Isuzu Malaysia mengumumkan pelantikan Tomoyuki Yamaguchi sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu bermula 24 April 2025 bagi menggantikan Shunsuke Okazoe yang akan bertugas di Jepun.
Graduan Universiti Toyo itu menyertai Isuzu Motors pada tahun 1997 di dalam Jabatan Operasi Antarabangsa untuk menguruskan pasaran seperti Russia dan Ukraine.
Selain itu, beliau juga terlibat di dalam pengurusan pasaran negara-negara CIS dan Asia Barat Daya sebelum bertugas di Isuzu Motors Afrika Selatan.
Memulakan tugas di Malaysia, Yamaguchi akan memberikan keutamaan terhadap memperkukuhkan rangkaian pengedar Isuzu dan tahap perkhidmatannya, selain memastikan bekalan alat ganti sentiasa tersedia untuk manfaat pemilik kenderaan Isuzu.
“Isuzu Malaysia terus menjadi model cemerlang di gelanggang global. Operasi di sini telah mewujudkan kelompok pelanggan setia yang menghargai ketahanan dan keupayaan kenderaan Isuzu.
“Ini selari bagi mewujudkan pelanggan sepanjang hayat bagi jenama ini. Bagaimanapun, kami perlu terus mengekalkan kesungguhan tersebut dan sentiasa memastikan pengalaman positif dapat disalurkan kepada setiap pelanggan.
“Saya berharap dapat bekerjasama erat dengan pasukan dan pengedar kami untuk membawa kepuasan pelanggan ke tahap yang baharu,” jelas Yamaguchi.
Di Isuzu Motors Ltd Jepun, Shunsuke Okazoe kini menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam Bahagian Jualan Jepun.
Isuzu Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan kehadiran varian baharu trak pikap Isuzu D-Max yang lebih mampu milik, iaitu D-Max Double Cab 1.9L 4×2 Manual Low Ride.
Dijual pada harga RM92,199.20 (OTR tidak termasuk insurans), D-Max Low Ride ini disasarkan untuk menjadi penyelesaian pengangkutan yang lebih murah dan cekap untuk pengendali perniagaan, penyedia perkhidmatan atau syarikat yang memiliki armada kenderaan yang besar.
D-Max Low Ride ini dikuasakan oleh enjin diesel 1.9 liter (kod RZ4E-TC) menghasilkan 150 PS dan 350 Nm yang tahan lasak dan jimat bahan api, digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan.
Berbanding D-Max sedia ada, D-Max Low Ride ini menawarkan jarak kelegaan tanah yang lebih rendah, sekaligus menyediakan ruang muatan barangan serendah 780 mm dari tanah untuk memudahkan urusan muat naik dan pemunggahan barangan.
Dalam masa yang sama, ruang kargo di belakang mampu menampung beban seberat 930 kg.
Secara standard, D-Max Low Ride dilayangkan dengan warna Splash White, lampu utama halogen, lampu kabus yang turut bertindak sebagai lampu nyalaan siang (DRL), rim aloi 16 inci dengan tayar 215/70R16, tingkap berkuasa, serta cermin sisi kawalan elektrik.
Ruang kabin pula menyediakan tempat duduk balutan fabrik, roda stereng boleh laras tilt/teleskopik, tolok meter analog yang digandingkan dengan skrin MID 3.5 inci, soket 12V serta pemain audio DIN tunggal dengan sokongan beberapa codec muzik.
Dari segi keselamatan, D-Max Low Ride menampilkan ciri seperti sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA) dan kawalan menurun cerun (HDC).
Isuzu D-Max Low Ride kini boleh didapati di semua bilik pameran rasmi Isuzu di seluruh negara, dan didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau had perbatuan 150,000 km.
Isuzu Malaysia kini membuka tempahan bagi model trak pikap rendah kos penggunaan, Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT untuk pasaran Malaysia.
Isuzu D-Max Low-Ride ini disasarkan kepada pengguna yang memerlukan sebuah kenderaan perniagaan yang cekap kos dan boleh dipercayai, dan dalam masa yang sama menawarkan ruang yang luas.
D-Max Low-Ride ini berkongsi enjin 1.9 liter RZ4E-TC yang sama digunakan pada D-Max 1.9 liter Single Cab, menghasilkan kuasa 150 PS @ 3,600 rpm dan daya kilas 350 Nm @ 1,800-2,600 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan yang mampu memastikan kos pemilikan dan penggunaan yang lebih rendah.
Antara ciri unik yang wujud pada model ini ialah ketinggian ruang kargo hanya 78 cm sahaja daripada permukaan tanah yang mampu memudahkan urusan pengguna memuat naik atau menurunkan barangan.
Selain daripada mampu memuatkan lima orang penumpang pada satu-satu masa, ruang kabin D-Max Low-Ride ini dilengkapi dengan tempat duduk balutan fabrik, sistem hiburan DIN tunggal, stereng dengan larasan tilt & teleskopik, sistem kunci sentral dan cermin sisi larasan elektronik.
Aspek keselamatan juga menjadi keutamaan di mana model ini dilengkapi dengan sistem seperti brek anti-kunci (ABS), pengagihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA), kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA) dan kawalan menurun cerun (HDC), selain dua beg udara, Brake Override System (BOS), lampu berhenti kecemasan dan penderia undur.
Tempahan untuk trak pikap Isuzu D-Max Low-Ride ini telah pun dibuka menerusi semua pengedar sah Isuzu di seluruh negara.
Hanya ada satu warna sahaja ditawarkan, iaitu Splash White dengan harga jualan bermula dari RM92,199.20 atas jalan tanpa insurans.
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau had perbatuan 150,000 km.
Isuzu D-Max membuktikan kemampuan penjimatan bahan apinya sekali lagi apabila berjaya mencatat perjalanan sejauh 2,000 km dengan satu tangki bahan api berkapasiti 76 liter.
Pada 2015, D-Max menamatkan perjalanan dari Bangkok ke Singapura dengan menempuh jarak sejauh 1,809 km hanya dengan satu tangki diesel.
Pada Mac 2020 pula, Isuzu Malaysia juga telah berjaya menguji kekuatan D-Max 1.9L Single Cab dengan memandunya sejauh lebih 1,000 km sambil membawa beban seberat satu tan.
Untuk pencapaian terbaru ini, Isuzu Malaysia menggunakan tiga unit D-Max yang terdiri daripada varian 1.9L 4X2 Auto Plus, 1.9L 4X4 Auto Premium dan 3.0L 4X4 X-Terrain.
Ketiga-tiga trak itu dipandu dari bandar Phitsanulok di Thailand yang berada kira-kira 300 km di utara Bangkok, menuju ke Klang, Selangor.
Ini merupakan kali pertama Isuzu Malaysia melakukan ujian sedemikian terhadap D-Max generasi ketiga. Selain menampilkan rekaan luaran aerodinamik, ia juga dikuasakan oleh enjin Euro 4 yang dipertingkat.
Ujian ini turut disaksikan oleh pegawai teknikal daripada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang melekatkan pelekat keselamatan tangki minyak dan sekali gus menjadi pemerhati bagi memastikan tiada isian semula dilakukan sepanjang perjalanan.
Pencapaian ini meletakkan Isuzu D-Max ke dalam Malaysian Book of Records bagi “Trak Pikap Yang Paling Jauh Dipandu Dengan Satu Tangki Bahan Api”.
Bercakap ketika menyambut ketibaan semua kenderaan terbabit di Pusat 3S Ultra Gallant Isuzu di Klang, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata kejayaan itu membuktikan kecemerlangan kejuruteraan Isuzu dalam membangunkan enjin diesel Blue Power yang memberikan prestasi di luar jangkaan kebiasaan penggunaannya.
“Walaupun kami tidak menjangkakan setiap pelanggan akan memandu kenderaan Isuzu mereka sejauh 2,000 km bagi setiap isian bahan api, ia jelas menunjukkan tahap kejuruteraan yang telah diberikan terhadap setiap kenderaan Isuzu untuk membolehkannya mencapai keupayaan dalam skala tersebut,” ujar Okazoe.
“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuklah harga diesel, mereka yang menggunakan Isuzu D-Max untuk urusan harian akan mendapat manfaat daripada ciri penjimatan bahan api ini,” tambah Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan, Kenkichi Sogo.
ISUZU Malaysia telah melancarkan Isuzu Insurance Pro, pelan insuran yang menyeluruh yang direka untuk menawarkan perlindungan terbaik untuk pemilik dan juga kenderaan Isuzu.
Menurut syarikat itu, Isuzu Insurance Pro ditawarkan untuk semua kenderaan Isuzu, sama ada untuk pembelian baharu atau pembaharuan polisi.
Pelan ini diselenggara oleh barisan panel dari lima syarikat insurans dan takaful utama serta melindungi semua model D-Max serta semua barisan trak tugasan ringan, sederhana dan berat seperti ELF, FORWARD dan GIGA, termasuk prime mover.
Berikut adalah antara manfaat Isuzu Insurance Pro:
kelulusan pantas untuk sebarang tuntutan bawah RM20,000
servis tunda percuma tanpa had bagi perjalanan pergi-balik sejauh 300 km untuk D-Max
servis tunda percuma sebanyak tiga kali bagi perjalanan pergi-balik 100 km untuk model trak ELF
perlindungan percuma untuk semua pemandu
elaun banjir
elaun akibat kemalangan atau kecurian
perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM10,000 untuk kedua-dua pemegang polisi dan pemandu yang sah
Kelebihan lain pula termasuklah bantuan tepi jalan 24/7, pengecualian bagi betterment dan excess selama 10 tahun serta nilai dipersetujui sehingga 10 tahun untuk D-Max serta untuk tahun pertama bagi trak Isuzu yang lain.
Semua tuntutan insurans yang dibuat di bawah program Isuzu Insurance Pro juga akan menggunakan alat ganti tulen Isuzu selagi kenderaan terbabit dihantar ke bengkel sah Isuzu untuk tujuan tuntutan.
“Isuzu Insurance Pro menawarkan penyelesaian sehenti yang meliputi pelbagai kelebihan dengan polisi tersebut, bagi memastikan semua pelanggan kami menerima perlindungan secara eksklusif yang menyeluruh, dan juga pengalaman pemilikan kenderaan yang menenangkan” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.
Pembelian ke atas Isuzu Insurance Pro hanya boleh dibuat melalui pengedar sah Isuzu bermula 5 Ogos 2024. Pelanggan terawal akan menerima hadiah istimewa berupa cenderahati eksklusif Isuzu Insurance Pro.
Kadang-kala anda tidak perlu memilih varian tertinggi untuk mendapatkan yang terbaik semasa membeli kenderaan. Isuzu membuktikan ini ada benarnya menerusi D-Max 1.9L Premium yang mampu memenuhi keperluan pengguna dengan enjin yang cukup lasak dan pelbagai kelengkapan berguna.
‘Nadi’ penggerak D-Max 1.9L Premium adalah enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9-liter empat silinder yang mampu menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,600 rpm.
Angka tersebut mungkin tidak begitu besar namun ia sebenarnya sudah cukup untuk membantu pengguna melakukan urusan harian, terutamanya apabila dibantu dengan transmisi automatik enam kelajuan yang ditala untuk memberikan pecutan yang lancar.
D-Max 1.9L Premium juga cukup sesuai untuk mereka yang mementingkan bajet. Bukan sahaja cukai jalannya rendah iaitu RM399.20, ia juga cekap bahan api. Kami berjaya merekodkan catatan sekitar 15.5 km/l untuk pemanduan di kawasan bandar dan lebuh raya, bermakna trak pikap ini boleh mencapai jarak pandu sejauh lebih 1,100 km dengan satu tangki penuh!
Untuk peminat pemanduan off-road, D-Max 1.9L Premium sedia untuk mengharungi pelbagai bentuk muka bumi yang mencabar dengan adanya Rough Terrain Mode baharu, Terrain Command dan Differential Lock pada gandar belakang.
Malah, anda juga tidak perlu sekiranya berhadapan dengan banjir kerana trak pikap ini mampu mengharungi air dengan kedalaman sehingga 800 mm. Pendek kata, D-Max 1.9L Premium boleh membawa anda ke mana-mana sahaja.
Untuk bahagian luaran, D-Max 1.9L Premium bukan sahaja nampak bergaya tetapi juga mempunyai banyak ciri premium termasuk lampu projektor Bi-LED, lampu belakang Combi LED dan rim aloi 18 inci dengan rekaan terkini. Membuka tailgate juga menjadi lebih mudah dengan adanya ciri Tailgate Assist.
Ruang dalaman pula tampil lebih kemas menerusi upholsteri kulit kombinasi berwarna hitam serta corak Miura baharu yang menghiasi papan pemuka dan panel pintu.
Keselesaan pemandu dan penumpang sentiasa terjamin dengan busa elastik anti-getaran pada tempat duduk serta ciri sokongan lumbar kuasa lapan hala pada tempat duduk pemandu.
Tidak cukup dengan itu, D-Max 1.9L Premium juga didatangkan dengan skrin sentuh sistem infotainment berukuran sembilan inci, paparan multi-info tujuh inci, Apple CarPlay, Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar, port pengecas USB Type-C, pendingin hawa dua zon, sistem audio lapan pembesar suara dan cermin pandang belakang dengan pemalapan automatik.
Sudah tentu, ciri keselamatan turut dititikberatkan dengan penambahan Around View Monitor (AVM) dan perakam video digital (DVR) baharu. Bukan itu sahaja, bilangan beg udara telah bertambah iaitu dari dua sebelum ini kepada enam.
Dengan harga bermula dari RM134,649.20, D-Max 1.9L Premium dilihat sebagai pilihan yang amat berbaloi untuk mereka yang inginkan sebuah trak pikap yang serba boleh dan cukup lengkap. Untuk ketenangan minda pelanggan, Isuzu Malaysia menawarkan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, yang mana tiba dahulu.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Isuzu D-Max, layari laman web rasmi Isuzu Malaysia atau membuat pendaftaran di pautan ini.
Berdasarkan pengamatan penulis, sudah menjadi kebiasaan bagi pembeli kereta untuk memilih varian atau spesifikasi tertinggi kerana bagi mereka, itulah penawaran terbaik yang ada.
Memang benar, varian tertinggi bagi sesuatu model itu membawakan segala yang terbaik dari segi reka bentuk, prestasi dan teknologi namun ini tidak bermakna varian-varian lain tidak cukup bagus.
Sebagai contoh, Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Standard yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Julai lalu dilihat mempunyai ciri-ciri yang serba lengkap untuk memenuhi keperluan harian pemiliknya sama ada sebagai kenderaan harian atau gaya hidup.
Trak pikap ini juga sesuai untuk pemilik perniagaan yang ingin menjimatkan kos operasi kerana D-Max 1.9L 4×4 AT Standard sememangnya terkenal sebagai kenderaan jimat bahan api.
Bagi mereka yang ingin menjadikan D-Max 1.9L 4×4 AT Standard sebagai kenderaan harian, anda tidak perlu gusar kerana model ini bergaya dengan pemegang pintu yang kini didatangkan dalam warna yang sama dengan warna badan, serta rim aloi 17 inci dalam rekaan terkini.
Terdapat lima warna luaran untuk dipilih iaitu Valencia Orange, Biarritz Blue, Splash White, Mercury Silver dan Onyx Black.
Bukan itu sahaja, versi automatik didatangkan dengan lampu projektor Bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED dan ciri Follow Me Home yang amat berguna pada waktu malam.
Masuk ke dalam, anda akan menemui skrin sentuh berukuran tujuh inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi teknologi Bluetooth.
Bercakap tentang telefon, anda dan penumpang tidak akan mempunyai sebarang masalah bateri lemah kerana D-Max 1.9L Standard mempunyai tiga port pengecas USB – satu Type A dan satu Type C pada bahagian hadapan, serta satu Type A pada bahagian belakang.
Tidak cukup dengan itu, model ini juga mendapat satu lagi ciri baharu iaitu kamera undur secara standard. Menurut Isuzu Malaysia, mereka adalah pengeluar pertama di negara ini yang menyediakan kamera undur sebagai ciri standard dalam rangkaian trak pikap double cab.
D-Max 1.9L Standard mungkin sebuah trak pikap namun ruang dalamannya cukup selesa untuk kegunaan harian dengan adanya ciri-ciri seperti paparan multi-info 4.2 inci, corong pendingin hawa belakang, pemegang kaca mata, upholsteri fabrik dan pelbagai lagi.
Bagaimana pula jika anda ingin membawa trak ini masuk ke hutan untuk aktiviti lasak atau membawa barang-barang yang besar dan berat?
Jangan risau kerana ia dikuasakan oleh enjin BluePower turbodiesel 1.9-liter empat silinder yang mampu menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm.
Anda ada pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan dengan ‘sequential shift’ untuk ‘manual mode’, kedua-duanya digandingkan dengan sistem pacuan empat roda.
Apa yang menarik, enjin bukan sahaja berkuasa malah sudah terbukti mampu mencapai jarak sejauh lebih 1,000 km dengan satu tangki penuh. Sesaran yang kecil bermakna cukai jalannya juga tidak tinggi iaitu sekitar RM399.20 setahun.
Lebih meyakinkan lagi, D-Max 1.9L 4×4 AT Standard juga tidak lekang dengan ciri-ciri yang sememangnya patut ada pada sebuah trak pikap seperti Rear Differential Lock.
Tidak cukup dengan itu, ia juga didatangkan dengan sembilan ciri keselamatan aktif iaitu Electronic Stability Control (ESC), Traction Control (TC), Hill Start Assist (HAS), Hill Descent Control (HDC), Anti-Lock Brake System (ABS), Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Brake Override System dan Emergency Stop Signal.
Harga jualan Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Standard bermula dari RM107,599.20 untuk versi manual dan RM114,999.20 untuk versi automatik. Isuzu Malaysia menawarkan waranti selama lima tahun atau 150,000 km.
ACARA kembara off-road Borneo Safari kembali untuk tahun 2023 dengan Isuzu Malaysia sebagai Penaja Berlian buat sekian kalinya.
Di samping tiga unit Isuzu D-Max X-Terrain, acara tahun ini akan menampilkan dua unit Isuzu D-Max 1.9L Single Cab yang telah dipilih untuk berkhidmat sebagai kenderaan sokongan untuk kegunaan pihak media.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe, versi Single Cab dipilih untuk menggalas peranan sokongan dalam acara ini kerana kebolehannya sebagai jentera yang kental dan serba boleh.
“Untuk menakluki acara seperti Borneo Safari yang menghamparkan laluan sukar dalam hutan, ia tidak hanya memerlukan kenderaan dengan sistem 4×4 yang mantap, tetapi juga perlu dihadirkan dengan kemampuan yang sangat tinggi untuk memastikan ia berhasil melepasi cabaran lapan hari dalam keadaan yang ekstrim seperti itu.
“Dengan warisan panjang Isuzu D-Max sebagai sebuah trak pikap, ia tidak disangkal lagi menjadi salah kenderaan media yang paling boleh diharap sepanjang edisi terdahulu acara ini, dan telah berhasil mengangkut media dan peralatan mereka menempuhi pelbagai situasi dan keadaan setiap tahun sejak sedekad lalu,” ujar Okazoe.
Borneo Safari tahun ini memasuki penganjurannya bagi tahun ke-31 dan diiktiraf sebagai satu daripada cabaran off road paling sukar di dunia. Acara ini bakal dilepaskan di hadapan pejabat Lembaga Pelancongan Sabah pada Ahad, 29 Oktober 2023 dan akan menjelajahi kawasan pergunungan Sook dan Ranau sebelum kembali ke Kota Kinabalu selepas seminggu.
Sebagai Penaja Berlian bagi acara ini, Okazoe menyerahkan dokumen penajaan dan kunci bagi kenderaan rasmi media berkenaan kepada Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin.
Isuzu Malaysia sekali lagi akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah serta Red Springs Sdn Bhd untuk menerbitkan siri video web yang mempromosikan acara ini khususnya, dan Sabah umumnya sebagai destinasi pengembaraan.
Melalui siri video berkenaan, penonton akan dapat menyaksikan pelbagai cabaran yang dilalui di sepanjang berlangsungnya Borneo Safari serta berpeluang memenangi cenderahati eksklusif dengan menyertai peraduan ‘Tonton dan Menang’ yang akan berlangsung selepas acara berkenaan selesai.
ORANG kata Temerloh merupakan titik tengah Semenanjung Malaysia. Dan Isuzu memperkukuhkan kehadiran mereka di kawasan ini dengan pembukaan Pusat 3S Isuzu Temerloh yang telah diperbaharui.
Terletak secara strategik di laluan utama menuju bandar, cawangan yang dikendalikan oleh Pacific Motor Sdn Bhd menampilkan identiti korporat Isuzu Malaysia yang terbaharu serta menyediakan kemudahan jualan dan lepas jualan untuk memenuhi keperluan pelanggan Isuzu yang jumlahnya semakin bertambah di sekitar kawasan berkenaan.
Pembukaan pusat 3S baharu ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe yang meyakini kemudahan baharu tersebut sarat ciri moden dan lengkap yang mampu memenuhi keperluan pelanggan, baik yang sedia ada atau untuk tahun-tahun ke hadapan.
“Pembukaan kemudahan baharu yang dipertingkatkan seperti di Pusat 3S Isuzu Temerloh ini akan memperkukuhkan lagi sasaran kami untuk memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan dengan jaminan untuk menepati setiap daripada jangkaan mereka,” jelas Okazoe.
Pusat 3S Isuzu Temerloh meliputi kawasan seluas 7,000 meter persegi, membolehkannya memuatkan semua lori dan trak Isuzu yang datang untuk penyelenggaraan.
Enam ruang servis yang ada mampu mempercepatkan kitaran temujanji pelanggan, sekaligus membolehkan mereka mendapat semula kenderaan dengan cepat dan berlapang fikiran kerana mengetahui kenderaan Isuzu mereka sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.
Di dalam kemudahan baharu ini disertakan juga ruang menunggu yang selesa, lengkap dengan hidangan ringan sambil pelanggan boleh juga mendekati model Isuzu D-Max terbaharu dalam ruang pameran nyaman berpenghawa dingin serta memanfaatkan panel maklumat digital yang mesra alam.
Bagi mereka yang mencari lori untuk membantu perniagaan pula, perunding berpengalaman sentiasa bersedia membantu.
Pahang kekal menjadi lokasi strategik dan penting untuk Isuzu Malaysia dalam membantu trak Isuzu mendominasi 72 peratus pasaran sejak Januari hingga Julai tahun ini, menjadikannya negeri nombor satu bagi perkongsian pasaran oleh syarikat.
Trak pikap Isuzu D-Max juga berjaya menembusi pasaran di Pahang dan berganjak ke kedudukan kedua dalam carta jualan trak pikap.
Jualan bagi model generasi ketiga Isuzu D-Max meningkat naik sebanyak 7.2 peratus antara Januari dan Ogos tahun ini, menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak 24.4 peratus.
Pusat 3S Isuzu Temerloh terletak di Bangunan Tanjung Keramat, Batu 1 Jalan Mentakab dan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
BUAT anda yang terlepas, barisan Isuzu D-Max generasi ketiga telah dikemas kini bagi model tahun 2023, hampir dua tahun selepas ia dilancarkan di Malaysia.
Kemas kini tersebut membawakan perubahan dari segi penggayaan dan kelengkapan bagi menjadikan model itu lebih menarik dan kekal segar dalam pasaran trak pikap tempatan.
Ini langkah yang penting buat Isuzu Malaysia memandangkan persaingan yang semakin sengit dalam segmen tersebut ekoran kehadiran model-model seperti Ford Ranger serba baharu dan Mitsubishi Triton Phantom Plus.
Berbalik kepada D-Max 2023, barisan trak pikap itu masih lagi diterajui oleh D-Max X-Terrain sebagai model flagship. Varian X-Terrain dan Premium kini boleh didapati dalam warna baharu Islay Grey Mica dan Dolomite White Pearl yang hadir bagi menggantikan warna Silky White Pearl.
Untuk varian Premium, Auto Plus dan Standard AT pula, Isuzu Malaysia kini menawarkan warna Biarritz Blue Metallic yang menggantikan warna Sapphire Blue sebelum ini.
Selain itu, bahagian gril turut diberi penampilan lebih segar, manakala rim 18 inci pada X-Terrain kini tampil lebih segak dan sporty dengan rekaan Y-spoke.
Melengkapi perubahan pada bahagian luaran D-Max adalah kemasan kelabu gelap pada bahagian bawah badan, cermin sisi, rel bumbung dan pemegang pintu.
Penampilan segar ini berjaya memikat hati pelakon, penyampai radio dan penerbit, Issey Fazlisham. Untuk pandu uji kali ini, pihak Engear TV sempat menjemput Issey untuk merasai sendiri kehebatan trak pikap buatan Thailand ini.
Apabila masuk ke dalam, Issey jelas tertarik dengan suasana kabin D-Max X-Terrain yang telah diberi sentuhan segar menerusi upholsteri kulit berwarna hitam, membuatkannya tampak lebih premium.
Corak jahitan kerusi juga baharu manakala trim Café Brown pada papan pemuka dan panel pintu pula memberikan sedikit kontras untuk menghidupkan suasana di dalam kabin.
Tidak cukup dengan itu, D-Max X-Terrain turut mendapat pencahayaan ambien pada ruang kaki depan dan belakang, serta pada ruang pengecas wayarles.
Dari segi kelengkapan, varian X-Terrain didatangkan standard dengan perakam video digital (DVR) dengan kamera hadapan dan belakang. Kamera hadapan mampu merakam video dalam resolusi 1440p, manakala kamera belakang pula 1080p.
Untuk kemudahan pengguna, rakaman boleh disimpan ke dalam kad memori atau dimuat turun ke telefon pintar menggunakan aplikasi.
Pujian harus diberikan kepada pihak Isuzu Malaysia kerana ini memudahkan pemandu sekiranya berlaku sebarang kejadian di jalan raya. Malah, pelanggan juga tidak perlu bersusah-payah untuk membeli dan memasang dashcam.
Selain itu, pengecas wayarles tersebut kini mempunyai lampu indikator LED. Ciri ini bukan sahaja ada pada X-Terrain, malah disertakan juga pada varian Premium dan Auto Plus. Sebagai tambahan, D-Max X-Terrain dan Premium mendapat port pengecas USB Type-C.
Untuk sistem infohibur, D-Max X-Terrain kekal dengan skrin sentuh 9 inci yang lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles. Melalui skrin ini juga, pemandu boleh mengakses Around View Monitor yang memberikan pandangan 360 darjah.
Ini bukan sahaja memudahkan pemandu untuk meletakkan kereta di ruang parkir yang sempit, malah sangat berguna ketika melakukan aktiviti pemanduan off-road. Imej yang dipaparkan juga jelas dan tajam.
Satu lagi ciri D-Max X-Terrain yang berjaya menarik perhatian Issey adalah sistem ADAS. Ia merangkumi Forward Collision Warning, Autonomous Emergency Braking, Turn Assist, Pedal Misapplication Mitigation, Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Auto High Beam, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert.
Untuk makluman pembaca, ADAS merupakan sebahagian daripada pakej keselamatan AllSight yang terdapat pada D-Max. Pakej ini merangkumi 30 ciri keselamatan aktif dan pasif, selain ADAS.
Dari segi prestasi, D-Max X-Terrain versi 2023 masih kekal dengan enjin turbodiesel 3.0-liter empat silinder yang menghasilkan 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.
Menurut Issey, kuasa pecutan yang ditunjukkan oleh enjin berkenaan sangat lancar dan memuaskan, sehinggakan beliau tidak rasa yang D-Max X-Terrain itu bersaiz besar. Selain enjin yang berkuasa, beliau juga merasakan bahawa talaan suspensi trak pikap itu cukup selesa untuk pemanduan jarak jauh.
Apabila dibawa ke laluan tidak berturap, Issey merasakan D-Max X-Terrain boleh dipandu dengan cukup mudah kerana jarak lega tanahnya yang cukup tinggi iaitu 240 mm.
Bukan itu sahaja, terdapat juga mod 4WD yang boleh diaktifkan dengan mudah apabila perlu. Jika ini tidak mencukupi kerana laluan off-road yang dilalui terlalu hardcore, trak pikap ini juga didatangkan dengan differential lock jenis elektronik dan Hill Descent Control.
Apa yang menarik, differential lock elektronik yang sebelum ini hanya terdapat pada varian X-Terrain, kini didatangkan standard pada semua varian D-Max dengan pacuan 4X4.
Ciri ini berfungsi untuk ‘mengunci’ tayar kiri dan kanan belakang dengan menyalurkan jumlah tork yang sama kepada kedua-dua tayar tersebut. Ini akan menyebabkan tayar belakang berputar pada kelajuan yang sama, sekaligus meningkatkan cengkaman.
Ia berguna ketika melakukan pemanduan off-road terutamanya ketika salah satu atau kedua-dua tayar belakang berada di atas permukaan yang licin.
Walaupun dengan penambahan ciri-ciri yang disebutkan, Isuzu D-Max X-Terrain masih boleh dikatakan sebagai satu penawaran yang cukup berbaloi oleh Isuzu Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM150,938.
Malah, pelanggan juga tidak perlu risau dari segi pasca jualan kerana varian X-Terrain didatangkan dengan waranti selama tujuh tahun, tanpa had perbatuan.
UNTUK model tahun 2023, Isuzu Malaysia memberikan barisan Isuzu D-Max penambahbaikan yang menyaksikan trak pikap popular itu mendapat pilihan warna baharu dan beberapa ciri terkini yang berguna.
Pertama sekali, varian flagship X-Terrain dan Premium kini boleh didapati dalam warna Islay Grey Mica dan Dolomite White Pearl yang menggantikan warna terdahulu iaitu Silky White Pearl.
Satu lagi warna baharu iaitu Biarritz Blue Metallic turut ditawarkan pada varian Auto Premium, Auto Plus dan Auto Standard bagi menggantikan Sapphire Blue.
Selain pilihan warna baharu, D-Max juga mendapat gril dan rim dalam rekaan baharu yang lebih segar, serta trim hitam yang menghiasi sekeliling badannya.
Ruang kabin pula menampilkan suasana lebih premium dengan upholsteri hitam dan corak jahitan baharu pada tempat duduk. Bagi X-Terrain, penampilan ini dikontraskan dengan trim Cafe Brown pada papan pemuka dan panel pintu.
Dari segi kelengkapan, D-Max kini hadir dengan perakam video digital yang dipasang di dalam modul ADAS supaya tampil lebih kemas. Kamera hadapan mampu merakam video dalam resolusi 1440p, manakala kamera belakang pula 1080p. Rakaman boleh disimpan ke dalam kad memori atau dimuat turun ke telefon pintar menggunakan aplikasi.
Turut disertakan adalah pencahayaan ambien berwarna biru pada ruang kaki depan dan belakang, dan ruang pengecas wayarles 15W yang kini terdapat pada varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus. Dua varian teratas itu juga mendapat port USB-C yang menyokong pengecasan pantas.
Bukan itu sahaja, semua varian D-Max dengan pacuan empat roda (4X4) kini didatangkan standard dengan differential-lock elektronik pada gandar belakang.
Kemaskini lain yang disertakan pada D-Max 2023 termasuklah ciri kemasukan tanpa kunci dan soket 12V untuk varian Single Cab. Varian 3.0L Auto Premium juga mendapat suspensi yang ditala semula untuk menampung beban yang lebih berat iaitu 775 kg, 195 kg lebih berat berbanding sebelum ini.
Harga bermula dari RM94,949 untuk varian D-Max 1.9L 4X4 MT Single Cab hingga RM150,938 untuk D-Max 3.0L 4X4 AT X-Terrain.
ISUZU Malaysia Sdn Bhd kini mempunyai cawangan pengedar trak tugas sederhana dan berat (MHD) pertamanya di Sabah iaitu Universal Motor Sdn Bhd.
Terletak di atas kawasan berkeluasan 3.5 ekar di Kota Kinabalu, fasiliti MHD itu mempunyai 20 ruang penyelenggaraan dengan 10 daripadanya untuk trak tugas ringan, tiga untuk trak tugas sederhana, berat dan prime mover, manakala selebihnya untuk kenderaan komersial ringan D-Max.
Pusat servisnya, yang dikendalikan oleh sepasukan juruteknik berpengalaman, dilengkapi dengan peralatan diagnostik terkini serta alat ganti bagi mengesan atau membaiki apa jua isu.
Pelanggan yang menghantar kenderaan mereka untuk diservis boleh menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan seperti ruang rehat mesra keluarga, surau, serta snek dan minuman percuma.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Shunsuke Okazoe berkata, “Kami sangat teruja kerana Universal Motor Sdn. Bhd. menjadi MHD pertama Isuzu Malaysia di Sabah. Ia mengukuhkan lagi komitmen kami untuk mengembangkan jangkauan pelanggan MHD di Malaysia Timur. Selain memperkemaskan perkhidmatan selepas jualan dan memaksimumkan kepuasan serta kepercayaan pelanggan terhadap kami.”
“Isuzu Malaysia yakin dengan trak tugas berat dan prime mover yang baru dilancarkan, Universal Motors akan dapat menyumbang kepada dua segmen pasaran ini di Sabah. Di samping menawarkan sokongan penuh kepada semua pelanggan apabila mereka hendak membeli trak tugas ringan, berat dan prime mover,” tambah Okazoe.
Pembukaan Universal Motor diumumkan sewaktu acara Isuzu Malaysia GIGA Tour 2022 yang diadakan bagi memperkenalkan trak tugas berat dan prime mover yang baru dilancarkan ke seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur, di mana pelanggan dapat melihat trak-trak tersebut secara lebih dekat.
Isuzu Malaysia baru-baru ini melancarkan rangkaian terbaharu trak Giga generasi seterusnya yang terdiri daripada lima model trak tugas berat dan prime mover.
Menurut syarikat itu, model-model berkenaan menawarkan enjin dengan kuasa yang optimum, binaan kukuh serta reka bentuk yang aerodinamik. Reka kabinnya pula mengetengahkan konsep mesra pemandu bagi meningkatkan aspek keselesaan dan keselamatan.
Lima model baharu ini terdiri daripada siri ‘C’ dan ‘E’ iaitu trak rigid CYZ420 tujuh-kelajuan dengan transmisi manual, manakala Prime Mover EXR420 4×2 dan EXZ460 6×4 masing-masing boleh didapati dalam dua pilihan model, iaitu dengan transmisi manual dan Automated Manual Transmission (AMT) 16-kelajuan.
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Atsunori Murata berkata, “ Rangkaian trak-trak terbaharu Isuzu Giga ini mengetengahkan konsep rekaan yang pertama seumpamanya bagi menambah baik aspek kecekapan, keselesaan dan keselamatan.”
Menurut beliau lagi, Malaysia merupakan negara ketiga di peringkat global selepas Jepun dan China, dan merupakan negara yang pertama di pasaran Asia Tenggara menerima rangkaian trak-trak terbaharu Isuzu Giga.
Dibangunkan untuk operasi berat dan mencabar seperti dalam sektor pembinaan, pengangkutan berat dan penghantaran dalam muatan yang besar, trak Giga dikuasakan oleh enjin 15.6-liter 6WG1 dengan standard Euro 3 yang berkuasa 420 dan 460 hp.
Sstem keselamatan pula terdiri daripada platform Isuzu Safety Plus yang menawarkan pelbagai ciri keselamatan utama seperti sistem brek anti-kunci (ABS), beg udara pemandu SRS dan Brakes Override Accelerator (BOA).
Sementara itu, kabin didatangkan dalam bentuk kubik bagi mendapatkan prestasi aerodinamik terbaik dalam kelasnya, selain membantu mengurangkan kadar pekali seretan untuk penyejukan, keselamatan dan penggunaan bahan api lebih baik.
Ruang dalaman menampilkan reka bentuk ergonomik yang lebih luas, serta ciri-ciri yang mesra pemandu. Antaranya adalah tempat duduk berprestasi tinggi yang diintegrasikan dengan tali pinggang keledar dalam model prime mover.
Dihasilkan oleh syarikat terkenal Jerman iaitu Isringhausen, ia dilengkapi dengan ventilasi sejuk dan pemanas, fungsi boleh laras pelbagai arah, tetapan bahagian bahu, sokongan lumbar dan macam-macam lagi.
Turut disertakan adalah papan pemuka dilengkapi dengan monitor LCD multi-info bersaiz 4 inci yang memaparkan
pelbagai maklumat penting kepada pemandu seperti bantuan pemanduan, transmisi, dan utiliti.
Isuzu Malaysia mencatat rekod jualan baharu dengan sebanyak 4,237 unit Isuzu D-Max didaftarkan sejak Januari hingga Jun tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 143% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Bukan itu sahaja, angka jualan bagi tempoh separuh pertama 2022 itu juga sudah setanding dengan pencapaian keseluruhan tahun 2021 iaitu 4,601 unit. Ini telah melonjakkan Isuzu Malaysia ke kedudukan ketiga dalam segmen trak pikap.
Shunsuke Okazoe – Foto ihsan: Isuzu Malaysia
“Sejak pengenalan Isuzu D-Max serba baru, kami melihat pertambahan minat dalam penggunaan trak pikap, terutamanya daripada pembeli kali pertama dan mereka yang menaik taraf kenderaan yang sangat terpesona dengan cara bagaimana D-Max mengadunkan keseimbangan antara trak pikap yang gagah dengan keselesaan dan kecanggihan kereta sedan keluarga,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.
Menurut Isuzu Malaysia, varian 1.9-liter terbukti menjadi pilihan utama dalam kalangan pembeli di Malaysia, dengan sumbangan hampir 80% daripada jumlah keseluruhan jualan D-Max. Antara faktor yang membuatkan varian ini begitu popular adalah penggunaan bahan api yang cekap dan kadar cukai jalan yang terendah dalam kelasnya.
Sementara itu, varian flagship X-Terrain juga semakin mendapat sambutan, menyumbang 10% daripada jumlah keseluruhan jualan trak pikap itu. Ini merupakan pencapaian membanggakan bagi Isuzu memandangkan syarikat tidak pernah mempunyai penawaran yang kukuh dalam segmen kenderaan gaya hidup sebelum ini.
Isuzu D-Max X-Terrain
“X-Terrain menerima sambutan hangat dalam kalangan pengguna urban. Ramai yang menjadikan model terbabit sebagai kenderaan aktiviti gaya hidup mereka, dengan adanya keseimbangan yang sangat baik antara ruang, kebolehan, keselesaan dan keselamatan,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.
Barisan Isuzu D-Max terdiri daripada lapan varian, dengan hampir semua daripadanya hadir dengan 4X4 dan hanya satu varian 4X2 automatik disediakan sebagai pilihan kos rendah kepada pengembara jarak jauh mahpun pengguna urban.