Tag Archives: honda nsx

EV Honda bakal tampilkan bunyi enjin kereta ikonik S2000, NSX, serta HondaJet!

Pemanduan sesebuah kenderaan elektrik (EV) yang terlalu senyap dan lancar tanpa sebarang gegaran mekanikal itu mungkin tidak sesuai untuk semua orang, lebih-lebih lagi mereka yang berjiwa olskool.

Jadi, Honda mahu memastikan model EV mereka akan datang mempunyai ciri dan pengalaman pemanduan yang unik.

Bertempat di 0 Tech Meeting 2024 yang berlangsung baru-baru ini, Honda memperlihatkan konsep pemanduan bersimulasi yang mampu meniru karakteristik model-model ikonik berprestasi tinggi jenama itu.

Antaranya ialah generasi pertama Honda NSX, hot hatch Civic Type R, roadster S2000, jentera F1, Honda CRX serta tidak ketinggalan jet peribadi HondaJet!

Selain memaparkan panel meter mengikut tema jentera yang dipilih, sistem Honda e Digital UX Concept ini boleh mensimulasikan not enjin model-model yang disebutkan tadi.

Peminat deruman enjin VTEC yang nyaring pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba ciri ini apabila ia ditawarkan kelak.

Honda juga akan menggunakan sistem gegaran dalam kabin untuk menghasilkan pengalaman pemanduan seakan kereta berenjin pembakaran dalaman.

Menurut laman The Drive, selain daripada paparan tema meter panel dan runut bunyi enjin, Honda juga sedang bereksperimen untuk menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh, termasuklah memperkenalkan talaan yang berbeza pada roda stereng, pemetaan pedal pendikit serta ketinggian sistem suspensi.

Tidak ketinggalan, ciri penukaran gear bersimulasi menggunakan paddle shifter seperti yang telah wujud pada model Hyundai Ioniq 5 N.

Saksikan kereta kawalan radio (RC) drag race dengan Honda NSX dan F1 Red Bull, boleh menang?

DRAG race sudah menjadi kebiasaan di siaran Youtube Carwow, mereka telah menggandingkan bermacam jenis kenderaan. Antaranya trak pikap, lori, malah jentera Formula Satu. Jadi apa pula selepas ini?

Terbaharu, mereka meletakkan sebuah Honda NSX dan jentera Formula 1 di garisan permulaan. Tetapi kali ini ada pencabar ketiga, dan saiznya sangat kecil. Ya, kerana ia sebuah kereta kawalan radio (RC).

Sudah tentu bukan kereta RC sebarangan untuk berlumba dengan F1 dan supercar. Sebaliknya ianya adalah Arrma Limitless, iaitu kereta RC yang dikatakan memegang rekod kelajuan tertinggi di dunia. Dengan modifikasi tertentu, video-video di Youtube menunjukkan Limitless mampu mencapai kelajuan melebih 220km/j.

Sebelum berlumba, mari kita lihatkan sedikit spesifikasi ringkas dan angka-angka penting setiap kereta.

Untuk Honda NSX, di belakang kabinnya terdapat enjin 3.5-liter twin-turbo V6 berserta tiga motor elektrik (dua di tayar depan, dan satu membantu enjin di belakang). Ini menjadikannya sebuah supercar pacuan semua-roda (AWD).

Gabungan enjin dan motor elektrik menjana 581hp, 645Nm tork, dan pecutan dibantu oleh Launch Control.

Jentera F1 pula merupakan Red Bull Racing RB7 dari 2011. Walaupun sudah 10 tahun, F1 ini tetap berprestasi tinggi.

Enjinnya berkapasiti 2.4-liter V8 yang mampu menghasilkan 750hp, lebih berkuasa dari NSX tadi. Malah, F1 ini juga jauh lebih ringan, dengan berat hanya sekitar 750kg. Ia juga dipandu oleh seorang lagenda iaitu David Coulthard.

Berkenaan pencabar unik kali ini, Arrma Limitless bukan sahaja sangat ringan, ia juga mempunyai motor yang sangat berkuasa, pacuan semua-roda dan stereng aktif yang akan membantu ‘pemandunya’ memastikan kereta sentiasa bergerak lurus di kelajuan tinggi.

Dari segi harga, kereta RC Arrma Limitless paling murah antara dua lagi kereta (sudah tentu), tetapi jika Limitless menang drag race ini, kira membazir lah beli supercar atau F1 mahal-mahal kan?

Oh kami tidak mahu ‘spoil’ keputusan perlumbaan ini, maka anda harus tonton sendiri untuk ketahui keputusannya.