Tag Archives: hydroplaning

Apakah itu hydroplaning dan cara mengelakkannya

Musim hujan tiba lagi dan melihat kepada kekerapan hujan yang turun sejak beberapa hari kebelakangan ini, sudah tentunya jalan raya sentiasa basah dan licin.

Bukan itu sahaja, kehadiran lopak-lopak air pada permukaan jalan boleh menyebebkan terjadinya fenomena yang dikenali hydroplaning jika anda tidak berhati-hati.

Sekiranya anda menjadi mangsa hydroplaning, kemungkinan untuk berlaku kemalangan sangat tinggi memandangkan anda akan hilang kawalan ke atas kenderaan anda.

Oleh itu, dalam artikel ini, kami akan membincangkan cara-cara untuk mengelakkan hydroplaning dan apa yang anda perlu lakukan sekiranya ia terjadi kepada anda.

Namun sebelum itu, fahami dulu apa itu hydroplaning. Juga dikenali sebagai aquaplaning, ia merupakan keadaan di mana tayar kehilangan sentuhan dengan permukaan jalan apabila melalui jalan yang basah.

Keadaan ini berlaku apabila tayar tidak dapat menyingkirkan air dengan cepat, menyebabkan air masuk di antara permukaan tayar dan jalan.

Ini akan menyebabkan tayar tidak dapat mencengkam jalan dengan baik dan anda pula tidak lagi boleh mengawal kenderaan anda.

Bagaimanakah hydroplaning dapat dielakkan?

Pertama sekali, pastikan tayar kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan pemanduan. Bunga tayar yang dalam dapat mengeluarkan air dengan lebih berkesan jadi jika tayar sudah botak, kemungkinan untuk berlaku hydroplaning menjadi lebih tinggi.

Pastikan juga anda sentiasa menukar kedudukan (rotate) tayar anda agar bagi memastikan ia haus secara sekata.

Jangan lupa untuk periksa juga tekanan angin tayar anda. Tekanan angin yang terlalu tinggi akan menyebabkan permukaan sentuhan menjadi semakin kecil dan ini sudah tentu akan meningkatkan risiko hydroplaning.

Selain itu, anda boleh terus mengurangkan risiko dengan memandu lebih perlahan ketika hujan. Jika boleh, elakkan daripada melalui lopak air.

Tetapi bak kata pepatah, malang tidak berbau. Sekiranya berlaku hydroplaning ketika memandu, perkara pertama dan terbaik yang anda boleh lakukan adalah bertenang dan jangan panik.

Seterusnya, lepaskan kaki dari pedal pendikit bagi membolehkan kenderaan berhenti secara perlahan-lahan. Jangan tekan pedal brek kerana ia boleh memburukkan lagi kenderaan.

Akhir sekali, cuba kawal arah pergerakan kereta dengan memusingkan stereng secara perlahan-lahan. Jangan pusing stereng dengan agresif kerana boleh menyebabkan kereta berpusing.

Hanya tukar dua tayar hadapan, jimat atau risiko?

TAYAR merupakan salah satu komponen paling penting bagi sesebuah kereta.

Saiz kelebaran, ketebalan, bunga dan cengkaman tayar bukan sahaja memberi kesan terhadap feeling pemanduan tetapi lebih penting bagi tujuan keselamatan.

Justeru, adalah penting untuk menukar tayar apabila ia tidak lagi berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, untuk menukar semua tayar pada satu masa mungkin agak membebankan bagi segelintir individu.

Ini terbukti apabila ada yang terpaksa menukar dua biji tayar baharu terlebih dahulu dek kerana kekangan kewangan.

Kebiasaannya, dua tayar baharu ini akan diletakkan pada bahagian depan.

Namun, ada berpandangan jika tayar lama dipasang pada bahagian belakang ia boleh mengundang kemalangan dalam keadaan jalan basah.

Persoalannya, adakah tayar baharu lebih baik di bahagian depan atau belakang?

Kedua-dua langkah ini sebenarnya adalah bahaya.

Ini kerana jika dua tayar ‘botak’ diletakkan di bahagian hadapan, berkemungkinan besar berlaku understeer ketika mengambil selekoh pada permukaan jalan basah.

Pusinglah stereng ke kiri atau ke kanan, kereta akan tetap terus menuju ke hadapan.

Sekiranya tayar lama diletakkan pada bahagian belakang pula, risiko untuk berlakunya oversteer atau ‘buang belakang’ agak tinggi.

Selain itu, terdapat juga risiko untuk tayar kereta anda mengalami hydroplaning.

Hydroplaning adalah di mana tayar kereta tidak menyentuh permukaan jalan apabila melanggar lopak air.

Kesimpulannya, jika tayar kenderaan sudah ‘botak’ maka elak memandu ketika hujan.

Jadi, kumpul wang secukupnya dan tukarlah tayar semua tayar kenderaan anda apabila sudah tiba masa.

Semoga tips ini memberi manfaat kepada anda!