Tag Archives: hyundai ioniq 5

Hyundai Ioniq 5 2025 facelift dapat varian off-road XRT, jarak lega bumi lebih tinggi

Faktor trend pemilikan EV yang semakin sendu tidak menghalang Hyundai untuk mengemaskini penawaran bagi model SUV elektrik Ioniq 5.

Versi facelift untuk model tahun 2025 telah pun dilancarkan, di mana Ioniq 5 akan menjadi model pertama yang dipasang di Metaplant Georgia.

Hyundai Ioniq 5 2025 membawakan perubahan bersifat kosmetik, seperti contoh bampar baharu, spoiler yang telah disemak semula, rim yang lebih aerodinamik serta penawaran warna baharu.

Perubahan pada ruang kabin pula bersifat minima, di mana terdapat roda stereng rekaan baharu, konsol tengah yang telah dinaik taraf, serta kehadiran butang fizikal untuk fungsi yang kerap digunakan.

Hyundai Ioniq 5 2025 turut mendapat pek bateri berkapasiti lebih besar.

Varian Standard Range kini dilengkapi dengan bateri 63 kWh (berbanding bateri lama 58 kWh), dengan jarak gerak bertambah kepada 386 km berbanding 354 km pada model terdahulu.

Sementara varian Long Range pula menerima bateri 84 kWh yang menjanjikan jarak gerak lebih 499 km untuk versi RWD, atau 451 km untuk versi AWD.

Hyundai Ioniq 5 juga merupakan model Hyundai pertama yang datang standard dengan port NACS (North American Charging Standard), membolehkan pemilik Ioniq 5 menggunakan jaringan Supercharger Tesla tanpa memerlukan penyesuai.

Akhir sekali, terdapat varian off-road baharu XRT yang lebih ranggi rekaannya, di mana ia boleh dibezakan dengan muka hadapan yang unik, aksen hitam, corak samaran digital pada bampar dan fender flare, serta rim 18 inci hitam kusam yang dibaluti tayar all-terrain.

Bukan itu sahaja, Ioniq 5 XRT kini menawarkan jarak lega bumi 23 mm lebih tinggi, cangkuk tunda berwarna merah, upholsteri H-Tex, serta logo XRT pada tempat duduk.

Hyundai Ioniq 5 2025 facelift, pek bateri lebih besar, ada wiper belakang!

Sedar atau tidak, sudah tiga tahun telah berlalu sejak Hyundai melancarkan crossover elektrik Ioniq 5 pada tahun 2021.

Untuk pasaran Korea Selatan, EV tersebut kini telah dikemaskini dengan membawakan beberapa perubahan dari segi rekaan luaran, pek bateri yang lebih besar, serta pengenalan varian baharu N Line.

Perubahan rekaan yang dimaksudkan itu tidaklah begitu ketara.

 

 

Apa yang berubah adalah unit bampar depan dan belakang yang telah disemak semula, rim aloi yang lebih aerodinamik, penambahan penyeka kaca belakang, serta spoiler belakang yang lebih besar.

Disebabkan rekaan bampar, ukuran dimensi panjang EV ini juga bertambah sebanyak 20 mm kepada 4,655 mm.

 

 

Untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka dilihat tidak banyak berubah, melainkan dengan penambahan butang kawalan fizikal pada konsol tengah untuk fungsi seperti pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta butang bantuan parkir.

Sementara itu, panel kawalan untuk sistem pendingin hawa juga telah direka semula untuk memudahkan operasi.

Jika anda perasan, Ioniq 5 kini dilengkapi dengan sistem kamera sisi, dimana imej daripada kamera tersebut dipaparkan menerusi dua skrin pada bahagian penghujung papan pemuka.

 

 

Ioniq 5 facelift turut mendapat pek bateri 84 kWh yang lebih besar berbanding unit 77.4 kWh pada model terdahulu, dan ia dilihat mampu memberikan impak positif terhadap jarak gerak berbanding model pra-facelift.

Sebagai info, Ioniq 5 sebelum ini mampu bergerak sehingga 507 km dengan menggunakan pek bateri 77.4 kWh (data WLTP).

Disebalik rupa luaran yang lebih malar segar, pihak jurutera Hyundai telah menala kembali aspek gantungan untuk pemanduan yang lebih lancar, selain meningkatkan tahap ketegaran komponen cowl crossbar untuk mengurangkan gegaran pada roda stereng.

Hyundai Ioniq 5 facelift juga kini lebih selamat, terima kasih kepada pengukuhan terhadap bahagian roda belakang, bawah badan, pintu dan tiang B, serta penambahan beg udara pada sisi baris kedua – menjadikan jumlah keseluruhan beg udara mencecah lapan unit!

 

 

Akhir sekali, Hyundai telah meningkatkan aspek tebatan bunyi pada motor elektrik belakang, menjadikan nilai NVH kini lebih senyap.

Sebut pasal varian baharu, Hyundai Ioniq 5 kini boleh didapati dalam trim N Line, membawakan kit badan spesifik, lencana N Line, rim aloi baharu 20 inci, rekaan roda stereng berbeza, tempat duduk sports, aksen baharu pada papan pemuka serta pedal keluli.

Hyundai turut menyebut tentang pengalaman pemanduan yang lebih dinamik, memberikan bayangkan Ioniq 5 N Line ini telah diberikan talaan khusus pada bahagian casis.

 

Konvoi EV Hyundai Ioniq 5 tamatkan jelajah ASEAN – 3,197km dalam 11 hari

SELEPAS 11 hari dan 3,197km, konvoi Hyundai Ioniq 5 akhirnya berjaya menamatkan jelajah sifar emisi mereka di rantau ASEAN.

Mereka memulakan perjalanan di Singapura, kemudian melalui Malaysia, Thailand, Kemboja, dan tamat di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 30 November 2023.

Ekspedisi ini menjadi jelajah kereta elektrik (EV) dengan paling banyak negara dilalui dalam ASEAN. Malah jarak keseluruhan 3,197km itu juga adalah tambahan 446km dari perkiraan asal.

Jelajah ini bertujuan mempamerkan kebolehan Ioniq 5 untuk perjalanan jarak jauh dan sifat mesra alamnya, terutamanya di rantau EV yang masih ragu-ragu dengan kemampuan EV.

Sebagai tambahan, Hyundai Ioniq 5 juga menunjukkan penjimatan kos, dengan hanya USD116 (RM537.60) setiap untuk keseluruhan perjalanan. Ini secara purata adalah dua kali lebih jimat berbanding perbelanjaan petrol kereta ICE biasa.

Youngtack Lee, Presiden Hyundai Motor ASEAN berkata: “Dedikasi kami dalam menjadikan EV lebih mudah diakses sebagai solusi kenderaan bersih telah berjaya membuat anjakan ke hadapan.

“Dengan kejayaan jelajah Ioniq 5 ini, kami teruja untuk menggiatkan lagi inovasi kami dalam mengembangkan infrastruktur dan ekosistem EV di rantau ini.

“Jelajah ini mungkin telah berakhir, tetapi keterujaan elektrifikasi baru sahaja bermula,” tambahnya.

Konvoi Hyundai Ioniq 5 ini terdiri dari lima kereta, dua daripadanya dikeluarkan di Indonesia dan tiga lagi di Singapura.