Tag Archives: IQ.Drive

Jimat sehingga RM23,000 untuk model Volkswagen IQ.Drive – Tiguan, Golf GTI, Arteon

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan promosi Gemilang Deals sempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia.

Kempen tersebut menawarkan penjimatan sehingga RM23,000 untuk model-model Volkswagen yang dilengkapi sistem IQ.Drive iaitu Tiguan Allspace, Golf GTI, dan Arteon R-Line 4Motion.

Sah sehingga 31 Oktober, senarai promosi Gemilang Deals adalah seperti berikut:

Bergantung kepada mode, IQ.Drive membawakan beberapa ciri bantuan pemandu termasuk Front Assist, Adaptive Cruise Control, Side Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Lane Assist.

VPCM juga akan mengadakan Jelajah Volkswagen bermula 6 hingga 10 September 2023 di pusat membeli-belah 1Utama. Terletak di Oval New Wing, tarikan utama jelajah berkenaan ialah debut umum model Golf R yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Dijangka ditawarkan pada harga di antara RM330,000 hingga RM350,000 seunit, Golf R pemasangan tempatan (CKD) itu hadir dengan R Performance Package sebagai ciri standard.

Pakej itu merangkumi ekzos titanium Akrapovič, mode Drift dan Special, spoiler belakang baharu serta rim aloi Estoril bersaiz 19-inci.

Volkswagen Tiguan Allspace dapat ciri bantuan pemandu IQ.DRIVE, harga bermula RM166k

SELEPAS diperkenalkan pada Arteon R-Line 4Motion bulan lalu, sistem bantuan pemandu Volkswagen iaitu IQ.DRIVE kini diperkenalkan pula pada barisan Tiguan Allspace.

Ini bermakna sistem berkenaan disertakan secara standard pada ketiga-tiga varian Tiguan Allspace iaitu R-Line 4Motion, Elegance dan Life.

Tiguan Allspace Elegance

IQ.DRIVE membawakan beberapa ciri bantuan pemandu termasuk Front Assist, Adaptive Cruise Control, Side Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Lane Assist. Selain itu, semua varian Tiguan Allspace juga mendapat pengecas tanpa wayar.

Seperti sebelum ini, Tiguan Allspace didatangkan standard dengan Digital Cockpit dan skrin sistem infohibur Discover Pro berukuran 9.2 inci bersama App-Connect tanpa wayar.

Sebagai varian tertinggi, Tiguan Allspace R-Line 4Motion dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0 TSI turbo dan transmisi DSG tujuh kelajuan yang mampu menjana 220 PS dan 350 Nm.

Varian flagship itu juga mempunyai rim aloi Sebring 19 inci, serta sistem audio digital Harman Kardon 480W yang terdiri daripada amplifier 16 saluran dan 10 unit pembesar suara.

Sementara itu, Tiguan Allspace Elegance dan Allspace Life pula dilengkapi enjin 1.4 TSI turbo yang mampu menghasilkan 150 PS dan 250 Nm yang dipadankan bersama kotak gear DSG enam kelajuan.

Menurut Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), gandingan itu menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.7 l/100 km.

Ketiga-tiga varian Tiguan Allspace boleh didapati dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang memberikan pelanggan jaminan lanjutan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama tiga tahun.

Bergantung kepada model, VAP dijual pada harga dari RM8,000 hingga RM10,000. Pelanggan yang tidak mahu membeli pakej jaminan itu akan menerima jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.

Tiguan Allspace dengan IQ.DRIVE dijual pada harga bermula dari RM165,990 untuk varian Life, RM194,990 untuk Elegance dan RM245,990 untuk R-Line 4Motion. Harga-harga yang disebutkan ini tidak termasuk VAP.

Volkswagen Arteon R-Line 4MOTION kini dengan IQ.DRIVE

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan Arteon R-Line 4MOTION baharu yang kini dilengkapi dengan teknologi IQ.DRIVE.

Teknologi berkenaan membawakan dua ciri bantuan pemandu iaitu Bantuan Hadapan (Front Assist) dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) untuk pemanduan yang lebih selesa dan selamat.

Selain itu, sedan fastback itu juga dilengkapi dengan port pengecasan tanpa wayar.

Aspek prestasi tidak berubah, di mana Arteon R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder TSI yang menghasilkan 280 PS dan 350 Nm.

Dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan 4Motion, ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Ia juga menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4 liter/100 km.

Kelengkapan yang disertakan pada model ini termasuk Lampu Membelok Dinamik (Dynamic Cornering Lights), serta lampu belakang LED 3D yang hadir dengan lampu membelok jenis ‘sequential’.

Turut disertakan adalah ciri All Weather Light yang memberikan pencahayaan lebih luas bagi meningkatkan pandangan sewaktu cuaca buruk dan gelap.

Di dalam, terdapat Digital Cockpit bersaiz 11.7 inci yang memaparkan pelbagai maklumat penting, serta sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2 inci yang hadir dengan kawalan suara dan gerakan, serta ketersambungan tanpa wayar App-Connect untuk Apple Car Play dan Android Auto.

Pemandu boleh mengubah suai pemanduan mereka dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual, serta sehingga 15 tetapan tertentu.

Dari segi keselamatan, Arteon hadir dengan Bantuan Sisi (Side Assist), Rear Cross Traffic Alert dan Bantuan Lorong (Lane Assist), sistem 360 Area View, Post Collision Braking System, Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Electronic Different Lock (XDS).

Harga cadangan Arteon R-Line 4MOTION dengan IQ.DRIVE adalah RM299,900. Ia disertakan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Manganese Grey, Lapiz Blue, Pyrite Silver, Deep Black dan Oryx White.