Tag Archives: IGEM

JAC i40 kini di Malaysia, trak elektrik 141 hp, 300 Nm, jarak gerak 300 km, dari RM156k

R&A Greentech Solutions Sdn Bhd, sebuah subsidiari di bawah Sendok Group memperkenalkan sebuah lagi trak komersial berkuasa elektrik, JAC i40 untuk pasaran tempatan.

JAC i40 boleh didapati dalam empat binaan badan, iaitu kargo kayu, kotak peti sejuk, kotak corrugated serta van kotak standard.

Dari segi dimensi, i40 membawakan ukuran sepanjang 5,300 mm, lebar 1,750 mm, tinggi 1,990 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,100 mm serta berat kasar kenderaan (GVW) sekitar 3,700 kg.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 141 hp dan daya kilas 300 Nm, di mana sumber kuasa diperoleh daripada pek bateri berkapasiti 63.75 kWh.

Jarak gerak adalah sekitar 230 km mengikut data WLTP, atau sehingga 300 km pada kelajuan maksimum 60 km/j.

JAC i40 menyokong pengecasan AC (20-100 peratus dalam masa 8.5 jam, serta pengecasan pantas DC 90 kW membolehkan bateri dicas 20-80 peratus dalam masa 40 minit sahaja.

Untuk ruang kabin, JAC i40 membawakan ciri seperti skrin kluster TFT lima inci, skrin tengah sebesar tujuh inci dengan sokongan Bluetooth dan kamera undur, serta tombol rotari di bahagian tengah.

Ciri keselamatan termasuklah ABS, EBS, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Elektronik, serta Sistem Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki.

Untuk pasaran Malaysia, harga jualan JAC i40 bermula dari RM155,600 (atas jalan tanpa insurans) untuk versi asas, dan boleh mencecah RM223,800 untuk versi kotak peti sejuk.

Ambulans elektrik CAM EC35 – 80 hp/200 Nm, jarak gerak 268 km, harga RM199,000

Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyaksikan kemunculan pelbagai jenis kenderaan elektrik untuk kegunaan komersial.

Salah satu daripadanya adalah van elektrik CAM EC35 yang boleh didapati dalam tiga versi iaitu panel van, semi-panel van dan window van. Unit yang dipamerkan ini adalah jenis window van yang telah diubah suai menjadi ambulans.

Ketiga-tiga versi mempunyai ukuran dimensi yang sama iaitu panjang 4,500 mm, lebar 1,680 mm dan tinggi 1,985 mm, dengan tapak roda 3,050 mm. Berat kasar adalah 2,600 kg manakala had muatan adalah dari 1,025 hingga 1,090 kg.

Panel van menyediakan dua tempat duduk, semi-panel van menyediakan lima tempat duduk manakala window van mempunyai konfigurasi enam atau lapan tempat duduk.

EC35 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang terletak pada gandar belakang yang menghasilkan 80 hp (60 kW) dan 200 Nm. Kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 38.7 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 268 km berdasarkan kitaran WLTP.

Pengecasan standard (AC) mengambil masa kira-kira lima jam untuk memulihkan kuasa bateri dari 20% hingga 80%, manakala pengecasan pantas (DC) memerlukan 80 minit untuk pengecasan 20% hingga 80% atau 2.5 jam untuk pengecasan penuh.

Kelengkapan lain yang terdapat pada EC35 termasuk tingkap kuasa, ABS, EBD, sensor undur dan kamera undur yang dipaparkan menerusi skrin berukuran lapan inci.

Sudah tentu, untuk mengubahnya menjadi sebuah ambulans, beberapa modifikasi dan ubahsuai perlu dilakukan.

Antaranya termasuk bar lampu LED, siren, pembesar suara, sistem PA, serta lapan unit lampu amaran LED (dua pada gril depan, empat pada bahagian sisi bumbung dan dua pada bahagian belakang bumbung). Semua tingkap belakang juga dipasang filem penapis haba dengan VLT 95%.

Di dalam, terdapat lantai yang diperbuat daripada kayu lapis kalis air setebal 18 mm, kabinet aluminium, dan paip oksigen dan komponen-komponen berkaitan. Turut disertakan adalah pemadam api, inverter AC, palam tiga pin, port USB, lampu siling LED dan dua unit pengusung.

Harga jualan EC35 bermula dari RM135,000 untuk panel van, RM138,500 untuk semi-panel van dan RM145,000 untuk window van lapan tempat duduk.

Harga ambulans ini pula adalah RM199,000. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun/120,000 km untuk kenderaan, dan waranti selama setahun untuk pemasangan.