Tag Archives: HARLEY DAVIDSON

X-Wedge bakal muncul di Malaysia, motosikal dan gaya hidup persis jenama Amerika

Bila sebut pasal cruiser bersesaran tinggi dan jenama gaya hidup Amerika Syarikat, semua orang akan ingat dengan jenama Harley-Davidson.

Namun, tahukah anda, terdapat satu lagi jenama baharu yang bakal berikan saingan kepada Harley-Davidson untuk pasaran Malaysia, iaitu X-Wedge.

Untuk makluman, X-Wedge merupakan jenama motosikal  baharu yang berasal di negara China di bawah naungan Hisun Motors.

Hisun Motors pada asalnya merupakan syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan produk powersports termasuklah kenderaan tugas utiliti (UTV) dan kenderaan all-terrain (ATV).

Namun untuk X-Wedge, ia lebih tertumpu kepada penghasilan model-model cruiser bersesasan besar yang lebih mirip kepada jenama Harley-Davidson.

Menariknya, KISKA Design bertanggungjawab menghasilkan reka bentuk dan penggayaan barisan model X-Wedge – syarikat yang sama membangunkan rekaan motosikal GasGas, Husqvarna dan KTM.

Di pusat pameran X-Wedge yang terletak di Chongqing, kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat barisan model bersesaran 1,000 hingga 2,000 cc yang dipamerkan, seperti:
• Ranger RX2000
• Rover RL2000
• Voyager VS2000
• Vanguard VT2000
• Walker WR1000

Majoriti model X-Wedge berkongsi enjin V-Twin yang sama bersesaran 1,976 cc yang mampu menghasilkan 102 hp @ 5,000 rpm dan daya kilas 158 Nm @ 3,000 rpm.

Sementara model Walker WR1000 pula menggunakan enjin V-Twin 975 cc sejukan cecair dengan kuasa 80 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 80 Nm @ 5,500 rpm.

Selain daripada barisan motosikal bersesaran besar, X-Wedge juga turut menghasilkan pelbagai produk gaya hidup termasuklah helmet, jaket kulit, kasut but, serta tidak ketinggalan aksesori dan perkhidmatan penyesuaian penampilan motosikal.

Jenama premium ini dijangka akan membuat kemunculan di pasaran Malaysia sekitar Julai atau Ogos ini menerusi pihak MForce Bike Holdings.

Kami difahamkan, pihak MForce sedang berusaha untuk menyiapkan empat buah pusat pameran X-Wedge yang terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan juga di Sabah.

Kerjasama Harley-Davidson dan Kymco bakal terlaksana menerusi LiveWire

Selepas mempamerkan model konsep SuperNEX pada 2018 dan RevoNEX pada 2019 di EICMA, Kymco  kemudiannya mempunyai perancangan untuk memperkenalkan model sebenar.

Selepas beberapa tahun, akhirnya Kymco bakal merealisasikan projek motosikal elektrik itu namun menerusi beberapa perubahan drastik kepada reka bentuk asal. 

Pada awalnya, Kymco mahu memperkenalkan motosikal elektrik itu secara sendirinya termasuk membangunkan sistem transmisi khas yang menggabungkan platform elektrik dengan transmisi manual konvensional. Pada masa sama, Kymco juga bercadang menubuhkan kilang sendiri di Itali bagi menghasilkan kedua-dua model ini.

Bagaimanapun, pelan asal itu telah diketepikan pada tahun 2022 apabila Kymco mendedahkan konsep generasi kedua yang membawa nama RevoNEX dan SuperNEX namun dengan reka bentuk berbeza. Senario itu berlaku selepas Kymco memeterai kerjasama dengan LiveWire (jenama elektrik milik Harley-Davidson) bagi membangunkan model LiveWire S3. 

Perkembangan itu secara tak langsung mendedahkan bahawa RevoNEX dan SuperNEX akan dibangunkan mengguna pakai platform LiveWire. 

Pertalian antara RevoNEX dan SuperNEX bersama LiveWire lebih jelas apabila Kymco memfailkan paten yang jelas memaparkan reka bentuk RevoNEX namun dengan casis dan trenkuasa LiveWire. 

Setakat ini belum ada maklumat terperinci sejauh mana perbezaan antara S3 dengan S2 dari segi prestasi dan jarak gerak (range) ditawarkan. Namun, mengambil kira LiveWire pernah memaklumkan bahawa S3 merupakan motosikal elektrik yang lebih ringan, kami menjangkakan penggunaan bateri dan motor elektrik yang lebih kecil berbanding S2. 

Harley-Davidson Hydra Glide Revival kini di Malaysia – RM176,900

Harley-Davidson Hydra Glide Revival akhirnya mendarat di Malaysia beberapa bulan selepas pelancaran global awal tahun ini. 

Merupakan sebahagian dari barisan model Icon Motorcycle Collection edisi terhad, Hydra Glide Revival ini hadir dengan cat premium dan grafik premium. 

Atas kertas, Icon Motorcycle Collection merupakan model edisi terhad dan untuk itu, hanya 1,750 unit Hydra Glide Revival dibangunkan untuk pasaran dunia. Daripada jumlah tersebut, hanya 5 unit mendarat di Malaysia dengan harga jualan RM176,900. 

Sementara itu, Hydra Glide Revival ini hadir dengan beberapa ciri bergaya termasuk:

  • cat Custom Redline Red dengan panel Birch White di bahagian sisi tangki.
  • lencana tangki Harley-Davidson V yang diinspirasikan dari model 1955-56.
  • grafik Icon Motorcycle Collection pada fender belakang bagi menandakan model edisi terhad.
  • tempat duduk tunggal dengan jahitan putih dan merah serta ‘chrome rail’ agar tampak klasik.
  • bag kiri dan kanan kalis air boleh kunci.

Sementara itu, Harley-Davidson Hydra Glide Revival ini dikuasakan enjin V-Twin Milwaukee-Eight 114 dengan pembersih udara Screamin Eagle High FLow yang menyumbang kepada 95hp dan 156Nm. 

Kerangka Softail yang diguna pakai pula dipadankan bersama penyerap hentak tunggal belakang boleh laras yang menawarkan pengalaman menunggang yang selesa. 

Ciri lain ditawarkan termasuk:

  • cruise control elektronik
  • lampu LED depan
  • ABS dwi-saluran

Harley-Davidson CVO Road Glide ST untuk pasaran Malaysia habis dijual – RM346,900

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Harley-Davidson di Malaysia telah melancarkan barisan model American Touring untuk pasaran tempatan menerusi CVO Road Glide ST, Road Glide dan Street Glide 2024. 

Menariknya, hanya empat unit (dari 150 unit seluruh dunia) Harley-Davidson CVO Road Glide ST ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM346,900. Lebih mengejutkan kesemua empat unit itu telah pun habis dijual. 

Model edisi terhad itu diinspirasikan jentera pasukan Screaming Eagle yang beraksi di kejuaraan King of the Baggers di Amerika Syarikat. 

Untuk rekod, CVO Street Glide ST ini dikuasakan enjin Milwaukee Eight 121 HO (High Output) yang berupaya menjana 126hp dan 193Nm. 

Motosikal ini juga tampil unik dengan menawarkan gabungan warna Graphic Flow State dan CVO 25th Anniversary. Selain itu, CVO Road Glide ST ini turut dilengkapi dengan ekzos Screamin Ealge Extreme Flow Titanium dan hadir dengan tujuh mod menunggang termasuk mod Track dan Track Plus. 

Pakej elektronik juga cukup premium dan menawarkan fungsi ‘chassis control’, brek elektronik dan ‘traction control’. 

Pada masa sama, CVO Road Glide ST ini juga lebih menonjol dengan penggunaan komponen gentian karbon dan sistem audio dari Rockford Fostgate Stage 2 yang menawarkan 4-saluran dan amplifier 500W RMS. 

 

Didi Resources kekal pengedar rasmi motosikal Harley-Davidson di Malaysia

Didi Resources terus diberi kepercayaan selaku pengedar rasmi jenama Harley-Davidson di Malaysia. 

“Kami berharap kerjasama ini akan terus mengukuhkan komuniti Harley-Davidson di Malaysia. Kami berbesar hati dapat meneruskan tanggungjawab ini di samping mengukuhkan lagi program pembangunan yang selaras dengan Harley-Davidson,” jelas Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo . 

Bukan setakat pengedar, Didi Resources juga dipertanggungjawabkan untuk menyediakan servis selepas jualan menerusi rangkaian pengedar seluruh negara. 

Sementara itu,  Didi Resources juga akan kekal sebagai pengedar bukan eksklusif bagi barangan dan aksesori Harley-Davidson di Malaysia. 

Harley-Davidson lancar CVO Pan America 1250 

Harley-Davidson dengan rasminya memperkenalkan CVO Pan America 1250 untuk pasaran global sekaligus menjadi motosikal ‘adventure’ pertama yang muncul dengan versi CVO. 

Pelancaran model ini bukanlah satu kejutan kerana khabar angin mengenai kemunculan versi CVO telah pun timbul beberapa bulan lalu. 

Dibangunkan daripada Pan America 1250 Special, versi CVO ini juga dilengkapi dengan  suspensi ‘semi-active’, panel meter TFT dengan fungsi ‘touchscreen’, serta od menunggang pelbagai. 

Tidak dilupakan enijn V-Twin 1250cc itu juga berupaya menjana 150hp dan 125Nm. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • top box dan panniers
  • quickshifter
  • rim tubeless
  • lampu LED

SWM Stormbreaker 1200 diperkenalkan – 61hp, 90Nm

Harley-Davidson Sportster 1200 adalah petanda aras bagi segmen ‘cruiser’ maka tidak hairanlah kebanyakan model dalam segmen ini hadir dengan reka bentuk yang diinspirasikan dari model keluaran Amerika Syarikat itu. 

Terbaru, jenama motosikal Itali, SWM, telah menjadikan Sportster 1200 sebagai rujukan utama bagi penghasilan model terbaru, SWM Stormbreaker. 

Secara keseluruhan, Stormbreaker ini nampak tak tumpah seperti Harley-Davidson Sportster 1200 termasuk bahagian enjin. Bagaimanapun, SWM mendakwa motosikal berkenaan telah direka sepenuhnya di Itali. 

Pada masa sama, Harley-Davidson telah pun menghentikan pengeluaran Sportster 1200 jadi secara teknikal, Strombreaker bukanlah sekadar ‘copy & paste’ model yang lebih terkemuka. 

Dalam pada itu, Strombreaker dikuasakan enjin V-Twin 1200cc dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 61hp dan 90Nm. Menariknya, enjin ini mencapai standard Euro 5 dan mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 165km/j. 

Menariknya, berat, ukuran dimensi dan kerangka juga turut sama seperti Sportster 1200. 

Polis Sabah terima 8 unit Harley-Davidson Low Rider ST

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Sabah telah menerima sumbangan sebanyak lapan motosikal berkuasa tinggi jenis Harley-Davidson daripada kerajaan negeri.

Kesemua motosikal tersebut diserahkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor  kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Bin Dikun dalam satu majlis penyerahan di Lobi Utama Blok A, Menara Kinabalu pada 3 Oktober.

Menurut hantaran di laman Facebook Polis Sabah, sumbangan ini mampu mengatasi masalah kekurangan aset terutama motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi Kontinjen Sabah.

Selain penugasan khas, motosikal ini juga akan digunakan untuk penugasan pengiring prestige di Sabah.

Motosikal jenis Harley-Davidson Low Rider ST itu dikuasakan oleh enjin V-Twin berkapasiti 1,923 cc yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 105 hp pada 5,020 rpm dan 168 Nm pada 3,500 rpm.

Secara keseluruhannya, sumbangan daripada kerajaan negeri Sabah ini adalah bernilai RM1.076 juta dan akan diagihkan dalam dua fasa.

Harley-Davidson lelong 2 unit Low Rider El Diablo untuk tujuan amal

HARLEY-Davidson Petaling Jaya baru-baru ini mengadakan majlis lelongan amal di mana dua unit Harley-Davidson Low Rider El Diablo telah berjaya dibida oleh dua pembida tertinggi.

Buat pengetahuan anda, Low Rider El Diablo merupakan model daripada program Icon Collections yang terhad kepada 1,500 unit sahaja untuk pasaran global. Dua unit berkenaan diperoleh oleh Harley-Davidson Petaling Jaya dan Harley-Davidson Penang melalui proses undian yang melibatkan semua wakil pengedar di Malaysia.

Dalam majlis tersebut, dua model edisi terhad tersebut berjaya dilelong masing-masing pada harga RM183,900 dan RM179,900 selepas bidaan dibuka pada harga RM172,900.

Daripada jumlah tersebut, H-D PJ dan H-D PG berjaya meraih kutipan sebanyak RM14,880 yang akan disalurkan kepada dua organsasi amal iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Hospital Lam Wah Ee.

“Terima kasih kepada semua pembida kerana menyokong lelongan amal Low Rider El Diablo dan tahniah kepada kedua-dua yang berjaya kerana mereka bukan sahaja menyumbang kepada kebajikan tetapi juga memperoleh motosikal edisi terhad yang akan meningkat nilainya,” kata Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Kumpulan Didi.

Berasaskan model Low Rider ST, versi El Diablo tampil dengan skema warna yang dihasilkan oleh Gunslinger Custom Paint. Ia dimulakan dengan warna El Diablo Bright Red untuk lapisan pertama dan Bright Red Sunglo untuk lapisan kedua.

Untuk efek yang lebih mendalam, warna El Diablo Dark Red dan Dark Red Pearl juga dikenakan pada sekeliling panel, sebelum disudahi dengan pinstripe Pale Gold yang dicat menggunakan tangan dan cat hitam pada enjin dan ekzos.

Harley-Davidson Low Rider S dan ST kini di Malaysia, dari RM115,900

HARLEY-Davidson Malaysia telah memperkenalkan Low Rider S dan ST untuk pasaran Malaysia, dengan harga bermula RM115,900.

Motosikal kruiser itu kini mendapat casis Softail yang dikenali dengan kelincahannya dan digabungkan dengan enjin ikonik Milwaukee-Eight 117.

Sudah tentu perhatian untuk Harley-Davidson Low Rider ini adalah enjinnya, malah boleh diibaratkan seperti seketul enjin dengan tempat duduk, hendal dan tayar.

Angka 117 pada Milwaukee-Eight ini bermakna kapasitinya 117 cubic-inch (ci), bersamaan 1,917cc. Ia mampu menjana 105hp dan 169Nm tork.

Enjin ini juga dilengkapi dengan penapis udara terdedah Heavy Breather yang menghala ke depan untuk tork di pertengahan julat pusingan enjin, selain memberikan rupa sebuah ‘hot-rod’.

Untuk lebih prestasi, anda boleh memilih komponen naik taraf Screamin’ Eagle Performance Parts dan aksesori-aksesori lain bagi menambah prestasi enjin.

Low Rider ST

Harley-Davidson Low Rider ST mendapat saddlebag yang biasa digunakan semasa tunggangan jarak jauh, tetapi boleh ditanggalkan untuk mehukar motosikal ini kepada mod ‘urban performance cruiser’.

Ia juga dilengkapi dengan lampu depan LED 5.75-inci, fairing baharu yang dipasang pada bingkai, cermin depan 6-inci dengan tint Dark Smoke, tangki minyak berkapasiti 18.9 liter, dan panel instrumen ringkas dengan paparan digital.

Suspensi depan terdiri dari fork terbalik 43mm dengan sudut 28-darjah, sementara di belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pre-load.

Low Rider ST hadir dengan sistem brek Brembo dengan cakera 300mm di depan, serta ABS. Tayar pula adalah Michelin Scorcher 31.

Harley-Davidson Low Rider ST boleh didapati dengan warna Vivid Black dan Gunship Grey.

Harley-Davidson Sportster S jentera kruiser terbaharu dengan 121hp dan 125Nm

DIPERKENALKAN buat kali pertama pada 1957, Sportster merupakan model yang paling lama dihasilkan oleh Harley-Davidson.

Namanya juga cukup sinonim dengan pengeluar motosikal yang berasal dari Milwaukee itu, terutamanya bagi mereka yang baru ingin berjinak dalam dunia motosikal kustom.

Kini, barisan Sportster telah mendapat model serba baharu yang dikenali sebagai Sportster S.

Tidak seperti model terdahulu yang dikuasakan oleh enjin V-berkembar ‘Evolution’, jentera ini tampil dengan enjin 1250 Revolution Max baharu seperti yang digunakan pada model Pan America.

Foto oleh Harley Davidson

Kuasa dan Enjin

Dilengkapi dengan teknologi penyejukan cecair dan Variable Valve Timing (VVT), enjin 1,250 cc berkenaan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 121 hp dan 125 Nm tork, dengan rev maksimum mencecah 9,500 rpm.

Ia digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac slipper.

Angka tersebut sedikit lebih rendah jika dibandingkan dengan Pan America namun enjin Sportster S didatangkan dengan beberapa penambahbaikan bagi mendapatkan hamburan tork yang lebih tinggi pada julat pertengahan.

Ini termasuk saiz injap dan port yang lebih kecil, bentuk kebuk pembakaran yang berbeza serta piston baharu.

Selain modifikasi berkenaan, enjin tersebut juga dipasang terus pada kerangka hadapan, tengah dan belakang, sekaligus menjadikan ia sebahagian daripada elemen struktur casis.

Cara ini bukan sahaja dapat mengurangkan berat keseluruhan motosikal, malah menjadikan casis lebih tegar dan pengendalian lebih mantap.

Kerangka tersebut dipadankan dengan sistem suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork terbalik bersaiz 43 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak dengan tabung Showa Piggyback pada bahagian belakang.

Sementara itu, rim pula diperbuat daripada aluminium tuangan dan tayar yang digunakan adalah Dunlop GT503.

Bagi memastikan ia mempunyai kuasa membrek yang secukupnya, Harley-Davidson menggunakan angkup Brembo monobloc empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, dan angkup Brembo dua piston dan cakera 260 mm di belakang.

Walaupun sebelum ini Sportster dilihat agak konvensional dari segi teknologi, kelengkapan elektronik yang ada pada model terbaharu ini boleh dikatakan cukup serba-serbi.

5 Mod Tunggangan

Antara yang disertakan adalah lima mod tunggangan (Sport, Road, Rain dan dua mod kustom), Traction Control, ABS, sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), paparan TFT berukuran empat inci dengan fungsi Bluetooth serta port USB-C untuk pengecasan telefon.

Di Amerika Syarikat, Sportster S dijual pada harga bermula dari $14,999 (kira-kira RM63,300).

Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu Vivid Black, Stoned Wash White Pearl dan Midnight Crimson.

Sudah tentu, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori rasmi Harley-Davidson seperti pelana solo, cermin penghadang angin kompak yang boleh dicabut, tail bag dan pelbagai lagi.

Kredit oleh Harley Davidson

Harley-Davidson tease model baharu, enjin 1250cc!

JENAMA Harley-Davidson bukan suatu yang asing dalam industri permotoran dunia.

Memiliki branding yang kukuh, Harley-Davidson tidak pernah berhenti daripada menghasilkan produk bermutu tinggi.

Terbaharu, syarikat asal negara ‘Uncle Sam’ itu mengeluarkan teaser model baharu di platform internet.

Tidak memperincikan lebih lanjut, Harley-Davidson sekadar memberi bayangan dengan mempamerkan perkataan “Revolution Max” pada bahagian enjin.

Ia sudah pasti merujuk kepada enjin v-twin iaitu sama seperti model Pan America 1250.

Berdasarkan ciri terdapat pada Pan America, ia didatangkan dengan enjin 1252cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa 150 kuasa kuda!

Namun, ramai juga menjangkakan model baharu cruiser ini mempunyai talaan yang sedikit berbeza.

Berikut antara ramalan ciri-ciri terdapat pada model baharu yang bakal diperkenalkan Harley-Davidson.

• Model baharu Harley-Davidson mempunyai bentuk rendah dan panjang
• Hanya memilki satu tempat duduk yang leper
• Dua ekzos yang terletak tinggi seperti motosikal tracker
• Brek cakera tunggal di hadapan
• Angkup Brembo di belakang
• Tayar tebal di hadapan
• Pemegang yang lebar

Pelancaran model baharu Harley-Davidson dijangka berlangsung pada Julai nanti.

Ketika ini, Harley-Davidson amat proaktif di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu mereka.

Jochen Zeitz dikatakan akan memperkuatkan barisan model sedia ada dan memberi fokus kepada penjualan cruiser serta touring v-twin berkapasiti tinggi.