Tag Archives: HWA EVO

DMC 190e AMG Evolution Extrem 2024, alternatif restomod yang lebih murah berbanding HWA EVO

Selepas pihak HWA mengumumkan projek restomod EVO, tiba giliran sebuah lagi pihak yang mahu menawarkan konsep yang sama, namun pada harga yang lebih marhaen.

DMC Exotic Car Tuning Limited yang berpangkalan di Jerman mengumumkan penawaran kit badan lebar Mercedes Benz W201 AMG 190e 2.5-16 Wide Body Kit yang sememangnya diinspirasikan daripada jentera ikon 90-an itu.

 

 

Untuk tidak membazirkan mana-mana casis Evo II yang sangat terhad itu, pihak DMC menawarkan kit badan lebar ini bukan sahaja untuk casis W201, malah boleh juga dipasang pada sebuah lagi casis klasik W124.

Menariknya pihak DMC menawarkan harga yang jauh lebih murah, iaitu sekitar US$299,990 (RM1.4 juta) termasuk dengan kos untuk casis kereta penderma.

Namun jika anda sudah mempunyai casis W201/W204, anda hanya perlu membeli pakej kit badan secara keseluruhan bernilai US$39,990 sahaja (RM188,633), atau membelinya secara berasingan seperti berikut:

Kit badan lebar – US$19,990 (RM94,263)
Unit lampu depan belakang – US$1,990 (RM9,387)
Set rim Gullideckel – US$9,990 (RM47,123)

 

 

Pakej kit badan lebar yang dimaksudkan itu tadi merangkumi bampar depan dan belakang, lip hadapan, panel sisi, serta kombo spoiler belakang yang sangat ikonik itu.

Untuk pakej kemasan dalaman, anda perlu menambah wang sebanyak US$29,990 (RM141,463).

Selain daripada itu, pakej kit badan lebar DMC ini tidak akan dihasilkan dalam unit terhad, dan boleh disesuaikan dengan mana-mana kereta W201/W124 versi pemanduan sebelah kiri (LHD) atau kanan (RHD).

Berbanding projek restomod HWA EVO yang bernilai sehingga RM3.6 juta itu, pihak DMC hanya menawarkan pakej kit badan lebar sahaja, tidak termasuk dengan kos untuk naik taraf enjin standard kilang W201/W124.

 

 

HWA EVO jelmaan moden Mercedes 190E 2.5-16 Evo II, 100 unit, RM3.6 juta sahaja

Diumumkan secara rasmi pada tahun lepas, pihak HWA AG akhirnya mendedahkan hasil sebenar projek restomod HWA EVO yang diinspirasikan daripada Mercedes-Benz 190E 2.5-16 Evo II.

Hanya 100 unit sahaja EVO yang akan diproduksikan, di mana setiap satu unit akan dibina menggunakan casis 190E dan tidak langsung mengorbankan mana-mana model Evo II yang asli (dan terhad itu).

Namun begitu, pihak HWA telah mengubah struktur depan dan belakang dengan kombinasi bahan aluminium dan keluli, sebelum ia dipadankan dengan kit badan yang lebih lebar, splitter hadapan, dan sayap belakang yang besar yang mampu menjana daya mendap seberat 80 kg pada kelajuan 201 km/j.

 

 

Aspek gantungan juga telah disentuh, di mana HWA EVO ini menggunakan tetapan double wishbone dan peredam boleh laras manual KW pada keempat-empat sudut.

Sistem brek turut dinaiktaraf dengan rotor sebesar 380 mm dan angkup enam omboh di depan, diikuti rotor 360 mm dan angkup empat omboh di belakang.

HWA turut menawarkan naiktaraf peredam KW larasan elektronik, serta sistem brek seramik karbon bagi mereka yang berminat (dan berwang).

 

 

190E Evo II yang asal dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2.6 liter aspirasi semula jadi dengan hamburan kuasa 232 hp dan 245 Nm.

Untuk memudahkan cara, pihak HWA memutuskan untuk tidak menggunakan semula enjin asal, sebaliknya memadankan nadi bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar daripada Mercedes-Benz yang mampu menjana kuasa setinggi 444 hp dan 549 Nm, dengan keupayaan mencecah kelajuan sehingga 270 km/j.

Terdapat juga pakej naik taraf Affalterbach yang mampu melonjakkan kuasa kuda kepada 493 hp dan kelajuan maksimum meningkat kepada 298 km/j.

 

 

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi kotak gear manual enam nisbah kelajuan.

Disebabkan enjin ini diposisikan betul-betul di belakang gandar depan, ia turut menyumbang kepada aspek pengagihan berat badan ideal 50:50.

Buat masa ini tiada gambar ruang kabin didedahkan, namun pihak HWA dilapor menggantikan tolok meter asal kepada skrin kluster digital, diikuti tempat duduk Recaro dan sokongan sambungan kepada peranti pintar.

Difahamkan, 75 peratus slot yang diperuntukkan telah pun diisi oleh pemilik masing-masing dengan harga jualan bermula dari €714,000 (RM3.6 juta).

 

 

Mercedes-Benz 190E Evo II bakal dihidupkan semula – 100 unit sahaja, harga dari RM3.6 juta

Bagi peminat Mercedes-Benz, 190E Evo  II merupakan antara kereta paling legend pernah dihasilkan jenama itu. Namun dengan hanya kira-kira 502 unit dihasilkan, ia juga sangat rare dan jarang kelihatan di jalan raya. Mereka yang ternampak kelibat kereta ini boleh dikatakan seperti dapat melihat unicorn.

Bagi mereka yang telah lama berhajat untuk memiliki kereta ini, impian anda mungkin akan tercapai kerana sebuah syarikat kejuruteraan dan sukan permotoran dari Affalterbach iaitu HWA AG telah mengumumkan bahawa mereka akan memulakan projek restomod 190 Evo II.

Gambar oleh RM Sotheby’s

Dikenali sebagai HWA EVO, projek restomod ini sudah tentulah bukan unit asli yang dihasilkan dan dibina oleh Mercedes-Benz sendiri namun inilah benda terdekat kepada 190E Evo II sebenar yang anda boleh dapat.

Menurut HWA, mereka akan menggunakan model-model W201 sebagai asas untuk projek ini. Untuk menggunakan 190E Evo II yang asli adalah mustahil kerana seperti yang diperkatakan, ia sangat rare dan jika ada pun, harganya terlalu tinggi.

Lakaran teaser menunjukkan rekaan badan yang tidak jauh berbeza dengan kereta yang sebenar dengan dapra yang lebar dan spoiler gergasi pada bahagian belakang.

Bagaimanapun, HWA berkata mereka akan menggunakan teknologi terkini untuk membangunkan trenkuasa, casis, brek, aerodinamik dan yang paling penting, ciri keselamatan.

Apa yang menarik, HWA EVO akan menjadi lebih sukar didapati berbanding 190E Evo II kerana hanya 100 unit akan dihasilkan dengan harga bermula dari 714,000 euro (RM3.6 juta) setiap satu. Unit-unit terawal dijangka akan diserahkan kepada pelanggan menjelang akhir 2025.

Untuk makluman, 190E Evo II dikuasakan oleh enjin Cosworth 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 232 hp pada 7,200 rpm dan 245 Nm dari 5,000 hingga 6,000 rpm, menjadikan ia model 190E yang paling berkuasa.