Penawaran warna baharu, atau istilah ‘kejuruteraan coverset‘ seperti yang digelar oleh netizen bukanlah satu perkara yang asing dalam dunia motosikal.
Malah, pendekatan ini – walaupun sekadar tukar warna – sebenarnya turut diaplikasikan di pasaran luar negara sebagai salah satu usaha untuk merancakkan lagi prestasi jualan model sedia ada.
Di Amerika Syarikat, Honda Amerika telah mengemaskini penawaran motosikal kecil MSX125 Grom untuk model tahun 2025 dengan membawakan dua warna baharu, iaitu Candy Blue dan Cherry Red, serta kejuruteraan coverset yang sebenar.
Berbeza dengan penawaran terdahulu, Honda Grom 2025 membawakan panel badan serba baharu dengan garisan yang lebih tajam dan bersegi, menyumbang kepada penampilan yang lebih agresif.
Seperti biasa, para pemilik motosikal ini boleh memadankan pelbagai jenis kelengkapan dan aksesori rasmi daripada Honda Accessories merangkumi naik taraf ruang storan dan penggayaan.
Sama seperti apa yang diamalkan di Malaysia, spesifikasi asas miniMOTO ini masih lagi kekal tidak berubah.
Honda MSX125 Grom dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 123.9 cc yang mampu menghasilkan kuasa 9.6 hp dan 10.5 Nm yang disalur ke roda belakang menerusi transmisi manual lima kelajuan.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik terbalik 31 mm di depan, diikuti dengan penyerap hentak tunggal di belakang.
Selain daripada itu, Grom 2025 masih kekal dengan tangki bahan api sebesar 6 liter, dan tinggi pelana sekitar 762 mm menjadikannya motosikal yang sesuai ditunggang oleh kebanyakan pengguna.
Sayang sekali, penawaran dua warna baharu itu hanya dikhususkan untuk varian asas sahaja, sementara dua warna sedia ada iaitu hitam dan putih masing-masing untuk varian SP dan ABS (saluran tunggal).
Di US, Honda MSX125 Grom 2025 dijual pada harga bermula dari $3,599 (RM16,907) hingga $3,799 (RM17,847).
Untuk info, beberapa tahun sebelum Covid melanda, Honda MSX125 Grom ini pernah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, dengan harga jualan sekitar RM11 ribu.