Tag Archives: hydrogen

Honda CR-V Hydrogen ini boleh bancuhkan kopi anda

HONDA telah bekerjasama dengan General Motors untuk sistem sel bahan api generasi baharu yang akan menjadi pakej FCEV untuk CR-V.

Dipaparkan dalam satu video baharu, ia menunjukkan CR-V itu akan menjadi pengganti tidak langsung kepada Honda Clarity yang telah ditamatkan pengeluarannya pada 2021.

Tetapi Honda akan melakukan sedikit perbezaan kali ini kerana CR-V baharu ini akan menggabungkan sel bahan api dengan pek bateri.

Video promo itu menunjukkan kebaikan pengecasan dua hala dimana pemiliknya mengecas mesin kopinya di kawasan terpencil menggunakan bateri kereta. Kemudian, video menunjukkan beliau pergi ke stesen hidrogen untuk mengisi bahan api itu di tangki H2 belakang.

Sebenarnya sistem pengecasan dua hala ini bukanlah baharu. Banyak kenderaan elektrik (EV) dengan fungsi ini seperti Hyundai Ioniq 5, Kia EV6, Nissan Leaf, Ford F-150 Lightning, dan Chery Omoda E5.

Kemudian, menambah pek bateri pastinya membantu praktikaliti Honda CR-V Hydrogen ini memandangkan stesen pengisian hidrogen masih terlalu sedikit.

Honda tidak berkongsi banyak maklumat lanjut tetapi yang jelas, CR-V Hydrogen ini akan dikeluarkan di kilang Performance Manufacturing Centre (PMC) di Ohio. Ianya kilang yang sama pernah mengeluarkan Honda NSX hibrid.

Prototaip dalam video ini dikenakan balutan biru pada badannya, dan jelas versi Amerika Syarikat (AS) memandangkan ia mempunyai lampu side marker di sisi bampar.

Berbanding dengan CR-V biasa, model ini mempunyai lampu belakang jernih dan port pengecasan di bahagian fender depan.

BMW iX5 Hydrogen selesai jalan ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu

UNTUK emisi sifar, BMW percaya ada beberapa cara lain lagi selain elektrik (EV), salah satunya adalah dengan tenaga hidrogen.

BMW iX5 Hydrogen merupakan sebuah platform untuk cara ini, dan baru-baru ini beberapa unit SUV itu telah selesai ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (EAB).

Walaupun berdepan dengan suhu sehingga 45-darjah Celsius serta mengharungi pasir, debu, dan pelbagai permukaan jalan, SUV hidrogen ini tetap cemerlang dan lulus.

Dari sistem bahan api sel, motor elektrik, hingga tangki hidrogen, segala perkakasan berfungsi dengan cara sepatutnya di samping pasukan pembangun terbang dari Munich untuk menjalankan analisis.

Timur Tengah bukan satu-satunya lokasi ujian BMW iX5, kerana terdapat sekumpulan prorotaip sedang diuji di Jepun, China, Korea Selatan, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, belum ada perancangan untuk menjual SUV ini, tetapi pihak atasan BMW ada menyebut untuk menawarkan model hidrogen sebelum penghujung dekad ini (2030).

Untuk spesifikasi, BMW iX5 Hydrogen mempunyai output keseluruhan sebanyak 401hp (295kW) dan menampilkan dua tangki CFRP yang mampu menampung kira-kira 6kg.

Ini memberikan iX5 Hydrogen jarak pemanduan sehingga 504km (menurut kitaran WLTP), iaitu serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman. Hanya tiga hingga lima minit masa diperlukan untuk mengisi tangki hidrogen, juga sama dengan mengisi petrol pada kereta biasa.

Walaupun menekankan bab kecekapan, BMW menyebut bahawa iX5 tidaklah perlahan juga. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang enam saat. Ia juga dilengkapi mod Sport yang akan mengeraskan suspensi dan memberikan kuasa penuh.

Peluang tipis untuk anda menjumpai iX5 ini di jalan raya kerana kurang dari 100 unit sahaja dihasilkan. Kesemuanya dikeluarkan di kilang Spartanburg iaitu di fasiliti pemasangan BMW X5 biasa tetapi perubahan teknikal lain dibuat di Munich.