Jetour Auto Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV segmen C Dashing 2025 untuk pasaran tempatan.
Ditawarkan dalam dua varian utama iaitu Comfort dan Prime, Jetour Dashing dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo menghasilkan 154 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 230 Nm @ 1,750-4,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar (DCT) enam-kelajuan.
Terdapat tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Economy, Comfort dan Sport.
Menggunakan senibina Kunlun, Jetour Dashing membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,590 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,720 mm.
Ini menjadikan Dashing mampu memberikan saingan kepada model SUV segmen C buatan Jepun, seperti Honda CR-V dan juga Toyota Corolla Cross.
Antara ciri standard di bahagian luar termasuklah rim 18 inci, lampu LED depan dan belakang, serta pintu tailgate berkuasa elektrik.
Ruang kargo boleh memuatkan barangan sehingga 486 liter, dan boleh mencapai sehingga 977 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 dilipat rata.
Sementara untuk ruang kabin pula terdapat skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, penapis udara kabin CN95, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sistem pendingin hawa automatik, upholsteri tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu boleh laras enam tahap dan sistem audio empat pembesar suara.
Varian Prime pula mendapat ciri tambahan seperti rim 19 inci, bumbung kaca panorama, larasan elektrik empat tahap untuk tempat duduk penumpang hadapan, sistem pencahayaan ambien dan sistem pemantauan keliling 360 darjah.
Dari segi keselamatan, Jetour Dashing mendapat ciri seperti enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman, sistem pemantauan tekanan tayar, serta cagak ISOFIX.
Varian Prime pula menambah kelengkapan keselamatan seperti sistem pemantauan titik buta, amaran penukaran lorong, dan amaran lintasan trafik belakang, sistem pengesanan titik buta, amaran bukaan pintu, serta pemandangan telus lantai 180 darjah.
Untuk pasaran Malaysia, Jetour Dashing dijual pada harga bermula dari RM109,800 hingga RM116,800.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah terdengar khabar di mana Civic Type R FL5 akan menjadi model hot hatch berenjin pembakaran (ICE) tulen terakhir daripada Honda.
Apakah nasib Civic Type R seterusnya? Adakah ia akan menjadi sebuah hot hatch berkuasa elektrik?
Berita kurang enak, Honda sememangnya sedang meneroka proses untuk menghasilkan sebuah EV Type R.
Namun, proses tersebut bukanlah mudah seperti yang diakui sendiri oleh Toshihiro Akiwa, ketua unit pembangunan BEV Honda ketika mendedahkan dua prototaip 0 Series di CES Las Vegas bulan ini.
“Sebuah motor elektrik dan bateri mempunyai karakteristik yang berbeza, jadi kami tidak dapat menghasilkan sesuatu yang sama seperti sebelum ini.
“Sebagai sebuah EV, bagaimana kami dapat menawarkan keseronokan memandu? Sudah tentu kami belum berputus asa, akan tetapi ia bukanlah sekadar kuasa yang dihamburkan. Ia adalah tentang bunyi, gegaran, pecutan dan pengalaman manusia.
“Ini semua adalah keseronokan dalam pemanduan,” ujarnya lagi.
Ketika memperlihatkan model prototaip sedan saiz besar dan SUV saiz pertengahan tersebut, Honda tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menawarkan EV 0 Series biarpun tetapan motor elektrik itu mampu mencecah kuasa sekitar 480 hp.
Sebagai perbandingan, Honda Civic Type R FL5 merupakan sebuah hot hatch ICE tulen dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 329 hp.
Berkuatkuasa 1 Januari 2025, Audi Malaysia mengumumkan senarai harga jualan baharu bagi rangkaian kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV).
Struktur harga baharu itu juga hadir dengan Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang kini menawarkan servis penyelenggaraan selama lima tahun (berbanding tiga tahun pada pakej terdahulu), diikuti jaminan lima tahun (had perbatuan 150,000 km) dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Berikut merupakan senarai harga baharu bagi model tahun 2025 yang terlibat:
• Audi Q3 Sportback S line 2.0 TFSI quattro – RM358,990
• Audi Q5 Sportback S line 2.0 TFSI quattro – RM388,490
• Audi e-tron GT quattro with Dynamic Package – RM412,890
• Audi SQ8 Sportback e-tron quattro – RM511,990
• Audi RS e-tron GT – RM515,290
• Audi A7 Sportback S line 3.0 TFSI quattro – RM740,390
• Audi A8 S line 3.0 TFSI quattro – RM1,103,790
• Audi RS6 Avant Performance 4.0 TFSI quattro – RM1,338,690
Untuk tempoh terhad bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2025, terdapat lapan buah model kenderaan yang ditawarkan dengan harga istimewa (tidak termasuk AAP), seperti berikut:
• Audi A3 S line 2.0 TFSI – RM279,990
• Audi Q8 e-tron advanced 50 quattro – RM339,990
• Audi Q8 Sportback e-tron advanced 50 quattro – RM349,990
• Audi Q8 e-tron S line 55 quattro – RM373,990
• Audi Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro – RM382,990
• Audi A5 Sportback S line 2.0 TFSI quattro – RM419,990
• Audi RS3 Sedan 2.5 TFSI quattro – RM499,990
• Audi RS Q8 4.0 TFSI quattro – RM1,400,000
Maklumat lanjut berkenaan senarai harga, tawaran istimewa dan Pakej Jaminan Audi boleh didapati menerusi laman web www.audi.com.my atau dengan berkunjung ke Audi Centre yang berhampiran.
Untuk pasaran tertentu seperti Amerika Utara dan Eropah, generasi kesembilan sedan segmen D Toyota Camry merupakan model hibrid semata-mata dan tidak lagi tersedia dengan enjin petrol konvensional.
Namun, ia bukanlah petanda Toyota terus mengabaikan unit rangkaian kuasa tradisional tersebut.
Di Timur Tengah, pembeli masih lagi boleh mendapatkan Camry generasi baharu dengan enjin petrol tulen berserta varian hibrid.
Ia masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.5 liter berkuasa 201 hp dan 240 Nm yang sama seperti digunakan oleh generasi terdahulu.
Enjin tersebut dipadankan dengan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.
Reka bentuk luaran Camry 2025 tidak banyak beza dengan apa yang ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat.
Varian aras mula mendapat rim keluli bersaiz 16 inci, sementara versi tertinggi pula mendapat rim aloi sebesar 18 inci.
Susun atur ruang kabin juga adalah sama sahaja, di mana varian asas dibekalkan dengan skrin infohibur sebesar 8 inci, manakala skrin 12.3 inci pula dikhaskan untuk trim yang lebih mahal.
Untuk makluman, generasi baharu Toyota Camry 2025 mengekalkan asas platform TNGA-K yang sama digunakan pada Camry generasi kelapan, dengan beberapa perubahan dibuat terhadap aspek keselesaan dan pengendalian.
Di UAE, Toyota Camry 2025 dijual pada harga bermula dari AED 109,900 (RM129,996) dan dari AED 123,900 (RM146,555) untuk versi hibrid.
Dalam artikel yang terdahulu, kami telah pun menyenaraikan 10 buah kereta produksi dengan angka kuasa kuda paling tinggi di dunia.
Berikut merupakan senarai 10 lagi kereta produksi baharu dengan angka kuasa kuda yang paling tinggi dalam dunia.
1. Lucid Air Sapphire
Lucid Air Sapphire merupakan sebuah sedan empat pintu yang direka untuk bersaing dengan Tesla Model S dan Porsche Taycan.
Varian Air Sapphire menggandingkan tiga motor elektrik dengan output keseluruhan 1,234 hp dan 1,939 Nm, menjadikan pecutan 0-96 km/j sepantas 1.9 saat sahaja.
Untuk sekali cas penuh, Air Sapphire boleh bergerak sejauh 687 km.
2. Aston Martin Valkyrie
Kereta sports hibrid produksi terhad ini merupakan hasil kerjasama antara Aston Martin dan juga Red Bull.
Dikuasakan oleh enjin V12 aspirasi semula jadi 6.5 liter yang dibina oleh Cosworth yang dipadankan dengan sistem hibrid, Valkyrie mampu menghasilkan kuasa 1,160 hp dan daya kilas 900 Nm.
0-100 km/j? 2.6 saat sahaja!
3. Chevrolet Corvette ZR1
Chevrolet baru sahaja mendedahkan model terbaharu Corvette ZR1 yang dibekalkan dengan nadi bentangan V8 flat-plane berkapasiti 5.5 liter turbo berkembar.
Enjin V8 yang paling berkuasa pernah diproduksikan di Amerika itu mampu menjana kuasa setinggi 1,064 hp dan 1,121 Nm yang memacu roda belakang sahaja!
4. Mercedes-AMG One
Mercedes-AMG One boleh disifatkan sebagai kereta F1 yang boleh dipandu secara halal atas jalan raya, dengan angka produksi dihadkan sebanyak 275 unit sahaja.
Ia menampilkan enjin F1 bentangan V6 1.6 liter dengan empat motor elektrik, dimana kuasa keseluruhan mampu mencecah 1,049 hp.
Sayang sekali, enjin tersebut hanya mampu bertahan sejauh 50,000 km sebelum ia perlu dibina semula.
Antara pemilik AMG One ini termasuklah Lewis Hamilton, Nico Rosberg, David Coulthard dan Valtteri Bottas.
5. Rivian R1T
Trak pikap elektrik tugas ringan Rivian R1T boleh didapati dalam tiga tetapan trenkuasa, di mana konfigurasi paling berkuasa dengan empat motor elektrik mampu menjana sehingga 1,025 hp dan 1,624 Nm, jauh lebih berkuasa berbanding angka 835 hp dan 1,231 Nm yang terdahulu.
Tidak seperti casis ladder frame yang digunakan oleh kebanyakan trak pikap, Rivian R1T menggunakan casis papan selaju yang menggandingkan bateri, sistem penyejukan, suspensi dan brek dalam satu struktur tunggal.
6. Tesla Model S Plaid
Walaupun Model S merupakan antara kereta yang tertua dalam senarai ini, namun varian Plaid telah diperkenalkan pada tahun 2021, sembilan tahun selepas Model S dilancarkan.
Dengan tiga motor elektrik, Tesla Model S Plaid mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,020 hp dan 1,420 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 2.07 saat diikuti kelajuan tertinggi 320 km/j.
7. Lamborghini Revuelto
Ini ialah supercar pertama Lamborghini yang mengguna pakai sistem pacuan plug-in hybrid (PHEV) berbanding model seperti Sian FKP 37 dan Countach LPI 800-4 yang dilengkapi dengan sistem hibrid ringan.
Nadi V12 6.5 liter NA (814 hp/725 Nm) digandingkan dengan tiga motor elektrik (187 hp/336 Nm) dengan kuasa keseluruhan 1,001 hp dan 1,062 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.5 saat, sementara kelajuan tertinggi pula melebihi 350 km/j.
8. GMC Hummer EV Edition 1
GMC Hummer EV merupakan kenderaan elektrik bateri dengan berat yang mampu mencecah 4,500 kg.
Varian Edition 1 didatangkan dengan tiga motor elektrik berkuasa 1,000 hp, jarak gerak sejauh 529 km, pakej Extreme Off-Road, dan ciri pergerakan Crab Walk.
Selain daripada versi trak pikap, GMC Hummer EV juga boleh didapati dalam versi SUV lima pintu.
9. Ferrari SF90
Ferrari SF90 dilengkapi dengan enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar, tiga motor elektrik, dan pek bateri berkapasiti 7.9 kWh yang membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 26 km.
Kuasa keseluruhan mampu mencecah 986 hp dan daya kilas maksimum 800 Nm.
Menariknya, SF90 tidak mempunyai gear undur, di mana operasi tersebut diambil alih oleh dua motor elektrik yang duduk pada gandar hadapan.
10. Tesla Cybertruck Cyberbeast
Model trak pikap elektrik yang paling banyak menimbulkan kontroversi untuk tahun 2024 ini turut mempunyai varian yang paling berkuasa – Cyberbeast.
Varian tiga motor elektrik itu berupaya menghasilkan 845 hp dan daya kilas 1,396 Nm, di mana pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 2.6 saat sahaja.
Dengan opsyen penambah jarak, Cyberbeast boleh bergerak sejauh 710 km.
Masalah utama yang melanda para pemilik Cybertruck ialah kualiti binaan yang kurang memuaskan, serta kemasan luaran keluli tahan karat yang cenderung untuk berkarat.
Pada penghujung bulan Mei, gergasi automotif Jepun Toyota mengumumkan pembangunan keluarga enjin empat silinder sebaris berkapasiti 1.5 dan 2.0 liter sebagai satu cara untuk mencapai sasaran neutral karbon.
Menurut Toyota, enjin baharu itu direka lebih kompak dan ringan, namun dalam masa yang sama mampu menghamburkan kuasa yang lebih tinggi dan menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik.
Berdasarkan video terbaharu yang dimuat naik menerusi saluran YouTube Toyota Times, enjin baharu itu bakal dimuatkan pada sebuah model baharu yang mungkin dibangunkan oleh Lexus.
Rekaan luaran model baharu tersebut sengaja dikaburkan, namun dari susun atur ruang kabin kita dapat melihat rekaan sedan empat pintu yang mungkin merujuk kepada Lexus IS generasi baharu.
Bunyi sebenar enjin baharu Toyota yang sporti ini juga boleh didengari dengan jelas saat pemandu uji Takashi Uehara membuat penukaran gear menggunakan paddle shifter.
Wartawan Toyota Times Yuta Tomikawa yang duduk di tempat penumpang berasa agak teruja kerana sedan baharu itu tidak menghasilkan gegaran yang nyata walaupun dipandu pada kelajuan yang tinggi.
Menurut Uehara, faktor saiz enjin yang lebih kompak membolehkan nadi baharu Toyota itu dipasang lebih jauh ke belakang.
Berikutan titik graviti yang lebih rendah, ia dilihat dapat membantu mengawal dan mengurangkan tahap gegaran yang dirasai pada ruang kabin, seperti yang telah diperlihatkan sebelum ini pada ruang enjin Toyota Prius.
Menurut Toyota, enjin 1.5 liter turbo itu direka 20 peratus lebih kecil dari segi saiz berbanding enjin 2.5 liter NA sedia ada, 15 peratus lebih rendah dan tahap kecekapan dipertingkatkan sebanyak 30 peratus.
Sementara enjin 2.0 liter turbo pula akan menjadi 10 peratus lebih kecil dan ringan berbanding enjin 2.4 liter sedia ada, lebih kuasa kuda dan penjimatan bahan api sebanyak 30 peratus.
Dengan beberapa manfaat yang disebutkan tadi, enjin baharu itu juga dilihat berpotensi untuk dimuatkan pada kereta sports berprestasi tinggi, seperti Toyota GR86 generasi baharu, atau mungkin sekali pada Toyota Celica dan MR2 yang kini dikatakan sedang dalam pembangunan.
Adakah anda teruja dengan perkembangan terbaharu dari Negara Matahari Terbit ini? Masih lagi percaya dengan khabar angin enjin pembakaran dalaman akan pupus?
Minggu lalu, Toyota telah mengumumkan kerjasama dengan dua lagi rakan pengeluar iaitu Subaru dan Mazda untuk menubuhkan satu pakatan baharu bagi membangunkan enijn pembakaran dalaman (ICE) generasi baharu.
Setiap pengeluar masing-masing akan bertanggungjawab membangunkan enjin tersendiri, seperti contoh Toyota dengan enjin inline-4, Subaru dengan enjin boxer manakala Mazda dengan nadi rotari.
Hasrat untuk memperkasakan peranan ICE demi mencapai neutraliti karbon nampaknya tidak dikongsi oleh Nissan, di mana pengeluar itu membuat keputusan untuk berhenti melabur membangunkan enjin pembakaran dalaman baharu.
Dalam satu temubual bersama penerbitan Drive AU, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Perancangan bagi wilayah Afrika, Timur Tengah, India, Eropah dan Oceania (AMIEO), Francois Bailly mendedahkan, “Masa depan kami ialah EV. Kami tidak akan melabur untuk menghasilkan enjin ICE baharu, itu sudah pasti.”
Beliau menambah, peralihan daripada kenderaan berenjin konvensional kepada model elektrik penuh akan dilakukan menerusi teknologi e-Power.
“(Rangkaian kuasa) e-Power merupakan batu loncatan untuk mencapai ke arah itu, dan setiap pasaran akan bergerak mengikut rentak masing-masing.”
Teknologi e-Power Nissan merupakan sebuah sistem hibrid di mana enjin ICE tidak digunakan untuk menggerakkan roda secara terus.
Sebaliknya, ia digunakan sebagai unit penjana kuasa untuk motor elektrik dan mengecas pek bateri, sama seperti apa yang diperlihatkan oleh Mazda menerusi model MX-30 e-Skyactiv R-EV.
Tiga gergasi utama Jepun, iaitu Toyota, Mazda dan Subaru mengumumkan satu pakatan baharu dalam usaha untuk mengekalkan peranan enjin pembakaran dalaman (ICE) bagi mencapai sasaran neutral karbon.
Menariknya, pakatan terbaru itu tidak akan menghasilkan satu siri enjin tunggal yang boleh dikongsi, sebaliknya setiap satu pengeluar akan memfokuskan kepada teknologi yang unik untuk setiap pihak.
Ini bermakna, Toyota akan terus kekal memperbaharui teknologi enjin empat silinder sebaris, Mazda pula akan membangunkan rangkaian kuasa rotari, sementara Subaru pula dengan enjin boxer ikonik mereka.
Selain daripada membangunkan unit hibrid generasi baharu untuk mencapai neutraliti karbon, ketiga-tiga syarikat itu juga akan memfokuskan kepada penyelesaian alternatif termasuklah bahan api sintetik (e-fuel), bahan api bio, dan cecair hidrogen yang sedang diuji oleh Toyota dalam lapangan perlumbaan – sama seperti apa yang diunjurkan oleh Toyota menerusi strategi berbilang jalan (multi-pathway) sebelum ini.
Yang pasti, enjin pembakaran dalaman generasi baharu yang akan dibangunkan itu mempunyai tahap kecekapan yang tinggi, prestasi yang lebih berkuasa, serta mampu memenuhi undang-undang pelepasan emisi yang semakin ketat untuk beberapa pasaran di seluruh dunia.
Saiz unit rangkaian kuasa baharu itu juga akan menjadi lebih kecil dan kompak bagi membenarkan model kenderaan masa hadapan mempunyai rekaan hud yang rendah, sekaligus menawarkan tahap aerodinamik yang lebih baik.
Dalam pada itu, ketiga-tiga pihak turut memperlihatkan konsep kenderaan dan enjin yang bakal direalisasikan pada masa akan datang.
Toyota memperlihatkan sebuah model prototaip Prius dilengkapi dengan enjin empat silinder 1.5 liter yang sedang dalam proses pembangunan, serta sebuah lagi enjin inline-4 bersesaran 2.0 liter.
Subaru mempamerkan sebuah Crosstrek (sebelum ini dikenali sebagai XV) yang sarat dengan pelekat samaran dan dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid generasi berikutnya.
Mazda pula mempamerkan sistem hibrid rotari yang telah diperkenalkan sebelum ini menerusi model MX-30 R-EV, di mana enjin rotari tersebut hanya digunakan sebagai unit penjana kuasa (atau penambah jarak) ke atas sistem EV sedia ada.
Nissan baru sahaja membentangkan pelan perniagaan tiga tahun ‘The Arc’ yang menyaksikan pelancaran sehingga 30 buah model baharu untuk pasaran global menjelang 2026.
Daripada jumlah tersebut, 16 daripadanya terdiri daripada model hibrid dan kereta elektrik (EV), manakala selebihnya terdiri daripada kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) tulen.
Bergantung kepada pasaran, Nissan akan melancarkan lapan model baharu EV di pasaran China, diikuti tujuh di pasaran US dan Kanada, enam di Eropah, lima di Jepun, lima SUV di Timur Tengah, tiga di India, dua SUV serta satu kereta kecil di Afrika, diikuti trak pikap satu tan dan crossover elektrik kompak di Oceania.
Antara model yang boleh dikenalpasti pada gambar acah yang dipelihatkan oleh Nissan termasuklah model Juke EV, generasi baharu Micra, Patrol dan Elgrand, serta pelbagai model berjenama Infiniti.
Dengan pelan terbaharu ini, Nissan mahu mengemaskini 60 peratus daripada barisan model ICE global selain meningkatkan angka jualan tahunan kepada 1 juta unit menjelang tahun 2026.
Bukan itu sahaja, Nissan turut mahu menurunkan kos EV generasi baharu sebanyak 30 peratus bagi menjadikan paras harga jualan EV dan kenderaan ICE lebih seimbang menjelang 2030.
Renault dilapor akan menyemak kembali perancangan untuk menjadi jenama kenderaan elektrik (EV) sepenuh masa tahun 2030 berikutan peralihan pengguna kepada EV yang semakin perlahan.
Bercakap kepada laman Automotive News Europe, CEO Renault Fabrice Cambolive mendedahkan jenama itu akan terus menawarkan EV dan model hibrid berenjin pembakaran dalaman untuk setiap segmen kenderaan pada masa akan datang.
“Bagi saya, persoalannya bukanlah (perancangan) 2030 – kami akan mengikut trend dengan dua penawaran paling kompetitif dalam barisan produk kami,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, pada tahun 2022 CEO kumpulan Luca de Meo meramalkan barisan model Renault di Eropah akan terdiri daripada EV menjelang akhir dekad ini, dengan satu syarat ia akan bergantung kepada keadaan pasaran semasa.
Renault bukanlah satu-satunya pihak yang mengubah unjuran produk mereka.
Minggu lalu, Mercedes-Benz telah menarik balik ramalan bahawa EV akan menyumbang 100 peratus jualan mereka menjelang 2030, sebaliknya menekankan pembangunan teknologi ICE dan hibrid menjelang dekad berikutnya.
Jenama mewah Mercedes-Benz nampaknya terpaksa akur dengan trend permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang bergerak lebih perlahan berbanding jangkaan asal.
Keadaan ini menyebabkan Mercedes-Benz terpaksa menangguhkan dulu perancangan untuk menjadi jenama EV sepenuh masa menjelang 2030.
Bukan itu sahaja, Mercedes-Benz turut mengurangkan sehingga 50 peratus model EV yang bakal diperkenalkan menjelang akhir dekad ini, dan meneruskan penjualan model-model berenjin pembakaran dalaman (ICE) sehingga dekad seterusnya.
Dalam satu kenyataan, Mercedes-Benz mendedahkan aspek seperti gangguan rantaian bekalan dan ketersediaan komponen kritikal kekal menjadi faktor risiko yang ketara buat jenama itu untuk meneruskan pelan EV mereka.
Untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Mercedes-Benz merupakan antara jenama automotif mewah yang mampu menawarkan barisan produk EV yang meluas, bermula dari sekecil EQA, EQB, model sedan EQE dan EQS, SUV EQE dan EQS, serta tidak ketinggalan barisan model EV AMG.
Generasi baharu EV Mercedes akan dibina berdasarkan platform Modular Mercedes Architecture (MMA) yang direka bukan sahaja untuk EV, malah sesuai untuk kereta berenjin pembakaran dalaman.
CLA generasi baharu merupakan model produksi pertama yang lahir daripada platform MMA ini, dan diikuti dengan model generasi baharu GLA dan GLB.
Mercedes-Benz juga dilapor sedang membangunkan enjin M252 untuk dijadikan sebagai unit penambah jarak bagi model EV akan datang termasuklah CLA EV serta model-model Entry Luxury yang lain.
Kajian terbaharu oleh Consumer Reports’ 2024 mendapati kenderaan elektrik (EV) adalah kurang dipercayai jika dibandingkan dengan kereta berenjin pembakaran dalaman (ICE).
Consumer Reports mengumpulkan data daripada lebih 330,000 unit kenderaan dari tahun 2000 hingga 2024, menunjukkan secara purata EV 79 peratus tidak boleh diharap berbanding kereta ICE, walaupun memiliki rekaan sistem pacuan yang lebih ringkas.
Kereta plug-in hybrid (PHEV) pula mempunyai 146 peratus lebih banyak masalah jika dibandingkan dengan kereta ICE.
Menariknya, kereta hibrid biasa mencatatkan 26 peratus kurang bermasalah berbanding kereta ICE.
Menurut CR, kebanyakan pembeli terawal perlu berdepan dengan pelbagai masalah disebabkan oleh penggunaan teknologi baharu sehinggalah masalah tersebut diselesaikan.
Merujuk perkara yang sama, Jake Fisher selaku Pengarah Kanan bahagian Auto Testing CR turut mencadangkan pembeli supaya mendapatkan Tesla Model 3 yang terkini berbanding Cybertruck.
Ini kerana disebabkan Tesla Model 3 sudah diproduksikan bertahun-tahun lamanya, kebanyakan kelemahan pengeluaran telah pun diperbaiki dan diselesaikan.
Sebaliknya, Cybertruck merupakan sebuah kenderaan serba baharu, bermakna ia akan banyak ‘menimbulkan masalah’ saat ia mula dijual kelak.