Diperkenalkan buat pertama kali pada Jun tahun lalu, Hyundai Inster merupakan kenderaan elektrik subkompak yang comel pada pandangan mata.
Tidak lama lagi, EV itu bakal mempunyai ‘kembar’ yang lebih agresif dan ganas yang dikenali sebagai Insteroid.
Menurut Hyundai, nama Insteroid datang daripada gabungan ‘Inster’ dan ‘Steroid’. Ia masih belum didedahkan sepenuhnya (itu akan berlaku pada awal April) namun teaser rasmi ini menunjukkan sedikit sebanyak rekaan model itu.
Apa yang kami boleh lihat, Insteroid didatangkan dengan lampu utama berbentuk bulat dan lampu piksel yang sama seperti Inster namun selain itu, ia adalah jentera yang berbeza sama sekali.
Ini kerana Insteriod memakai kit badan lebar dan spoiler belakang gergasi yang direka berdasarkan permainan video. Bagi penulis, ia kelihatan tidak ubah seperti kereta rali WRC yang sebenar.
Selain itu, ia juga mempunyai skup bumbung, liang udara pada bahagian fender, diffuser belakang yang menonjol dan rim cakera 21 inci. Bahagian dalamannya masih belum ditunjukkan namun ia jelas telah dikosongkan bagi memberi ruang kepada sangkar keselamatan.
Spesifikasi teknikal Insteroid juga masih belum diketahui namun memandangkan ia dilengkapi dengan butang Boost dan mod Track, ia pastinya lebih berkuasa dan mengujakan untuk dipandu jika dibandingkan dengan Inster.
Kereta itu, yang mana menurut Hyundai sangat popular di Korea Selatan dan Eropah, dikuasakan oleh motor elektrik tunggal dengan 97 PS dalam versi Standard atau 115 PS dalam versi Long Range.
HYUNDAI telah memperkenalkan Inster, kenderaan elektrik (EV) subkompak yang akan bersaing dalam pasaran segmen A.
Dibangunkan berasaskan model Casper, Inster akan ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Long Range.
Versi Standard menampilkan motor elektrik tunggal dengan 97 PS dan 147 Nm, serta pek bateri 42 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 300 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.
Sementara itu, versi Long Range juga mempunyai satu motor elektrik namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 115 PS. Kapasiti baterinya juga lebih besar iaitu 49 kWh, membolehkan Inster dipandu sejauh 355 km.
Hyundai berkata pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 11.7 saat untuk Standard dan 10.6 saat untuk Long Range. Kelajuan maksimum masing-masing pula dihadkan pada 140 km/j dan 150 km/j.
Walaupun bersaiz kecil, Inster menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 120 kW yang memerlukan 30 minit untuk memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80%.
Ia juga didatangkan dengan pengecasan AC 11 kW yang boleh mengecas bateri sehingga penuh dalam masa 4 jam untuk Standard dan 4 jam 35 minit untuk Long Range. Turut disertakan adalah ciri Vehicle-to-Load (V2L).
Dari segi saiz, Inster mempunyai ukuran panjang 3,825 mm, lebar 1,610 mm, tinggi 1,575 mm dan tapak roda 2,580 mm.
Reka bentuk luarannya tidak jauh berbeza dengan Casper namun seperti yang boleh dilihat, model ini mempunyai lampu nyalaan siang LED yang lebih unik dengan grafik piksel pada lampu isyarat membelok dan lampu belakang. Rim didatangkan dalam saiz 15 inci (keluli biasa atau aloi) atau 17 inci (aloi), bergantung kepada spesifikasi.
Pilihan warna yang ditawarkan agak meluas, termasuk Atlas White, Tomboy Khaki, Bijarim Khaki Matte, Unbleached Ivory, Sienna Orange Metallic, Aero Silver Matte, Dusk Blue Matte, Buttercream Yellow Pearl, dan Abyss Black Pearl.
Di dalam, Inster memfokuskan kepada teknologi dan kemudahan menerusi kluster digital 10.25 inci, skrin sistem infotainmen 10.25 inci dan pengecas tanpa wayar pada konsol tengah. Pelanggan boleh memilih warna hitam, Khaki Brown atau Newtro Beige dua tona dengan trim fabrik.
Apa yang menarik, semua tempat duduk termasuk tempat duduk pemandu boleh dilipat rata. Tempat duduk belakang pula dibahagikan secara 50:50 dan boleh digelongsor. Kapasiti ruang but adalah 280 liter, boleh dibesarkan lagi sehingga 351 liter dengan menolak kerusi belakang ke depan.
Menurut Hyundai, bahagian luaran dan dalaman Inster menggunakan bahan mampan. Sebagai contoh, kemasan hitam berkilat pada bahagian badan dicat menggunakan cat kitar semula, manakala untuk ruang kabin, Hyundai menggunakan botol PET yang dikitar semula dan bio-polipropilena.
Sistem keselamatan pula merangkumi ciri-ciri ADAS seperti Surround View Monitor, Parking Collision-Avoidance Assist Rear,Blind-spot View Monitor, Forward Collision-Avoidance Assist 1.5, Lane Keeping Assist (LKA),Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Safety Exit Warning, Highway Driving Assist 1.5 dan pelbagai lagi.
Tidak seperti Casper yang hanya boleh didapati di Korea Selatan, Inster akan memasuki pasaran Eropah, Timur Tengah dan juga Asia Pasifik.