Tag Archives: ID.7

ID.7 Tourer – Inilah wagon EV pertama Volkswagen, boleh pergi 685km sekali cas

JIKA anda masih ingat pada 2019, Volkswagen pernah manayangkan ID. Space Vizzion Concept, kini pada Februari 2024, persembahkan versi produksinya – ID.7 Tourer.

Ini akan menjadi permulaan buat Volkswagan untuk masuk ke dalam segmen wagon elektrik (EV). ID.7 Tourer duduk bersama dalam barisan model seperti Golf Variant, Passat Variant, dan Arteon Shooting Brake.

VW ID.7 Tourer mempunyai ukuran 4,961mm panjang, 1,862mm lebar, 1,536mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,971mm. Wagon EV ini mampu memuatkan 605 liter kargo, dan ruang ini boleh ditambah menjadi 1,714 liter bila tempat duduk belakang diturunkan.

VW juga menawarkan kotak bumbung tambahan jika anda mahu lebih banyak lagi ruang, mungkin untuk berjalan jauh atau pindah rumah?

Rekaan luar dalam seperti biasa untuk Volkswagen, boleh dijangka. Ia secara dasarnya sebuah ID.7 dengan bumbung lebih panjang. Versi Tourer ini mendapat bumbung polymer-dispersed liquid crystal (PDLC) yang membolehkan bumbung itu menjadi jernih jika anda mahu cahaya masuk ke dalam.

Untuk mekanikal, ID.7 Tourer dipacu oleh motor elektrik tunggal di belakang dengan output 282hp dan 545Nm tork. Pro diberikan pek bateri 77kWh manakala Pro S dengan bateri 86kWh. Dengan bateri lebih besar, ID.7 Tourer ini boleh dipandu sejauh 685km setiap cas.

Dari segi pengecasan pula, dari 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa kurang 30 minit menggunakan DC.

EV wagon ini akan dikeluarkan di kilang Emden di Jerman, fasiliti sama yang digunakan untuk memasang ID.7 biasa dan ID.4. Model ini akan dilancarkan sekitar pertengahan 2024.

Volkswagen ID.7 ada 286 PS, mampu bergerak sejauh 700 km

VOLKSWAGEN telah memperkenalkan model terbaru dalam barisan kenderaan elektrik mereka iaitu ID.7. Merupakan EV Volkswagen pertama dalam kelas saiz pertengahan atas, ID.7 akan dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran Eropah dan China, dan tahun hadapan untuk Amerika Utara.

Seperti model-model ID yang lain, ID.7 dibina berasaskan platform Modular Electric Drive Matrix (MEB). Walau bagaimanapun, ia didatangkan dengan trenkuasa elektrik generasi baharu dikenali sebagai AP550 yang menawarkan output sehingga 286 PS.

Mengenai jarak pula, model ini dikatakan mampu bergerak sehingga 700 km dengan satu cas penuh, bergantung kepada saiz bateri yang dipilih. Ia juga menyokong ciri pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 200 kW.

Selain bateri, Volkswagen mendakwa jarak pemanduan itu disokong oleh faktor reka bentuk ID.7 yang panjang (hampir lima meter) dan bumbung ala coupe yang memberikannya kadar pekali seret serendah 0.23.

Di dalam, ID.7 membawakan konsep operasi dan paparan baharu. Ia merangkumi skrin sistem infohibur berukuran 15 inci, paparan head-up dengan realiti terimbuh (AR), sistem kawalan baharu untuk pendingin hawa dan butang “Favourite” yang b0leh dikonfigurasikan.

Selain itu, terdapat juga bumbung panoramik yang boleh dimalapkan yang boleh dikawal sama ada menerusi panel sentuh atau arahan suara.

Volkswagen turut menawarkan beberapa ciri opsyen seperti fungsi Climatronic dengan ciri penyejukan, pemanas dan pengering untuk tempat duduk hadapan, fungsi urut, serta sistem audio Harman Kardon 700 watt dengan 14 pembesar suara.

Sistem bantuan pemandu menampilkan ciri Travel Assist yang mempunyai keupayaan untuk membantu pemandu menukar lorong di lebuh raya pada kelajuan melebihi 90 km/j. Ciri ini dikatakan dapat mengurangkan tekanan pemandu dengan ketara.

Kereta ini juga didatangkan dengan sistem bantuan parkir dengan fungsi memori sehingga 50 meter. Pemandu boleh duduk di dalam kereta atau memantau proses ini dari luar kenderaan menerusi aplikasi telefon pintar.

ID.7 akan dihasilkan di kilang Volkswagen di Emden, Jerman untuk pasaran Eropah dan Amerika Utara. Untuk pasaran China pula, sedan ini akan dipasang secara tempatan.