Tag Archives: imbas

Proton EMAS sebuah konsep dengan enjin 1.2-liter dan bateri 16.5kWh, pernah dipamer di Geneva Motor Show 2010

SEMALAM Proton melancarkan e.MAS iaitu sub-jenama mereka untuk kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang akan mula memasuki pasaran hujung tahun ini.

Sebagai generasi yang sempat merasa zaman Friendster dan Myspace, ini mengingatkan penulis kepada konsep Proton EMAS dari lebih sedekad lalu.

Proton EMAS ialah konsep yang mendapat sentuhan rekaan dari firma Italdesign Giugiaro. Nama EMAS membawa maksud Eco Mobility Advance Solution. Ia juga sudah tentu bermaksud emas atau “gold” dalam Bahasa Inggeris.

Eco Mobility Advance Solution juga dari segi teknikal bermakna EMAS direka untuk solusi kenderaan jimat tenaga.

 

Maka sebab itu ia mempunyai enjin 1.2-liter 3-silinder yang menjana 20hp pada 1,500rpm dan 47hp pada 3,500rpm. Tork pula ialah 107Nm pada 2,500rpm.

Enjin yang hanya seberat 56kg ini digandingkan dengan pek bateri 16.5kWh dan sel bateri 370 volt. Ini menjadikan Proton EMAS sebuah hibrid range extender.

EMAS mampu memecut dari 0 ke 96km/j dalam 14 saat dan mencapai kelajuan maksima 169km/j. Ia mampu dipandu sejauh 563km setiap tangki.

Rekaan EMAS berasaskan pelantar Toyota iQ termasuk suspensi dan stereng, tetapi bahagian lain-lain smeuanya adalah baharu dari Proton. Ia mempunyai suspensi MacPherson di depan, dengan torsion beam di belakang.

Proton mendedahkan konsep EMAS buat pertama kali kepada umum di acara Geneva Motor Show 2010, salah satu pameran automotif paling berprestij di dunia.

Proton EMAS juga hadir dengan beberapa varian. Standard EMAS ialah versi 5-pintu dengan empat tempat duduk, kemudian EMAS3 ialah 3-pintu dengan konfigurasi 3+1 tempat duduk.

Terdapat juga EMAS Country dengan gaya SUV dan suspensi lebih tinggi. Jika anda perasan, EMAS Country ini nampak mirip seperti Iriz Active, bukan? Penulis percaya Iriz Active mengambil dan meneruskan inspirasi dari EMAS Country.

Penulis masih ingat membaca dan melihat konsep EMAS ini semasa zaman belajar di universiti dan sangat berharap ia menjadi model realiti yang dijual kepada umum. Mungkin EMAS boleh menjadi pesaing kepada Myvi?

Di Geneva Motor Show, Pengarah Urusan Proton waktu itu, Dato Syed Zainal berkata: “Matlamatnya ialah untuk menghasilkan kereta global untuk pasaran dunia.”

Menurutnya, hanya tinggal antara 17 hingga 24 bulan sahaja sebelum memasuki produksi, bermakna ia sepatutnya mula dikeluarkan pada 2012 atau 2013.

Tetapi Proton EMAS tidak pernah menjadi realiti.

Adakah anda pernah tahu mengenai Proton EMAS ini? Penulis yakin generasi Tiktok tidak pernah mengetahuinya.

Sumber gambar: Paultan.org

Berita dan perkembangan bikin kecoh sepanjang tahun 2023 – Bhg 1

TAHUN 2023 kian sampai ke penghujungnya dan sama seperti tahun-tahun sebelumnya, 2023 juga menyaksikan suka duka tersendiri dalam dunia automotif.

Terdapat juga perkembangan penting selain kotroversi dan perkambangan yang boleh bikin kecoh. Jom kita lihatkan.

Januari

Awal bulan Januari, kita dikejutkan dengan pemergian seorang ikon dalam sukan permotoran, Ken Block yang maut ditimpa kereta salji. Pengasas Hoonigan Racing yang juga pemandu rali itu terkenal di Youtube melalui video-video aksi gymkhana memandu pelbagai jenis kereta.

Kemudian di awal bulan juga, netizen kecoh dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengatakan konvoi motosikal melibatkan lebih dari seorang penunggang perlu menghantar senarai peserta dan motosikal yang terlibat kepada pihak polis.

Seterusnya netizen berdebat mengenai harga Perodua Axia baharu yang bakal dilancarkan, dimana harga tempahan dilihat lebih mahal dari model generasi sebelumnya.

Kami mengeluarkan artikel memetik penerangan CEO Perodua, Dato’ Seri Zainal Abidin Ahmad tentang sebab-sebab kenaikan harga ini, tetapi biasalah netizen, tetap mahu mengecam. Perodua Axia 2023 dilancarkan secara rasmi pada bulan berikutnya, Februari.

Februari

Dua berita hangat bulan Februari ini adalah kerajaan akan melaksanakan sistem kutipan tol tanpa henti di lebuh raya Malaysia. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, ia tidak akan melibatkan penambahan kos kepada pengguna atau sebarang kenaikan tol.

Ini pastinya dialu-alukan kerana antara punca kesesakan di lebuh raya adalah sistem plaza tol yang tidak cukup cekap dalam melancarkan aliran trafik. Tetapi bila ia boleh dilaksanakan?

Berita hangat kedua ialah ucapan selamat tinggal kepada pelekat Lesen Kenderaan Bermotor (LKM), kerana ia tidak perlu lagi dipamerkan pada kenderaan persendirian rakyat Malaysia.

Hanya perlu tunjukkan salinan digital jika diminta oleh pihak berkuasa. Tetapi ia tetap menjadi masalah dan telahpun mencetuskan beberapa isu susulan seperti hal kereta sewa dan pegawai penguatkuasa yang tidak mempunyai peranti untuk menyemak data dalam sistem.

Idea ke arah lebih baik, tetapi pelaksanaan masih boleh diperbaiki.

Penutup kepada berita penting bulan ini adalah pelancaran lima model GR oleh Toyota iaitu GR Supra, GR Corolla, GR86, Hilux GR Sport, dan Corolla Cross GR Sport.

Bagi kami ini berita penting kerana bukan sahaja ia pelancaran besar oleh Toyota, tetapi juga kerana ia menawarkan barisan model-model khas untuk peminat kereta yang benar-benar suka memandu. Sesuatu yang ‘rare’ untuk zaman EV masa kini.

Mac

Banyak juga yang menarik berlaku pada Mac. Pertamanya, enjin dan sistem janaan kuasa Proton X90 didedahkan. Ramai yang berdebat risau tidak cukup kuasa, tetapi mereka lupa lihat output dan sistem mild hybrid yang digunakan. Hanya melihat kepada cc atau sesaran semata-mata.

Berita agak mengejutkan dalam indstri ialah Naza Italia bukan lagi pengedar eksklusif kenderaan Ferrari di Malaysia. Naza Italia telah menjadi wakil Ferrari di Malaysia sejak 2008. Ital Auto dilantik menjadi pengedar baharu pada Mei.

Bulan Mac juga menyaksikan pelancaran Toyota Vios baharu. Kenapa ia termasuk dalam satu berita penting? Kerana kontroversi ketiadaan tayar ganti pada Vios ini, dan tempat duduk belakang yang tidak boleh dilipat.

Memandangkan ia antara kereta paling mampu milik, maka ramailah netizen mengambil bahagian berdebat isu ini. Geng Honda City pastinya paling seronok mengecam.

Dalam perkembangan lain, kami juga ada berkongsi berkenaan seorang ibu berusia 57 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori 18 tayar bagi menyara anak-anaknya. Hebat!

April

Pada April, tular video seorang penghantar makanan Foodpanda menangis dan mendakwa dirinya ditipu sebanyak RM300, malah akaunnya digantung beberapa hari. Ramai yang bersimpati dengan nasibnya.

Kemudian, berkenaan kes basikal lajak yang kecoh seluruh negara beberapa tahun lepas. Pada 18 April 2023, Sam Ke Ting, pemandu yang didakwa menyebabkan kematian itu telah dibebaskan dengan jaminan yang dipersetujui oleh panel tiga hakim.

Seterusnya, dalam menyahut perkembangan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, kami memandu Volvo C40 Recharge iaitu kenderaan EV sepenuhnya untuk pulang beraya! Ya, lebih seminggu, dengan pelbagai jenis jalan. Boleh ikut pengalaman kami di sini.

Akhir sekali, bulan April menyaksikan tercetusnya isu skandal keselamatan Daihatsu yang mengaku membuat ‘kesalahan’ dimana terdapat perubahan pada kenderaan yang digunakan dalam ujian perlanggaran keselamatan.

Ini melibatkan model-model di bawah payung Daihatsu-Toyota-Perodua iaitu Axia 2023, Vios (Yaris Ativ di Thailand), Agya, dan sebuah model yang belum dilancarkan.

Mei

Pada Mei, susulan dari ‘meletupnya’ isu skandal Daihatsu tadi, UMW Toyota Motor menyiarkan kenyataan bahawa jualan Toyota Vios baharu akan diteruskan kerana tiada isu dari segi keselamatan dan kualiti.

Kemudian, Proton membuat kejutan dengan kemunculan X50 R3 yang dipamerkan dalam satu acara pameran automotif. X50 R3 itu dilancarkan sebagai meraikan ulang-tahun ke-20 divisyen R3, dan pengeluaran dihadkan sebanyak 200 unit sahaja.

Satu lagi kontroversi melibatkan kerajaan, kali ini berkenaan tiada perancangan mansuh tol disebabkan kos tinggi. Ini menjadi topik hangat netizen dan ramai yang menuntut janji pemansuhan tol ini.

Jun

Satu berita hangat di awal bulan Jun ialah nombor plat FF1 yang menjadi milik Sultan Johor, berharga RM1.2 juta. Nombor plat itu diperolehi setelah bidaan tertinggi dibuat, dan ia dipersembahkan oleh Anthony Loke sendiri yang datang menghadap baginda Sultan Johor di Johor Bahru.

Seterusnya, Tesla telah menyiarkan tawaran temuduga memandangkan mereka akan membuka pejabat rasmi pertama di Malaysia, sebelum melancarkan model-modelnya. Ini menjadi titik permulaan bagi perkembangan jenama Tesla di negara ini yang mencetuskan fenomena tersendiri.

Kemudian, satu berita sedih pula dimana seorang penunggang motosikal maut selepas terjatuh dari ‘flyover’ lebuh raya SUKE akibat mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus. Insiden ini mengundang kemarahan netizen yang menyalahkan motosikal yang melawan arus tadi.

Akhir sekali, Perodua telah melancarkan Axia E spesifikasi ‘Rahmah’ yang berharga RM22,000 sahaja. Tetapi ia bukan dari versi generasi terkini, sebaliknya dari model Axia generasi pertama.

Axia E ini hadir dengan ‘spec kosong’ yang sangat asas. Rim kompang, dua beg udara, tiada radio, lampu halogen, dan hanya ditawarkan dengan transmisi manual 5-kelajuan.

Selain untuk sekolah memandu, Axia E ini sebenarnya disasarkan untuk menggalakkan penunggang motosikal beralih ke kereta, untuk meningkatkan keselamatan.

Sekian bahagian pertama dengan enam bulan telah kita lihatkan. Nantikan bahagian kedua untuk imbas kembali Julai hingga Disember 2023.