Tag Archives: hondajet

EV Honda bakal tampilkan bunyi enjin kereta ikonik S2000, NSX, serta HondaJet!

Pemanduan sesebuah kenderaan elektrik (EV) yang terlalu senyap dan lancar tanpa sebarang gegaran mekanikal itu mungkin tidak sesuai untuk semua orang, lebih-lebih lagi mereka yang berjiwa olskool.

Jadi, Honda mahu memastikan model EV mereka akan datang mempunyai ciri dan pengalaman pemanduan yang unik.

Bertempat di 0 Tech Meeting 2024 yang berlangsung baru-baru ini, Honda memperlihatkan konsep pemanduan bersimulasi yang mampu meniru karakteristik model-model ikonik berprestasi tinggi jenama itu.

Antaranya ialah generasi pertama Honda NSX, hot hatch Civic Type R, roadster S2000, jentera F1, Honda CRX serta tidak ketinggalan jet peribadi HondaJet!

Selain memaparkan panel meter mengikut tema jentera yang dipilih, sistem Honda e Digital UX Concept ini boleh mensimulasikan not enjin model-model yang disebutkan tadi.

Peminat deruman enjin VTEC yang nyaring pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba ciri ini apabila ia ditawarkan kelak.

Honda juga akan menggunakan sistem gegaran dalam kabin untuk menghasilkan pengalaman pemanduan seakan kereta berenjin pembakaran dalaman.

Menurut laman The Drive, selain daripada paparan tema meter panel dan runut bunyi enjin, Honda juga sedang bereksperimen untuk menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh, termasuklah memperkenalkan talaan yang berbeza pada roda stereng, pemetaan pedal pendikit serta ketinggian sistem suspensi.

Tidak ketinggalan, ciri penukaran gear bersimulasi menggunakan paddle shifter seperti yang telah wujud pada model Hyundai Ioniq 5 N.

Honda Jet dah ada program Pre-Owned, sesuai untuk para trader TikTok

RAMAI yang mengimpikan memiliki jet peribadi sendiri, tetapi biasalah, ianya super mahal. Malah lebih mahal dari supercar. Jet peribadi juga kurang ‘mesra alam’ dan menggunakan banyak bahan api. Jadi, dari sudut alam sekitar juga satu hal yang besar.

Tetapi kini Honda menawarkan satu alternatif yang sedikit lebih mesra poket. Sedikit sahaja. Honda Aircraft Company melancarkan program Certified Pre-Owned (CPO) atau program pra-milik sah pertama mereka, sama seperti kereta-kereta Honda (di pasaran luar).

Jadi ini membolehkan orang yang berminat memiliki jet peribadi untuk membeli unit terpakai pada harga lebih rendah.

“Memandangkan permintaan HondaJet terus meningkat, pesawat pra-milik menjadi suatu titik penting untuk komuniti syarikat ini,” kata Amod Kelkar, ketua pegawai komersial Honda Aircraft Company.

“Program CPO meneruskan komitmen kami untuk terus menawarkan semua aspek pemilikan jangka masa panjang dan memastikan pemilik HondaJet, sama ada sekarang atau akan datang, dapat memiliki pengalaman terbaik, tidak kira di saat mana dalam pemilikan mereka,” tambahnya.

Harus diingat jet peribadi ialah suatu kenderaan yang terbang di udara, aspek keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, jadi penting untuk kita memastikan ianya datang secara terus dari pengeluaranya. Honda juga memberi jaminan akan kualiti dan sokongan untuk pelanggan CPO.

Semua pesawat HondaJet di bawah program ini akan menjalani pemeriksaan menyeluruh, dengan penyelenggaraan pakar, dan macam-macam lagi bagi memastikan ia selamat dan beroperasi dengan baik.

Selain dari pemeriksaan 208 poin, semua pesawat CPO akan dinaik taraf kepada prestasi terkini yang ada. Sementara itu, anda sendiri boleh ‘menaik taraf’ diri anda dengan menjalani sesi FlightSafety Initial Pilot Training.

Barisan pesawat HondaJet kini melebihi 230 unit seluruh dunia dengan gabungan jam penerbangan 185,000 merangkumi Amerika, Eropah dan Asia.

Ini barulah jet yang sesuai untuk para trader dan scammer di Tiktok, lebih baik dari jet tidak bergerak yang hanya parkir di hangar.

HondaJet Elite II pesawat paling jimat dengan jarak penerbangan paling jauh

HONDA Aircraft Company baru-baru ini melancarkan HondaJet Elite II di 2023 European Business Aviation Convention and Exhibition (EBACE) di Geneva, Switzerland.

Jet peribadi varian terbaharu itu menawarkan jarak penerbangan sehingga 1,547 batu nautika, menjadikannya jet paling cekap bahan api dalam kelasnya. Ia mampu terbang paling jauh dengan pelepasan karbon lebih rendah.

Honda Aircraft Company nampaknya komited dengan misi penjagaan alam sekitar dan amalan penerbangan mapan dengan HondaJet Elite II terbaharu ini.

Pesawat ini telah menerima penarafan dari US Federal Aviation Administration (FAA) dan bakal memperoleh pensijilan sama dari European Union Aviation Safety Agency (EASA) tidak lama lagi.

Barisan HondaJet global kini melebihi 170,000 jam penerbangan dengan 230 pesawat seluruh dunia. Di Eropah, 20 unit sedang beroperasi. Honda Aircraft Company telah menggandakan pusat servis di benua itu dan menambah pusat latihan penerbangan di Farnborough, UK.

HondaJet Elite II didatangkan dengan fungsi Autothrottle yang mampu mengawal kuasa secara autonomi dan mengurangkan beban kepada juruterbang. Ia juga dilengkapi Emergency Autoland yang – seperti pada namanya – mampu mendaratkan pesawat sendiri dalam situasi kecemasan.

Pesawat ini mampu meluncur pada kelajuan maksima 422 knot sejam dengan altitud meluncur maksima pada FL430. Ia mampu memuatkan enam atau tujuh penumpang bergantung kepada konfigurasi, dengan ruang bagasi 1,755 liter.