Tag Archives: hibrid ringan

Volvo XC60 2026 dikemas kini, jeriji baharu, skrin infohibur lebih besar

SUV premium saiz pertengahan Volvo XC60 generasi kedua telah pun wujud di pasaran sejak 2017 lagi.

Model Volvo yang paling laris terjual ini telah dikemas kini untuk model tahun 2026, membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik dengan elemen yang dipinjamkan daripada XC90.

Seperti contoh, struktur jeriji yang telah direka semula, diikuti dengan unit lampu belakang yang lebih gelap, serta pilihan rekaan rim baharu.

Selain daripada itu, Volvo XC60 juga kini ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Forest lake dan Aurora Silver, serta warna Mulberry Red untuk pertama kalinya.

Masuk ke dalam ruang kabin, XC60 dilengkapi dengan skrin infohibur bersaiz lebih besar (11.2 inci), disokong dengan perisian terkini, kemas kini over-the-air (OTA), dan perkakasan yang telah dinaik taraf.

Terima kasih kepada penggunaan Snapdragon Cockpit Platform generasi baharu daripada Qualcomm, sistem infohibur ini jauh lebih pantas berbanding sistem sedia ada.

Tiada sebarang perubahan dibuat pada penawaran enjin, bermakna XC60 masih kekal dengan varian B5 hibrid ringan berkuasa 250 PS, T6 PHEV berkuasa 350 PS atau T8 PHEV berkuasa 461 PS – tertakluk kepada pasaran.

Yamaha FZ versi hibrid ringan muncul di pasaran India

Tidak seperti segmen motosikal dan skuter elektrik, kita mungkin sukar untuk mencari jentera dua roda yang dipacu oleh enjin hibrid.

Kawasaki sebelum ini pernah mendedahkan dua buah model hibrid, iaitu Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid.

Bagaimana pula dengan Yamaha?

Bertempat di Bharat Mobility Expo 2025 yang berlangsung pada bulan lepas, Yamaha Motor India tampil dengan sebuah motosikal naked yang pernah popular di Malaysia suatu ketika dahulu – FZ.

Lebih tepat lagi, Yamaha FZ-S Hybrid serba baharu yang dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan udara dengan kuasa 12.4 hp dan 13.3 Nm.

Tidak seperti sistem hibrid yang wujud pada jentera Kawasaki, FZ-S Hybrid ini bergantung kepada sistem hibrid ringan (mild-hybrid), di mana tujahan kuasa ekstra dibekalkan oleh komponen Integrated Starter Generator (ISG).

Biarpun tiada kelebihan dari segi tunggangan sifar emisi yang lebih jauh, bantuan daripada motor elektrik tersebut boleh mengubah karakteristik enjin 150 cc menjadi seakan 200 cc terutama ketika pecutan atau memotong kenderaan.

Dengan sistem hibrid ringan ini, tidak mustahil setangki penuh 13 liter boleh mencapai jarak tunggangan sejauh lebih 480 km.

Ciri lain termasuklah:

  • fork teleskopik hadapan 41 mm
  • penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 7 tahap
  • rim aloi 17 inci
  • tinggi pelana 790 mm
  • kawalan cengkaman (TCS)
  • rotor brek 282 mm depan, 220 mm belakang
  • sistem brek ABS saluran tunggal

Di pasaran India, Yamaha FZ-S Hybrid dijual pada harga INR130,700 (RM6.6 ribu).

Isuzu Thailand lancar enjin diesel hibrid ringan untuk D-Max, MU-X

Isuzu Thailand baru-baru ini mengumumkan kehadiran enjin diesel serba baharu MaxForce yang bakal digunakan pada trak pikap D-Max dan SUV MU-X.

Enjin hibrid ringan 2.2 liter itu dibangun berdasarkan enjin 1.9 liter BluePower, namun berupaya menjana kuasa setinggi 161 hp dan 400 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Isuzu tidak menyebut spesifikasi sistem hibrid ringan 48 Voltan yang dimuatkan pada enjin baharu itu, namun menjelaskan ia mampu menawarkan operasi yang lebih senyap dan lebih cekap.

Selain itu, sistem hibrid ringan ini juga menyumbang 55 peratus daya kilas pada permulaan pemanduan, dan 10 peratus lebih penjimatan bahan api.

Dengan pengenalan enjin baharu ini, Isuzu tidak merancang untuk mengenepikan terus enjin 1.9 liter hibrid ringan yang wujud pada D-Max.

Dengan kuasa dan daya kilas yang hampir sama dengan enjin 1.9 liter biasa (148 hp/350 Nm), Isuzu D-Max MHEV hanya didatangkan dengan kombinasi pacuan roda belakang dan transmisi automatik enam-kelajuan.