Tag Archives: insentif

Kerajaan dijangka beri lebih banyak insentif galak rakyat beli EV – Kenanga Research

Kenanga Research menjangkakan kerajaan akan memberikan lebih banyak insentif bagi menggalakkan permintaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakyat Malaysia, lapor Utusan Malaysia.

Firma penyelidikan itu berkata, ini sejajar dengan sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid sebanyak 15 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) menjelang tahun 2030 dan seterusnya sehingga 38 peratus menjelang 2040.

“Sekarang ini jualan kenderaan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan insentif kemudahan EV sehingga 2025 untuk CBU (import sepenuhnya) dan 2027 untuk CKD (pemasangan tempatan).

“Pendaftaran baharu untuk BEV melonjak daripada 274 unit pada 2021 kepada lebih 3,400 unit pada 2022, 10,159 unit pada 2023 dan 6,617 unit untuk separuh pertama 2024 (laporan suku tahunan),” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut Kenanga Research, penyasaran subsidi bahan api petrol yang dijangka dilaksanakan kerajaan juga mungkin meningkatkan minat golongan M40 kepada EV.

“Kumpulan M40 mungkin menahan diri daripada membeli kereta baharu atau mereka mungkin memilih untuk beralih kepada kereta yang lebih kecil atau beralih ke EV untuk mengurangkan bil bahan api mereka selepas pengenalan rasionalisasi subsidi bahan api,” katanya.

Sementara itu, kata firma penyelidikan tersebut, kerajaan Malaysia juga akan mempercepatkan kelulusan untuk stesen pengecas di seluruh negara.

“Jumlah stesen pengecas yang beroperasi kini sebanyak 3,951 dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada 10,000 menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu juga turut mengekalkan ramalan jualan kenderaan baharu di Malaysia untuk 2024, yang juga dikenali sebagai TIV sebanyak 740,000 unit (lapan peratus lebih rendah), yang sedikit lebih konservatif berbanding ramalan 765,000 unit oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Secara umum, firma berkata, tahap keterlihatan pendapatan industri mash baik, disokong oleh baki tempahan sebanyak 170,000 unit pada akhir Julai 2024, tidak berubah dari sebulan yang lalu.

“Lebih daripada separuh baki tersebut terdiri daripada model baharu, menunjukkan daya tarikan model baharu kepada pembeli kereta,” jelasnya yang menggariskan rasionalisasi subsidi petrol dan pelaksanaan e-invois boleh memberikan tekanan kepada jualan kenderaan pada suku kedua 2024.

Insentif galak pembelian EV wajar dimasukkan dalam Belanjawan 2024 – Tengku Zafrul

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berharap Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pemberian insentif yang bertujuan menggalakkan pembelian kenderaan elektrik (EV) dalam Belanjawan 2024 akan datang.

Sumber gambar: Facebook/Tengku Zafrul

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MITI telah menerima cadangan hebat daripada pemain industri dan rakyat untuk Belanjawan 2024, termasuk cadangan yang berkaitan dengan ekosistem EV.

“Indonesia merupakan satu-satunya negara (ASEAN) yang telah memperkenalkan subsidi untuk EV bagi motosikal mereka.

“Ini (insentif untuk menggalakkan pembelian EV di Malaysia) merupakan satu cadangan yang baik untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

“Saya yakin Perdana Menteri (selaku) Menteri Kewangan akan memberi pertimbangan yang sewajarnya,” katanya kepada media baru-baru ini.

Perodua EMO EV Concept yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai kemungkinan insentif EV dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata MITI akan terus menyokong pertumbuhan infrastruktur pengecasan EV untuk kenderaan dua roda, sama seperti usaha kerajaan yang komited untuk memasang 10,000 pengecas EV menjelang 2030.

Kerajaan juga akan terus menyokong dan memudahkan inisiatif serupa yang menyumbang kepada matlamat bersama iaitu Malaysia yang lebih bersih, hijau dan lebih makmur, katanya.

“Memandangkan bateri EV merangkumi sehingga 70 peratus daripada kos, kaedah pertukaran bateri boleh mengurangkan kos pemilikan dengan ketara untuk pemilik e-motosikal.

“Dengan pemilikan sifar dan masalah penyelenggaraan, perkhidmatan langganan bateri ini mampu mempopularkan EV ke tahap baharu, yang mana pengguna boleh terus menghidupkan e-motosikal mereka dan menikmati tunggangan,” katanya.

Buat masa ini, sudah terdapat motosikal EV yang boleh ditukar baterinya, iaitu Blueshark R1 dan Tailg Ebixon Bold serta Torq. Anda boleh tonton video tunggang uji kami mengenai Blueshark R1 di bawah: