Honda telah pun mengemaskini penawaran bagi sedan segmen C Honda Civic untuk model tahun 2025.
Perubahan pada bahagian luar Civic 2025 ini sebenarnya telah pun diperlihatkan pada awal tahun yang lalu, menepati rupa paras Civic RS Prototype yang muncul di Tokyo Auto Salon 2024.
Pada muka hadapan, Civic kini dipadankan dengan rekaan bampar baharu, di mana perumah lampu kabus telah ditiadakan, diikuti dengan struktur jeriji yang telah dikemaskini.
Selain perubahan yang kecil yang terdapat pada bahagian luar, Honda sebenarnya merombak kembali penawaran varian sedia ada, di mana kebanyakan trim kini tidak lagi menggunakan enjin 1.5 liter turbo, kecuali varian Civic Si.
Sebaliknya, kesemua varian (kecuali varian LX dan Sport yang menggunakan enjin 2.0 NA) kini dikuasakan oleh nadi hibrid e:HEV 2.0 liter kitaran Atkinson dengan dua motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 200 hp dan 315 Nm.
Ini menjadikan Civic Hybrid sebagai Civic bukan Type R yang paling berkuasa pernah dihasilkan.
Selain prestasi yang lebih bertenaga, Civic Hybrid juga kini mendapat empat tahap tetapan brek regeneratif, diikuti dengan talaan spesifik untuk meningkatkan kualiti pemanduan dan dalam masa yang sama menambahbaik aspek NVH.
Untuk ruang kabin pula, Civic Hybrid kini mendapat tempat duduk balutan kulit, sistem audio stereo dengan 12 pembesar suara, serta skrin infohibur bersaiz sembilan inci yang turut dilengkapi dengan aplikasi Google terbina dalam.
Difahamkan, Honda Civic 2025 akan mula mendarat di kebanyakan pusat pengedar Honda di Amerika Syarikat pada bulan Jun ini, di mana ia masih boleh didapati dalam bentuk badan sedan dan juga hatchback.
HONDA Civic generasi terkini (nama kod FE) menambah baik pakej yang ditawarkan pada model sebelumnya. Ia tampil dengan rupa lebih matang, lebih kemas, tetapi ramai juga rakyat Malaysia yang lebih sukakan rekaan Gundam pada Civic FC.
Ini bukanlah model yang begitu baharu dalam pasaran, namun penulis mahu kongsikan beberapa benda kurang best berkenaan Civic ini. Iyalah, bila sesebuah kereta itu dipuji melambung, anda komen kami fan, dibayar, atau taksub.
Sekarang, jom kita lihatkan tiga perkara yang penulis kurang berkenan pada Civic e:HEV RS.
1. Harga semakin mahal
Honda Civic FE ini semasa dilancarkan pada 2022, bermula pada harga RM126k sehingga RM144k. Ini lebih mahal dari julat harga Civic FC iaitu antara RM110k hingga RM131k.
Kemudian, varian e:HEV RS ini melonjakkan harga Civic sehingga RM166,500. Ini sudah hampir dengan harga Mazda3 yang merupakan model diimport sepenuhnya (CBU).
Ya betul, Civic e:HEV RS ini merupakan model yang lebih kompleks dengan janaan kuasa hibrid yang menawarkan prestasi tetapi pada masa yang sama jimat penggunaan bahan apinya.
Tetapi sesetengah rakyat Malaysia tidak peduli perkara-perkara terperinci itu. Kereta semakin canggih ke, semakin bagus ke, yang penting dia nampak harga dah jauh menghampiri RM170k. Maka berbakul-bakul dia kecam di media sosial.
2. Kekeliruan identiti
Yang kedua ialah kekeliruan identiti. Jika anda lihat Civic 1.5 TC atau TC-P, ia jelas menunjukkan varian turbo itu mahu menjadi sporti – lencana merah, rim hitam, ekzos berkembar.
Tetapi dengan e:HEV RS, anda dapat lebih kuasa tetapi rim dwi tona yang nampak sedikit eksekutif. Anda dapat spoiler dengan kepak di kiri dan kanan, tetapi muncung ekzos sebelah sahaja.
Ia seperti mahu menjadi sporti sedikit, dan premium sedikit. Sudahnya, mana-mana pun tidak. Seperti kekeliruan identiti.
3. Nak ‘bela’ lebih mahal
Perkara ketiga ialah kos ‘membela’ Civic e:HEV RS yang lebih tinggi berbanding varian petrol. Dari segi cukai jalan, anda bayar RM379 setiap tahun, iaitu RM289 lebih tinggi berbanding versi petrol yang cuma berharga RM90.
Ini adalah disebabkan perbezaan kapasiti enjin, dimana Civic e:HEV RS menggunakan enjin 2.0-liter (1,998cc) manakala Civic 1.5 TC dan 1.5 TC-P dipacu enjin 1.5-liter (1,498cc).
Kemudian bab penyelenggaraan juga jauh berbeza. Mengikut laman web rasmi Honda, kos penyelenggaraan selama 10 tahun atau 120 bulan bagi Civic e:HEV RS ialah RM9,274.28, jauh lebih tinggi berbanding RM5,511.81 untuk varian petrol.
Ia tidaklah terasa sangat kerana secara purata, perbezaan harga servis hanya sekitar RM188 setiap kali. Tetapi angka tetap angka, dan jumlah ini jelas menunjukkan perbezaannya.
Harus diingat, ini hanyalah kos penyelenggaraan yang diliputi oleh pusat servis, belum kira bab komponen wear and tear seperti tayar dan pad brek.
Sekian tiga perkara kurang best berkenaan Honda Civic e:HEV RS. Sebenarnya susah juga mencari perkara negatif untuk kereta ini.
Dan sudah tentu ada banyak benda yang kami suka dan kagum dengan Civic ini kerana ia membolehkan perkataan eco dan sporti duduk dalam satu ayat! Anda boleh baca sisi lain Civic e:HEV RS di sini.
MAZDA3 generasi sekarang semasa mula dilancarkan pada 2019 dulu dikatakan mempunyai pemanduan mantap, cukup berbeza berbanding pesaing-pesaingnya pada masa itu. Ia menerima pujian dari media-media permotoran, malah dibandingkan dengan model seperti Mercedes A-Class, bukan model Jepun.
Walaupun mempunyai suspensi torsion beam di belakang, jurutera-jurutera Mazda berjaya menggunakan magik Jinba-Ittai untuk menala suspensi, stereng, bunyi, dan segalanya untuk menjadikan Mazda3 sedan segmen-C paling sporti.
Tetapi itu cerita lima tahun lepas.
Pada 2019 juga, Toyota telah membawakan Corolla serba baharu dengan casis TNGA dan tayar Michelin Primacy, suatu pakej yang tidak boleh dipandang rendah.
Mungkin tayar pada Corolla ini telah ‘trigger’ Honda untuk memberikan Michelin Pilot Sport 4 pada Civic FC facelift 2021.
Jadi, kini, Toyota dan Honda memperbaharui lagi penawaran mereka untuk sedan segmen-C walaupun SUV semakin popular. Corolla menerima sedikit pembaharuan dengan varian GR Sport, manakala Civic generasi baharu FE mendapat pilihan enjin turbo atau hibrid. Semakin sengit?
Maka penulis pun minta semula unit pandu uji Mazda3 terbaharu kerana model ini beberapa bulan lepas mendapat kemaskini (akhirnya).
Jadi, bagaimana kedudukan Mazda3 dalam segmen ini, masih ‘king’ untuk pemanduan mantap? Bagaimana pula dengan spesifikasi untuk nilainya? Jom kita lihatkan.
Pembaharuan 2024
Antara pembaharuan pada Mazda3 untuk 2024 ini adalah hanya enjin 2.0-liter sahaja ditawarkan kini (tiada lagi 1.5-liter), paparan infotainmen 10.25-inci, pengecas tanpa-wayar, soket USB-C, Apple Carplay tanpa-wayar, Mazda Radar Cruise Control dengan Cruising & Traffic Support, dan sistem audio Bose.
Tetapi ciri-ciri di atas bukanlah standard, hanya varian-varian teratas sahaja yang menerimanya. Apa pun, penulis rasakan pembaharuan ini sangat signifikan untuk Mazda3 2023/2024, terutamanya paparan infotainmen lebih besar dan Apple Carplay tanpa-wayar. Sangat praktikal dan berguna.
Penulis yakin bakal-bakal pemilik Mazda3 baharu ini juga akan menghargainya, kerana paparan infotainmen pada model sebelum ini tidak begitu memuaskan dari segi saiznya.
Dari segi harga, Mazda3 2024 secara umumnya kira-kira RM6,000 lebih mahal berbanding sebelumnya, penulis rasakan agak berbaloi. Satu, dengan kadar inflasi dan tukaran mata wang asing, keduanya adalah dengan pertambahan dari segi spesifikasi.
Mazda3 kini berharga dari RM156,059, tetapi unit yang penulis uji ini ialah High Plus Liftback, berharga RM166,059.
Pesaing-pesaingnya juga meningkat dari segi harga ini. Toyota Corolla GR Sport berharga RM152,800 (RM5,000 lebih dari varian biasa) manakala Civic turbo varian tertinggi berharga RM151,900, e:HEV hibrid pula RM167,900.
Ini merapatkan jurang harga Mazda3 dengan pesaing-pesaing Jepun, tidak jauh seperti sebelum ini. Pembelian atau pemilihan Mazda3 juga akan menjadi lebih ‘masuk akal’, pada pendapat penulis.
Secara umum, Mazda3 masih terasa lebih premium, bukan kerana banyak spesifikasi atau gajet, tetapi entah kenapa cara binaannya, pemilihan warna dalam kabin, rasa bahan-bahan sentuhan, seolah-olah ia ‘menyambut’ anda sebagai pemandu.
Bila memandu Mazda3 ini, terus penulis mengalami ‘throwback’ dan teringat semula saat memandu model 2019 dulu.
Walaupun Toyota Corolla sedan dan Civic (generasi FE) telah ditambah baik dan kini sangat sedap dipandu, entah kenapa Mazda3 ini terasa lebih ngam, anda lebih terhubung dengan kereta, terus masuk dalam dunia sendiri.
Sterengnya tepat, seolah-olah tangan anda sejengkal sahaja dengan tayar depan. Input yang diberi pada stereng terus membuatkan badan kereta mengikut, dan segala yang berlaku pada tayar depan terus anda dapat rasa.
Sama ada selekoh di jalan cengkaman tinggi, jalan berpasir, atau anda hampir sampai ke had brek, anda akan lebih peka, seterusnya lebih mudah merancang tindak balas atau respon seterusnya. Ini bukan sahaja memberikan nikmat pemanduan, tetapi juga meningkatkan keselamatan.
Enjin 2.0-liter SkyActiv-G pada model Liftback (hatchback) ini menjana 162hp dan 213Nm tork, suatu angka yang dikira okey. Tidak terlalu berkuasa, atau tidaklah ‘underpower’.
Tetapi yang menarik ialah cara enjin itu rev dan menyampaikan kuasa. Tork maksima dicapai pada 4,000rpm kemudian ‘disambut’ oleh kuasa maksima 162hp pada 6,000rpm, hampir dengan redline 6,800rpm.
Ini bermakna anda perlu ‘perah’ sedikit enjin ini untuk dapatkan kenikmatannya. Dan bila rev tinggi menghampiri 6,000rpm, kereta menjadi ultra-responsif; contoh bila anda lepaskan minyak sebentar memasuki selekoh, sebelum sambung menekan pedal minyak.
Kuasa pada masa ini terasa seperti lebih dari 162hp dan kereta seolah-olah mengajak anda untuk tekan dan tukar gear seterusnya. “Mari laju lagi, boleh ni.”
Bunyi pada rev tinggi ini cukup merdu dan syahdu, anda dapat rasakan yang jurutera Mazda sengaja mereka karakter enjin sebegini. Kuasa puncak di hujung rpm, bunyi merdu, dan enjin terasa selesa di sini, langsung tidak terasa seperti ia mengerang atau terseksa.
Kemudian bab gear. Mazda3 satu-satunya model dalam segmen ini dengan kotak gear automatik konvensional, bermakna ada gear planetary sebenar di dalamnya. Tidak seperti pesaing-pesaingnya yang menggunakan CVT.
Tetapi pembeli-pembeli Honda dan Toyota tidak kisah akan hal ini…
Mazda3 mempunyai gear sebenar dengan 6-kelajuan, jadi setiap pertukaran gear itu terasa jelas dan telus, bukannya tarik paddle-shift tetapi hanya ratio CVT yang ditukar.
Mazda3 Liftback ini mempunyai paddle-shift di stereng, tetapi tombol gear di konsol tengah menggunakan konfigurasi seperti kereta lumba sebenar. Mengapa? Kerana dalam mod manual, upshift (logo +) adalah di belakang, manakala downshift (tombol -) di depan.
Ini susunan sama yang digunakan oleh kereta-kereta sports lebih mahal seperti Porsche atau BMW M. Susunan ini juga lebih semulajadi, kerana semasa memecut badan anda ke belakang, dan anda lebih selesa menarik tombol gear ke belakang untuk upshift. Begitu juga sebaliknya.
Tetapi, bukan hari-hari kita pandu macam berlumba, bukan? Saja lah, ianya sesuatu yang “good to have”, orang putih kata. Manalah tahu balik kerja malam kita nak layan Lebuh Raya DASH ke…
Sebenarnya, kualiti pemanduan model-model sedan segmen-C sudah menjadi sangat bagus. Toyota Corolla sangat senyap dan stabil, Honda Civic lebih mengujakan bab powertrain kerana ada pilihan enjin turbo, malah posisi duduk pun rendah dan sporti.
Tetapi Mazda3 paling sporti dan segalanya ditala begitu halus, dari segi feel stereng, tempat duduk, dan ergonomik. Malah untuk harganya, anda akan dapati banyak aspek Mazda3 ini dibuat ‘lebih’, sebagai contoh nyalaan lampu signal, jenis pedal minyak, dan nyalaan instrumen meter.
Mazda3 Liftback ini menjadi salah satu contoh mengapa kita tidak boleh menilai kereta dari atas kertas sahaja, sebaliknya perlu alami sendiri untuk faham.
AKHIRNYA selepas empat tahun berada dalam pasaran, Mazda3 telah menerima facelift dan kemas kini. Bukanlah hendak kata ia benar-benar perlu facelift kerana Mazda3 tetap nampak cantik dan baharu, tetapi ia mungkin memerlukan kemas kini dari segi spesifikasi dan kelengkapan.
Mazda3 yang dikemas kini bagi 2023 ditawarkan dengan empat varian untuk pasaran Malaysia, seperti berikut:
Mazda3 2.0 High Sedan – RM156,059
Mazda3 2.0 High Plus Sedan – RM166,059
Mazda3 2.0 High Plus Liftback – RM166,059
Mazda3 2.0 Ignite Edition Liftback – RM175,059
Seperti dapat anda lihat di atas, kesemua varian kini hadir dengan enjin 2.0-liter sahaja untuk sedan dan Liftback (hatchback), bermakna enjin 1.5-liter digugurkan. Enjin 2.0 SkyActiv-G untuk semua model, dengan output 162hp dan 213Nm tork.
Enjin ini digandingkan dengan kotak gear SkyActiv-Drive 6-kelajuan berserta mod manual. Angka kecekapan bahan api adalah sehingga 6.2L/100km bagi model sedan, manakala 6.3L/100km untuk hatchback.
Bagi kelengkapan luaran, semua varian mendapat lampu depan LED, tetapi DRL LED hanya untuk tiga varian teratas, model sedan High dilengkapi DRL mentol. Lain-lain boleh dikira sama, seperti lampu kabus LED, cermin sisi auto-lipat, penggilap cermin auto, dan pengesan undur depan serta belakang.
Rim bagi High Sedan adalah 16-inci dengan tayar 205/60, manakala tiga lagi varian lebih tinggi dilengkapi rim 18-inci dibaluti tayar 215/45.
Ciri dalam kabin bagi kesemua model termasuklah tempat duduk kulit dengan pelarasan 10-arah untuk pemandu, brek parkir elektronik, paparan instrumen 7-inci, head-up display (HUD) berwarna, dan pendingin hawa dwi-zon.
Sistem infotainmen pula terdiri dari paparan tengah 10.25-inci, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, lapan pembesar suara, dan dua soket USB Type-C. Kamera undur juga standard, tetapi varian tertinggi Mazda3 2.0 Ignite Edition hatchback mendapat tambahan kamera 360-darjah.
Bagi sistem keselamatan, semua varian hadir dengan ciri standard seperti ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist, dan ISOFIX.
Tetapi hanya tiga varian tertinggi didatangkan dengan sistem bantuan maju seperti lampu adaptif, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert, Smart Brake Support, dan Mazda Radar Cruise Control.
Kesemua varian Mazda3 2023 ini masih diimport sepenuhnya, maka sebab itulah harganya masih lebih tinggi berbanding model-model seperti Honda Civic dan Toyota Corolla. Apa pendapat anda, berbaloi memilih Mazda3?
Bagi kami, model ini sentiasa nampak dan rasa lebih premium berbanding pesaingnya, dan walaupun nampak ‘segar’ dalam pasaran, ia sememangnya wajar mendapat kemas kini kelengkapan.
KEMUNGKINAN kita perlu mengelak rusa semasa memandu adalah tipis tetapi maneuver mengelak kecemasan sangat berguna dalam menguji kenderaan dan pemandu semasa mengelak halangan.
Berasal dari Sweden sejak 1970an, moose test atau ujian mengelak rusa telah dipopularkan pada 1997 oleh majalah kereta Teknikens Värld apabila wartawan, Robert Collin menterbalikkan Mercedes A-Class generasi pertama.
Ianya memberi kesan besar kepada Mercedes, yang terpaksa memanggil balik (recall) semua kenderaan yang terlah terjual dan menangguhkan penghantaran selama tiga bulan.
Majalah Sepanyol km77 meneruskan tradisi ini dengan menguji kenderaan-kenderaan terkini untuk moose test. Model terkini yang diuji ialah Honda Civic Type R generasi baharu (FL5).
Kelajuan tertinggi yang dilakukan tanpa melanggar sebarang kon ialah 74km/j (46 batu sejam), dan menariknya, lebih rendah dari kelajuan yang boleh dilakukan oleh Civic biasa untuk ujian sama.
Ini mengambil kira faktor bahawa Civic Type R mempunyai casis dan suspensi yang ditingkat taraf berbanding Civic biasa, dan tayar Michelin Pilot Sport 4 S yang lembut melekat.
Civic biasa juga mempunyai kelajuan lebih tinggi di tengah-tengah ujian – iaitu 68km/j berbanding 63km/j – tetapi kelajuan keluar lebih rendah iaitu 45km/j berbanding 48km/j.
Pemandu uji itu menerangkan bahawa Civic Type R mempunyai karakter ‘suam-suam’ walaupun penampilannya sporti. Dia juga mengulangi ujian itu beberapa kali dan prestasi kereta itu meningkat, berkemungkinan kerana cengkaman telah bertambah apabila tayar semakin panas.
Bercakap mengenai tayar juga, tekanan telah direndahkan pada gandar depan dan itu juga membantu kereta mengemudi di laluan ujian itu. Ia lebih mudah dijangka dan menunjukkan kurang understeer.
Walaupun dengan tayar lebih panas dan tekanan lebih rendah, km77 tidak dapat melakukan ujian itu pada kelajuan lebih tinggi.
Dalam ujian slalom pula, Civic Type R menyempurnakannya dalam masa 23.8 saat, agak bawah dalam senarai. Ia 0.6 saat lebih perlahan dari Audi RS3 Sportback, dan 0.1 saat di belakang BMW M340d xDrive Touring yang lebih berat.
Berkenaan Civic Type R yang mempunyai keputusan lebih rendah berbanding Civic biasa, kami rasa ia mungkin disebabkan faktor persekitaran seperti suhu udara, suhu permukaan jalan, dan keadaan jalan. Jika ujian untuk kedua-dua kereta dilakukan pada hari yang sama, pasti menarik.
NAMPAKNYA Toyota Corolla akan menjadi model seterusnya yang diberikan ‘perisa’ GR Sport. Menurut laporan rakan media di Paultan, UMW Toyota nampaknya telah mengemas kini senarai harga Corolla di laman web mereka.
Bila dilihat pada senarai harga, terdapat “GR Sport package” dengan harga tambahan RM5,000 selain dari dua varian sedia ada iaitu 1.8E dan 1.8G. Varian 1.8G berharga RM147,800 jadi sekiranya Corolla GR Sport dilancarkan nanti, harganya mungkin RM152,800.
Untuk pakej GR Sport, anda akan dapat komponen GR Sport terdiri dari bampar depan, rim aloi, kemasan khas kabin, dan talaan suspensi.
Tiada gambar disiarkan oleh pihak UMW Toyota, maka sebab itu harganya cuma anggaran dan bukan tetap. Mungkin aka nada teaser sebelum pelancaran nanti.
Untuk gambar di artikel ini, kami ambil contoh dari laman web Toyota Taiwan. Dapat dilihat pada talaan suspensi, ia mendapat penyerap hentak berbeza dan bar anti-oleng lebih tebal.
Buat masa ini, barisan model di bawah GR Sport adalah Hilux dan Corolla Cross. UMW Toyota juga pernah memperkenalkan Vios GR Sport dari model generasi sebelum ini.
Apa pun, kita tunggu dan lihat pelancaran rasmi nanti. Menarik? Anda rasa ia boleh beri saingan terhadap Honda Civic e:HEV RS?
Pengguna akaun yang bernama Choon Keet itu menulis tentang kekecewaannya kerana semua tuntutan jaminannya ditolak.
Menurut tulisannya, dia perasan akan suatu isu di bahagian tingkap sisi belakang beberapa hari selepas mengambil kereta baharunya. Dia kemudian membuat laporan semasa servis pertama 1,000km.
“Selepas satu bulan menunggu, saya difahamkan dari pusat servis bahawa tuntutan jaminan saya itu ditolak, alasannya ini bukan kecacatan pembuatan (pengeluaran dari kilang).
“Saya kemudian menghubungi pula Honda Malaysia untuk membuat rayuan dari tuntutan itu. Ini bukan isu pengeluaran (kilang) tetapi isu pemasangan,” katanya.
Beberapa minggu kemudian, dia dihubungi pihak Honda Malaysia dan mendapat makluman yang rayuannya ditolak.
“Kali ini alasan yang diberi ialah kerana saya memasang filem cermin gelap pihak ketiga!
“Seminggu kemudian saya merayu lagi kerana berjaya menjumpai foto semasa saya mengambil kereta di bilik pameran, ia jelas menunjukkan bahagian itu telahpun begitu (mempunyai kecacatan).
“Minggu berikutnya saya menerima panggilan dari Honda Malaysia, dan tuntutan saya ditolak lagi! Kali ini alasan lebih mengarut diberikan! Katanya saya tidak melaporkannya semasa mengambil kereta!”
Menurutnya lagi, isu ini sepatutnya hal kecil sahaja, dan dia tidak faham mengapa Honda Malaysia berkeras mahu menolak rayuannya walaupun alasan kukuh telah diberikan.
Tulisannya di forum itu telah mendapat lebih 900 Like, 600 komen dan 128 perkongsian semasa artikel ini ditulis. Rata-rata komen bersimpati dengan nasibnya.
Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa dari Honda dan tak lupa juga dari jenama-jenama lain.
ANDA masih ragu-ragu dengan kemampuan enjin 3-silinder? Mungkin video yang kami paparkan ini boleh mengubah persepsi anda.
Ini kerana sebuah Geely Coolray (kembar Proton X50) telah mengalahkan Honda Civic dalam acara lumba drag di Filipina. Seperti yang semua tahu, Proton X50 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 3-silinder manakala Honda Civic EG dipacu enjin 1.6-liter 4-silinder.
Menurut video pendek yang dikongsi dalam forum Proton X50 Community Malaysia (PX50CM) di Facebook, acara itu merupakan kejuaraan National Drag Race Championship Filipina (NDRC PH) yang berlangsung di Clark International Speedway.
Dapat dilihat sebaik lampu bertukar hijau, dapat dilihat Geely Coolray memecut dengan lebih ‘clean’ mungkin kerana adanya Traction Control. Honda Civic pula bergelut sedikit dengan cengkaman, kerana dapat dilihat asap pada kawasan tayar depan.
Geely Coolray itu terus meninggalkan Civic dalam acara sejauh 400 meter itu.
Kami tidak pasti akan spesifikasi setiap kenderaan, apakah modifikasi yang dilakukan pada kedua-dua kenderaan tersebut. Geely Coolray nampak agak ‘standard’, manakala Civic pula nampak cukup ‘perang’ dengan hos kemasukan udara di lampu depan kanan.
“Honda Civic dengan ram air system berentap dengan Coolray turbo, dari Geely, pembuat Volvo. Pengecas turbo, tiga silinder, kawan. Dan pemenangnya ialah Geely,” kata pengulas perlumbaan.
Enjin Proton X50 di pasaran Malaysia varian paling berkuasa dengan enjin TGDI menghasilkan sekitar 175hp dan 255Nm tork, mungkin lebih tinggi dari Civic jika menggunakan enjin B-Series. Tetapi X50 juga lebih berat.
Apa pun, menarik untuk kita tontoh kenderaan berenjin 3-silinder memecut lebih pantas dari kenderaan berenjin 4-silinder.
POLIS mengesahkan bahawa pemandu Honda Civic yang terbabas ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat peranginan terkenal baru-baru ini telah pun dipanggil untuk tindakan selanjutnya.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan mendapati pemandu itu dalam perjalanan dari Serdang, Selangor menuju ke Genting Highlands, Pahang.
“Apabila sampai di selekoh pemandu tersebut telah memotong sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri di sebelah kiri jalan,” katanya sambil menambah pemandu berusia 27 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Zaiham lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Semakan ke atas kenderaan terbabit juga mendapat ia mempunyai 11 rekod saman.
Kemalangan itu berlaku pada Ahad (16 April) kira-kira jam 7.25 pagi di KM 14.6 Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang.
Video kejadian dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun bernama ‘Joekim Mako’ dan telah menerima pelbagai reaksi daripada netizen termasuk yang mempersoalkan kemahiran pemandu Civic itu.
SEJAK azali lagi, karakter eco atau jimat minyak tidak akan boleh duduk sekali dengan sporti. Dua benda yang berlainan sama sekali.
Sama seperti kek yang takkan pedas, nasi lemak takkan manis. Kereta Perodua Axia takkan boleh ada pengendalian macam Formula Satu, dan Formula Satu takkan jimat minyak seperti Axia.
Tetapi dengan teknologi, Honda berjaya membuatkan eco dan sporti berbaik dan duduk sebumbung. Perkenalkan Civic e:HEV RS.
Ya, Honda Civic e:HEV RS merupakan varian hibrid yang lebih menjimatkan bahan api dari varian petrol lain, tetapi ia memberikan lebih prestasi.
Honda Civic varian e:HEV RS ini mempunyai penjimatan sehingga 25km/liter berbanding RS biasa sehingga 15.8km/liter, tetapi e:HEV RS mampu memecut ke 100km/j dalam masa 7.9 saat berbanding RS petrol sepantas 8.3 saat.
Apa beza Civic e:HEV RS dengan Civic biasa?
Honda Civic FE generasi terkini yang dilancarkan tahun lepas ditawarkan hanya dengan enjin 1.5-liter VTEC Turbo untuk varian petrol, tiada lagi naturally-aspirated 1.8-liter i-VTEC. Enjin ini menjana kira-kira 180hp dan 240Nm, lebih dari mencukupi untuk kegunaan seharian.
Tetapi buat pertama kali, Honda Civic ditambah dengan varian e:HEV RS, iaitu hibrid bersama enjin 2.0-liter naturally-aspirated yang menggunakan kitaran Atkinson. Enjin ini sahaja menghasilkan 143hp dan 189Nm, tetapi ditambah dengan motor elektrik, ia memberikan output total 184hp dan 315Nm tork.
RS di sini bermakna ia mendapat penggayaan hampir serupa dengan varian petrol 1.5 RS, tetapi e:HEV RS mendapat sedikit perbezaan.
Varian e:HEV RS mendapat rim 18-inci dwi-tona (RS petrol serba hitam), ekzos tunggal (RS petrol ekzos berkembar), dan beberapa kemasan biru pada logo Honda, menunjukkan elektrifikasi padanya.
Eco akhirnya duduk sebumbung dengan sporti
Kita bercakap tentang eco tadi, berapa jimat Civic e:HEV RS ini? Semasa sesi pandu uji media, kami diberikan cabaran Fuel Challenge semasa bertolak dari Kuala Lumpur sebelum singgah ke Melaka. Jadi, ada melalui lebuh raya, kesesakan, dan jalan bandar.
Kereta kami masih mampu dapat 25km/liter dengan tidak terlalu mencuba, dah jimat macam Bezza! Kami bertiga termasuk barangan di but, dan pandu di lebuh raya pada kelajuan sekitar 90 hingga 100km/j, tidak terlalu perlahan ya.
Ada kumpulan media lain yang lebih daring, mereka memperoleh sehingga 30km/liter. Cukup jimat tak? Harus diingat, ini kereta sedan segmen-C, bukan hatchback segmen-A.
Itu bab penjimatan. Bab sporti pula, Honda Civic e:HEV RS (dan varian-varian petrol lain) sememangnya menawarkan pemanduan lebih mantap berbanding FC. Stereng terasa lebih tepat dan lebih banyak maklum balas, hasil talaan terkini Honda selain penggunaan tayar Michelin Pilot Sport 4.
Suspensi pula terasa sepadan dengan feel pada stereng, dimana suspensinya menyerap dengan baik segala ‘kecantikan’ permukaan jalan raya kita, tetapi pada masa yang sama ‘memegang’ badan kereta di saat memerlukan, sebagai contoh di selekoh.
Digandingkan lagi dengan ergonomik tempat duduk yang rendah dengan kaki hampir melunjur, nampaknya rasa pemanduan Civic masih mengujakan, sesuai dengan namanya walaupun rupa luaran dikatakan semakin ‘biasa’ atau terlalu matang.
Tetapi secara jujur, penulis tiada masalah dengan rupa Civic sekarang. Ia sesuai dengan statusnya sebagai sedan ikonik dalam generasi ke-11, yang keluar pada zaman masa kini. Takkan nak buat Civic dengan gaya dan aksesori tema Need For Speed Underground pula kan?
Berbaloi?
Dengan penawaran yang ada pada Civic e:HEV RS ini, kami rasa anda pasti sudah dapat jangkakan yang ianya varian paling mahal. Ya, anda tidak salah. Civic e:HEV RS dijual pada harga RM166,500, iaitu hampir RM16,000 lebih tinggi dari Civic 1.5 petrol RS.
Berbaloi tambahan RM16,000? Jika anda mampu dan mahukan sebuah Civic yang padat dengan teknologi terkini Honda, apa salahnya. Anda dapat prestasi maksima dan penjimatan jangka masa panjang.
Cuma kalau penulis beli Civic e:HEV RS, mungkin penulis akan tukar rimnya dengan varian petrol RS, itu sahaja.
SETIAP kali Honda mengeluarkan model baharu di Malaysia, ianya akan menjadi perhatian ramai peminat dan pemerhati industri automotif negara ini. Pelancaran Civic serba baharu tidak terkecuali.
Civic FE ini mendapat pelbagai pendapat mengenai rupa luarannya, kerana aspek penampilan menjadi isu pertama dan utama yang sering dibahaskan orang kita. Ada yang selesa dengan pembaharuan Civic ini, dan ada yang lebih gemarkan penampilan Civic FC.
Bagi penulis secara keseluruhan, lebih sukakan rekabentuk Civic FE baharu ini. Silhouette atau bayangnya dari sisi masih hampir sama, tetapi perincian diubah menjadikan Civic ini kelihatan lebih matang.
Tetapi tidak tua!
Lampu depan contohnya kurang gaya terlalu tajam dan garang, kini lebih relaks dan mirip lampu kereta jenama Eropah yang lebih premium. Kami taknak sebut jenama apa…
Kemudian bahagian ‘hidungnya’ kini gelap dan tiada krom, jadi sebenarnya nampak lebih premium juga pada pendapat penulis. Tiada lagi permukaan-permukaan berkilau.
Bahagian belakang juga lebih kemas pada FE ini, cuma penulis masih cuba untuk ‘menghadam’ rekaan lampu. Ini kerana ia seperti terlalu tinggi atau tebal, jika lebih nipis rasanya lebih padan dengan rekabentuk keseluruhan.
Tetapi siapalah kami nak persoalkan lebih-lebih, bukan? Mungkin pereka bentuk Civic FE ini ada penjelasan lebih kukuh dari aspek seni dan penampilan.
Akhir sekali sebelum kita masuk ke dalam, penulis hendak sentuh rim Civic ini, yang mana kami rasa cukup cantik dan sporti. Warna satu tona hitam dengan 10 bilah sangat padan dengan karakter kereta ini.
Ia juga menjadikan anda tidak perlu tergesa-gesa menukar rim ini selepas beli Civic. Rupanya sahaja sudah nampak cukup aftermarket.
Kokpit baharu yang moden dan sporti
Honda nampaknya semakin pandai menjadikan kabin kereta mereka cukup mantap dan kontemporari, bukan luas semata-mata. Jika dulu Mazda dikatakan mempunyai kabin cukup menarik dan terasa mewah, kini Honda juga bersaing rapat untuk aspek ini.
Paling penulis suka pada kabin Civic ini adalah rekaan ‘honeycomb’ mendatar yang panjang untuk corong pendingin hawa, dan ia terus ‘ditarik’ melintang menghubungkan dua pendingin hawa. Ini memberikan ilusi seolah-olah pendingin hawa itu mempunyai rongga yang luas dan lebar.
Bahan yang digunakan juga cukup baik, warna krom yang memberi kontra kepada papan pemuka hitam, tetapi tidak terlalu berkilau. Just nice, orang putih kata.
Dan corong ini juga diselitkan dengan tuil pelaras arah pending hawa yang – lagi sekali – terasa premium bila digunakan. Terdapat ‘klik’ yang cukup “ummmpph…” bila anda melaraskannya.
Aspek lain yang boleh dikatakan mengenai kabin Honda Civic FE ini ialah kedudukan serta posisi memandu yang rendah dan terasa sporti. Pada masa yang sama, penglihatan ke luar masih sangat baik, langsung tidak terganggu.
Anda dapat melihat ke depan dan tepi serta mengemudi kereta dengan baik di bandar dan tempat sempit, tetapi yang penting posisi rendah membuatkan anda dapat lebih banyak ‘feel’ dari pergerakan kereta.
Tiada lagi NA, hanya turbo
Barisan Civic FE kali ini tidak lagi ditawarkan dengan enjin naturally-aspirated (NA), sebaliknya hanya turbo. Enjin 1.5-liter VTEC Turbo ini menjana 180hp dan 240Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT.
Melalui pemanduan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan jalan persekutuan serta lebuhraya, apa yang boleh dikatakan ialah kesan ‘rubber band’ dari kotak gear kini kurang terasa, menjadikan enjin dirasakan lebih responsif.
Pecutan atau pertambahan kelajuan dapat dibuat dengan lebih cepat. Malah pecutan dirasakan lebih cekap, seolah-olah tiada ‘powertrain loss’ dalam sistem CVT kali ini.
Pengendalian antara terbaik dalam segmen
Untuk aspek pengendalian dan pemanduan keseluruhan pula, penulis boleh simpulkan dengan satu ayat mudah: semua sedan segmen-C sekarang sangat sedap dipandu.
Jika 10 atau 15 tahun dahulu, Honda begitu ‘raw’ dan sangat jitu pemanduannya, ibarat jentera perlumbaan yang dibawa ke bilik pameran dan dipasang nombor plat.
Kemudian Honda semakin ‘lembut’ dan hilang arah tuju sedikit sebelum Mazda cemerlang untuk aspek ini. Toyota pula dari dulu dikenali sebagai pemanduan tiada jiwa, seperti kereta untuk abah-abah.
Tetapi kini untuk 2022, boleh dikatakan semua sedan segmen-C seronok dipandu dengan cara masing-masing.
Mazda3 terasa penghalusan dan penelitian dengan bantuan GVC, Toyota Corolla mempunyai kawalan badan yang sangat baik, dan Honda Civic FE 2022 ini pula mempunyai posisi memandu dan respon stereng yang tepat.
Semakin sukar untuk buat pilihan sedan segmen-C sekarang, tetapi kebanyakan dari anda tidak kisah aspek pemanduan, dan hanya mahukan SUV, betul?
Apa pun, karakter pemanduan Civic FE penulis rasakan satu penambahbaikan cukup besar berbanding FC, malah berbanding FC versi facelift sekalipun. Nampaknya Honda semakin kembali ke jiwa sporti mereka, dan ini membuatkan penulis tidak sabar untuk melihat apa yang mereka boleh tawarkan dengan Civic Type-R nanti.
Satu lagi perkara penting ialah Honda telah menambahbaik casis Civic FE untuk menjadikannya lebih tegar tetapi pada masa yang sama lebih ‘refined’. Hasilnya seperti yang dikatakan tadi; pemanduan lebih sporti tetapi senyap dan selesa.