Tag Archives: hot hatch

Ulasan VW Golf GTi dan R-Line di litar – Pandu uji

INGIN dinyatakan terlebih dahulu bahawa ini bukanlah pandu uji penuh, sebaliknya hanya tanggapan pertama di litar untuk Volkswagen Golf Mk8.

Tetapi kami dapat memandu uji kedua-dua varian yang dilancarkan iaitu Golf R-Line dan juga Golf GTi, jadi saya akan kongsikan sedikit ulasan untuk kedua-dua kereta dari sesi pemanduan singkat itu.

Disebabkan kedua-dua model menggunakan enjin dan kotak gear berbeza, saya akan ulas mengikut empat aspek; penghantaran kuasa, kotak gear, casis dan pengendalian, dan adakah kereta ini sesuai untuk kegunaan litar.

Golf R-Line

Baik, kita mulakan dengan Golf R-Line dahulu, ya sabar, kita mulakan dengan model asas ya. Jangan terkeliru dengan Golf R yang berharga RM358k, kerana hot hatch itu mempunyai kuasa lebih 300hp, sistem 4Motion dan sebagainya.

Golf R-Line adalah varian ‘lebih mesra’ pemandu dan poket, diasaskan dari Golf 1.4 tetapi dikemaskan dengan pakej R-Line yang memberikannya rupa cukup sporti. Malah ada beberapa aspek seperti tempat duduknya nampak lebih sporti dari Golf GTi sendiri.

Golf R-Line dijual pada harga antara RM155k hingga RM165k, kenapa antara? Kerana Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) belum mengesahkan harganya.

Penghantaran kuasa

Untuk aspek ini, harus kita ketahui Golf R-Line dipacu oleh enjin 1.4-liter TSI yang menjana 150hp dan 250Nm tork dari 1,500 hingga 4,000rpm.

Terus terang saya katakan, pecutan Golf ini tidaklah rasa terlalu mengujakan, kerana jika dibandingkan, Honda Civic pun sudah mempunyai 180hp dari enjin 1.5-liter VTEC Turbo padanya. Mungkin juga kerana keadaan Litar Sepang yang luas dan lebar membuatkan daya pecutan dan kelajuan tidak begitu terasa.

Tetapi enjin 1.4 TSI ini mempunyai 250Nm iaitu 10Nm lebih dari Honda Civic, jadi mungkin pecutan dalam gear lebih bertenaga, dan pemanduan seharian dalam bandar lebih ‘ummpph’.

Apa pun, penghantaran kuasa cukup linear dan walaupun enjin ‘ditarik’ hingga ke redline, kabin Golf ini tidak bising dan enjin tidak terasa ‘menjerit’ atau mengaum. Jadi ini membuatkannya selesa untuk diperah ke hujung rpm walaupun enjin ini merupakan unit janaan turbo.

Kotak gear

Untuk Mk8, Golf 1.4 kini menggunakan kotak gear baharu automatik 8-kelajuan jenis torque converter menggantikan DSG dwi-klac pada generasi sebelumnya (Mk7 dan Mk7.5).

Harus dikatakan juga untuk pecutan berterusan di litar seperti ini, kotak gear 8AT ini terasa tidak begitu gembira dihenyak. Ya, ia memang mampu bertahan, tetapi pecutan dari unit 8AT dengan klac tunggal ini bukanlah yang terpantas dan terlancar.

Mungkin juga kerana penulis telah ‘dimanjakan’ dengan kereta-kereta lain dengan kotak gear lebih sporti di litar sebelum ini.

Respon dari input paddle-shifter juga tidak begitu pantas, tetapi menariknya, tetap ada ‘blip’ yang sporti semasa downshifting memasuki selekoh.

Penulis percaya Golf R-Line dengan kotak gear 8AT ini lebih selesa dalam pemanduan biasa dan benar sekali, semasa memandu perlahan memasuki South Paddock, tukaran gear pada 8AT ini sangat lancar dan selesa.

Penulis juga percaya Volkswagen menggantikan DSG dengan 8AT ini bertujuan mengurangkan kos peneyelenggaraan Golf secara amnya, kerana DSG dwi-klac adalah lebih kompleks, jadi pasti lebih tinggi kos menjaganya.

Casis dan pengendalian

Semasa mengambil selekoh tajam dari jalan lurus keluar South Paddock dan terus potong ke Turn 8 dalam konfigurasi South Circuit, casis Golf R-Line ini cukup bersahaja menampung semua daya membelok.

Dan di selekoh panjang berkelajuan tinggi seperti di Turn 12, dapat dirasakan bahawa had pengendalian R-Line ini adalah tayarnya, kerana casis tetap tegap memastikan kestabilan kereta.

Tayar pada Golf ini pun adalah Bridgestone Turanza, sejenis tayar touring dan bukan paling sporti. Jadi jika anda memiliki Golf R-Line dan ingin menaik taraf pengendaliannya, tukarlah tayar dahulu, pasti hasilnya cukup ketara.

Bukan hendak katakan Bridgestone Turanza ini tayar yang tidak bagus, tidak sama sekali, tetapi Turanza lebih kepada ketahanan jangka masa panjang dan sedikit penjimatan bahan api.

Sesuai untuk litar?

Golf R-Line boleh sahaja masuk track day, “tak segan”, orang kata. Pakej R-Line pun sememangnya memberikan gaya sporti padanya.

Tetapi untuk pemanduan lebih optima, mungkin anda boleh tukar tayar. Untuk kereta yang sudah melepasi tempoh jaminan pula, bolehlah menaik taraf pelapik brek.

Golf GTi

Kini kita ke hero pada hari ini, iaitu Golf GTi yang ikonik.

Golf GTi Mk8 dijual pada harga RM212,711 dan ia mendapat harga yang agak kompetitif kerana GTi kini merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

Ini merupakan kali pertama kilang VPCM di Pekan memasang Golf GTi dan ini juga kali pertama GTi dipasang selain di Jerman dan China.

Penghantaran kuasa

Terus ke pandu uji, dengan ledakan 245hp dan 370Nm tork dari enjin EA888 2.0-liter TSI, Golf GTi ini jelas terasa lebih bertenaga memecut keluar South Paddock, terus mencapai 150km/j dengan mudah sebelum membrek dan downshift untuk memasuki selekoh pertama yang hampir 180-darjah.

Untuk perbandingan dengan Mk7.5, enjin pada GTi Mk8 ini adalah 15hp dan 20Nm lebih berkuasa.

Pecutan dan penghantaran kuasa juga ditemani dengan bunyi deruman yang cukup merdu, paling jelas dalam mod Sport. Tetapi saya yakin bunyi ini lebih kepada janaan pada pembesar suara, dan bunyi ekzos di luar sebenarnya lebih senyap untuk menepati piawaian Eropah yang semakin ketat.

Tetapi pemanduan setakat ini cukup untuk memberikan senyuman. Apa pun, kita yang memandu perlu kepuasan, bukannya perlukan ekzos terlalu kuat untuk ‘belanja’ orang di luar, betul tak?

Kotak gear

Sekarang, padanan unit DSG 7-kelajuan ini suatu pasangan atau peneman paling ideal untuk enjin 2.0-liter TSI tadi.

Jika enjinnya ibarat suami, kotak gear dwi-klac ini merupakan isterinya, dan boleh dikatakan mereka tidak boleh hidup tanpa satu sama lain. Eh apa yang saya melalut ni.

Point nya ialah, semasa memecut, kita boleh rasakan yang enjin TSI dan kotak gear DSG ini seolah-olah dicipta untuk bekerja bersama.

Kotak gear ini membantu menyampaikan kuasa ke roda dengan cukup cekap dan efektif. Untuk pemanduan litar, pakej drivetrain ini terasa selesa atau “feels at home” di sini.

Upshift begitu lancar dan pantas sekelip mata, dan downshift pula sempurna segala rev-matchingnya dan memberikan sensasi kepuasan untuk pemandu menggunakan paddle-shifter.

Casis dan pengendalian

Antara ciri penting pada Golf GTi yang tiada pada R-Line adalah XDS (pengunci differential elektronik) dan DCC (Dynamic Chassis Control) iaitu penyerap hentak elektronik.

GTi juga dilengkapi suspensi yang 15mm lebih rendah berbanding Golf R-Line, jadi kesemua ini memberikannya rasa yang lebih selesa dan mantap di litar.

XDS bekerja cukup cemerlang untuk memastikan cengkaman optima apabila pedal minyak ditekan rapat semasa keluar selekoh pertama yang agak tajam. Tanpa XDS ini, tayar depan sebelah dalam akan mudah tergelincir, hasilnya kuasa terbazir dan kereta menjadi understeer.

DCC pula memastikan kawalan badan cemerlang sama ada di jalan lurus atau di selekoh, olengan badan (body roll) jelas kurang pada GTi, lantas membantu tayar Bridgestone Potenza padanya membekalkan cengkaman maksima.

Menariknya, saya dapat rasakan juga bahawa tayar belakang mengikut cukup baik sebarang input agresif di tayar depan, seolah-olah tayar depan dan belakang bersama-sama membantu kereta membelok.

Ini saya percaya hasil dari talaan geometri suspensi yang cukup baik oleh jurutera-jurutera Volkswagen.

Sesuai untuk litar?

Sudah tentu! Dengan yakinnya saya berani katakan bahawa Golf GTi ini boleh sahaja terus dibawa ke litar sebaik anda menerima kuncinya dari bilik pameran. Keluar kedai terus boleh lenjan!

Kesimpulan

Dapat disimpulkan di sini bahawa Golf R-Line dan GTi masing-masing direka untuk tujuan dan golongan pemilik berbeza walaupun berasaskan model sama.

Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana Golf R-Line cukup praktikal untuk kegunaan seharian dan adakah Golf GTi juga selesa untuk pemanduan di luar litar.

Akhir sekali, kami teruja untuk mengetahui apa yang mampu Golf R tawarkan, iaitu sebuah hot hatch lebih hardcore. Jentera ini sememangnya sebuah monster jika dilihat spesifikasinya, adakah ia seronok dan mudah dipandu? Sama-sama juga kita nantikan.

Toyota GR Corolla dengan 300hp, sistem pacuan GR-Four, pakej Circuit Edition

INILAH dia tuan-tuan dan puan-puan, Toyota GR Corolla akhirnya dilancar secara rasmi, masih panas! Ia merupakan hot hatch terkini dari Toyota, bersaing dengan model-model seperti Honda Civic Type-R, Volkswagen Golf GTI dan Renault Megane RS.

Seperti dikatakan sebelum ini, GR Corolla dipacu oleh enjin 1.6-liter turbo 3-silinder. Enjin dengan kod nama G16E-GTS ini menjana 300hp pada 6,500rpm dan 370Nm tork dari 3,000 hingga 5,500rpm.

Kotak gear ialah manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan GR-Four dengan mod pemanduan dan agihan kuasa seperti berikut:

Normal: 40-60
Sport: 30-70
Track: 50-50

Toyota belum mendedahkan sebarang angka prestasi, jadi tiada maklumat mengenai pecutan 0-100 atau kelajuan maksima. Tetapi sebagai perbandingan, GR Yaris mampu memecut dari pegun ke 100km/j kurang dari 5.5 saat dan kelajuan maksima dihadkan secara elektronik pada 230km/j.

Dari segi berat, GR Corolla mempunyai berat sekitar 1,474kg, iaitu hampir 200kg lebih dari GR Yaris.

GR Corolla dibina menggunakan pelantar GA-C yang diubahsuai dengan poin kimpalan tambahan untuk kerangka yang lebih kukuh. Hudd an pintu depan juga dibina dengan aluminium untuk pengurangan berat.

Fendernya juga dibina lebih lebar manakala lantai bawahnya rata untuk mengurangkan daya seretan (drag).

GR Corolla menggunakan suspensi MacPherson di depan dan double-wishbone untuk belakang, dan mendapat rim 18-inci hitam berkilat dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 235/40.

Untuk brek pula, hot hatch ini dilengkapi rotor 14-inci dengan angkup 4-piston di depan, manakala rotor belakang bersaiz 11.7-inci dengan angkup 2-piston.

Bahagian dalam GR Corolla menampilkan skrin instrumen 12.3-inci yang memaparkan maklumat seperti mod pacuan GR-Four, tekanan turbo, posisi gear, dan tachometer (rpm). Di tengah papan pemuka pula ialah skrin infotainmen bersaiz 8-inci.

Untuk pasaran luar, terdapat beberapa versi seperti pakej Core, Cold Weather dan Technology.

Circuit Edition

Untuk lebih prestasi, Toyota GR Corolla juga ditawarkan dalam pakej Circuit Edition yang memberikan bumbung gentian karbon, dan angkup brek berwarna merah dengan logo GR. Pakej ini hadir dengan warna badan putih, Supersonic Red, dan Heavy Metal.

Pakej ini juga dilengkapi dengan LSD Torsen untuk gandar depan dan belakang secara standard. LSD ini merupakan pilihan tambahan untuk model Core.

Dari segi rupa luaran, Circuit Edition mempunyai hud lebih bergelembung dengan sirip-sirip udara, gril hitam, dan spoiler hitam matte.

Di dalam pula, ia mendapat balutan suede Brin Naub dan kulit sintetik dengan warna hitam-merah. Ciri lain adalah sistem navigasi dan audio dengan lapan pembesar suara.

Harga juga belum diumumkan. Setakat ini, apa pendapat anda mengenai Toyota GR Corolla? Adakah anda akan pilih hot hatch ini berbanding Civic Type R, Golf GTi dan Megane RS?

Sah! Toyota GR Corolla buat pelancaran global 31 Mac ini – 1.6 turbo dengan 268hp, 6MT

SALAH satu kereta yang dinantikan kemunculannya untuk pasaran global adalah Toyota GR Corolla, dan ia sah bakal didedahkan pada 31 Mac ini.

Toyota juga mendedahkan satu video ringkas berserta dua gambar yang mengujakan lagi penantian hot hatch ini.

Salah satu gambar juga menunjukkan fender dapan GR Corolla ini dengan sirip udara menegak berwarna hitam, berkemungkinan di belakang tayar depan. Lencana GR juga jelas di sini.

Satu lagi gambar berkemungkinan dari tempat pemijak kaki di bawah pintu, bertulis “GR-FOUR” iaitu sistem pacuan semua-roda yang digunakan pada GR Yaris.

Toyota GR Corolla akan dipacu oleh enjin 1.6-liter turbo 3-silinder yang juga menjadi nadi kepada GR Yaris.

Enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia ini menghamburkan sekitar 268hp untuk pasaran Jepun, manakala di Eropah ia menghasilkan 257hp. GR Yaris yang dijual di Malaysia mempunyai output sama dengan pasaran Eropah iaitu 257hp dan 360Nm tork.

Kami sebelum ini ada melaporkan Toyota telah menyiarkan video pendek yang menunjukkan GR Corolla ini mendapat kotak gear manual 6-kelajuan, jadi selesai bab itu. Sah, ia mendapat kotak gear yang betul untuk spesifikasinya.

Kesemua video dan gambar teaser setakat ini menunjukkan GR Corolla bakal hadir dalam bentuk hatchback.

Ini menjadikannya untuk bersaing secara terus dengan jentera-jentera seperti Honda Civic Type-R dan Volkswagen Golf GTI.

Teruja? Sama-sama kita nantikan kemunculannya nanti.

VW Golf GTI mendarat di Malaysia, 245hp/370Nm, RM212k sahaja

AKHIRNYA lagenda hot hatch, Volkswagen Golf GTI kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, kini dengan generasi ke-8 atau Mk8.

Ia ditawarkan pada harga cukup menarik iaitu RM212,711 (atas jalan dengan pengecualian SST, tanpa insurans). Jika anda masih ingat, Golf GTI Mk7.5 semasa dilancarkan pada 2019 adalah lebih mahal, hampir RM240k.

Golf GTI Mk8 ini mendapat harga lebih kompetitif kerana ia kini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang. Ia juga model GTI pertama dipasang di kilang CKD itu.

Tidak perlu pengenalan lagi, Volkswagen Golf GTI merupakan bapa kepada segala hot hatch, diperkenalkan sejak 1975 dan kini lebih 2.3 juta unit terjual.

Golf GTI Mk8 dikuasakan oleh enjin 2.0 TSI yang berupaya menjana 245PS dan 370Nm tork, sementara kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear DSG 7-kelajuan.

Ia menggunakan suspensi MacPherson di depan serta multilink di belakang, dan mempunyai suspensi sport serta pengunci differential XDS untuk penghantaran kuasa optima di selekoh.

Hot hatch ini menampilkan sistem Vehicle Dynamics Manager untuk pemandu melaras segala tetapan mengikut seleranya.

Dari segi rupa luaran, Golf GTI Mk8 boleh dibezakan dari lampu LED matriks IQ Light, bar lampu melintang hingga ke logo depan (bukan DRL), strip merah di fender, gril honeycomb, dan tayar Bridgestone Potenza S005.

Selain itu, GTI juga mendapat ekzos berkembar, spoiler belakang, serta lencana GTI di gril depan dan pintu but belakang.

Golf GTI Mk8 ini juga menampilkan Driver’s Workspace iaitu kokpit digital sepenuhnya. Ia terdiri dari paparan instrumen 10.25-inci, kawalan sesentuh haptik, dan sistem infotainmen dengan skrin 10-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar.

Unit infotainmen ini juga menyokong sistem arahan suara yang boleh diaktifkan dengan menegur “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng.

Ciri lain adalah tempat duduk sports balutan kulit Vienna dengan pelarasan berkuasa, fungsi memori dan sokongan lumbar.

Volkswagen Golf GTI Mk8 hadir dengan lima pilihan warna – Kings Red, Atlantic Blue, Moonstone Grey, Deep Black, dan Oryx White.

Golf GTI dilindungi dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan, dan penyelenggaraan percuma tiga tahun.