Tag Archives: imigresen

Percubaan penggunaan kod QR di T1, T2 KLIA bermula bulan ini

Percubaan penggunaan kod Respons Pantas (QR) khusus untuk rakyat Malaysia akan dilaksanakan bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas Terminal 1 (T1) dan T2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan T1 dan T2 itu adalah langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Antara kelebihan penggunaan kod QR adalah tempoh pelepasan imigresen yang singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.

Selain itu, kod QR juga dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.

“Melalui sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa pelepasan imigresen, namun mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan,” katanya.

Saifuddin berkata walaupun pelepasan imigresen kini dilaksanakan menggunakan kod QR, namun kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik konvensional akan terus tersedia serta masih boleh digunakan seperti biasa.

Pada Disember lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu berasaskan kod QR bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di KLIA sebagai usaha mengurangkan kesesakan.

Sistem itu akan membolehkan pengembara mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.

Kenderaan asing ‘rompak’ subsidi diesel bernilai RM1.2 juta setiap hari

Kegiatan kenderaan asing yang merompak dan menyeludup keluar diesel subsidi negara melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam menyebabkan kerugian mencecah RM1.2 juta sehari, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, kenderaan sindiket ini yang membawa diesel disembunyikan di dalam tangki tambahan, dikesan berulang alik kira-kira lima kali sehari ke Thailand.

“Pergerakan bagi satu perjalanan itu saja boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan sekitar anggaran RM250,000.

“Jika didarab dengan lima kali (perjalanan) ia boleh menyebabkan anggaran hampir RM1.2 juta ketirisan hasil sehari akibat penyeludupan diesel,” katanya.

Dalam pada itu Aedy Fadly berkata, sepanjang ‘Op Khas Tangki’ bermula sejak Rabu lalu, pihaknya berjaya menahan 18 kenderaan asing di ICQS Bukit Kayu Hitam, JPJ Sungai Petani dan JPJ Alor Setar.

Beliau berkata, kenderaan itu membabitkan treler, pacuan empat roda, lori, van dan kereta yang disyaki diubah suai untuk tujuan penyeludupan.

“Dalam ‘Ops Khas Tangki’ kita menfokuskan semua kenderaan asing dari negara Thailand meliputi kenderaan persendirian dan kenderaan Pperdagangan untuk penyeludupan minyak diesel ke negara jiran,” ujarnya.

“Menerusi ‘Ops Khas Tangki’ ini, JPJ sudah memeriksa sebanyak 350 buah kenderaan dan daripada jumlah itu, 18 buah daripadanya sudah diambil tindakan dan 87 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan kerana gagal mematuhi undang-undang dan keselamatan jalan raya yang ditetapkan.

“Kebanyakan kenderaan yang ditahan itu untuk menyeludup minyak diesel ke Thailand dan menggunakan pelbagai modus operandi untuk mengubah suai kenderaan terbabit,” katanya.

Aedy Fadly berkata, pihaknya akan bekerjsama dengan pelbagai agensi lain di sempadan termasuk Jabatan Imigresen bagi memantau pergerakan keluar masuk individu setiap hari untuk mengekang aktiviti penyeludupan diesel.