Selain daripada kemas kini untuk model kapcai Y15ZR, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut mengumumkan penawaran warna baharu Ice Storm untuk Yamaha MT-15 2025.
Selain Ice Storm, pembeli juga masih boleh mendapatkan warna Midnight Black sedia ada, dengan harga jualan RM12,498 tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Jentera bersesaran 155 cc ini mampu menghasilkan kuasa 19 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 8,500 rpm.
Ciri lain termasuklah fork teleskopik hadapan, penyerap hentak tunggal di belakang, sistem brek cakera, pelana setinggi 810 mm dan tangki bahan api sebesar 10 liter.
Yamaha MT-15 2025 boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha bermula 8 April 2025.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan model Yamaha Y15ZR edisi khas (SE) yang tersedia dalam warna Bronze Fury.
Setiap pembelian Yamaha Y15ZR SE akan disertakan dengan visor sporti, serta bakul premium Yamaha yang lengkap dengan slot pengecas USB C.
Yamaha Y15ZR SE ini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 7 April 2025, dengan harga bermula RM9,498 tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Pemilik Yamaha Y15ZR SE akan turut mendapat pakej kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.
Untuk spesifikasi, ia masih lagi kekal dengan enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair menghasilkan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm @ 7,000 rpm.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) melancarkan kempen keselamatan tahunan bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’ bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.
Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan menunggang pada waktu malam, selain menawarkan inisiatif keselamatan termasuklah program penukaran helmet, pemeriksaan keselamatan motosikal dan aktiviti interaktif awam.
HLYM menggunakan pendekatan baharu dengan mengadakan kempen pada waktu petang, selari dengan aktiviti komuniti tempatan dan kawasan bazar yang sibuk.
Selain daripada itu, ia juga menggunakan pendekatan cerita yang kreatif menggunakan watak bergambar dan penglibatan digital yang interaktif untuk mengukuhkan mesej keselamatan jalan raya.
Dengan cara ini, HLYM berharap kempen yang dilaksanakan ini dapat memberikan impak yang lebih berkesan, selain memastikan motosikal untuk perjalanan balik kampung yang lebih selamat dan lancar.
Menurut Dato’ Professor Dr. Jim Khor, Pengarah Urusan Kumpulan, Hong Leong Industries Berhad berkata, “Di HLYM, peranan kami lebih dari sekadar membekalkan motosikal, kami prihatin terhadap keselamatan penunggang kami.
“‘Terang Dalam Gelap’ lebih dari sekadar kempen, ia adalah cara kami menjaga komuniti dan membekalkan mereka dengan pengetahuan serta alat yang betul untuk menunggang dengan selamat,” ujarnya.
HLYM turut meneruskan inisiatif kempen keselamatan ini dengan menganjurkan Kempen Pemeriksaan Motosikal Percuma di semua pengedar Yamaha yang sah di seluruh negara bermula 20 hingga 27 Mac 2025.
Penunggang motosikal yang menyertai kempen ini akan menerima pemeriksaan motosikal secara percuma dan berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditaja oleh Genblu Reward.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) meraikan pencapaian pengeluaran motosikal yang ke-6 juta, bertempat di kilang Sungai Buloh.
Model yang ke-6 juta ini merupakan sebuah Yamaha Y16ZR dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Dato’ Prof. Dr. Jim Khor selaku Pengarah Urusan Hong Leong Industries Bhd; Katsuaki Watanabe, Pengerusi, Pengarah dan Presiden Yamaha Motor Jepun; Datuk Kwek Leng San, Presiden dan CEO Hong Leong Manufacturing Group dan Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia.
Menurut Dato’ Jim Khor, “Sebelum ini, angka produksi 5 juta merupakan satu pencapaian yang membanggakan yang dicapai dalam tempoh masa 46 bulan.
“Hari ini, kami meraikan pencapaian 6MRO hanya dalam tempoh masa 37 bulan sahaja, menandakan produksi jutaan terpantas di dalam sejarah industri motosikal Malaysia.
Serentak dengan pencapaian tersebut, HLYM turut secara rasmi membuka muzium motosikal yang pertama di Malaysia, Space Y yang turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
Terletak di HQ Yamaha Motor Lifestyle Station, Space Y menawarkan ruang seluas 9,000 kaki persegi yang menyediakan pameran yang menarik, termasuklah ruang sejarah dan perlumbaan, terowong inovasi, ruang seni interaktif, teater dan kedai barangan eksklusif Space-Y.
Dibuka setiap hari kecuali Ahad (10.00 am-5.00 pm), pengunjung tidak akan dikenakan yuran kemasukan sehingga 31 Disember 2024.
Bermula Januari 2025, yuran kemasukan sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak akan dikenakan.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini secara rasminya melancarkan Yamaha MT-09 tahun 2024 yang tampil dengan rekaan lebih agresif dan pelbagai ciri yang dinaik taraf.
Dalam artikel ini, kami senaraikan sembilan perkara yang anda perlu tahu tentang motosikal ini:
Enjin
Tiada sebarang perubahan dalam aspek ini. Ia masih dikuasakan enjin 890 cc, DOHC tiga silinder yang menghasilkan 119 PS pada 10,000 rpm dan 93 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan
Casis
Subframe MT-09 telah direka semula untuk memberi lebih banyak ruang untuk alatan berkaitan elektronik. Ini secara tidak langsung menghasilkan ekor yang lebih pendek.
Selain itu, suspensi mempunyai kadar spring yang lebih tinggi serta karakteristik redaman yang dikemas kini bagi mendapatkan prestasi lebih baik di atas pelbagai permukaan jalan.
Tangki lebih langsing
Tangki bahan api MT-09 kini direka semula menjadikan ia lebih langsing, selain memberikan posisi menunggang yang lebih agresif. Pelana, dengan ketinggian 825 mm, juga dikatakan lebih selesa.
Bar hendal dan tempat letak kaki boleh laras
MT-09 menampilkan bar hendal dan tempat letak kaki boleh laras (dua posisi) bagi mengurangkan rasa letih penunggang serta meningkatkan kawalan ke atas motosikal.
Gril akustik
Enjin Yamaha Crossplane 3 yang digunakan oleh MT-09 menghasilkan ‘ngauman’ yang garang dan bertenaga. Bunyi ini disalurkan tepat ke telinga penunggang menerusi gril akustik pada kotak udara, sekali gus membangkitkan semangat penunggang ketika beraksi di litar.
Yamaha Ride Control (YRC)
Ciri YRC membolehkan penunggang memilih karakteristik dan tahap campur tangan sistem bantuan elektronik. Terdapat tiga mod yang disediakan iaitu Sport, Street dan Rain, tidak termasuk dua lagi mod kustom.
Sistem brek Brembo
MT-09 dilengkapi dengan master cylinder Brembo yang dikatakan dapat memberikan kuasa membrek yang linear kepada angkup empat piston yang mencengkam cakera berkembar berukuran 298 mm pada bahagian depan.
Di belakang, terdapat cakera tunggal berukuran 245 mm.
Paparan TFT 5 inci dengan Y-Connect dan Garmin StreetCross
Paparan ini menawarkan empat mod berbeza dan boleh disambungkan ke telefon menerusi aplikasi Y-Connect. Untuk sistem navigasi dan info trafik masa sebenar, pembeli mendapatkan aplikasi Garmin StreetCross secara percuma.
Selain itu, terdapat suis intuitif baharu yang membolehkan penunggang mengawal fungsi-fungsi seperti navigasi, keterhubungan telefon dan Cruise Control.
Harga dan warna
Yamaha MT-09 2024 dijual pada harga RM57,998. Ia boleh didapati menerusi wakil pengedar Yamaha Big Bike dalam dua warna iaitu Midnight Cyan dan Tech Black.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Yamaha Ego Avantiz model tahun 2024.
Dilancarkan di Malaysia buat pertama kali pada 2016, skuter itu kini ditawarkan dalam Sky Blue, Dark Blue dan Purple.
Menurut HLYM, Ego Avantiz dalam warna-warna baharu ini boleh didapati menerusi wakil pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara bermula 28 Mei, pada harga RM5,998 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.
Tiada sebarang perubahan mekanikal, bermakna Ego Avantiz masih dikuasakan oleh enjin 125 cc silinder tunggal bertaraf Euro 4 yang menjana 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm pada 5,500 rpm.
Untuk sistem suspensi, ia menggunakan fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal (monoshock), manakala sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal hidraulik di depan dan brek gelendong di belakang.
Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci depan dan belakang, dipadankan dengan tayar berukuran 70/90 di depan dan 90/80 di belakang.
Ketinggian tempat duduk Ego Avantiz adalah 773 mm, manakala tangki bahan apinya berkapasiti 4.2 liter. Berat keseluruhan skuter ini adalah 97 kg.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah lampu LED, penunjuk ECO pada panel instrumen, sistem kunci parkir dan ruang penyimpanan barang sebesar 14 liter di bawah tempat duduk.
Hong Leong Yamaha Motor mengemaskini penawaran skuter maxi Yamaha XMAX 2024 dengan memperkenalkan dua warna baharu.
Warna yang dimaksudkan ialah Icon Black dan Ruby Red yang boleh didapati di semua pengedar sah bermula 21 Mei 2024.
Dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada tahun lepas, XMAX 250 facelift membawakan perubahan seperti struktur panel badan baharu, unit lampu utama berbentuk X, diikuti dengan kedudukan lampu membelok hadapan yang telah diubah.
Yamaha XMAX 250 masih lagi mengekalkan nadi silinder tunggal 249 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 22.5 hp @ 7,000 rpm dan 24.3 Nm @ 5,500 rpm.
Ia juga dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan, penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, rim bersaiz 15 inci depan/14 inci belakang, serta kapasiti tangki bahan api sebesar 13 liter.
Ketinggian pelana pula adalah sekitar 795 mm.
Untuk info, XMAX 250 kini disokong dengan fungsi navigasi Garmin serta aplikasi peranti pintar Yamaha Y-Connect.
Harga jualan Yamaha XMAX 250 2024 mencatatkan peningkatan berbanding model terdahulu, kini dijual pada harga bermula dari RM24,498.
Seperti biasa, setiap pembelian akan disertakan dengan hadiah berupa kunci brek cakera Yamaha bernilai RM100 secara percuma.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan bahawa Yamaha MT-25 telah mendapat dua pilihan warna baharu untuk tahun 2024 iaitu Midnight Black dan Midnight Cyan.
Menurut HLYM, MT-25 kini dijual pada harga RM23,998, iaitu RM1,000 lebih tinggi berbanding harga jualan sebelum ini.
Tiada sebarang perubahan dari segi spesifikasi, bermakna motosikal ini masih dikuasakan oleh enjin DOHC dua silinder selari bersesaran 249 cc yang menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm pada 10,000 rpm.
Ia dilengkapi dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik terbalik di depan dan lengan ayun di belakang.
Sistem brek pula merangkumi cakera depan dan belakang, manakala tayar yang digunakan adalah bersaiz 110/70 di depan dan 140/40 di belakang.
Untuk pengetahuan, MT-25 mempunyai dimensi 2,090 mm panjang, 755 mm lebar, dan 1,070 mm tinggi. Tempat duduknya pula setinggi 780 mm, manakala kelegaan tanah adalah 160 mm.
Ia juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 14 liter, dengan berat keseluruhan sekitar 167 kg termasuk cecair.
UNTUK tahun 2024, Yamaha NVX kini boleh didapati dalam warna empat pilihan warna baharu iaitu Blue dan Bronze untuk versi standard, serta Cyan Sky dan Premium Navy untuk versi ABS.
Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), NVX baharu boleh didapati menerusi semua wakil pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 24 April 2024, dengan harga runcit RM9,998 untuk standard dan RM11,698 untuk ABS.
Tiada sebarang perubahan dari segi spesifikasi. Seperti sebelum ini, NVX dikuasakan oleh enjin sejukan cecair silinder tunggal 155 cc yang menjana 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm pada 6,500 rpm.
Ia dibina menggunakan kerangka backbone yang dipadankan dengan suspensi jenis fork teleskopik pada bahagian depan dan lengan ayun pada bahagian belakang. Untuk brek pula, kedua-dua versi dilengkapi dengan cakera hidraulik tunggal dan gelendong.
Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini termasuklah lampu LED pada bahagian depan dan belakang, sistem Stop & Start, panel istrumen LCD, soket pengecas USB dan sistem kunci pintar.
Turut disertakan adalah sistem Y-Connect yang membolehkan penunggang menyambungkan telefon pintar mereka untuk mendapatkan maklumat seperti status bateri, penggunaan bahan api dan sebagainya.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memanggil semula dua model popular, Yamaha NVX dan R15M berdasarkan pengumuman terbaru.
Cyan
Pengumuman tersebut mendedahkan bahawa panggilan semula itu adalah bagi proses menaik taraf Communication Control Unit (CCU) bagi model yang dihasilkan dari 2021 hingga 2023.
Dalam pada itu, HLYM meminta pemilik yang terlibat dengan panggilan semula itu untuk menghubungi pusat servis dan pengedar rasmi terdekat untuk menetapkan janji temu.
Sementara itu, pemilik NVX terkesan boleh merujuk kepada nombor casis berikut, PMYSG7410L0000011 – P 0039700 hingga PMYSG7420L0000011 – P0026367 sementara pemilik R15M pula boleh merujuk nombor berikut PMYRG7910N0000011 – N0002990 hingga PMYRG7910P0002991 – P0005190 dan PMYRG7910P0004991.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini melancarkan pasukan Yamaha Tekhne AHM Motor Sports yang akan bertanding dalam kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2024.
Pasukan itu merupakan kerjasama strategik antara HLYM dan Tekhne yang merupakan pengeluar alat ganti automatif. Ia diketuai oleh Kenny Chua selaku pengerusi pasukan dan ketua pegawai eksekutifnya, William Chua.
Majlis pelancaran yang diadakan di Kompleks HLYM di Sungai Buloh itu turut menyaksikan kemunculan barisan pelumba dan jentera baharu pasukan berkenaan.
Bagi saingan tahun ini, Yamaha Tekhne AHM Motor Sports akan mempertaruhkan lima jentera, tiga untuk Kelas CP150 dan dua lagi untuk Kelas CP125.
Untuk Kelas CP150, cabaran di pentas perlumbaan itu akan digalas oleh Iqbal Amri Malik, Faiz Zekri dan Syukran Aizat, manakala Afizad Supaat dan Iqram Danish akan bersaing dalam Kelas CP125.
Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2024 dijadual membuka tirainya pada 2 dan 3 Mac ini di Litar Jasin Bestari, Melaka.
YAMAHA TMax Tech Max, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2022, kini boleh didapati dalam dua warna baharu bagi model tahun 2024 iaitu Dark Magma dan Tech Black.
Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan pada skuter maxi ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 562 cc, silinder berkembar DOHC bertaraf Euro 5 yang menghasilkan 46.9 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi jenis V-belt automatik.
Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED depan dan belakang, penghadang angin dan tempat duduk boleh laras, serta penutup tangki minyak pintar.
Skuter ini juga didatangkan dengan skrin TFT berukuran tujuh inci yang mempunyai tiga mod paparan serta boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi MyRide-Link untuk memainkan muzik dan menggunakan sistem navigasi.
Selain itu, terdapat juga teknologi Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) berserta Accelerator Position Sensor Grip (APSG) yang memberikan respon pendikit yang lebih lancar.
Harga jualan TMax Tech Max baharu tidak berubah iaitu RM74,998 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci brek cakera bernilai RM100 secara percuma.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini memperkenalkan versi terkini kapcai popular, Y16ZR 2024. Ia bukan sahaja membawa perubahan kosmetik, tetapi juga beberapa pembaharuan teknikal.
Yamaha Y16ZR kini didatangkan dengan fairing depan dan visor baharu, lampu depan dan DLR baharu, memberikannya rupa lebih agresif dan sporti.
Perubahan besar ialah brek ABS satu saluran baharu dan cakera yang lebih besar. Sistem brek belakang dikekalkan seperti sebelum ini.
Ciri lain tidak berubah, dimana Yamaha Y16ZR dikuasakan enjin 155cc 4-lejang sejukan cecair SOHC dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA).
Enjin ini menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm tork pada 8,000rpm, sementara kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan dan Assist and Slipper Clutch.
Suspensi depan adalah fork teleskopik, kemudian monoshock di belakang. Y16ZR 2024 juga dilengkapi penghidup elektrik, rim 17-inci, dan tangki bahan api 5.4-liter.
Yamaha Y16ZR 2024 ditawarkan dengan tiga pilihan warna baharu – Violet Knight, Ocean Neon, dan Mag Grey. Ia boleh ‘dipinang’ pada harga RM11,398.
Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan naik taraf kecil bagi Yamaha EZ115 yang menyaksikan model itu kini didatangkan dengan ‘visor sports’ secara standard.
HLYM berkongsi maklumat tersebut menerusi perkongisan terbaru di media sosial.
Berdasarkan perkongsian berkenaan, semua Yamaha EZ115 keluaran 2024 akan dilengkapi dengan ‘visor sports’ sekaligus kelihatan lebih sporty.
Bagaimanapun, EZ115 kekal menawarkan kelengkapan sama termasuk tangki 3.9L, fungsi penghidup elektrik serta ‘kickstart’, panel meter dengan penunjuk Eco dan bateri, lampu depan yang terang meskipun halogen, fork teleksopik dan penyerap hentak berkembar.
Untuk rekod, EZ155 dikuasakan enjin 114cc SOHC yang menawrakan 8.5hp dan 9.5Nm.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan Yamaha YZF-R15M Monster Energy Edition ke pasaran Malaysia.
Menurut syarikat itu, model edisi Monstery Energy ini akan ditawarkan dalam bilangan yang terhad sebanyak 600 unit dan boleh didapati menerusi wakil pengedar sah Yamaha di seluruh Malaysia bermula 13 Oktober 2023.
Tiada perubahan dari segi spesifikasi, bermakna jentera ini masih dikuasakan oleh enjin 155 cc, SOHC silinder tunggal dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) yang menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm pada 8,500 rpm.
Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dibantu dengan teknologi Quickshifter dan klac jenis Assist & Slipper. Turut disertakan adalah sistem Traction Control.
Buat pengetahuan anda, R15M mempunyai ukuran 1,990 mm panjang, 725 mm lebar, dan 1,135 mm tinggi, dengan ketinggian tempat duduk 815 mm. Kapasiti tangki bahan apinya adalah 11 liter, manakala beratnya pula adalah sekitar 140 kg.
Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik Kayaba di hadapan dan monoshock di belakang, manakala sistem brek pula adalah cakera tunggal pada kedua-dua bahagian, berserta ABS dwi-saluran.
Selain itu, R15M juga didatangkan dengan lampu LED, material tempat duduk ala karbon dan paparan instrumen LCD dengan mod Street dan Track.
Harga jualan (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) sama seperti tahun lalu iaitu RM14,998. Satu lagi pilihan warna iaitu Signature M akan terus ditawarkan.
Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera bernilai RM100 secara percuma.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan Yamaha Y15ZR SE baharu yang tampil lebih sporty dengan warna menarik serta kit aero.
Model ini boleh didapati di semua wakil pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 15 Ogos 2023, dengan harga jualan bermula dari RM9,498 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera brek bernilai RM100.
Sebagai perbandingan, Y15ZR versi standard yang dilancarkan pada Disember 2022 dijual pada harga RM8,998.
Untuk perbezaan sebanyak RM500 itu, anda mendapat sebuah kapcai yang bergaya dengan kit aero yang merangkumi tiga komponen iaitu visor pada bahagian hadapan, serta skup udara pada bahagian sisi dan ekor.
Selain itu, Y15ZR SE juga didatangkan dengan skema warna baharu yang merangkumi warna biru, merah dan hitam, serta tidak ketinggalan warna emas pada rim.
Untuk enjin, model edisi istimewa ini kekal dengan enjin silinder tunggal SOHC bersesaran 150 cc yang menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang, manakala sistem brek merangkumi cakera hidraulik pada bahagian hadapan dan belakang. Rim yang digunakan adalah berukuran 17 inci.
Ciri-ciri lain termasuk lampu utama LED, meter LCD digital, pemula enjin elektrik, butang passing light dan butang killswitch.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan Yamaha XMax 250 versi baharu ke pasaran Malaysia, dengan harga jualan bermula dari RM23,998.
Seperti yang boleh dilihat, keseluruhan bentuk badan skuter ini telah direka semula untuk memberikannya penampilan yang lebih agresif berbanding model sebelum ini.
Apa yang membuatkan ia lebih menonjol adalah lampu LED dengan pencahayaan berbentuk ‘X’ pada bahagian hadapan dan belakang, serta lampu isyarat membelok LED yang diletakkan berhampiran dengan cermin penghadang angin.
Menurut Yamaha, tempat duduk XMax 250 juga telah direka semula dengan penampilan yang lebih langsing untuk memberikan lebih keselesaan kepada penunggang.
Selain reka bentuk baharu, model ini juga mendapat kluster instrumen TFT berukuran 4.2 inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi Yamaha Y-Connect.
Menerusi aplikasi tersebut, penunggang boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai skuter mereka termasuk kadar penggunaan bahan api, status bateri, jadual penyelenggaraan dan pelbagai lagi.
Selain itu, skrin tersebut juga didatangkan dengan sistem navigasi Garmin secara percuma. Untuk menggunakannya, penunggang perlu memuat turun aplikasi StreetCross ke telefon pintar mereka.
Enjin XMax 250 baharu sama seperti sebelum ini iaitu unit 250 cc satu silinder yang mematuhi piawaian emisi Euro 4. Enjin ini menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm pada 5,500 rpm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik V-Belt.
Saiz rim juga tidak berubah iaitu 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, manakala kapasiti tangki bahan api kekal pada 13 liter. Sistem brek terdiri daripada cakera pada bahagian hadapan dan belakang, berserta ABS.
Untuk pasaran Malaysia, ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Icon Blue dan Max Silver. Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengumumkan pengenalan dua warna baharu bagi model Yamaha Tracer 9 GT, iaitu Pure White dan Midnight Black.
Menurut syarikat itu, Tracer 9 GT dalam pilihan warna baharu itu tersedia di semua wakil pengedar Yamaha Big Bike bertauliah di seluruh negara bermula hari ini, 16 Jun.
Harga jualan (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) bermula dari RM69,998, menunjukkan peningkatan sebanyak RM500 berbanding ketika ia dilancarkan pada November 2021.
Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.
Tiada perubahan dari spesifikasi, bermakna Tracer 9 GT kekal dengan enjin 889 cc tiga silinder yang menjana 117 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm pada 7,000 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis slip and assist.
Tracer 9 GT menggunakan kerangka aluminium Deltabox yang dipadankan dengan sistem suspensi elektronik Kayaba. Sistem brek terdiri daripada cakera hidraulik berkembar di depan dan cakera tunggal hidraulik tunggal di belakang.
Untuk sistem elektronik pula, terdapat Inertial Measurement Unit (IMU) 6-paksi, Quickshift System, Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) dengan Accelerator Position Grip Sensor (APSG), dan Cruise Control.
Selain itu, turut disertakan adalah lampu LED sepenuhnya pada bahagian depan dan belakang, LED Cornering Light dan paparan TFT berkembar berukuran 3.5 inci.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan model edisi terhad Yamaha Y16ZR ‘Tech Art’ Doxou ke pasaran tempatan. Hanya 5,000 unit motosikal ini akan ditawarkan, dengan harga jualan bermula dari RM11,818.
Buat pengetahuan pembaca, Doxou berasal dari perkataan Jepun “Dokusou” yang bermaksud ‘menjadi kreatif dan mendahului yang lain’.
Sesuai dengan namanya, model Y16ZR ini tampil dengan livery eksklusif di keseluruhan bahagian badan, ‘sports fender’, serta rim dalam warna cyan pada bahagian hadapan dan belakang.
Tidak cukup dengan itu, setiap pembelian juga didatangkan dengan lencana nombor siri produksi dan sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan.
Tiada sebarang penambahbaikan dari segi mekanikal untuk model ini, bermakna ia masih dikuasakan ole enjin 155 cc SOHC penyejukan cecair dengan Variable Valve Actuation (VVA) yang menghasilkan 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm pada 8,000 rpm.
Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan baharu yang mempunyai pemetaan pencucuhan yang berbeza untuk setiap gear dan klac jenis ‘Assist & Slipper’ untuk penukaran gear yang lebih mudah.
Bukan itu sahaja, tuil klacnya juga 10 mm lebih pendek berbanding Y15ZR.
“Yamaha Y16ZR Doxou 2023 edisi terhad merupakan bukti komitmen HLYM terhadap kecemerlangan dan semangat kami untuk mencipta pengalaman bermotosikal yang luar biasa untuk pelanggan kami,” kata Dato’ Dr. Jim Khor Mun Wei, Pengarah Urusan Kumpulan, Hong Leong Industries Berhad.
Menurut HLYM, Yamaha Y16ZR ‘Tech Art’ Doxou akan berada di semua cawangan pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 8 Mei 2023.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM), dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), telah melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Balik Kampung ke-25.
Kempen ini bertujuan untuk memperkasakan penunggang motosikal di negara ini untuk pulang ke kampung halaman dengan selamat terutamanya pada musim perayaan ini.
Bertemakan “Kekal Selamat, Terus Bersama”, kempen ini dilancarkan di Universiti Teknologi Marah (UiTM), Shah Alam oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.
Ia akan turut dijalankan di tiga lagi universiti terkemuka tempatan dan lebih 200 wakil pengedar Yamaha di seluruh negara hingga 19 April ini.
Dalam ucapannya, Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Bhd (HLI), Dato’ Dr Jim Khor Mun Wei berkata kempen ini penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya di Malaysia.
Beliau berkata walaupun Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia telah menurun dari 3.4 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada 2010 kepada 1.97 kematian pada 2019, kematian jalan raya tertinggi dalam tempoh yang sama melibatkan penunggang motosikal sebanyak 59 peratus.
“Sebagai anak syarikat HLI, Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung HLYM adalah teras kepada tanggungjawab sosial kami dalam menyokong dan memacu kesedaran tentang tunggangan selamat kepada pelanggan kami.
“Kami berharap kempen ini akan memberi inspirasi kepada pemain industri untuk memulakan program yang sama untuk pelanggan mereka bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya secara secara menyeluruh di negara ini,” tambah beliau.
Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung turut menekankan kepentingan penyelenggaraan kenderaan dengan betul, mematuhi had laju dan teknik tunggangan defensif. Ia juga menyediakan pelbagai aktiviti seperti kursus tunggangan selamat, sesi tunggang uji dan pemeriksaan motosikal secara percuma.
Semasa tempoh kempen, lebih 200 pusat Yamaha Quality Service (YQS) akan menawarkan servis motosikal secara percuma kepada 48 pelanggan pertama setiap hari. Pelanggan yang menghantar motosikal mereka juga berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah bagi memenangi hadiah utama berupa motosikal Yamaha EZ115.