Tag Archives: Honda NSS250

Honda NSS250 2025 rasmi di Malaysia dengan skrin TFT lima inci – harga RM25,888

Boon Siew Honda mengumumkan kehadiran model skuter bersesaran 250 cc yang telah dikemas kini, iaitu Honda NSS250 2025 untuk memeriahkan lagi pasaran skuter tempatan.

Tidak seperti penawaran terdahulu, NSS250 2025 kini dilengkapi dengan skrin paparan TFT berwarna sebesar lima inci yang boleh dikawal menerusi suis bercahaya.

Dengan integrasi Honda RoadSync, penunggang boleh mengakses fungsi navigasi, panggilan suara, serta muzik menerusi sambungan Bluetooth.

Honda NSS250 2025 dikuasakan oleh enjin 249.5 cc yang mampu menjana kuasa 23 hp @ 7,750 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,250 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT automatik.

Casis kerangka keluli tubular NSS250 ini digandingkan dengan fork teleskopik hadapan 33 mm dan penyerap hentak berkembar di belakang untuk tunggangan yang lebih lincah di dalam laluan urban.

Ciri lain termasuklah skrin penghadang angin boleh laras elektronik (julat 180 mm), unit lampu utama LED, sistem Smart Key, ruang storan yang luas di bawah pelana, serta ruang glovebox berkembar di hadapan.

Selain daripada sistem ABS dua saluran, NSS250 ini turut mendapat ciri Emergency Stop Signal, dan juga Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh dinyahaktif.

Lima warna baharu yang ditawarkan untuk NSS250 termasuklah Pearl Smoky Gray, Matte Gun Powder Black Metallic, Candy Rosy Red, Pearl Jubilee White dan Pearl Shining Black.

Harga jualan Honda NSS250 2025 bermula dari RM25,888.

Honda NSS250 2024 rasmi dilancarkan, dari RM25,888

Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan penawaran terbaharu skuter bersesaran 250 cc untuk pasaran Malaysia, iaitu Honda NSS250 2024.

Honda NSS250 yang sebelum ini lebih dikenali dengan nama Forza 250 di pasaran Indonesia dan Jepun membawakan enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair menghasilkan 22.8 hp @ 7,750 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,250 rpm.

 

 

Sebagai sebuah skuter maxi yang premium, Honda NSS250 membawakan ciri moden seperti unit lampu LED depan belakang yang telah dinaiktaraf, paparan meter LCD rekaan baharu, serta penghadang angin boleh laras ketinggian (sehingga 180 mm) berkuasa elektrik.

Selain daripada itu, ia turut membawakan sistem Honda Smart Key yang memudahkan, ruang storan bawah pelana sebesar 48 liter, soket pengecasan USB-C, serta ciri keselamatan seperti ABS dua saluran, lampu berhenti kecemasan (ESS) dan Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan, diikuti lengan ayun dan penyerap hentak berkembar di belakang.

 

 

Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada sistem brek cakera tunggal 256 mm berserta angkup dua omboh pada roda hadapan, serta cakera tunggal 240 mm dan angkup omboh tunggal di belakang.

Honda NSS250 menawarkan tangki bahan api sebesar 11.7 liter, dengan ketinggian pelana sekitar 780 mm dan berat 185 kg.

Terdapat tiga warna ditawarkan, iaitu Mat Gun Powder Black Metallic, Pearl Smoky Gray dan Candy Syrah Wine Red.

Harga jualan bermula dari RM25,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun, atau had perbatuan sehingga 20,000 km yang mana tiba dahulu.