Tag Archives: honda rs-x

Boon Siew lancar kempen beli Honda RS-X, dapat kredit e-dompet TnG RM300!

Boon Siew Honda mengumumkan kempen masa terhad untuk para peminat motosikal popular Honda RS-X.

Bermula 7 hingga 31 Oktober ini, pelanggan yang membawa pulang sebuah Honda RS-X bakal menerima kredit e-dompet Touch ‘n Go bernilai RM300.

Kredit e-dompet TnG itu boleh digunakan untuk membuat pembelian bahan api, di mana pemilik RS-X boleh menikmati perjalanan melebihi 7,000 km.

Untuk melayakkan diri menerima manfaat yang disebutkan tadi, pelanggan hanya perlu mendaftarkan motosikal mereka sepanjang tempoh kempen berjalan, dan seterusnya masuk ke dalam pautan Honda X INI untuk menerima kredit e-dompet RM300 secara terus.

Honda RS-X masih lagi dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc yang mampu menghasilkan kuasa 15.8 hp dan 13.6 Nm, dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Selain diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), Honda RS-X turut meraih penarafan lima bintang MyMAP untuk ciri standard ABS saluran tunggal yang dimuatkan.

Harga jualan yang disyorkan bermula dari RM9,798.

Honda RS-X generasi baharu bakal dilengkapi klac ‘anti-slip’?

Umum sedia maklum bahawa Honda RS-X yang dipasarkan di Malaysia juga dikenali sebagai Honda WInner X di pasaran Vietnam. 

Terbaru, model Winner X itu telah dinaik taraf bagi tahun 2024 di Vietnam apabila hadir dengan klac ‘anti-slip’. Hadir dengan tiga varian, Special ABS, Sport ABS dan Standard (tanpa ABS), model kapcai popular itu dipasarkan dengan harga bermula VND46.16 juta (RM8,795). 

Meskipun mengekalkan reka bentuk dan panel badan sama dengan model 2021 namun fungsi klac anti-slip (anti-gelincir) itu secara tak langsung meningkatkan daya menunggang motosikal berkenaan. 

Menariknya, kami difahamkan bahawa komponen ‘ignition coil’ yang sering membawa masalah sebelum ini juga telah ditambah baik. 

Untuk rekod, Honda Winner X ini masih lagi dipacu platform satu silinder PGM-Fi 149.1cc DOHC yang berupaya menyalurkan 15.4hp dan 13.5Nm. 

Honda RS-X terima empat warna baharu – dari RM9,698

Kapcai popular, Honda RS-X telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024. 

Menurut Boon Siew Honda (BSH), RS-X kini hadir dengan empat pilihan warna, bermula dengan Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) yang boleh didapati di pasaran bermula 4 Januari diikuti  Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) yang akan ditawarkan bermula 18 Januari.

Dalam pada itu, Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) boleh didapati pada harga RM9,848 manakala Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) pula akan dijual pada harga RM9,698.

Bagaimanapun, tiada perubahan terhadap spesifikasi enjin dengan model 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC dengan 6-kelajuan yang menawarkan 16hp dan 13.6Nm. 

Honda RS-X kini dalam warna Trico White Edition, Radiate Gray Metallic

SELEPAS melancarkan Repsol Edition pada Oktober, Boon Siew Honda kini memperkenalkan dua lagi pilihan warna baharu untuk Honda RS-X iaitu Trico White Edition dan Radiate Gray Metallic.

Walaupun tampil lebih segar dengan skema warna baharu, aspek mekanikal RS-X kekal buat masa ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 150 cc DOHC bertaraf Euro 4 yang memberikan kuasa maksimum 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm.

RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.

Kapcai ini didatangkan dengan rim 17 inci bersama tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS.

Selain itu, RS-X juga dilengkapi dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api 4.5 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 122 kg.

RS-X dalam dua warna baharu akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara mulai hari ini (24 November 2023), pada harga RM9,748 bagi Trico White Edition dan RM9,698 bagi Radiate Gray Metallic.

Honda RS-X Repsol Edition terima warna baharu – Terhad 5,000 unit, harga RM9,998

BOON Siew Honda hari ini mengumumkan warna baharu untuk RS-X Repsol Edition. Ia ditawarkan pada harga RM9,998 tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran. Hanya 5,000 unit akan dikeluarkan, boleh mula didapati bermula 28 Oktober 2023.

Repsol Edition membawakan grafik ikonik yang menggabungkan warna putih, oren, merah, dan hitam seperti pasukan MotoGP.

Selain dari skema warna ini, spesifikasi lain adalah sama dengan RS-X biasa. Motosikal ini dipacu enjin 150cc DOHC Euro 4 dengan output 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear 6-kelajuan dan klac jenis basah.

Honda RS-X Repsol Edition juga dilengkapi dengan brek cakera untuk depan dan belakang, sementara ABS adalah satu saluran (depan sahaja).

Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di depan, dengan monoshock di belakang berserta pelarasan pra-beban. RS-X ini menggunakan rim 17-inci dengan profail 90/80 di depan dan 120/70 di belakang.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api 4.5 liter, berat 1222kg, paparan meter digital dengan penunjuk gear, serta lampu LED depan dan belakang.

Seperti dinyatakan tadi, Honda RS-X Repsol Edition boleh mula didapati esok, 28 Oktober 2023. Ia hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).