Tag Archives: ioniq 5 n

Hyundai sertai cabaran Pikes Peak dengan empat Ioniq 5 N

SAINGAN Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) yang akan berlangsung pada Jun depan akan menyaksikan Hyundai mempertaruhkan empat jentera Ioniq 5 N bagi membuktikan kemampuan EV itu.

Dua daripadanya adalah versi produksi yang telah diubah suai bagi memastikan ia mematuhi peraturan keselamatan, manakala dua lagi telah dimodifikasi sepenuhnya.

Pertama sekali, kerusi pemandu digantikan dengan kerusi Recaro Pro Racer SPA Hans, yang dipadankan dengan tali pinggang keledar enam poin Sabelt yang boleh digunakan dengan HANS. Kerusi belakang turut dikeluarkan bagi membolehkan roll cage dan sistem pemadam api dipasang.

Di samping modifikasi ini, Ioniq 5 N PPIHC tidak ubah seperti versi produksi yang terdapat dalam pasaran. Ia dipacu oleh sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 601 hp atau 641 hp jika N Grin Boost diaktifkan.

Dengan kuasa maksimum dan N Launch Control, Hyundai mendakwa ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.25 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 260 km/j.

Menggalas cabaran Hyundai di PPIHC adalah Paul Dallenbach dan Ron Zaras. Dallenbach pernah memenangi perlumbaan PPIHC sebanyak 11 kali, manakala Zaras pula merupakan personaliti media dan bekas eksekutif Hoonigan.

Sementara itu, Ioniq 5 N versi yang dimodifikasi akan dikendalikan oleh pemandu WRC untuk Hyundai Motorsport iaitu Dani Sordo dan pemegang gelaran King of the Mountain di Pikes Peak, Robin Shute.

Sebelum beraksi di PPIHC, kedua-dua jentera tersebut juga akan bertanding di Nurburgring 24 Hours pada 30 Mei ini.

Hyundai Ioniq 5 N NPX1 tampil lebih garang dengan komponen karbon

ACARA Tokyo Auto Salon 2024 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan Hyundai membawa sebuah kereta konsep yang dikenali sebagai Ioniq 5 N NPX1.

Model ini menggunakan Ioniq 5 N yang diperkenalkan pada tahun lalu sebagai asas namun apa yang lebih menarik, ia juga tampil dengan pelbagai kelengkapan daripada katalog N Performance Parts.

Ini kerana seperti model-model ICE seperti Elantra N, 130 N dan i20 N, divisyen Hyundai N merancang untuk menawarkan komponen talaan khas untuk model-model elektrik N seperti Ioniq 5 N.

Menurut Hyundai, komponen-komponen N ini akan ditawarkan kepada pasaran dalam masa terdekat. Ia termasuk komponen-komponen aerodinamik seperti splitter hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan spoiler yang diperbuat daripada karbon.

Bukan itu sahaja, Ioniq 5 N NPX1 turut menggayakan rim karbon hibrid ringan, pad brek berprestasi tinggi dengan angkup berwarna biru muda dan juga set gegelung yang lebih rendah.

Gambar ruang kabin tidak didedahkan namun menurut syarikat itu, ia telah dipertingkatkan menerusi penggunaan material Alcantara dan kerusi bucket.

Tidak pasti sama ada model konsep NPX1 ini telah diberikan naik taraf prestasi namun berkemungkinan besar ia kekal dengan trenkuasa standard iaitu sepasang motor elektrik yang menjana 609 PS dan 740 Nm.

Dengan fungsi N Grin Boost, yang meningkatkan kuasa kepada 650 PS dan 770 Nm selama 10 saat, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.4 saat. Tanpa NGB, masa pecutan tersebut bertambah sebanyak 0.1 saat.

Hyundai Ioniq 5 N dengan mod Drift dan transmisi 8-kelajuan ‘palsu’

HYUNDAI Ioniq 5 N telah membuat kemunculan rasmi di Goodwood Festival of Speed semalam. Seperti yang anda lihat pada namanya, ini merupakan versi prestasi memandangkan terdapat huruf N.

Ini juga merupakan model N prestasi tinggi pertama yang menggunakan pacuan elektrik dan semestinya bukan yang terakhir. Kita boleh jangkakan lebih banyak model N elektrik menyusul selepas ini.

Baik, apa yang menarik mengenai Hyundai Ioniq 5 N? Ia menampilkan dua motor elektrik dengan output keseluruhan 448kW (600hp) dan 740Nm. Dengan fungsi N Grin Boost, output ditingkatkan kepada 641hp dan 770Nm selama 10 saat.

Pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam masa 3.5 saat (3.4 saat dalam N Grin Boost), dengan kelajuan maksima 260km/j. Ioniq 5 N ini menggunakan bateri berkapasiti 84kWh dengan teknologi 800 volt untuk pengecasan super pantas. 10 ke 80 peratus boleh dicapai dalam masa 18 minit sahaja.

Bateri juga boleh dioptimakan mengikut kegunaan, dimana terdapat mod-mod yang boleh dipilih seperti Drag, Track, N Race, Sprint, N Launch, dan Endurance.

Berbanding Ioniq 5 standard, Hyundai Ioniq 5 N dilengkapi dengan rim lebih besar, suspensi khas sepenuhnya, pakej aerodinamik, dan sistem brek regenerative yang ditala semula.

Bercakap mengenai brek, ia didatangkan dengan cakera 400mm di depan dengan 4-pot dan cakera 360mm bersama 1-pot di belakang. Dengan bahan komposit ringan, ini menjadikan brek pada Ioniq 5 N ini paling berkuasa yang pernah dikeluarkan oleh Hyundai.

Hyundai Ioniq 5 N lebih besar dari model standard, dan mendapat bampar lebih rendah, air curtain, skirt sisi, diffuser belakang, rim 21-inci, dan tayar Pirelli P Zero khas EV.

Satu ciri menarik ialah N Drift Optimizer, dimana ia akan mengawal beberapa sistem kereta untuk menghasilkan drift dan mengekalkan sudutnya. Jika pemandu mahu drift lebih, terdapat fungsi Torque Kick Drift yang meniru tendangan klac seperti biasa dipraktikkan pada kereta pacuan roda-belakang.

Untuk pengalaman pemanduan lebih mandalam, Hyundai memberikan N e-shift dan N Active Sound, dimana kedua-dua ini mensimulasikan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan untuk Ioniq 5 N. Sensasi gear ‘palsu’ diberikan dengan sentakan yang dikawal oleh tork dari motor elektrik.

Ioniq 5 N boleh didapati dengan 10 pilihan warna iaitu Abyss Black Pearl, Cyber Gray Metallic, Ecotronic Gray Matte, Ecotronic Gray, Atlas White, Atlas White Matte, Gravity Gold Matte, Soultronic Orange Pearl, N Performance Blue Matte, dan N Performance Blue.

Menurut Hyundai, hot hatch elektrik ini akan mula dijual menjelang tahun depan.