Tag Archives: hyundai santa fe

Hyundai Santa Fe facelift versi CKD akan dilancarkan di Malaysia

SIME Darby Hyundai Integrated Sdn Bhd (SDHI) baru-baru ini telah menandatangani persijilan produksi massa (Certificate of Mass Production) dengan Inokom Corporation Sdn Bhd bagi memulakan pemasangan tempatan Hyundai Santa Fe versi facelift.

Tidak banyak perincian yang didedahkan buat masa ini, namun menurut Hyundai Sime Darby Motors (HSDM), kerjasama terbaru ini adalah bukti komitmen bersama untuk memperkukuhkan ekosistem automotif tempatan.

Diperkenalkan di peringkat global pada Jun 2020, Santa Fe generasi keempat versi facelift bukan sahaja membawakan reka bentuk yang lebih segar tetapi juga platform Integrated Architecture baharu yang menjanjikan peningkatan prestasi dan keselamatan.

Untuk versi facelift ini, lampu kabus pada bahagian bawah bampar dibuang, manakala lampu utama direka semula dan diintegrasikan dengan gril yang lebih lebar. Melengkapkan imej baharu SUV ini adalah lampu nyalaan siang berbentuk T.

Sementara itu, bahagian dalaman pula menampilkan konsol tengah yang mencondong serta butang memilih gear sebagai pengganti tuil gear konvensional. Turut disertakan adalah skrin sentuh 10.25 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci.

Semasa dilancarkan di Malaysia pada May 2019, Santa Fe boleh didapati dengan enjin petrol 2.4-liter empat silinder dengan 172 PS dan 225 Nm, atau turbodiesel 2.2-liter dengan 193 PS dan 440 Nm.

Enjin petrol tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan, manakala versi diesel pula mendapat transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda HTRAC.

Versi facelift yang akan datang ini dijangka akan ditawarkan dengan pilihan enjin yang sama.

Hyundai Santa Fe serba baharu dengan rupa berkotak macam Lego

HYUNDAI Santa Fe serba baharu telah didedahkan secara rasmi dan membawakan rupa jauh berbeza dengan model sedia ada. Kini dalam generasi kelima, Santa Fe 2024 menampilkan rekaan berkotak berserta lampu yang funky dan motif “H”.

Ia mendapat rim 21-inci dibaluti tayar 245/45/21 yang terletak dalam gerbang roda berbentuk petak. Pintu but belakang juga cukup besar dan selebar badan Santa Fe itu.

Lampu belakangnya terletak agak ke bawah, juga hadir dengan tema “H” sementara logo Hyundai dan tulisan “Santa Fe” besar diletakkan pada pintu but. Tiada angka ukuran diberikan, tetapi katanya jarak roda telah ditambah, kini berukuran 2,765mm.

Dari sisi, ia mempunyai bayangan Land Rover Defender 130 atau boleh juga dikatakan seperti Lego. Bahagian dalam juga telah dirombak rekaannya. Ia kini dilengkapi dengan susunan dwi-skrin dan seperti kebiasaan untuk kenderaan Hyundai, ia tetap mendapat panel pendingin hawa berasingan.

Anda boleh tahu yang ini sebuah kenderaan yang lebar melihatkan pada ruang yang lebar antara dua tempat duduk depan. Konsol tengah ini menempatkan dua pad pengecasan tanpa-wayar bersebelahan.

Satu lagi tema rekaan yang dapat dilihat ialah corong pendingin hawa yang panjang berterusan, suatu trend kebanyakan pengeluar kereta masa kini. Ianya memanjang dari hujung ke hujung papan pemuka.

Dilaporkan juga bahan plastik kitar semula digunakan untuk membuat tikar, siling, dan bahagian belakang tempat duduk baris kedua dan ketiga. Balutan kulit pada panel pintu juga merupakan bahan lestari.

Belum ada perincian teknikal buat masa ini, tetapi kita juga dapat melihat tulisan “2.5T” di belakang, bermakna ia akan mendapat enjin 2.5-liter turbo.

Apa pendapat anda mengenai rekaan Hyundai Santa Fe 2024 ini? Bagi kami, Hyundai semakin berani dalam aspek reka bentuk dengan memberikan revolusi untuk setiap generasi model-modelnya. Ini juga boleh memberi gambaran bahasa rekaan yang akan digunakan oleh model lain yang akan datang.