafizh Syahrin, pelumba dan Valeriano (Rodriguez) untuk berbincang mengenai pembentukan pasukan menjelang kempen musim 2024,” tulis hantaran itu.

“Bulan lalu, JDT mengumumkan niat untuk memasuki arena perlumbaan motosikal dengan pelumba terkemuka Malaysia itu.

“JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak.”

Dalam keadaan prestasi yang kurang memberangsangkan oleh pelumba negara di perlumbaan MotoGP baru-baru ini, diharap kerjasama ini akan mengembalikan semula zaman gemilang permotoran tempatan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Gambar kredit: Instagram Hafizh Syahrin

WSBK: Hafizh sasar kedudukan sepuluh terbaik setiap perlumbaan

HAFIZH Syahrin Abdullah bertekad untuk menamatkan semua perlumbaan sekurang-kurangnya di kedudukan sepuluh teratas bagi musim ini.

Menyertai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan MIE Racing Honda, Hafizh mengakui lebih bersemangat untuk mencetak lebih kejayaan.

“Hafizh Syahrin telah menyertai MIE Racing Honda Team dan menyasarkan kedudukan sepuluh terbaik untuk setiap perlumbaan,” memetik hantaran WSBK di Facebook.

Foto ihsan Facebook/Hafizh Syahrin Abdullah

Hafizh pernah menyertai MotoGP dan Moto2 sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan kejohanan itu kerana berdepan masalah tajaan.

Pelumba asal Selangor itu kemudian bertindak menyertai WSBK dengan menyertai pasukan MIE Racing Honda

MIE Racing Honda Team dimiliki oleh Midori Moriwaki merangkap prinsipal pasukan.

Pasukan MIE Racing Honda Team menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade SP dengan mendapat sokongan daripada Honda Factory.

Foto ihsan Facebook/Hafizh Syahrin Abdullah

Sejak tahun 1993, WSBK tidak mempunyai wakil dari Malaysia sehingga Hafizh menyertai kejohanan itu musim ini.

Pelumba kelahiran Malaysia yang pernah menyertai WSBK adalah C. Adli Haslam pada kejohanan di Johor.

Kami di Engear mengucapkan selamat maju jaya dan terus cemerlang buat Hafizh!

Carta Engear: 5 detik sukan paling bersejarah 2021

SEGMEN sukan permotoran pada tahun ini tidak kurang hebatnya walaupun kebanyakan negara dibadai pandemik Covid-19.

Pelbagai acara sukan dianjurkan dan telah berakhir dengan jayanya selain beberapa sejarah turut tercipta.

Engear berjaya mengenal pasti lima peristiwa sukan yang dianggap antara paling bersejarah berlaku sepanjang 2021.

Jom kita semak satu demi satu lima peristiwa sukan paling bermakna sepanjang tahun ini.

Check it out…

Vios Challenge @ Sepang

Walaupun Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ‘sepi’ daripada kejohanan antarabangsa seperti MotoGP, namun ia tetap diserikan dengan perlumbaan kereta.

Perlumbaan penutup Season 4 Toyota Gazoo Racing dan Vios Challenge telah berlangsung pada November tahun ini.

Apa yang menarik, perlumbaan berlangsung pada sebelah malam itu berjaya dimenangi Prince of Drift Malaysia Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel.

Sementara itu, pusingan kedua Vios Challenge di SIC pada bulan sebelumnya juga turut mencatat sejarah tersendiri.

Perlumbaan itu dikatakan telah ditonton lebih dua juta penonton secara atas talian…hebat!

Semoga lebih banyak perlumbaan begini diteruskan pada tahun 2022 dan ayuh sama-sama berdoa agar dunia kembali pulih daripada serangan Covid-19.

Damok permata baharu Malaysia

Nama Damok menjadi sebutan ramai peminat sukan permotoran tanah air tahun ini.

Ia susulan kejayaan Damok atau nama sebenar Syarifuddin Azman memenangi perlumbaan Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol di Barcelona pada Jun.

Menerusi temu bual Engear bersama Damok, pelumba kelahiran Selangor itu mengakui sokongan seluruh rakyat Malaysia menjadikan dirinya lebih kuat menempuh sebarang cabaran.

Apa yang lebih membanggakan Damok turut berjaya bersaing dalam perlumbaan Moto3 pada September dengan mewakili pasukan Petronas Sprinta Racing.

Pada perlumbaan di Aragon itu, Damok memperoleh kedudukan ke-13.

Hafizh ucap selamat tinggal Moto2

Pelumba berbakat besar Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya meninggalkan Moto2 selepas bergelut dengan pelbagai isu terutama melibatkan tajaan.

Pernah juga berada di kelas MotoGP, Hafizh kini bersama pasukan MIE Racing Honda Team untuk perlumbaan World SBK.

Pasukan MIE Racing Honda Team menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade SP dengan mendapat sokongan daripada Honda Factory.

Sudah pasti, tahun 2022 lebih banyak mata tertumpu kepada Hafizh yang telah berhijrah ke kejohanan World SBK.

Engear ucapkan selamat maju jaya dan terus success buat Hafizh!

Sentap ego Hamilton, Verstappen juara dunia F1 2021

Sukan Formula 1 (F1) turut mencipta sejarah dengan perlumbaan keseluruhan musim ini dimenangi pelumba pasukan Redbull Max Verstappen.

Kejayaan itu muncul ketika perlumbaan F1 di Abu Dhabi Grand Prix pada 13 Disember lalu.

Verstappen secara tidak langsung berjaya menamatkan dominasi Lewis Hamilton yang mewakili pasukan Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1.

Hamilton merupakan juara dunia selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 hingga 2020.

Bagaimana pula dengan musim depan? Jom kita nantikan…

Grazie Vale!

Valentino Rossi akhirnya bersara sebagai pelumba MotoGP tahun ini.

Memulakan karier sebagai pelumba MotoGP sejak tahun 1996, juara dunia ini telah mencipta pelbagai kejayaan di atas litar lumba.

Rossi sebelum ini cukup kompetitif di atas litar malah, sering berdepan dengan beberapa insiden termasuk bersama pelumba Repsol Honda, Marc Marquez.

Justeru, tidak dinafikan keputusan persaraan dibuat Rossi mengundang rasa sedih kebanyakan peminatnya.

Walau apa pun, Engear berharap Rossi terus menabur bakti kepada sukan permotoran berlandaskan kepada pengalaman dimilikinya selama ini.

Terima kasih Rossi, Grazie Vale!

Sekian lima detik sukan pilihan Engear untuk tahun 2021 dan tidak dinafikan masih banyak lagi yang tidak dapat kami senaraikan di sini.

Walau apa pun, Engear berharap sukan permotoran terus subur di tahun hadapan dan seterusnya.

Ayuh kita sama-sama sokongan sukan permotoran dan katakana tidak kepada lumba haram jalanan.

Chiow!

Bapa Hafizh tawar khidmat percuma baiki motosikal rosak akibat banjir

Bapa kepada bekas pelumba Moto2, Hafizh Syahrin iaitu Abdullah Harun menawarkan perkhidmatan membaiki motosikal kepada mangsa banjir memerlukan.

Apa yang menarik perkhidmatan ditawarkan Abdullah dan pasukannya kepada penduduk Hulu Langat, Selangor itu adalah dibuat secara percuma.

Memetik status dimuat naik Abdullah di laman sosial, perkhidmatan ditawarkan hanya khusus buat penduduk Hulu Langat yang berdepan bencana banjir baru-baru ini.

“Untuk warga Langat @pjg_solomoto dan pasukan buat perkhidmatan baiki motosikal secara percuma untuk yang rosak akibat banjir.

“Kau jangan mengada nak tukar blok 67 pulak,” kata Abdullah di media sosial sambil berseloroh dengan pengikut akaun media sosialnya.

Abdullah merupakan antara insan bertanggungjawab merangka perjalanan karier Hafizh sebagai pelumba motosikal profesional.

Sebelum ini, Abdullah berkata dirnya dan Hafizh berdepan pelbagai cabaran terutama melibatkan kekangan kewangan.

Sementara itu, Hulu Langat ‘dibanjiri’ sukarelawan bertindak membersihkan kesan banjir termasuk lumpur yang memasuki kediaman penduduk.

Selain rumah, kenderaan penduduk juga antara yang rosak akibat dimasuki banjir sekaligus mengundang kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Isu tajaan, Hafizh masih menanti perkhabaran TMJ

HAFIZH Syahrin Abdullah masih menanti perkhabaran daripada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menzahirkan minat menajanya, Jun lalu.

Hafizh mengakui sedang menunggu waktu sesuai menghadap Tunku Ismail yang difahamkan sedang sibuk dengan urusan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Belum ada lagi (perkhabaran penajaan), baginda sangat sibuk ketika ini kerana ada kerja lain yang perlu diselesaikannya.

“Lepas balik Malaysia, saya sudah free dan tidak buat apa-apa, mungkin tunggu waktu sesuai (menghadap baginda),” katanya.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjaya membangunkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tahap membanggakan. – Foto ihsan Malay Mail

Sebelum ini, Tunku Ismail menarik perhatian peminat sukan permotoran tanah air selepas mezahirkan hasrat menaja Hafizh.

Baginda berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pengguna media sosial sama ada berminat untuk menaja Hafizh.

Ahad lalu, kali terakhir Hafizh bergelar pelumba Moto2 dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 pada Grand Prix (GP) Valencia.

Selepas ini, Hafizh bakal menyertai Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan Mie Racing Honda bermula musim 2022.

Tinggalkan Moto2, Hafizh bakal sertai World SBK?

BEKAS pelumba MotoGP Hafizh Syahrin Abdullah dikhabarkan bakal menyertai perlumbaan World SBK musim depan.

Khabar angin bertiup kencang yang mana Hafizh dikatakan bakal menyertai pasukan MIE Racing Honda Team.

Memetik laporan Tarmac Sports Malaysia, rundingan masih berjalan antara Hafizh dan MIE Racing Honda Team.

“Khabar angin mengatakan Hafizh Syahrin akan ke World SBK 2022 semakin positif.

“Ketika ini rundingan antara pasukan MIE Racing Honda Team dan pihak Hafizh adalah 50 peratus,” memetik status Facebook Tarmac Sports Malaysia.

Hafizh Syahrin mengalami kecederaan ketika aksi perlumbaan Moto2 Grand Prix Austria, tahun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

MIE Racing Honda Team dimiliki oleh Midori Moriwaki merangkap prinsipal pasukan.

Pasukan MIE Racing Honda Team menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade SP dengan mendapat sokongan daripada Honda Factory.

Sebelum ini, Hafizh membuat pengumuman mengejut apabila memaklumkan tidak lagi menyertai perlumbaan Moto2 pada musim depan.

Jelas pelumba kelahiran Selangor itu, dirinya telah menggunakan kewangan peribadi selama lebih dua tahun bagi meneruskan karier sebagai pelumba Moto2.

Lahir lebih ramai pelumba bertaraf dunia, apa strategi kita?

PERLUMBAAN motosikal semakin mendapat tempat di hati kebanyakan peminat sukan negara ini.

Tidak dinafikan, antara faktor utama adalah disebabkan kemunculan bakat baharu anak tempatan dalam sukan ini di peringkat antarabangsa.

Nama seperti Hafizh Syahrin, Adam Norrodin dan Syarifuddin Azman misalnya memperlihatkan bagaimana Malaysia juga mampu bersaing di persada dunia.

Namun, persoalannya adakah bakat sedia ada ini sudah mencukupi? Perlukah kita selesa dengan pencapaian ketika ini?

Masih banyak lagi usaha perlu dilakukan dalam mencungkil bakat anak tempatan dalam sukan perlumbaan motosikal.

Apa yang paling penting adalah bukan sekadar menambah bilangan atlet dalam sukan itu tetapi, bagaimana kejayaan demi kejayaan yang perlu dibina.

Justeru, penulis berpandangan ada beberapa langkah yang perlu dilakukan agar sukan lumba motosikal terus mencipta kegemilangan.

Kewujudan Litar Dato’ Sagor di Perak antara inisiatif baik dalam usaha memajukan sukan permotoran di Malaysia. Foto ihsan Facebook/Maymeilagie Lagie

Satu negeri satu litar

Kini sudah tiba masa setiap negeri memilki litar perlumbaan sendiri bagi menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu.

Setakat ini, masih ada negeri yang tidak mempunyai litar untuk anak muda mempamerkan bakat dan paling menyedihkan ia kemudian berakhir di jalan raya.

Justeru, satu langkah proaktif dengan kerjasama pelbagai pihak perlu dilakukan agar usaha ini dapat direalisasikan demi kemajuan sukan permotoran negara.

Program pencarian bakat muda

Program pencarian bakat muda atau talent scouting perlu dilakukan secara serius tanpa ada sebarang agenda peribadi.

Berdasarkan sembang-sembang penulis dengan individu terlibat dengan sukan ini, ada beberapa kes ‘pilih bulu’ dalam mengetengahkan bakat atlet tertentu.

Ini sudah pasti menjadi ‘barah’ kepada industri sukan permotoran kerana individu yang layak akhirnya diketepikan seterusnya mensia-siakan bakat sedia ada.

Pelumba Moto2 Hafizh Syahrin Abdullah sebelum ini mendedahkan telah banyak mengeluarkan wang peribadi dalam membina kerjayanya. – Foto ihsan Facebook/Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 Pescao

Sukan permotoran bukan untuk ‘kayangan’

Jangan jadikan sukan permotoran hanya untuk golongan ‘kayangan’.

Tahukah anda, terdapat banyak bakat pelumba muda berada seluruh negara yang tidak dapat diketengahkan kerana faktor kewangan.

Maka, pihak tertentu sama ada daripada agensi kerajaan atau swasta perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian akan perkara ini.

Demikian antara tiga cadangan asas yang penulis fikir perlu dilaksanakan segera demi pertumbuhan sukan perlumbaan motosikal negara.

Jika ia dapat dilaksanakan, maka kita bersedia untuk ‘sembang’ ke topik seterusnya dalam memajukan industri sukan ini.

Akhir kata, majulah sukan permotoran untuk Malaysia!

Saksikan video di bawah bersama Bro Anuar Norick yang berceloteh mengenai tujuh pelumba motosikal tempatan yang berjaya ke persada antarabangsa.

 

Hafizh bengang isteri gagal ke Eropah, persoal tindakan JIM

KEMARAHAN pelumba MotoGP Hafizh Syahrin Abdullah tidak dapat dibendung apabila dirinya dilihat meluah perasaan di media sosial.

Semuanya gara-gara hasratnya membawa si isteri ke Eropah terhalang dek kerana peraturan ditetapkan pihak kerajaan.

Menerusi InstaStory dimuatnaik, Hafizh mempersoalkan tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didakwa menghalang isterinya terbang ke Eropah.

Jelas Hafizh, keberadaan isterinya berada di sisi adalah penting memandangkan risiko terpaksa ditempuh semasa perlumbaan.

“Sumpah saya tak faham. Tak faham dengan apa pihak Imigresen sekarang dan kerajaan.

“Saya nak ‘terbangkan’ isteri ke sini (Eropah) bukan untuk suka-suka.

“Apa yang berlaku perlumbaan lepas sumpah ‘membuka mata’ saya sendiri. Kena ada salah seorang dekat dengan saya.

“Kalau apa-apa berlaku sebab Malaysia-Eropah bukan dua jam. Ini 16 jam,” katanya.

Minggu lalu, seorang pelumba Moto3 maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika aksi sesi kelayakan Grand Prix Itali.

Jason Dupasquier meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pada Ahad.

Tahun lalu, Hafizh juga pernah terlibat dalam kemalangan serius ketika perlumbaan Grand Prix Austria.

Nasib menyebelahi pelumba kelahiran Selangor itu apabila hanya mengalami lebam di beberapa anggota badan.

Hafizh mohon maaf

Sementara itu, Hafizh memohon maaf jika kenyataannya mengguris pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Mengakui KBS banyak membantu dalam kariernya, Hafizh mendakwa ‘serangan’ di media sosial itu tidak ditujukan kepada kementerian terbabit.

“Saya ingin menjelaskan hantaran sebelum ini tidak ditujukan kepada KBS dan pihak lain.

“Menteri KBS dan pasukan KBS banyak membantu saya. Apa yang saya luahkan sebelum ini berkaitan Imigresen.

“Saya mohon maaf kepada KBS dan warga maya jika wujud salah faham,” katanya di media sosial.

Hafizh dibidas di Facebook

Menerusi pemerhatian EnGear, ‘serangan’ Hafizh terhadap JIM dibalas salah satu akaun di media sosial, Facebook.

Akaun Friends of Immigration dalam satu hantaran berkata, pelumba itu perlu memahami peraturan ditetapkan kerajaan.

“Kita kawal pergerakan warganegara Malaysia supaya hanya yang benar-benar perlu (kerja dan belajar).

“Yang berlumba itu anda (Hafizh), bukan isteri.Tak kan tiada sesiapa di sana untuk urusan kecemasan (jurulatih, rakan)?

“Hak keluar negara bukan hak mutlak. Perlu ikut undang-undang semasa,” jelas akaun Facebook berkenaan.

Syukur kutip tujuh mata di Mugello, Wazi puji Hafizh

MENDUDUKI tempat kesembilan kejohanan Grand Prix Itali, pelumba Moto2 kelahiran Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah mendedikasikan kejayaannya kepada Jason Dupasquier.

Hafizh berkata demikian sejurus berjaya menamatkan perlumbaan yang merupakan keputusan terbaiknya bagi musim ini.

“Ini untuk Jason yang meninggalkan kita semua sebelum perlumbaan bermula,” katanya.

Pada Sabtu, Dupasquier berdepan kemalangan ketika sesi kelayakan di Litar Mugello, Itali.

Pelumba berusia 19 tahun kemudian dilaporkan meninggal dunia pada Ahad selepas mendapat rawatan di hospital.

Pelumba Moto3 Jason Dupasquier meninggal dunia pada Ahad selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika sesi kelayakan Moto3, Sabtu lalu.

Terdahulu, Hafizh mengakui gembira dengan keputusan dicatatkan walaupun menerima tekanan daripada pelumba lain.

Mewakili pasukan NTS RW Racing GP, Hafizh mengakui berdepan tekanan di laluan lurus.

“Syukur tempat kesembilan, walaupun saat terakhir dipotong Cameron. Laluan lurus agak sukar untuk saya nak dapatkan kelajuan.

“Saya dah cuba yang terbaik, tetapi banyak kali pelumba lain memotong saya di laluan lurus.

“Saya cuba lawan di ‘breaking’, selekoh, untuk pintas…pusingan terakhir itu saya cuba menjarakan diri, tapi laluan lurus itu agak sukar.

“Motosikal saya masih kekurangan aerodinamik atau kelajuan. Apapun, terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan penaja atas sokongan selama ini,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas pelumba legend negara Wazi Abdul Hamid menasihati para pelumba tempatan mengikut jejak langkah Hafizh.

Katanya, Hafizh bukan sahaja mampu menamatkan perlumbaan dengan sempurna malah, berjaya menutup ruang bagi pelumba lain memintasnya.

“Tahniah clean race by HS55 (Hafizh) di Mugello tadi (semalam).

“Pada adik-adik junior dalam Malaysia Cub Prix Championship boleh belajar sesuatu bagaimana pelumba seperti HS55 keep hold the line walaupun diasak pelumba dalam class Moto2.

Salute to the Malaysian racer,” katanya di Facebook.

Wazi merupakan antara pelumba yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran sebelum ini.

Tidak lagi bergelar pelumba profesional, Wazi kini merupakan penasihat bagi sukan lumba motosikal.

Moto2: UMW Grantt International Sdn Bhd terus taja Hafizh

Pelumba Moto2 Hafizh Syahrin Abdullah terus menerima tajaan daripada UMW Grantt International Sdn Bhd.

Ia merupakan tahun kedua kerjasama di antara Hafizh dengan syarikat pengeluar dan pengedar minyak pelincir itu.

Perjanjian ditandatangani Pemangku Pengarah Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Anas Nasrun Mohd Osman dan Hafizh Syahrin, semalam.

Memetik kenyataan UMW Grantt International Sdn Bhd, perjanjian itu memberi kelebihan bagi kedua belah pihak.

Ini kerana selain menyediakan sokongan kewangan kepada Hafizh, secara tidak langsung ia dapat mempertingkatkan perkembangan sukan permotoran di Malaysia.

Pada masa sama, penajaan itu menjadi platform bagi UMW memperkenalkan minyak pelincir keluaran mereka di persada antarabangsa.