KUDA menjadi simbol paling popupar digunakan sebagai logo syarikat-syarikat kereta kerana haiwan ini menunjukkan sifat kekuatan, kelincahan, dan kelajuan.
Penggunaan kuda dalam logo bukanlah baharu, malah sejak ribuan tahun dahulu. Dalam banyak budaya, kuda juga dikaitkan dengan kuasa dan kebebasan.
Sudah tentu jenama paling popular yang kita tahu menggunakan logo kuda ialah Ferrari. Kaki kereta pula mungkin tahu akan Porsche dan Mustang yang juga menggunakan simbol kuda.
Dalam artikel ini kita akan lihatkan 10 jenama pilihan. Ya, banyak lagi selain tiga jenama di atas.
1. Corre La Licorne
Corre La Licorne ialah pengeluar kereta Perancis yang diasaskan sejak 1901 di Levallois-Perret, oleh Jean-Marie Corre.
2. Pegaso
Pegaso berasal dari perkataan Bahasa Sepanyol dan bermaksud Pegasus dalam Bahasa Inggeris, merupakan pengeluar trak, bas, traktor, dan kenderaan perisai. Mereka juga pernah mengeluarkan kereta sports untuk seketika.
Pada 1990, Iveco mengambil alih Enasa, dan nama Pegasus hilang terus pada 1994. Nama Pegaso (kuda bersayap) merupakan satu inspirasi logo untuk satu masa yang lama dan pernah digunakan untuk emblem pada seni dan rekaan.
3. Iran Khodro
Iran Khodro yang juga dikenali sebagai IKCO ialah pengeluar dari beberapa negara, tetapi berpangkalan di Tehran. Nama asalnya ialah Iran National.
4. Eicher
Eicher Motors Limited (EML) ialah pengeluar India yang menghasilkan motosikal dan kenderaan komersial. Eicher juga merupakan syarikat induk kepada Royal Enfield.
Selain motosikal, Eicher juga pernah bekerja sama dengan Volvo Trucks dan membentuk pakatan VECV (Volvo Eicher Commercial Vehicles Limited).
5. Baojun
Seterusnya ialah Baojun, yang merupakan hasil kerjasama General Motors dengan dua syarikat China. Logo kuda pada Baojun ini bermaksud “treasured horse” atau kuda berharga.
6. Kamaz
Jenama seterusnya yang menggunakan simbol kuda ialah Kamaz, sebuah pengeluar trak dan enjin dari Rusia.
Diasaskan pada 1969, Kamaz popular dengan trak cab-over, dan nama Kamaz itu merujuk kepada Sungai Kama.
Simbol kuda berlari di padang pada logo Kamaz mewakili kekuatan dan kelincahan.
7. Carlsson
Carlsson pula ialah syarikat talaan kenderaan yang memfokus kepada kereta-kereta Mercedes-Benz.
Syarikat ini diasaskan pada 1989 dan simbol kuda sangat sesuai untuk Carlsson memandangkan mereka menjadikan model-model Mercedes lebih laju dan sporti.
8. Ford Mustang
Mustang menggunakan logo kuda sendiri dan unik, tidak menggunakan logo Ford seperti model-model lain.
Seperti yang semua tahu, Mustang ialah muscle car dan nama ini begitu ikonik, generasi pertamanya lahir pada 1964. Mustang kini dalam generasi keenam dan menjadi nama paling lama dikeluarkan dalam sejarah Ford.
Mustang ialah sejenis kuda yang bebas di kawasan barat Amerika Utara. Ini yang mereka mahu zahirkan kepada pembeli melalui logo – kereta mereka mempunyai kelajuan dan kualiti.
9. Porsche
Kuda pada logo Porsche diambil dari Coat of Arms, mewakili ladang kuda khas di Stuttgart, Jerman. Stuttgart menggunakan kuda sebagai lambang/jata bandar mereka, dan ini memberi inspirasi kepada Porsche untuk menggunakan haiwan itu dalam logo mereka.
10. Ferrari
Akhir sekali ialah jenama yang terpaling kuda – Ferrari. Asalnya, simbol ini digunakan oleh juruterbang Perang Dunia Pertama, Francesco Baracca pada kapal terbangnya. Sebab kenapa kuda pada Ferrari berwarna hitam ialah untuk berkabung atas juruterbang yang terkorban.
Prancing Horse digunakan oleh sebahagian logo Ferrari dan Scuderia. Kuda yang melompat itu memberi maksud kuasa dan ini yang dirasakan oleh peminat serta pemandu Ferrari.